Ucapan Alu-aluan oleh Gabenor Abdul Rasheed Ghaffour di Sasana Symposium 2025

Sasana Kijang | 17 Jun 2025

Selamat datang ke Bank Negara Malaysia dan selamat datang ke Sasana Symposium 2025.

Sejak penubuhan BNM pada tahun 1959, Bank Negara Malaysia telah menjadi saksi pelbagai detik penting dalam sejarah negara. Bermula daripada sebuah ekonomi yang bergantung pada komoditi asas sehinggalah menjadi ekonomi yang sangat pelbagai dengan rangkaian global yang mantap. Kini, kita berada dalam persekitaran yang sangat penting.

  • Kelaziman perdagangan global yang sedang berubah;
  • Ketidakpastian dasar semakin meningkat; dan
  • Kemajuan teknologi sedang mengubah cara kita bekerja dan beroperasi.

Namun, kita menghadapi persekitaran ini daripada kedudukan yang kukuh. Penunjuk berfrekuensi tinggi terkini seperti indeks pengeluaran perindustrian (industrial production index, IPI) perkilangan, perkhidmatan, eksport dan upah menunjukkan pertumbuhan ekonomi Malaysia yang berdaya tahan. Perbelanjaan pengguna terus berkembang seperti yang ditunjukkan oleh pertumbuhan yang stabli dalam aktiviti perdagangan runcit, disokong oleh keadaan pasaran pekerja yang menggalakkan. Kos sara hidup terus menjadi isu tumpuan namun sekurang-kurangnya inflasi adalah rendah dan stabil. Berlatarkan persekitaran ini, perbincangan terbuka sangat penting untuk menghimpunkan idea yang paling bernas supaya Malaysia dapat bertindak balas dengan berkesan terhadap kesemua cabaran luaran ini, sambil kita terus memacu pembaharuan struktur yang sangat diperlukan untuk Malaysia.

Sejak mula dianjurkan pada tahun 2023, Sasana Symposium menjadi wadah untuk dialog yang menarik mengenai pemikiran, analisis dan penilaian terhadap ekonomi dan sistem kewangan yang telah kami kongsikan dalam laporan-laporan utama BNM yang diterbitkan pada bulan Mac. Pada tahun ini, kami berhasrat untuk meneruskan tradisi memaparkan kandungan laporan kami serta dasar dan inisiatif BNM dalam bentuk visual dan perbincangan. Melalui sesi panel, bual bicara santai dan bengkel, kami bukan sekadar berkongsi inisiatif yang dilaksanakan, malah matlamat yang ingin dicapai. Semua sesi ini merangkumi pelbagai pembaharuan dan inisiatif yang sedang kami laksanakan dengan tujuan untuk membawa perubahan yang bermakna kepada rakyat. Topik perbincangan seperti literasi kewangan, jalinan pembayaran, aset digital, kestabilan monetari, penipuan kewangan dan juga pembaharuan bagi penjagaan kesihatan merupakan bidang yang membentuk asas ke arah menjadikan Malaysia negara yang lebih kukuh dan berdaya tahan.

Pembaharuan struktur bukanlah sesuatu yang boleh ditangani oleh satu institusi atau individu sahaja; pembaharuan ini memerlukan pendekatan seluruh negara. Salah satu bidang yang jelas mencerminkan keperluan ini ialah pembaharuan penjagaan kesihatan. Inflasi perubatan yang semakin meningkat menggariskan keperluan pendekatan yang terselaras. Bersama-sama dengan Kementerian Kesihatan, Kementerian Kewangan dan pihak berkepentingan utama, kami sedang melaksanakan beberapa inisiatif utama yang digelar RESET untuk menangani inflasi perubatan. RESET merangkumi usaha untuk:

  • Revamping - menambah baik insurans dan takaful perubatan dan kesihatan;
  • Enhancing - meningkatkan ketelusan harga;
  • Strengthening – memperkukuh sistem kesihatan digital;
  • Expanding - memperluas pilihan rawatan yang berkesan dari segi kos; dan
  • Transforming - mengubah mekanisme pembayaran penyedia perkhidmatan.

Kejayaan RESET bergantung pada penglibatan semua pihak berkepentingan dalam mewujudkan sistem penjagaan kesihatan yang lebih mudah diakses dan berdaya tahan untuk rakyat Malaysia. Perbincangan lanjut mengenai RESET dan pembaharuan kesihatan secara menyeluruh akan dibahaskan dalam sesi panel bertajuk “Rising Cost, Rising Stakes: Expediting Reforms to Address Medical Inflation” esok, yang akan menampilkan Yang Berhormat Datuk Seri Dr. Haji Dzulkefly Ahmad, Menteri Kesihatan, Yang Berbahagia Datuk Johan Mahmood Merican, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Kementerian Kewangan, Encik Aakash Mohpal, Pakar Ekonomi Kanan dari Bank Dunia, dan saya sendiri.

