Ucapan alu-aluan oleh Timbalan Gabenor Sempena Pelancaran Minggu Kesedaran Kewangan 2009
Terengganu, Malaysia | 22 Oktober 2009
Syukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan izinNya kita dapat bersama-sama hadir pada hari ini di Pameran Minggu Kesedaran Kewangan atau M2K. Dengan rasa penuh takzim, saya mengalu-alukan kehadiran Yang Amat Berhormat Dato' Ahmad bin Said, Menteri Besar Terengganu kerana sudi meluangkan masa walaupun jadual beliau yang begitu sibuk dan seterusnya merasmikan M2K 2009. Ucapan ribuan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan juga ditujukan kepada Yang Berbahagia Dato' Haji Mokhtar Bin Nong, Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu atas sokongan padu beliau dalam menjayakan program M2K 2009. Kami difahamkan bahawa Dato' Haji Mokhtar sendiri telah memberi perhatian sepenuhnya bagi memastikan program ini berjalan lancar.
Bank Negara Malaysia dan penganjur bersama yang lain, Biro Pengantaraan Kewangan (BPK), Agensi Kaunseling Dan Pengurusan Kredit (AKPK) dan Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) juga ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ribuan terima kasih atas kerjasama pihak Kerajaan Negeri Terengganu dalam menjayakan program M2K 2009.
Program M2K 2009 merupakan program tahunan kedua selepas kali pertama diadakan di Johor Bahru pada tahun lepas. Bertemakan "Celik Kewangan, Ceria Kehidupan", M2K merupakan inisiatif tahunan program pendidikan kewangan bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan pengetahuan orang ramai tentang perkhidmatan dan pengurusan kewangan.
Aktiviti M2K telah bermula dengan siri lawatan dan taklimat pendidikan kewangan kepada kumpulan sasar di universiti, kolej, sekolah (termasuk sekolah khas), angkatan tentera dan polis dari 18 hingga 21 Oktober 2009. Ini disusuli dengan satu pameran bersepadu dan komprehensif dari 22 hingga 24 Oktober 2009, yang disertai oleh 61 institusi dan agensi yang berkaitan. Pameran kewangan M2K menyediakan platform kepada pengguna mendapatkan nasihat kewangan melalui sesi kaunseling dan klinik kewangan. Seminar-seminar juga diadakan untuk para pengguna dan golongan usahawan kecil dan sederhana serta wakil dari semua daerah di negeri Terengganu.
Selaras dengan perkembangan dalam sektor kewangan, Bank Negara Malaysia memperkenalkan dasar-dasar mengenai pengguna yang bertujuan untuk meningkatkan keyakinan pasaran dan seterusnya untuk mewujudkan sistem kewangan yang stabil dan progresif. Bank Negara Malaysia sentiasa berusaha ke arah memastikan amalan pasaran yang adil, dan meningkatkan keupayaan kewangan pengguna. Bank Negara Malaysia juga telah berusaha untuk meningkatkan akses orang ramai kepada perkhidmatan perbankan asas dan juga pembiayaan. Sehubungan ini, sektor perbankan sejak 2005 telah memperkenalkan Akaun Simpanan Asas dan Akaun Semasa Asas kepada semua rakyat Malaysia termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS). Ini untuk membolehkan orang ramai menikmati tahap minimum perkhidmatan dan transaksi perbankan tanpa kos atau pada kos yang munasabah.
Sehubungan ini, Bank Negara Malaysia telah menjalankan berbagai-bagai inisiatif untuk memperkasakan orang ramai dalam aspek-aspek kewangan. Ini termasuklah meningkatkan keupayaan kewangan mereka dengan melaksanakan program-program pendidikan pengguna bankinginfo dan insuransinfo dengan kerjasama rakan kongsi pintar di mana pelbagai program pendidikan pengguna telah dilaksanakan untuk golongan-golongan pengguna termasuk pelajar sekolah, penduduk luar bandar, kaum wanita, badan bukan Kerajaan (NGOs), usahawan kecil dan sederhana, warga emas dan pengguna kurang upaya. Aktiviti-aktivitinya meliputi pendidikan kewangan di sekolah, sesi-sesi taklimat dan ceramah, bengkel kewangan dan juga pameran-pameran berkaitan kewangan.
