Ucapan Alu-Aluan Timbalan Gabenor Marzunisham Omar di Future of Work in East Asia: Jobs and Technology Workshop

Asian Institute of Chartered Bankers | 11 November 2024

Apabila kita berbicara mengenai kecerdasan buatan (artificial intelligence, AI), pembelajaran mesin dan automasi, secara lumrahnya kita akan memberikan perhatian pada manfaat yang boleh ditawarkan oleh kesemua inovasi ini. Namun, banyak pembuat dasar menghadapi cabaran yang kompleks dalam menguruskan kesan kemajuan teknologi terhadap pekerjaan dan seterusnya mata pencarian.

Izinkan saya menyentuh tiga perkara berhubung dengan hal ini. Pertama, kemajuan teknologi merupakan lumrah dalam ekonomi moden, dan pada pandangan saya, kadar perubahan teknologi akan semakin pantas. Masa yang diambil untuk Internet menembusi lebih daripada 80% isi rumah di Amerika Syarikat adalah kira-kira 20 tahun.[1] Namun, hanya lapan tahun diperlukan untuk penggunaan telefon pintar mencapai tahap penembusan yang sama. Kini, penambahbaikan dalam Model Bahasa Besar (Large Language Models) diperhatikan setiap tahun, jika tidak lebih kerap.

Setiap gelombang kemajuan teknologi membawa perubahan besar dalam jenis pekerjaan yang tersedia, namun kesan akhirnya ialah pekerjaan yang lebih banyak dan lebih baik. Taraf hidup kita juga telah meningkat dengan ketara. Kajian Deloitte pada tahun 2014 mengenai data banci pekerjaan di England dan Wales sejak tahun 1871 mendapati bahawa kemajuan teknologi telah menyebabkan penurunan dalam pekerjaan yang bergantung pada kekuatan fizikal (muscle power jobs). Namun, kajian tersebut juga mendapati peningkatan dalam pekerjaan kepakaran penjagaan (caring professionals) seperti ahli dalam bidang kesihatan dan pendidikan.

Walau bagaimanapun, terdapat kebimbangan yang wajar bahawa kemajuan teknologi pada masa kini berbeza. AI dan pengkomputeran kuantum telah membolehkan inovasi yang tidak pernah berlaku sebelum ini dalam bidang komunikasi hinggalah keselamatan siber. Inovasi terdahulu menggantikan pekerjaan yang ditakrifkan sebagai tugas rutin seperti tugas barisan pemasangan, namun potensi gangguan pada hari ini meliputi tugasan kognitif dan bukan rutin. Tabung Kewangan Antarabangsa (International Monetary Fund, IMF) menganggarkan bahawa hampir 40% pekerjaan global terdedah kepada AI.[2] Hal ini menunjukkan bahawa pekerjaan mahir sekalipun perlu membuat penyesuaian dengan teknologi baharu. Kita bahkan tidak boleh menolak kemungkinan bahawa suatu hari nanti, GenAI mungkin mengambil alih pekerjaan ramai antara kita yang berada di sini.

Hal ini membawa saya kepada perkara kedua, iaitu dalam menghadapi perubahan yang begitu pesat, kita mempunyai pilihan dalam menentukan cara kita bertindak balas terhadap perubahan ini. Pada tahap perkembangan ekonomi kita masa kini, Malaysia memiliki banyak lagi potensi yang mampu dicapai. Oleh itu, kita tidak mampu membiarkan diri kita dilanda ketakutan terhadap kemajuan teknologi, dan kita juga tidak boleh menjadi pemerhati pasif dalam menghadapi revolusi teknologi ini.

