Ucapan alu-aluan oleh Gabenor Sempena Program Penasihat Rangkuman Kewangan

Kuala Lumpur | 18 Januari 2010

Saya amat berbesar hati untuk mengalu-alukan kedatangan anda semua ke Program Penasihat Rangkuman Kewangan (FIA). Meskipun landskap kewangan global sedang melalui perubahan besar dan ketika perbincangan untuk pembaharuan kewangan sedang diberikan pertimbangan yang sewajarnya, kepentingan agenda rangkuman kewangan juga perlu diberikan perhatian. Ini adalah penting dalam usaha mencapai pertumbuhan ekonomi mampan yang seimbang dan mewujudkan peluang pekerjaan yang lebih banyak.

Bank Negara Malaysia amat berbangga kerana dapat menjadi tuan rumah dan bersama-sama menganjurkan Program Penasihat-Penasihat Rangkuman Kewangan dengan Japan International Coopration Agency (JICA). Program ini bertujuan menyediakan suatu platform kepada pengamal daripada industri perkhidmatan kewangan untuk berkongsi pengalaman dalam pembangunan model perniagaan yang berjaya bagi rangkuman kewangan. Di samping itu program ini juga memberikan peluang kepada pengawal selia untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman tentang bagaimana untuk memperbaik persekitaran yang diperlukan untuk rangkuman kewangan termasuk pengaturan institusi dan memastikan keteguhan dan kestabilannya, seterusnya memastikan kelangsungannya.

Cabaran-cabaran dalam Pencapaian Rangkuman Kewangan

Krisis kewangan global yang diikuti dengan kelembapan ekonomi global pada tahun 2009 mempunyai implikasi terhadap agenda rangkuman kewangan. Gangguan dalam perjalanan pasaran kewangan telah menyebabkan perhatian tertumpu pada isu kestabilan kewangan. Selain itu, kemerosotan permintaan berikutan krisis kewangan dalam pasaran ekonomi utama mengakibatkan penguncupan dalam perdagangan dunia. Kemelesetan serentak yang berlaku berikutnya telah menjadikan keadaan lebih genting bukan hanya untuk memastikan sistem kewangan negara berdaya tahan dan berupaya menyerap kejutan luaran tetapi perhatian dan sumber yang mencukupi juga perlu disediakan bagi mencapai agenda rangkuman kewangan.

Persekitaran ekonomi dan kewangan antarabangsa kini dalam keadaan yang lebih baik. Walaupun dalam keadaan kestabilan ekonomi, rangkuman kewangan masih merupakan usaha yang mencabar. Pertama, jangkauan yang komprehensif diperlukan bagi merangkumkan  golongan yang berpendapatan rendah dan kurang mendapat perhatian, memandangkan golongan ini umumnya dipisahkan dari segi geografi dan mempuyai tahap celik kewangan yang rendah. Kedua, institusi kewangan mikro perlu menjana pulangan yang mencukupi secara berterusan untuk menampung kos yang tinggi dalam menyediakan perkhidmatan tersebut dan kekurangan potensi bagi ekonomi ikut bidangan untuk terus berdaya maju. Ketiga, institusi kewangan tersebut juga menghadapi cabaran dalam memperoleh pendanaan yang mapan dan bersaingan.

Menyedari akan cabaran yang dihadapi dalam menangani isu ini bagi mencapai rangkuman kewangan, program ini yang telah bermula lebih daripada dua tahun yang lalu ialah hasil daripada cadangan yang saya buat pada mesyuarat Ketua-ketua Kerajaan Kerjasama Komanwel Langkawi untuk  Commonwealth Partnership for Technology Management (CPTM) di Pulau Langkawi pada tahun 2007, yang membincangkan isu pembasmian kemiskinan melalui pembangunan modal insan. Tujuan program Penasihat Rangkuman Kewangan adalah untuk mendedahkan pengamal dan pengawal selia dalam bidang rangkuman kewangan ini dengan idea yang praktikal melalui perkongsian pengetahuan dan pengalaman dalam membangunkan struktur institusi, mewujudkan persekitaran yang diperlukan dan meningkatkan celik kewangan. Idea dan pengalaman yang dikongsi kemudiannya boleh disesuaikan dengan keadaan setempat bagi meningkatkan rangkuman kewangan. Cadangan ini telah diterima baik oleh anggota dan telah menghasilkan program Penasihat Rangkuman Kewangan yang  pertama kali diadakan di Lusaka, Zambia pada bulan April 2009. Kejayaan program sulung yang dianjurkan ini telah mendorong kepada program kedua yang dianjurkan di Malaysia dengan sokongan JICA. JICA telah lama terbabit dalam bina upaya di benua Afrika, dan kami menantikan kerjasama pada masa hadapan dalam membina sistem kewangan yang lebih terangkum.