Akses orang ramai untuk mendapat pembiayaan turut dipertingkatkan dan diberi perhatian. Sejumlah sembilan institusi kewangan kini menyertai skim pembiayaan mikro berdasarkan rangka kerja institusi pembiayaan mikro yang dilancarkan oleh Majlis PKS Kebangsaan yang dipengerusikan oleh Y.A.B Perdana Menteri. Di bawah rangka kerja ini, pembiayaan mikro disediakan secara mudah, cepat dan senang, tanpa memerlukan cagaran. Setakat ini, RM554 juta pembiayaan mikro di bawah skim tersebut telah disalurkan kepada 52,000 peminjam. Di bawah skim ini, saiz pinjaman adalah antara RM500 sehingga RM50,000 dengan purata pinjaman sebanyak RM10,000 bagi seorang peminjam. Sehubungan ini, Bank Dunia dalam laporannya, 'Doing Business Report' telah meletakkan Malaysia di tempat pertama dalam kalangan 181 negara bagi kategori akses kepada pembiayaan selama tiga tahun berturut-turut.
Orang ramai dinasihatkan supaya mengelakkan daripada terjebak atau bergantung kepada ceti-ceti haram atau "Ah Long" sebagai sumber mendapatkan pembiayaan untuk perusahaan mikro. Mendapatkan pinjaman daripada "Ah Long" bukannya suatu jalan penyelesaian, bahkan akan menambahkan kesengsaraan hidup kepada mereka dan keluarga masing-masing.
Bagi tempoh lapan bulan pertama tahun ini, ekoran kelembapan ekonomi, Institusi kewangan secara proaktif telah menjadualkan dan menyusunkan semula pinjaman-pinjaman sejumlah RM2.2 bilion melibatkan 3,304 akaun pinjaman PKS. Saya ingin menyarankan PKS turut mengambil tindakan pro-aktif dan berbincang dengan institusi kewangan untuk menstruktur semula pinjaman yang berkemungkinan besar akan menghadapi masalah.
Semenjak penubuhan Skim Penyelesaian Pinjaman Kecil (SPPK) pada 2003, Sekretariatnya di Bank Negara Malaysia telah menerima 875 permohonan yang mana sejumlah 659 permohonan atau 75% daripadanya telah dijadualkan semula, melibatkan pinjaman bermasalah sebanyak RM402 juta. Skim ini ditubuhkan khusus untuk memudahkan proses penyusunan semula pinjaman yang melibatkan beberapa buah institusi kewangan. Bank Negara Malaysia telah memperluaskan skim ini kepada semua PKS dengan memansuhkan had maksimum pinjaman terkumpul sebanyak RM3 juta yang dikenakan sebelum ini.
Di samping inisiatif-inisiatif di atas, Bank Negara Malaysia juga telah menyediakan infrastruktur perlindungan pengguna yang komprehensif dengan mewujudkan mekanisme untuk orang ramai mendapatkan pembelaan. Mekanisme ini merangkumi Pusat Hubungan Bersepadu yang mesra pelanggan dan merangkumi Pusat Khidmat Pelanggan iaitu BNMLINK (Laman Informasi dan Nasihat Khidmat), BNMTELELINK dan Unit Pengurusan Aduan dan Khidmat Nasihat untuk para pengguna perkhidmatan kewangan membuat pertanyaan, aduan atau rayuan berkaitan perkara-perkara berkaitan produk dan perkhidmatan oleh penyedia-penyedia perkhidmatan kewangan.
