Ucapan Aluan oleh Penolong Gabenor di ‘Experience IBG’ Roadshow
Swiss Garden Resort & Spa, Kuantan, Pahang | 2 Disember 2013
Saya berasa gembira dapat bertemu tuan-tuan dan puan-puan sekalian dan mengalu-alukan kedatangan anda semua ke jerayawara atau roadshow ‘Experience IBG’ di Kuantan pada pagi ini. Roadshow ini adalah anjuran bersama Bank Negara Malaysia dengan Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM), Persatuan Institusi Perbankan Islam Malaysia (AIBIM) dan institusi perbankan yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran kepada para peniaga kecil mengenai perkhidmatan perbankan dalam talian atau online banking, dengan tumpuan khusus kepada perkhidmatan GIRO Antara Bank atau IBG, iaitu satu sistem pembayaran yang membolehkan seseorang melakukan pemindahan dana di antara bank.
Roadshow ini bermula di Seberang Prai pada 22 Oktober 2013 dan akan berakhir di Kuching pada 5 Mac 2014, selepas meliputi 12 bandar utama di seluruh negara. Selepas empat roadshow yang pertama, lebih dari 1,500 (1,590) peserta yang terdiri daripada golongan perusahaan mikro dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) telah menghadiri roadshow ini dan lebih dari 1,000 (1,056) atau 66% daripada mereka telah mendaftar untuk menggunakan perkhidmatan online banking seperti perbankan Internet dan perbankan mudah alih atau mobile banking. Ini menggambarkan bahawa penerangan dan juga promosi yang dijalankan oleh pihak bank di gerai pameran semasa roadshow tersebut telah membantu para peserta memahami lebih lanjut mengenai faedah atau manfaat penggunaan online banking ini berbanding dengan cek.
Perbincangan kita pada pagi ini akan memberi maklumat kepada para hadirin untuk mendapatkan panduan dan mengetahui dengan lebih dekat mengenai faedah perkhidmatan online banking dan IBG. Selaras dengan perkembangan teknologi dan inovasi, kaedah pembayaran secara elektronik melalui online banking dapat mengurangkan kos menjalankan perniagaan melalui pengurangan atau penggunaan semula sumber yang sebelum ini digunakan untuk mengendalikan wang tunai dan cek, lantas membolehkan para peniaga mengoptimumkan prestasi dan keuntungan perniagaan mereka. Ini boleh dicapai melalui peningkatan penggunaan pembayaran secara elektronik di mana kos daripada pemprosesan secara manual, termasuk kos penghantaran melalui pos atau kos untuk mendeposit cek di mesin deposit cek atau di kaunter bank dapat dijimatkan. Maksud saya di sini ialah, tuan-tuan dan puan-puan sekalian dapat menjimatkan perbelanjaan petrol kenderaan, bayaran tempat letak kereta malah dapat mengelakkan dari disaman kerana meletak kenderaan di tempat yang tidak sepatutnya dan yang paling utama adalah anda dapat menjimatkan masa yang boleh digunakan untuk meningkatkan produktiviti perniagaan anda.
In kerana online banking membolehkan anda menikmati kemudahan urus niaga pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja tanpa perlu bersusah payah untuk beratur di kaunter bank atau menggaji pekerja untuk melakukan urusan perbankan harian perniagaan anda. Antara faedah lain online banking dan IBG adalah ia menawarkan pergerakan dana yang lebih pantas berbanding dengan pembayaran melalui cek. Sebagai contoh, pemindahan dana melalui IBG yang dilakukan sebelum tengah hari akan membolehkan seseorang menerima dana tersebut pada hari yang sama berbanding cek yang mengambil masa selama dua atau tiga hari. Bagi seseorang yang mempunyai akaun di bank yang sama dengan pihak pembayar atau urus niaga yang dikenali sebagai intrabank, dana tersebut akan diterima dengan serta merta.
