Ucapan Alu-aluan oleh Gabenor di Persidangan Gabenor-gabenor SEACEN ke-44

Bank Negara Malaysia, Kuala Lumpur | 6 Februari 2009

Bank Negara Malaysia amat berbangga kerana dapat menjadi tuan rumah Persidangan Gabenor-gabenor SEACEN pada tahun ini. Kami amat berbesar hati kerana dapat mengalu-alukan kedatangan Gabenor-gabenor dari negara anggota SEACEN untuk bersama kami pada ketika ini bersempena dengan ulang tahun kami yang ke-50 sebagai Bank Pusat. Pada 20 Januari 1959, iaitu 50 tahun yang lalu, Bank Negara Malaysia telah ditubuhkan dengan rasminya sebagai Bank Pusat negara ini. SEACEN adalah antara kumpulan yang paling terangkum (inclusive) di rantau ini, dengan ekonomi yang amat pelbagai dari segi saiz dan tahap pembangunannya. Ini, walau bagaimanapun, tidak menghalang pembangunan dan kemajuan SEACEN sebagai sebuah kumpulan yang padu dalam mencapai kerjasama yang lebih erat, khususnya dalam memperkukuh keupayaan dan keberkesanan Bank-bank Pusat di rantau ini.

Mesyuarat Gabenor-gabenor pada tahun ini, bagaimanapun, berlangsung ketika persekitaran kewangan dan ekonomi global dilanda kegawatan yang teruk. Sesungguhnya, ini merupakan masa untuk kita menilai tahap keberkesanan usaha kita dalam memberikan tindak balas dan menghadapi persekitaran yang amat mencabar ini dengan lebih baik.

Hari ini kita berbesar hati dengan kehadiran Yang Amat Berhormat Dato' Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Malaysia, yang sudi merasmikan majlis pembukaan Persidangan kita. Kita juga menghargai kehadiran Mr. Dominique Strauss-Kahn, Pengarah Urusan Tabung Kewangan Antarabangsa (International Monetary Fund, IMF) yang akan menyertai mesyuarat kita walaupun beliau mempunyai jadual yang amat ketat dalam tempoh yang begitu mencabar ini. Kita tentunya akan memperoleh manfaat dari perspektif IMF tentang perkembangan yang sedang berlaku dan penilaian terhadap pelbagai tindak balas dan intervensi yang sedang dilaksanakan.

Hari ini, kita juga bertuah kerana akan dapat mendengar ucapan Mr. Nout Wellink, Presiden De Nederlandshe Bank yang akan berkongsi dengan kita tentang pengaturan keinstitusian bagi penyeliaan kehematan, amalan pasaran dan perlindungan pengguna. Semua isu ini sangat relevan dalam persekitaran semasa memandangkan usaha sedang dilakukan untuk menghasilkan pengaturan keinstitusian yang paling berkesan bagi mencapai kestabilan kewangan. Hal ini bukan sahaja relevan kepada sistem kewangan yang maju tetapi juga kepada Bank-bank Pusat anggota SEACEN dalam usaha kita berusaha untuk terus membangunkan dan mengembangkan sistem kewangan kita.

Sejak krisis Kewangan Asia lebih sepuluh tahun lalu, rantau ini telah memperoleh manfaat daripada pembaharuan dan penstrukturan semula sistem kewangan dan ekonomi masing-masing. Walaupun kedudukan yang bertambah kukuh ini tidak melindungi kita daripada kejutan luaran yang menggugat kestabilan, namun ia telah memperkukuh keupayaan kita untuk menghadapi perkembangan seumpama itu. Rantau ini juga telah mendapat manfaat daripada integrasi kewangan dan ekonomi serantau yang lebih pesat. Kecenderungan kita yang meningkat untuk perdagangan dan pelaburan dengan satu sama lain menyumbang kepada pembinaan asas kestabilan dan daya tahan serantau yang lebih kukuh. Ini juga telah diperkuat oleh permuafakatan dan kerjasama serantau yang lebih erat.