Pada masa yang sama, kami terus memajukan inisiatif yang selaras dengan mandat teras BNM. Salah satu inisiatif ini ialah Program Syarikat Pelabur Pemastautin yang Berkelayakan atau Qualified Resident Investor (QRI). Berikutan kejayaan program rintis, kami akan melaksanakan program ini secara rasmi pada 1 Julai 2025. Program ini telah mencatatkan hasil yang menggalakkan, dengan aliran masuk yang kukuh ke dalam pasaran kewangan domestik negara melebihi USD1 bilion. Usaha ini menyokong matlamat Malaysia untuk menggalakkan aliran dua hala dalam pasaran kewangan domestik yang membantu memastikan keadaan pasaran yang teratur demi pertumbuhan ekonomi yang mampan dan kestabilan kadar pertukaran asing.

Sebagai pemegang amanah kestabilan kewangan, kami cakna dengan perubahan dalam landskap aset digital yang semakin pesat. Oleh itu, kami turut memacu usaha pendigitalan bagi memastikan sistem kewangan Malaysia kekal relevan dan mampu memenuhi keperluan ekonomi negara. Daripada pemodenan RENTAS, infrastruktur sistem pembayaran kami,  sehinggalah peluasan jalinan pembayaran rentas sempadan, dan kini penerokaan tokenisasi aset dan penyelesaian digital lain, matlamat kami adalah untuk membina asas yang kukuh ke arah ekonomi yang berdaya suai dan berdaya tahan.

Dalam memacu agenda hijau BNM, perkembangan inisiatif Penghijauan Rantaian Nilai (Greening Value Chain, GVC) yang diperkenalkan di Malaysia pada tahun 2022, kini semakin rancak. Sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, Malaysia turut berkongsi pengalaman dan pembelajaran untuk menyokong usaha serantau dalam membina ekonomi negara-negara ASEAN yang mampan dan berdaya tahan terhadap perubahan iklim. Saya juga sukacita ingin memaklumkan bahawa Makmal Inovasi Kewangan Iklim (Climate Finance Innovation Lab, CFIL), sebuah inisiatif Jawatankuasa Bersama Mengenai Perubahan Iklim (Joint Committee on Climate Change, JC3) sudah memulakan operasi. CFIL bertindak sebagai platform kerjasama untuk membangunkan dan menguji penyelesaian kewangan baharu untuk projek iklim dan berkaitan alam semula jadi. Maklumat lanjut mengenai hal ini akan dibincangkan esok dalam sesi panel “Building Climate Journey: How Wide Ranging is the Funding Mechanism”.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Pembaharuan dan dasar bukanlah sekadar idea di atas kertas. Kedua-dua perkara ini mampu membawa perubahan yang nyata dalam kehidupan seharian rakyat Malaysia. Itulah sebabnya Sasana Symposium bukan setakat memaparkan isi laporan dan perbincangan panel. Simposium ini turut mengetengahkan golongan yang telah mendapat manfaat daripada dasar-dasar BNM. Hari ini dan esok memberikan peluang kepada anda untuk menyaksikan inisiatif sektor kewangan dalam bentuk yang lebih nyata dan boleh dihayati.

  • iTEKAD, program kewangan sosial BNM, telah memperkasakan usahawan mikro untuk mengembangkan perniagaan dan mewujudkan peluang pekerjaan dalam komuniti mereka. Kunjungilah Bazar iTEKAD, untuk bertemu dan menyokong para usahawan yang mencerminkan hasil program ini. Anda akan bertemu Mohammad Zamzum, yang telah mengembangkan perniagaan ke peringkat antarabangsa dengan mengeksport pes masakan beliau ke United Kingdom selepas menyertai iTEKAD. Beliau merupakan seorang daripada lebih 10,000 usahawan mikro yang telah menyertai iTEKAD. Sebahagian peserta iTEKAD merupakan bekas asnaf yang kini telah menjadi penyumbang zakat.

  • Malah, tas gelang tangan atau wristlet yang anda terima semasa pendaftaran hari ini juga diperbuat daripada plastik kitar semula yang mengandungi keratan kecil wang kertas polimer. Wang kertas ini merupakan peringatan tentang peranan BNM dalam memupuk ekonomi yang berdaya tahan dan mampan.

  • Saya juga mengalu-alukan anda untuk meneroka Terowong ASEAN dan pameran interaktif dan imersif, yang memaparkan perjalanan ekonomi dan kewangan ASEAN dari dahulu sehingga kini.

Sebagai penutup, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada tetamu kehormat Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, serta para moderator, ahli panel, pembicara dan para peserta yang akan berkongsi pandangan sepanjang dua hari ini. Sejajar dengan semangat Sasana yang membawa maksud tempat menimba ilmu dan titik pertemuan, saya berharap Sasana Symposium akan terus menjadi ruang wacana yang menggalakkan pertukaran idea dan memupuk dasar pembaharuan.

Terima kasih.

 

Bank Negara Malaysia
17 Jun 2025


Bank Negara Malaysia
17 Jun 2025

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?