Program hari ini termasuk tayangan tiga klip video mengenai IBG dan online banking di mana ianya boleh dimuat turun melalui YouTube dan juga laman sesawang ABM dan AIBIM serta penerangan oleh wakil dari dua bank. Tambahan pula, 17 buah bank dan MyClear, iaitu pengendali sistem pembayaran kebangsaan, mengadakan gerai pameran untuk menunjukkan produk pembayaran secara elektronik. Oleh itu, para hadirin janganlah lepaskan peluang ini untuk mengetahui lebih lanjut dan bertanya mengenai perkhidmatan online banking dan mendaftar untuk mendapatkan tawaran istimewa seperti pemberian token keselamatan secara percuma atau pengecualian yuran langganan bulanan untuk perkhidmatan perbankan Internet perniagaan yang disediakan oleh sesetengah pihak bank pada hari ini.
Bersempena dengan roadshow pada hariini, saya dengan sukacitanya ingin memaklumkan bahawa 8 bank di Temerloh1 dan juga 2 bank di Kuantan, iaitu Bank Simpanan Nasional dan OCBC Bank akan mengadakan ‘Hari Terbuka’ mereka mulai hari ini, 2 Disember hingga hari Jumaat 6 Disember. Semasa ‘Hari Terbuka’ selama seminggu ini, semua pelawat boleh bertanya dan mengetahui dengan lebih lanjut mengenai perkhidmatan online banking daripada kakitangan cawangan bank berkenaan. ‘Hari Terbuka’ ini adalah untuk semua jenis perniagaan dan orang ramai bagi melengkapi usaha roadshow ini untuk menjangkau bandar-bandar yang lebih kecil dan saya ingin menggalakkan semua peserta yang berada di sini untuk meluangkan masa berkunjung ke cawangan-cawangan bank tersebut di Kuantan dan Temerloh. Berdasarkan ‘Hari Terbuka’ yang telah diadakan di 8 bandar di 4 buah negeri dalam tempoh dua bulan yang lalu, pelanggan bank telah mendaftar untuk menggunakan perkhidmatan online banking.
Untuk makluman para hadirin sekalian, sehingga kini, penggunaan cek masih lagi banyak digunakan di negara kita. Berdasarkan data 3 tahun yang lalu, secara purata, sebanyak 205 juta cek bernilai kira-kira RM2 trilion digunakan setiap tahun. Jika jumlah cek dibahagikan dengan jumlah penduduk negara ini, penggunaan cek per kapita ialah 7.1. Angka ini jauh lebih tinggi daripada negara-negara maju seperti Norway, Finland dan Australia yang berkisar 3.9. Selain itu, 92% (atau 18.4 juta orang) daripada jumlah penduduk dewasa di Malaysia mempunyai akaun bank dan daripada jumlah ini, kira-kira 74% (13.7 juta orang) mempunyai akses kepada perbankan Internet. Akan tetapi, walaupun 74% daripada pemegang akaun bank mempunyai akses kepada perbankan Internet, hanya 43% (5.9 juta orang) daripadanya menggunakan perbankan Internet secara aktif untuk transaksi kewangan mereka.
Oleh itu, negara kita belum lagi mencapai tahap penggunaan perbankan Internet yang dikehendaki kerana pengguna belum lagi biasa atau mungkin kurang yakin untuk menggunakannya. Melalui kempen pendidikan seperti roadshow ini, para peniaga boleh mengambil kesempatan untuk mempelajari mengenai ciri-ciri perlindungan keselamatan dan amalan selamat bagi mendapatkan keyakinan untuk menggunakan perbankan Internet dan seterusnya mengamalkan urus niaga e-pembayaran. Menyentuh mengenai isu keselamatan, industri perbankan telah melaksanakan langkah keselamatan tambahan seperti pengenalan pengesahan faktor kedua bagi memastikan kesahihan pengguna perbankan Internet sebagai tambahan kepada penggunaan pengenalan dan kata laluan pengguna. Untuk makluman para hadirin sekalian, kerugian wang akibat penipuan perbankan Internet hanya mencakupi 0.0002% daripada jumlah keseluruhan transaksi sebanyak RM3 trilion yang dicatatkan pada tahun 2012 dan angka ini telah menurun ke 0.0001% daripada jumlah transaksi sebanyak RM2.6 trilion pada sembilan bulan pertama (Januari - September) tahun ini. Para penceramah kita akan berkongsi maklumat dengan lebih lanjut mengenai ciri-ciri keselamatan dan amalan selamat untuk melakukan urusan perbankan Internet selepas ini.