Pengalaman Malaysia dalam Agenda Rangkuman Kewangan

Di Malaysia, komitmen terhadap agenda rangkuman kewangan terkandung dalam Akta Bank Negara Malaysia 2009 yang memasukkan rangkuman kewangan sebagai satu matlamat Bank Negara Malaysia. Dengan enakmen Akta pada bulan November 2009, Bank Negara telah memasukkan agenda rangkuman kewangan dalam perundangan bagi memastikan generasi pengurusan bank pusat pada masa hadapan akan terus menumpukan usaha untuk membangunkan sistem kewangan yang inklusif. Tambahan lagi, Bank Negara Malaysia sedang dalam proses merumuskan rangka tindakan baharu bagi sektor kewangan untuk dekad akan datang. Rangka tindakan ini juga akan memastikan pembangunan sistem kewangan yang lebih inklusif.

Langkah-langkah rangkuman kewangan yang diambil setakat ini telah menunjukkan kesan positif. Pada tahun 2009, kadar penembusan akaun deposit dan akaun pinjaman di Malaysia ialah masing-masing 3,300 akaun deposit bagi setiap 1,000 orang dewasa dan 1,100 akaun pinjaman bagi setiap 1,000 orang dewasa yang merupakan antara yang tertinggi di dunia. Tahap rangkuman kewangan yang tinggi ini adalah hasil daripada dasar bersungguh-sungguh untuk membina sistem kewangan yang progresif dan inklusif. Strategi yang dilaksanakan telah menghasilkan enam ciri sistem kewangan.

Pertama, persekitaran perniagaan yang membenarkan pelbagai rangkaian penyedia perkhidmatan kewangan untuk berkembang dan bersaing. Persekitaran ini telah menghasilkan institusi-institusi kewangan komersial dengan strategi berbeza yang berasaskan kekuatan mereka dan penyampaian pelbagai rangkaian produk dan perkhidmatan yang memenuhi pelbagai keperluan pelanggan dan perniagaan. Sistem kewangan ini juga termasuk institusi kewangan asing melalui beberapa siri langkah liberalisasi teratur dan juga pembangunan institusi kewangan, koperasi dan agensi Kerajaan yang melengkapkan institusi perbankan komersial tempatan. Pendekatan ini memanfaatkan keupayaan inovasi dan pelaksanaan oleh sektor swasta serta kepelbagaian dan kedinamikan pasaran yang kompetitif. Pada masa yang sama, Kerajaan berperanan sebagai pelengkap dalam memberi perkhidmatan kepada segmen yang kurang diberikan perhatian oleh sektor swasta.

Kedua, produk dan perkhidmatan perbankan asas yang dapat disediakan pada kos yang berpatutan. Pada bulan Februari 2005, Bank Negara Malaysia telah mengeluarkan garis panduan yang menghendaki semua bank menyediakan perkhidmatan perbankan asas tersebut. Garis panduan ini memberikan takrifan ciri-ciri akaun simpanan dan akaun semasa asas yang perlu disediakan oleh institusi perbankan komersial. Ini bertujuan untuk memastikan bahawa semua golongan masyarakat mempunyai akses kepada perkhidmatan deposit dan urus niaga asas. Selanjutnya, satu rangka kerja untuk pembayaan mikro telah juga dirumus bagi membolehkan pembiayaan mikro disediakan oleh institusi kewangan kepada perusahaan mikro. Kadar pembiayaan mikro tidak dikenakan had supaya sepadan dengan kos pentadbiran yang lebih tinggi dalam menyediakan perkhidmatan tersebut kepada peminjam mikro.Ini bagi membolehkan institusi kewangan untuk terus berdaya maju dan mapan.

