Ucapan Alu-aluan oleh Timbalan Gabenor Marzunisham Omar di Majlis Makan Malam Penghargaan Industri Sempena Ulang Tahun RENTAS ke-25

Kuala Lumpur | 18 September 2024

Assalamu'alaikum dan selamat malam,

Hadirin yang dihormati, rakan-rakan seperjuangan, tuan-tuan dan puan-puan.

Pelancaran RENTAS pada tahun 1999

Saya berbesar hati kerana dapat bersama tuan-tuan dan puan-puan pada malam ini untuk meraikan satu kejayaan yang luar biasa, iaitu ulang tahun ke-25 RENTAS. Majlis malam ini bukan sahaja menyambut kejayaan sejak suku abad lepas, tetapi juga meraikan kerja keras, dedikasi dan usaha bersama setiap seorang daripada anda yang telah membawa RENTAS ke tahap seperti sekarang.

Pelancaran RENTAS pada 22 Jun 1999, 25 tahun yang lalu, merupakan satu usaha ketara dalam meningkatkan kecekapan, kepastian dan kemuktamadan urus niaga kewangan di Malaysia.

Di bawah SPEEDS, sistem penyelesaian bersih kita sebelum ini, urus niaga antara institusi kewangan telah diagregatkan dan diselesaikan hanya pada penghujung hari operasi. Keadaan ini mendedahkan peserta kepada risiko kredit dan mudah tunai, kerana kedudukan bersih akhir hanya diketahui pada waktu tamat operasi, lantas menyebabkan potensi kelewatan dan ketidakpastian.

Penubuhan sistem RENTAS telah mengubah semua ini. Melalui penyelesaian kasar masa nyata, setiap urus niaga diselesaikan secara individu dan dalam masa nyata merentas rekod Bank Negara Malaysia, lantas menghasilkan kemuktamadan serta-merta dan menghapuskan risiko penyelesaian. Hal ini memastikan bahawa dana tersedia sebaik sahaja urus niaga diproses, sekali gus meningkatkan pengurusan mudah tunai peserta.

Kesan transformasi RENTAS terhadap infrastruktur pasaran kewangan dan sistem kewangan negara tidak berakhir dengan pelancarannya. Sebilangan inisiatif yang membawa perubahan, menghasilkan impak dan menjana transformasi terus dilaksanakan sepanjang 25 tahun selepas pelancaran RENTAS pada tahun 1999.

Transformasi RENTAS

Tuan-tuan dan puan-puan,

Sejak tahun 1999, melalui usaha kerjasama institusi-institusi kewangan peserta dan Bank Negara Malaysia, RENTAS telah bertukar daripada sistem penyelesaian kendiri yang tertumpu di dalam negara kepada infrastruktur pasaran kewangan bersepadu secara global.

Transformasi ini merangkumi beberapa dimensi utama:

  • Pertama, Keupayaan Pelbagai Mata Wang: Semasa penubuhannya pada tahun 1999, RENTAS menyokong penyelesaian secara khusus dalam Ringgit Malaysia. Kini, RENTAS menawarkan penyelesaian berbilang mata wang yang menyeluruh dan keupayaan penyimpanan sekuriti hutang yang pada mulanya menumpukan pada urus niaga dolar AS dan Renminbi. Pelancaran penyelesaian Renminbi pada tahun 2012 menggariskan kedudukan Malaysia sebagai pusat penjelasan Renminbi luar pesisir yang diiktiraf. Sesungguhnya, dengan memudahkan penyelesaian dalam mata wang dagangan utama, RENTAS telah meningkatkan dengan ketara keupayaan sistem kewangan Malaysia untuk menyokong kegiatan ekonomi antarabangsa. Keupayaan ini membolehkan bank-bank Malaysia meletakkan diri mereka dalam kedudukan lebih baik untuk memudahkan kegiatan ekonomi antarabangsa dan pengantaraan aliran modal antarabangsa.
  • Kedua, Penyertaan Antarabangsa: RENTAS pada asalnya direka untuk peserta dalam negeri dan kini ia terbuka kepada peserta antarabangsa. Pengembangan ini memudahkan urus niaga rentas sempadan, lantas memupuk jalinan dan kerjasama yang lebih baik antara institusi kewangan tempatan dan antarabangsa. Kemasukan penyimpanan sekuriti antarabangsa, seperti Euroclear, sebagai peserta dalam RENTAS meningkatkan mudah tunai pasaran dan menambah baik capaian pelabur asing kepada pasaran modal hutang Malaysia.
  • Ketiga, Jalinan Global: RENTAS telah beralih daripada sebuah sistem bertumpukan pasaran tempatan kepada sistem yang membina jalinan strategik dengan infrastruktur pasaran kewangan antarabangsa seperti Euroclear, Hong Kong Monetary Authority dan SWIFT. Hubungan ini menawarkan penyelesaian berbilang mata wang yang cekap, menambah baik capaian kepada pasaran dan mengukuhkan hubungan kewangan antara wilayah.
  • Keempat, Penggunaan Standard Antarabangsa: RENTAS telah beralih daripada standard tersendiri dan kini menggunakan standard yang diiktiraf pada peringkat antarabangsa seperti ISO150022 dan ISO20022. Pelarasan ini memastikan keserasian dan kesalingoperasian dengan sistem kewangan dunia, lantas memudahkan urus niaga antarabangsa yang lebih lancar dan cekap. Penggunaan standard antarabangsa juga memperkemas proses urus niaga, dan hasilnya mengurangkan kerumitan operasi dan kos.