Bank Negara Malaysia baru sahaja membuka cawangan BNMLINK kelimanya di Kuala Terengganu pada 19 Oktober 2009, sebagai pertambahan kepada empat cawangan yang sedia ada di Pulau Pinang, Johor Bahru, Kota Kinabalu dan Kuching. Ini akan meningkatkan jangkauan BNMLINK dan memudahkan lagi para pengguna di negeri Terengganu khasnya dan negeri-negeri Pantai Timur amnya untuk mengakses perkhidmatan yang disediakan. Di samping itu, mulai hari ini, Bank Negara Malaysia akan memperkenalkan kaedah perkhidmatan baru melalui khidmat pesanan ringkas (SMS), di mana orang ramai boleh menghubungi Bank Negara Malaysia melalui SMS ke nombor 15888. Kaedah ini adalah lebih cekap dan murah demi memastikan pengguna dapat mengakses perkhidmatan kewangan dengan mudah. Pihak Bank Negara Malaysia akan mengambil tindakan susulan secepat mungkin.
Biro Pengantaraan Kewangan (FMB) juga telah ditubuhkan untuk orang ramai membuat aduan dan mendapatkan penyelesaian ke atas pertikaian dengan penyedia-penyedia perkhidmatan kewangan di Malaysia tentang produk dan perkhidmatan kewangan tanpa melalui proses mahkamah yang memakan masa yang panjang dan melibatkan kos yang tinggi.
Agensi Kaunseling Dan Pengurusan Kredit (AKPK) pula merupakan anak syarikat milik penuh Bank Negara Malaysia yang ditubuhkan khas untuk menyediakan perkhidmatan pendidikan kewangan, kaunseling dan nasihat kewangan dan program pengurusan kredit kepada individu yang berkemungkinan atau yang telah terjebak dalam masalah pinjaman yang tidak berbayar. Masalah ini jika tidak ditangani di peringkat awal boleh menimbulkan masalah sosial dalam kalangan masyarakat. Perkhidmatan AKPK telah diperluaskan hampir di setiap ibu negeri. Untuk negeri Terengganu, perkhidmatan AKPK disediakan di Bank Negara Malaysia, cawangan Kuala Terengganu, sejak Oktober 2006.
Walaupun Kerajaan dan Bank Negara Malaysia telah melakukan banyak usaha untuk menyedarkan orang ramai tentang gejala skim cepat kaya, namun masih ramai yang terjebak dengan skim yang menjanjikan pulangan yang lumayan. Adalah menjadi harapan kami agar M2K dapat meningkatkan kesedaran orang ramai supaya lebih berhati-hati dan membuat laporan kepada Bank Negara Malaysia atau pihak polis apabila ditawarkan skim yang mencurigakan. Penglibatan tuan-tuan dengan skim yang dikendalikan oleh sindiket haram adalah merupakan satu kesalahan di sisi undang-undang. Tuan-tuan dinasihatkan supaya menyimpan hanya di institusi kewangan yang dikawal selia oleh Bank Negara Malaysia dan institusi-institusi lain yang dilesenkan oleh Kerajaan Malaysia. Dan kini, semua simpanan anda di bank perdagangan, bank Islam, bank pelaburan dan institusi pembangunan kewangan yang menerima deposit di bawah kawal selia Bank Negara Malaysia dijamin sepenuhnya oleh Kerajaan melalui Perbadanan Insurans Deposit Malaysia.
Akhir kata, kami percaya M2K dapat mencapai matlamat para penganjur untuk bermesra dengan rakyat bagi memahami masalah serta meningkatkan kesedaran dan pengetahuan pengguna tentang peluang-peluang yang ditawarkan oleh institusi kewangan dan Kerajaan. Masyarakat setempat seharusnya mengambil peluang untuk melawat balai-balai pameran M2K dan mengambil bahagian dalam acara-acara berinformasi untuk meningkatkan pengetahuan tuan-tuan dalam aspek kewangan dan perkhidmatan kewangan yang disediakan oleh institusi kewangan dan agensi-agensi lain yang turut mengambil bahagian.
Sekali lagi, saya bagi pihak Bank Negara Malaysia dan penganjur-penganjur lain ingin merakamkan setinggi penghargaan kepada Yang Amat Berhormat Dato' Ahmad bin Said, Menteri Besar Negeri Terengganu dan Kerajaan Negeri Terengganu kerana memberi kerjasama dan sokongan untuk menjayakan M2k 2009 ini.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.