Ucapan Aluan oleh Penolong Gabenor, Encik Bakarudin bin Ishak di Majlis Menandatangani Perjanjian 'Wholesale Guarantee' di antara CGC dan OCBC Al-Amin Bank Berhad

Lanai Kijang, Kuala Lumpur | 10 April 2014

Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan tahniah kepada Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC) dan OCBC Al-Amin Bank Berhad di atas inisiatif untuk melancarkan produk 'Wholesale Guarantee' bagi mempertingkatkan lagi akses perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kepada pembiayaan. Sememangnya CGC terus menjadi peneraju pasaran dalam menyediakan produk yang inovatif, mengikut keperluan PKS. Saya juga dimaklumkan bahawa OCBC sentiasa aktif dalam menyokong skim-skim CGC buat sekian lama. Dalam tahun 2011, OCBC dan CGC telah bekerjasama di bawah skim jaminan portfolio, yang melibatkan sejumlah RM100 juta pembiayaan kepada PKS.  

Setakat Februari 2014, pembiayaan kepada PKS oleh institusi kewangan telah meningkat sebanyak 14% kepada RM217.4 bilion, melibatkan lebih 700,000 akaun. Pembiayaan melalui sokongan CGC pula mencakupi 3.4% daripada bilangan akaun pembiayaan kepada PKS ini. Sehubungan dengan ini, institusi kewangan dan CGC harus memainkan peranan yang lebih aktif untuk terus menyokong PKS dengan menyediakan pelbagai penyelesaian yang lebih berinovatif bagi memenuhi keperluan kewangan mereka, sekaligus membantu  perusahaan-perusahaan ini memperkembangkan lagi perniagaan mereka.

Industri PKS merupakan ejen pertumbuhan yang penting kepada ekonomi negara. Industri ini berpotensi besar untuk menyokong usaha transformasi ke arah negara berpendapatan tinggi. Merangkumi 97.3% daripada jumlah perniagaan berdaftar, PKS adalah tunjang kepada sumber tenaga kerja negara. Sumbangan mereka kepada  keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada 2013 pula adalah sebanyak 33.7% dan di bawah Pelan Induk PKS 2012-2020 yang dibangunkan oleh Majlis Pembangunan PKS Kebangsaan, sumbangan ini disasarkan untuk meningkat kepada 41% menjelang tahun 2020.

Kerjasama antara Institusi-institusi di dalam Ekosistem Pembiayaan PKS

Di bawah Pelan Induk ini, akses kepada pembiayaan telah dikenal pasti sebagai salah satu elemen penting untuk melonjakkan prestasi PKS ke peringkat yang lebih tinggi. Sehubungan dengan ini, perjanjian 'Wholesale Guarantee' di antara CGC dan OCBC Al-Amin membuka peluang kerjasama yang baru di kalangan komuniti kewangan bagi menyokong matlamat tersebut. 'Wholesale Guarantee' membolehkan institusi kewangan berkongsi risiko dengan CGC bagi pembiayaan sedia ada, sekaligus memberi pelepasan modal (capital relief) kepada institusi kewangan. Ini seterusnya dapat meningkatkan keupayaan institusi kewangan untuk memberi pembiayaan yang lebih banyak kepada PKS.

Malaysia kini telah mempunyai sebuah ekosistem pembiayaan PKS yang komprehensif, dengan wujudnya beberapa institusi dan mekanisme yang mempunyai mandat dan kepakaran yang khusus serta  sumber-sumber yang bersesuaian. Ini termasuk institusi-institusi kewangan pembangunan, CGC, Credit Bureau Malaysia dan juga infrastruktur seperti Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS), di samping pelbagai peruntukan dana pinjaman dan skim jaminan. Bagi melengkapi ekosistem ini, saluran khidmat nasihat yang komprehensif juga disediakan untuk mereka. Penyaluran bantuan sepanjang rantaian nilai pembangunan PKS ini disediakan untuk memastikan bantuan yang disalurkan adalah bertepatan, bersesuaian dengan keperluan dan  menyeluruh.

Kerjasama di antara CGC dan OCBC Al-Amin adalah satu contoh bagaimana institusi di dalam ekosistem ini dapat memainkan peranan dengan lebih efektif berdasarkan kelebihan keupayaan dan kepakaran masing-masing, dalam menuju satu matlamat bersama iaitu meningkatkan akses kepada pembiayaan kepada PKS. Adalah diharapkan lebih banyak kerjasama strategik yang sedemikian dijalin oleh institusi-institusi lain untuk memberi lebih banyak manfaat kepada PKS. Kewujudan ekosistem pembiayaan PKS yang komprehensif ini adalah lebih bermakna sekiranya semua pihak dapat memanfaatkannya secara optimum untuk kebaikan bersama.