Walaupun mempunyai struktur kewangan dan ekonomi yang pelbagai, kita semua bersependapat bahawa kemajuan kewangan perlu diiringi dengan tahap pengawalan dan penyeliaan yang bersesuaian bagi memelihara kestabilan kewangan tanpa menghalang insentif untuk inovasi kewangan dan pelaksanaan pengambilan risiko secara berhemat. Tema kita pada hari ini iaitu memelihara kestabilan monetari dan kewangan dalam persekitaran global semasa amat bersesuaian ketika ketidakstabilan kewangan antarabangsa meninggalkan kesan pada ekonomi negara dan pilihan dasar yang sedia ada. Perkembangan semasa menunjukkan kelemahan sistem kewangan termasuk dalam kalangan ekonomi maju. Isu-isu kritikal semakin jelas khususnya berkenaan pengantaraan kewangan, inovasi kewangan, serta rejim pengawalseliaan dan mekanisme pemantauan yang berpadanan yang perlu diwujudkan bagi menyediakan pengawasan yang diperlukan terhadap aktiviti-aktiviti tersebut. Pengalaman-pengalaman ini menekankan kepentingan kritikal terhadap tadbir urus korporat yang baik, pengurusan risiko yang mantap, pengawasan yang ketat serta rangka kerja pengurusan krisis yang lebih kukuh dan cukup teguh untuk bertahan dalam keadaan pasaran yang ekstrem.

Globalisasi dan integrasi kewangan telah memberikan satu dimensi baharu dan penting bagi mencapai kestabilan kewangan, iaitu pertimbangan yang perlu diberikan kepada implikasi serantau dan global. Kerjasama antarabangsa yang lebih erat diperlukan. Tambahan lagi, penjajaran semula arkitektur kewangan antarabangsa kini menjadi lebih penting. Jika ini tidak dapat dilakukan, kemajuan yang dicapai pada peringkat negara akan terus terjejas. Setiap peluang yang tidak dimanfaatkan untuk memulakan pembaharuan yang perlu terhadap arkitektur kewangan antarabangsa akan mengakibatkan kos kewangan, ekonomi dan sosial meningkat dan akan terus menjadi semakin besar.

SEACEN mempunyai sejarah yang lama sebagai platform perbincangan dasar peringkat tertinggi. Walaupun Pusat Latihan SEACEN telah ditubuhkan pada tahun 1972, Gabenor-gabenor Bank Pusat SEACEN telah pun bermesyuarat setiap tahun sejak tahun 1967 lagi. Persidangan Gabenor-gabenor SEACEN sentiasa menjadi forum penting untuk bertukar pandangan secara terbuka dan berkongsi pengalaman mengenai dasar ekonomi dan kewangan. Pemantauan serantau juga telah dipertingkatkan dengan penubuhan mekanisme sokongan serantau dan pengukuhan keupayaan pengurusan risiko terhadap sistem kewangan dan persekitaran negara. Kerjasama SEACEN telah berupaya menghadapi perubahan persekitaran serantau dan global. Ini termasuk Kumpulan Pakar SEACEN yang telah ditubuhkan untuk bertukar maklumat, khususnya mengenai aliran kewangan dalam rantau ini. Dalam tempoh yang lebih mutakhir, kita juga telah bekerjasama bagi memastikan keadaan dan pendapat kita diambil kira oleh pertubuhan antarabangsa dalam membuat keputusan-keputusan yang menjejaskan kepentingan rantau ini.

Pusat Latihan SEACEN juga merupakan platform untuk usaha permuafakatan serantau yang berkesan dalam membina keupayaan Bank-bank Pusat di rantau ini. Peningkatan pengetahuan dan pembangunan modal insan yang berterusan wujud pada semua peringkat dalam institusi kita. Pusat Latihan SEACEN telah memberikan sokongan kepada keseluruhan kitaran kerjaya bagi setiap pegawai bank pusat dan dengan itu memperkukuh pembangunan tenaga kerja mahir kita. Pusat Latihan SEACEN merupakan hasil yang jelas daripada kerjasama kita dan telah berkembang pesat sejak beberapa tahun yang lalu.

Usaha berterusan Pusat SEACEN telah berjaya melatih lebih daripada 10,000 pegawai daripada anggota Bank Pusat. Dengan meningkatnya tuntutan terhadap Bank-bank Pusat, para anggota akan terus menaruh harapan yang lebih tinggi pada Pusat Latihan SEACEN. Sukacita saya nyatakan di sini bahawa Pusat Latihan SEACEN akan berpindah ke premis baharu yang lengkap dengan kemudahan pembelajaran yang canggih dalam beberapa minggu lagi. Premis ini akan turut dilengkapi dengan sebuah asrama kediaman baharu yang moden. Sebagai negara tuan rumah kepada Pusat SEACEN, Bank Negara Malaysia mempunyai iltizam yang amat tinggi dalam menyokong Pusat Latihan ini menjadi pusat pembelajaran terulung yang menerajui pembangunan pegawai-pegawai bank pusat.

Saya berharap kita dapat mengadakan perbincangan yang produktif pada persidangan ini. Walaupun jadual padat telah diatur, kami juga berharap anda semua dapat meluangkan sedikit masa untuk melawat tempat-tempat menarik di Kuala Lumpur semasa kunjungan anda di sini .


Bank Negara Malaysia
06 Februari 2009

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?