Ketiga, pelbagai saluran penyampaian telah diperkenalkan bagi memastikan akses yang meluas kepada perkhidmatan kewangan. Dasar Bank Negara (branching policy) telah menggalakkan institusi kewangan untuk mewujudkan rangkaian cawangan yang  menyeluruh di seluruh negara bagi memastikan akses fizikal yang meluas kepada perkhidmatan kewangan. Pada tahun 2008, terdapat 9 cawangan bank bagi setiap 1,000 kilometer persegi dan 24 ATM setiap 1,000 kilometer persegi di Malaysia. Secara perbandingan, median global ialah 7 cawangan bank bagi setiap 1,000 kilometer persegi dan 15 ATM setiap 1,000 kilometer persegi. Institusi kewangan juga digalakkan untuk menerapkan teknologi yang boleh meningkatkan lagi penyampaian perkhidmatan kewangan. Pertambahan penggunaan internet dan perbankan bergerak juga telah memacu perpindahan kepada pembayaran elektronik dan telah meluaskan akses perkhidmatan kewangan di lebih banyak kawasan terpencil.

Keempat ialah mempertingkatkan celik kewangan dan perlindungan pelanggan. Dengan celik kewangan dan kesedaran yang bertambah,  pengguna akan dilindungi daripada dieksploitasi oleh skim penipuan pinjaman dan pelaburan dan akan dapat membuat keputusan kewangan yang lebih bijak. Bagi melindungi hak pengguna, Rangka Kerja Perlindungan Pengguna telah dibentuk untuk meningkatkan piawaian penzahiran produk dan perkhidmatan kewangan, pelbagai mekanisme penyelesaian pertikaian dan untuk amalan saksama dalam kalangan penyedia perkhidmatan kewangan. Bank Negara juga telah menubuhkan pusat perkhidmatan setempat untuk orang awam, yang memberikan khidmat nasihat tentang hal kewangan. Akhir sekali, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit telah ditubuhkan untuk memberikan kaunseling berkaitan dengan pengurusan kredit dan hutang untuk individu dan begitu juga untuk menyemai tabiat pengurusan wang yang bertanggungjawab.

Kelima, infrastruktur kewangan sokongan untuk memudahkan operasi institusi kewangan merupakan ciri penting sistem kewangan. Halangan untuk akses kepada pembiayaan ialah tiada sejarah kredit. Atas dasar ini, biro kredit telah ditubuhkan untuk mempertingkatkan akses kepada pembiayaan dengan cara menggalakkan peminjam untuk membina rekod kredit tersebut. Di Malaysia, Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat atau CCRIS, telah menyediakan maklumat kredit melalui sistem dalam talian sejak tahun 2001. Terkini, pada bulan Julai 2008, Biro Kredit SME telah memulakan operasi untuk membantu SME membina rekod prestasi dan dengan itu menyediakan profil yang seimbang bagi kedudukan kredit SME dan seterusnya meningkatkan akses kepada pembiayaan mengikut terma yang lebih memuaskan.

Keenam, ahli profesional kewangan terlatih yang mencukupi adalah penting untuk prestasi sektor kewangan. Perkhidmatan kewangan ialah sebuah industri yang dinamik dan kompleks dengan inovasi produk yang pesat.  Pengamal perkhidmatan kewangan perlu benar-benar berkelayakan, berkaliber dan berpengetahuan dalam kewangan teknikal bagi membolehkan mereka cemerlang dan menjana hasil dalam persekitaran yang lebih mencabar. Menyedari betapa pentingnya pembangunan modal insan dalam industri ini termasuk bidang tadbir urus korporat, pembangunan kepimpinan dan kewangan Islam, Bank telah mewujudkan beberapa pusat kecemerlangan pembelajaran untuk keseluruhan sektor perkhidmatan kewangan.

Penutup

Program Penasihat Rangkuman Kewangan ini ialah contoh perkongsian pintar yang disokong oleh pergerakan CPTM. Saya ingin mengambil peluang ini untuk mengucapkan terima kasih kepada CPTM dan JICA dan juga institusi-institusi sumber yang mengambil bahagian – Bank Rakyat Indonesia, National Bank for Agriculture and Rural Development (NABARD) of India, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), SIRIM Berhad, Agro Bank dan Pergerakan Berkecuali – Pusat Kerjasama Teknikal Selatan-Selatan (NAM-CSSTC) atas sumbangan kepada program ini. Saya juga ingin mengalu-alukan anggota komuniti pembiayaan mikro dari Kenya, Malawi, Tanzania, Uganda dan Zambia ke program ini.

Saya harap anda semua akan mempelajari sesuatu yang berguna dan mendapat pengalaman berharga serta bergembira sepanjang anda berada di Malaysia.

 


Bank Negara Malaysia
18 Januari 2010

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?