Di samping keperluan dana untuk perniagaan, PKS, terutama yang baharu menceburi bidang perniagaan, memerlukan bimbingan dan khidmat nasihat kewangan yang tertentu. Ini dapat membantu mereka menjadi lebih berjaya dan seterusnya mengukuhkan keupayaan mereka untuk membayar balik pembiayaan yang diambil. Langkah proaktif oleh pihak institusi kewangan untuk mengenalpasti akaun-akaun bermasalah PKS akan membolehkan bantuan yang bersesuaian disalurkan dengan lebih cepat dan berkesan. Pihak institusi kewangan boleh menyediakan khidmat nasihat kewangan secara terus atau merujuk pelanggan-pelanggan ini kepada agensi-agensi bersesuaian seperti SME Corporation Malaysia, CGC dan yang seumpamanya. Langkah ini dapat memastikan institusi kewangan mempunyai asas pelanggan yang lebih kukuh dan berdaya maju.

Inovasi Berhemah yang disokong oleh Keupayaan Infrastruktur dan Pengurusan Risiko yang Baik

Dalam menghadapi pelbagai cabaran akibat perubahan persekitaran perniagaan yang semakin mencabar ini, semua pihak perlu mengambil pendekatan yang lebih inovatif untuk menghadapinya. Industri PKS harus menambahbaik proses dan menukar model pengurusan perniagaan yang lebih berkesan. Ini dapat dilaksanakan melalui proses automasi, bagi mengurangkan kos perniagaan, meningkatkan produktiviti dan seterusnya mempertingkatkan prestasi kewangan syarikat.

Institusi kewangan juga perlu memahami bagaimana PKS beroperasi di era yang mencabar ini. Kebolehan untuk menilai daya maju sesebuah perniagaan atau projek harus diperkukuhkan kepada kaedah baru yang lebih bersesuaian. Ini adalah penting, terutamanya jika melibatkan pemohon PKS yang menceburi bidang baru dan yang melibatkan aktiviti yang memberikan impak kepada nilai ditambah. Pengenalan produk yang baik dan bersesuaian dengan kehendak pasaran akan membolehkan produk ini berkembang dengan sendirinya.

Institusi kewangan dan PKS boleh mengambil pengajaran daripada inisiatif perbankan ejen sebagai contoh inovasi dan kerjasama erat di antara pihak-pihak berkepentingan, yang telah menjurus kepada pencapaian matlamat dalam masa yang singkat. Inisiatif yang diperkenalkan pada tahun 2012 ini bertujuan untuk mempertingkatkan tahap rangkuman kewangan di Malaysia. Pada awalnya hanya 46% daripada jumlah mukim di Malaysia mempunyai akses kepada perkhidmatan kewangan. Dalam masa kurang dari 2 tahun, peratusan ini telah meningkat kepada 93% pada akhir tahun 2013. Sehingga kini, terdapat rangkaian melebihi 5,000 ejen bank dan telah mencatatkan lebih 1.4 juta urusniaga berjumlah RM1.6 bilion.

Kejayaan inisiatif perbankan ejen ini adalah disebabkan ianya memenuhi keperluan pelanggan yang dahulunya terpinggir daripada perkhidmatan kewangan. Kerjasama erat di antara pihak institusi kewangan dengan ejen pihak ketiga seperti kedai-kedai runcit, stesyen minyak dan pejabat pos, memudahkan pengguna untuk mendapatkan perkhidmatan perbankan dengan lebih mudah. Inisiatif ini juga memberi manfaat kepada ejen bank kerana jualan perniagaan mereka turut bertambah berikutan peningkatan pelanggan ke premis perniagaan mereka.

Namun begitu, inovasi perlulah diiringi dengan peningkatan dan pengukuhan infrastruktur serta keupayaan pengurusan risko yang lebih berhemah. Ini akan membolehkan matlamat dicapai dengan lebih berkesan dan manfaat yang berterusan.

Akhir kata, sekali lagi tahniah kepada CGC dan OCBC Al-Amin di atas inisiatif ini dan berharap agar program ini dapat berjalan dengan lancar dan berjaya menarik lebih banyak minat dikalangan institusi kewangan untuk menyertainya.


Bank Negara Malaysia
10 April 2014

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?