Malaysia mencatatkan kadar pengangguran yang rendah dengan purata 3.5% sepanjang dua dekad yang lalu. Namun, kita terus bergantung pada model perniagaan yang cenderung menggunakan pekerja berkos rendah sebagai kelebihan daya saing utama negara. Hal ini telah mengekang pertumbuhan gaji dan produktiviti. Pada tahun 2023, 57% pekerja dikelaskan sebagai separuh mahir dan 12% pula dikelaskan sebagai pekerja berkemahiran rendah. Pertumbuhan gaji dan peningkatan produktiviti juga agak perlahan. Kajian Bank Negara Malaysia (BNM) mendapati bahawa selepas pandemik, median gaji permulaan adalah 20% lebih rendah, iaitu sebanyak RM1,624 pada tahun 2022 berbanding sebanyak RM2,066 pada tahun 2019 sebelum krisis. Perbezaan median gaji permulaan median antara siswazah dengan bukan siswazah juga mengecil kepada RM101 sebulan pada tahun 2022 daripada RM568 pada tahun 2018. Oleh itu, penggunaan teknologi secara pragmatik boleh menjadi pengubah keadaan (game-changer) untuk ekonomi negara, baik dari segi peningkatan produktiviti mahupun peningkatan daya saing.

Dari satu perspektif lagi, teori kitaran hayat produk tradisional mencadangkan bahawa syarikat terkemudian (laggard) berkembang dengan meniru teknologi dan amalan syarikat peneraju (frontrunners) dalam industri.[3] Lama-kelamaan, jurang ini semakin mengecil. Namun, terdapat pandangan baharu yang menyatakan bahawa revolusi teknologi mungkin mewujudkan peluang kepada firma terkemudian yang tangkas dan tidak terikat dengan kos legasi untuk meningkat pantas dari segi teknologi. Keadaan ini semakin kerap kita perhatikan dalam bidang fesyen hinggalah bidang kewangan, apabila syarikat baharu yang menggunakan teknologi memberikan cabaran pada syarikat tradisional yang telah lama bertapak. Oleh itu, saya menggesa syarikat-syarikat tempatan kita untuk menguji dan menerapkan kemajuan teknologi.

Dalam hal ini, BNM telah menyediakan Kemudahan Teknologi Tinggi dan Hijau (High-Tech and Green Facility) bernilai RM2.6 bilion serta Kemudahan Automasi dan Digital PKS bernilai RM1.3 bilion bagi memudahkan peningkatan teknologi bagi syarikat-syarikat di Malaysia.

Saya yakin bahawa AI akan menyebabkan gangguan berskala besar. Kesemua gangguan ini boleh menguji kemampuan kita secara kolektif untuk membuat penyesuaian. Hal ini membawa saya kepada isi penting ketiga, iaitu adanya peranan untuk dasar bagi memaksimumkan peluang teknologi, sambil meminimumkan risiko-risiko yang ada.

Kajian oleh Khazanah Research Institute pada tahun 2017 menganggarkan bahawa lebih daripada separuh pekerjaan semasa di Malaysia berisiko tinggi untuk terkesan oleh automasi dalam dua dekad yang akan datang.[4] Tinjauan BNM terhadap 25 institusi perkhidmatan kewangan[5] mendapati bahawa 84% daripada institusi tersebut mempunyai sekurang-kurangnya satu projek AI yang digunakan secara aktif. AI sedang mengubah tugas-tugas seperti analitik pelanggan, pendaftaran digital dan pengunderaitan kredit, lantas mengurangkan permintaan terhadap beberapa pekerjaan seperti juruwang bank dan meningkatkan permintaan untuk pekerjaan teknikal seperti saintis data dan pengatur cara.

Kesemua trend ini tidak terhad kepada sektor kewangan malah melibatkan pelbagai industri. Namun, ingin saya ingatkan agar kita tidak terjebak dalam Turing Trap, atau bias automasi, iaitu teknologi dilihat sebagai pengganti kepada manusia. Sebagaimana yang kita lihat sepanjang sejarah, meskipun teknologi dan inovasi akan menggantikan beberapa pekerjaan, keadaan ini juga sering kali disertai dengan wujudnya pekerjaan yang baharu dan lebih baik.

Sehubungan dengan itu, dasar memainkan peranan serampang tiga mata. Pertama, menggalakkan pelaburan dalam teknologi untuk meningkatkan produktiviti dan daya saing secara keseluruhan. Kedua, memastikan bahawa pelaburan tersebut menghasilkan peluang pekerjaan yang bergaji tinggi. Ketiga, membuat pelaburan dalam usaha peningkatan kemahiran (upskilling) dan latihan semula (reskilling) supaya rakyat Malaysia dapat merebut semua peluang ini.