Transformasi RENTAS ini telah menghasilkan beberapa pencapaian ulung:

  • Pada tahun 2023, RENTAS telah menyelesaikan urus niaga berjumlah RM77.20 trilion. Angka ini adalah 43 kali ganda KDNK Malaysia.
  • Pada tahun yang sama, sekuriti bernilai RM41.12 bilion telah diterbitkan dan disimpan dalam RENTAS.
  • Selain itu, RENTAS merupakan penyimpanan bon terbesar ASEAN, dengan bon berjumlah RM2.09 trilion dalam simpanan.
  • RENTAS juga merupakan penyimpanan sukuk terbesar di dunia dengan sukuk terkumpul berjumlah USD277 bilion.

Transformasi sepanjang 25 tahun ini menjadi bukti komitmen kita terhadap inovasi dan kecemerlangan dalam industri perkhidmatan kewangan, serta meletakkan RENTAS sebagai peneraju dalam memupuk ekosistem kewangan yang berdaya tahan dan saling berkait.

Wawasan Masa Hadapan

Tuan-tuan dan puan-puan,

Sambutan ulang tahun ke-25 ini tidak bermakna tugas kita telah selesai. Kita mesti terus bekerjasama erat untuk meneruskan usaha dan mengukuhkan kedudukan infrastruktur pasaran kewangan negara untuk 25 tahun seterusnya, memastikan RENTAS terus mampu menjadi pemangkin, pendorong dan penyokong pertumbuhan pasaran kewangan dan sistem kewangan kita.

Wawasan berkaitan RENTAS sentiasa jelas iaitu untuk mewujudkan satu sistem yang bukan sahaja memenuhi keperluan hari ini tetapi juga memenuhi tuntutan masa hadapan dan bertindak sebagai pemangkin kepada penambahbaikan sistem kewangan Malaysia.

Untuk mencapai matlamat ini, pada bulan Februari, BNM telah menerbitkan satu kertas perbincangan yang menggariskan rancangan untuk memodenkan RENTAS. Kertas kerja ini memberi tumpuan kepada dua bidang utama: memastikan RENTAS kekal utuh untuk masa hadapan serta mempertingkatkan pengurusan risiko dan fungsi pengguna.

Empat teras utama yang memacu pemodenan RENTAS adalah:

  • Pertama, kami akan melanjutkan waktu operasi RENTAS kepada 24 jam dan 7 hari seminggu (24x7) serta menyokong penyelesaian pembayaran runcit yang hampir masa nyata. Perubahan ini adalah selaras dengan Pelan Hala Tuju G20 untuk Menambah Baik Pembayaran Rentas Sempadan yang menggariskan keperluan untuk menyelaraskan waktu operasi sistem pembayaran utama secara global. Operasi RENTAS 24x7 akan meminimumkan halangan dan kelewatan urus niaga rentas sempadan yang sebahagiannya disebabkan oleh waktu operasi sistem Real-Time Gross Settlement (RTGS) yang berbeza-beza dalam bidang kuasa berlainan serta mengurangkan risiko untuk pembayaran runcit masa nyata.
  • Kedua, untuk memudahkan penyepaduan yang lebih lancar dengan penyedia infrastruktur pasaran kewangan lain dan lejar aset, kami akan melaksanakan usaha untuk memperkenalkan saluran baharu seperti API untuk membolehkan capaian terbuka kepada RENTAS.
  • Ketiga, dari perspektif untuk menambahbaik pengurusan risiko dan fungsi pengguna, RENTAS akan meningkatkan penggunaan alat analisis dan kecerdasan buatan (artificial intelligence, AI), dengan itu memberikan peserta data, telemetri dan pemahaman untuk mengurus penyelesaian, penyimpanan dan mudah tunai dengan lebih baik.
  • Akhir sekali, kami akan mengkaji penambahbaikan dalam pengurusan mudah tunai, dengan matlamat untuk mengoptimumkan penggunaan mudah tunai, menyokong kesiapsiagaan krisis dan menggalakkan tingkah laku pembayaran yang lebih baik.

Semua inisiatif ini direka bentuk untuk mempertingkatkan infrastruktur kewangan negara dan memastikan RENTAS terus menjadi pelopor inovasi dan kecekapan.

Berdasarkan teras-teras utama di atas, pelbagai inisiatif akan dilaksanakan, termasuk:

  • Penyelesaian Hampir-Masa Nyata RENTAS+ untuk Pembayaran Runcit: Kami akan membina sambungan kepada RENTAS yang beroperasi 24x7 secara atas awan (cloud) dan akan menyelesaikan urus niaga runcit secara kasar tanpa henti.
  • Penggunaan awan untuk Skala Meluas & Daya Tahan Lebih Tinggi: Kami akan membina semula Mini RENTAS, sistem luar jangka pilihan terakhir, melalui infrastruktur awan. Sistem ini akan meningkatkan keberkesanan tapak ketiga ini dan akan menyediakan kepelbagaian teknologi serta kepelbagaian geografi sekiranya berlaku kegagalan serentak  hos dalaman RENTAS di tapak penghasilan dan pemulihan bencana.
  • Pelupusan sijil global: Kami sedang berusaha untuk melupuskan sijil global untuk semua bon yang disimpan dalam RENTAS. Pelupusan ini bermakna ribuan sijil kertas tidak lagi perlu diserah simpan, dikemas kini dan diganti secara manual dengan setiap pengeluaran dan tindakan korporat.

Secara keseluruhannya, kami teruja untuk memulakan langkah pemodenan ini bersama pihak industri dan membolehkan RENTAS mencapai potensi sepenuhnya. Pemodenan RENTAS mencerminkan iltizam kami untuk memacu pembaharuan dan kecemerlangan dalam perkhidmatan kewangan. Kami yakin usaha ini akan membuka laluan kepada ekosistem kewangan yang lebih dinamik, berdaya tahan dan saling berkait.

Penghargaan kepada Peserta

Tuan-tuan dan puan-puan,

Majlis sambutan pada malam ini juga merupakan peluang untuk Bank Negara Malaysia merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah bersama-sama kami dalam usaha ini. Kepada semua peserta iaitu bank perdagangan, bank Islam, bank pelaburan, syarikat korporat, institusi kewangan pembangunan (IKP), pusat penjelasan dan rakan baharu kami, bank digital, sokongan dan komitmen anda yang tidak berbelah bahagi merupakan sebab kejayaan kita.

Kami juga ingin menyampaikan penghargaan kepada semua pasukan dan individu yang membina dan memperhalusi RENTAS, serta kepada mereka yang terus meluaskan kejayaannya. Dedikasi dan kerja keras tuan-tuan dan puan-puan menjadi asas kepada pencapaian RENTAS.

Sambil kita maju ke hadapan, marilah kita mengingati kepentingan kerjasama. Dengan usaha bersama, kita boleh merungkai potensi yang lebih besar, memperkemas proses dan memupuk ekosistem yang lebih cekap dan inovatif.

Terima kasih sekali lagi kerana menyertai kami pada malam ini dan kerana menyertai perjalanan luar biasa RENTAS. Marilah kita bekerjasama untuk memastikan RENTAS terus berjaya dan maju pada tahun-tahun mendatang.

Saya akhiri kata-kata saya dengan harapan tuan puan terus menikmati acara majlis pada malam ini. Terima kasih.

 


Bank Negara Malaysia
18 September 2024

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?