Bagi menggalakkan orang ramai beralih kepada e-pembayaran, Bank Negara Malaysia telah mengumumkan pengurangan caj bayaran bagi perkhidmatan IBG pada awal tahun ini. Caj bayaran bagi transaksi IBG melalui Internet dan perbankan mudah alih telah dikurangkan daripada RM2 setiap transaksi kepada 10 sen berkuat kuasa 2 Mei 2013. Ini adalah bagi memberikan orang ramai dan para peniaga kelebihan masa selama 11 bulan untuk menerima pakai pembayaran secara elektronik sebelum caj memproses cek sebanyak 50 sen dikenakan bermula 1 April 2014. Pelarasan terhadap caj IBG dan cek adalah untuk menjadikan kedua-dua cara pembayaran ini hampir setara dengan kos pengeluarannya. Contohnya, kos pengeluaran sebenar bagi setiap keping cek ialah RM3 dan buat masa ini pengguna perlu membayar duti setem sebanyak 15 sen sahaja bagi setiap keping cek.
Penangguhan selama 11 bulan bagi kenaikan caj penggunaan cek adalah semata-mata untuk membolehkan orang ramai dan sektor perniagaan membiasakan diri menggunakan online banking untuk membuat transaksi e-pembayaran. Dalam hal ini, institusi perbankan adalah komited untuk memudahkan dan memberikan panduan dan nasihat kepada pelanggan tentang amalan selamat semasa beralih daripada penggunaan cek kepada e-pembayaran.
Bank Negara Malaysia dan industri perbankan akan meneruskan usaha membantu para peniaga dan orang ramai bagi memastikan peralihan yang lancar untuk menerimapakai online banking dan IBG. Ini termasuk meningkatkan had dalam urus niaga IBG dan online banking dari RM5,000 ke RM10,000 bagi memudahkan pembayaran oleh pihak individu dalam nilai yang tinggi. Dengan kenaikan had urus niaga ini, 90% daripada jumlah keseluruhan cek iaitu 184 juta daripada 204 juta cek pada tahun 2012 atau 135 juta daripada 150 juta cek yang dikeluarkan pada bulan Januari hingga September 2013 boleh dilakukan secara online banking. Selain itu, kebanyakan pihak bank telah memendekkan masa pengkreditan untuk transaksi IBG di mana penerima akan menerima dana mereka lebih cepat pada hari yang sama.
Antara inisiatif lain termasuk beberapa bank utama akan menawarkan perkhidmatan IBG melalui ATM dan pihak bank telah menawarkan akses kepada perbankan Internet melalui penggunaan Internet Kiosk Layan Diri (Self Service Internet Kiosk) di semua cawangan bank bagi memudahkan orang ramai yang tidak mempunyai akses kepada perbankan Internet untuk membuat pembayaran secara elektronik. Pada akhir bulan Ogos 2013, lebih dari 2,100 (2,121) kiosk telah ditempatkan di 74% daripada 2,341 cawangan-cawangan bank dan dijangka hampir kesemua cawangan bank akan dilengkapi oleh kiosk ini pada akhir bulan Mac 2014. Selain itu, industri perbankan telah membangunkan rangka kerja piawaian rujukan pembayaran yang akan membolehkan pembayar menandakan pembayaran dengan butiran urus niaga bagi membolehkan penerima mudah mengenal pasti sumber dan tujuan pembayaran dan ini memudahkan pelarasan urus niaga melalui pembayaran secara elektronik.
Akhir kata, saya sekali lagi ingin menekankan bahawa perkhidmatan IBG melalui perbankan Internet dan perbankan mudah alih akan memberikan manfaat yang besar kepada para peniaga kerana ia memudahkan urusan perbankan pada bila-bila masa dan di mana jua. IBG juga mengurangkan kos menjalankan perniagaan melalui pengurangan kos pengendalian wang tunai dan cek serta membolehkan pengagihan sumber yang lebih produktif.
Sebagai penutup, saya berharap roadshow hari ini berjaya memberikan maklumat dan penerangan yang berguna kepada anda semua, dan perbincangan hari ini dapat menggalakkan kepada penggunaan e-pembayaran yang lebih meluas.
___________________________
1Affin Bank, AmBank, Bank Islam, Bank Rakyat, CIMB Bank, Hong Leong Bank, Maybank & Public Bank
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.