Seiring dengan perubahan ciri pekerjaan, tenaga kerja kita juga perlu berubah. Rakyat Malaysia perlu diberikan peluang untuk terus memperbaharu kemahiran sepanjang kerjaya mereka, sebagai tindak balas kepada keperluan yang sentiasa berubah. Walaupun Kerajaan dan institusi akademik mempunyai peranan yang penting, saya juga percaya bahawa industri perlu mengambil tanggungjawab yang lebih besar dalam inisiatif peningkatan kemahiran yang berfokuskan masa hadapan.

Contoh hal ini ialah inisiatif Rangka Kerja Kemahiran Masa Hadapan (Future Skills Framework, FSF) yang dipelopori oleh industri kewangan dan diterajui oleh Asian Institute of Chartered Bankers (AICB). Tenaga mahir dalam sektor kewangan dipersiap untuk keperluan masa hadapan melalui intervensi peningkatan kemahiran dan latihan semula. Sebagai sebuah organisasi, BNM juga telah meningkatkan pelaburan dalam usaha meningkatkan kemahiran tenaga kerja kami. Menerusi jalinan kerjasama dengan peneraju teknologi global, kami membawa kepakaran tinggi kepada kakitangan kami, lantas memberi mereka pengalaman yang praktikal dengan alatan yang mendorong transformasi. Matlamat kami adalah untuk melengkapkan warga BNM bukan hanya bagi menghadapi cabaran masa kini, justeru membentuk masa depan dasar-dasar kewangan dan ekonomi.

Selain membuat pelaburan dalam keupayaan membuat penyesuaian, kita juga perlu melindungi mereka yang mungkin terjejas oleh pelbagai perubahan ini. Kami menyedari bahawa tidak semua orang sama bersedia atau mampu untuk mengikuti arus perubahan besar yang dibawa oleh teknologi. Oleh itu, kita bertanggungjawab menyediakan jaringan keselamatan agar mereka tidak terlalu jauh ketinggalan. Salah satu komponen penting dalam jaringan keselamatan ini adalah dasar pasaran pekerja aktif untuk membantu individu kurang bernasib baik supaya mereka dapat kembali menyertai tenaga kerja dengan asas yang lebih kukuh. Dasar-dasar ini amat mustahak untuk mengurangkan impak ketidaksamaan yang mungkin terjadi akibat gangguan teknologi.

Ketegangan yang berterusan antara kemajuan teknologi dengan sifat pekerjaan bukanlah sesuatu yang baharu, dan keadaan ini akan terus wujud. Sejak zaman automotif menggantikan kereta kuda hinggalah penggunaan e-mel dan pesanan teks yang menggantikan surat yang dikirim secara pos, kita telah melalui pelbagai bentuk gangguan sebegini. Meskipun skala dan kompleksiti AI mungkin berbeza, pendekatan yang pragmatik dan seimbang dapat memastikan bahawa kemajuan teknologi tidak hanya berfungsi sebagai penggerak pertumbuhan ekonomi, malah sebagai satu daya untuk memacu perubahan yang positif dan inklusif.

Terima kasih.


[1] Horace Dediu; Comin dan Hobijn (2004); sumber lain dikumpulkan oleh Our World in Data.

[2] IMF (2024), Gen-AI: Artificial Intelligence and the Future of Work.

[3] Lee, Keun, 'Economics of Technological Leapfrogging', oleh Jeong-Dong Lee, dan lain-lain (editor), The Challenges of Technology and Economic Catch-up in Emerging Economies (Oxford, 2021; edisi dalam talian, Oxford Academic, 22 Julai 2021), https://doi.org/10.1093/oso/9780192896049.003.0005, diakses pada 10 November 2024.

[4] Sebanyak 80% daripada pekerjaan ini adalah pekerjaan separuh mahir dan 90% daripada pekerjaan separuh mahir dibuat oleh rakyat Malaysia.

[5] Terdiri daripada bank-bank, penanggung insurans dan pengendali pembayaran.


Bank Negara Malaysia
11 November 2024

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?