Ucapan Pembukaan oleh Gabenor Abdul Rasheed Ghaffour di 15th International Conference on Financial Crime and Terrorism Financing (IFCTF) 2025
Kuala Lumpur | 5 November 2025
Saya berbesar hati untuk menyampaikan ucapan pembukaan pada International Conference on Financial Crime and Terrorism Financing (IFCTF) yang ke-15 ini. Mencapai edisi ke-15 IFCTF ini merupakan satu pencapaian yang membanggakan. Tahniah kepada AICB, Compliance Officer Networking Group serta semua pihak yang terlibat dalam penganjuran persidangan ini.
Sejak beberapa tahun lalu, IFCTF telah menjadi platform utama bagi para pengamal profesional untuk berkongsi pandangan mengenai perkembangan terkini dalam pencegahan jenayah kewangan. IFCTF menghimpunkan wakil daripada sektor awam dan swasta dalam satu platform umum, sebagai lambang komitmen seluruh negara (whole-of-nation) oleh Malaysia dalam usaha memerangi jenayah kewangan.
Persidangan pada tahun ini lebih tepat pada masanya, susulan selesainya Penilaian Bersama (Mutual Evaluation, ME) 2025 Malaysia yang dijalankan oleh Financial Action Task Force (FATF) kira-kira dua minggu lalu. Tahniah saya ucapkan kepada semua yang terlibat dalam ME 2025. Sejak ME pada tahun 2015, usaha kita selama sedekad untuk menambah baik rangka kerja perundangan, pendekatan penyeliaan, pemahaman risiko serta perisikan kewangan telah menghasilkan rejim pencegahan pengubahan wang haram/pencegahan pembiayaan keganasan/pencegahan pembiayaan percambahan (anti-money laundering/countering financing of terrorism/countering proliferation financing, AML/CFT/CPF) yang lebih kukuh untuk Malaysia. Kemajuan ini hanya dapat dicapai melalui kerjasama yang tidak mengenal penat lelah antara sektor swasta, agensi kerajaan dan kementerian, yang diterajui oleh Jawatankuasa Penyelaras Pencegahan Pengubahan Wang Haram Peringkat Kebangsaan (National Coordination Committee to Counter Money Laundering, NCC).
Selain ME, izinkan saya untuk turut menyorot pencapaian penting lain yang telah kita capai dalam beberapa tahun kebelakangan ini yang menyumbang ke arah sektor kewangan yang lebih selamat. Pertama, pindaan kepada Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan, Pencegahan Pembiayaan Aktiviti Terlarang dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Anti-Money Laundering, Anti-Terrorism Financing, Anti-Restricted Activity Financing and Proceeds of Unlawful Activities Act 2001, AMLA) telah diwartakan pada bulan Mei 2025. Langkah ini bertujuan memperkukuh penyeliaan dan pengawalseliaan terhadap institusi pelapor serta memperkemas prosedur siasatan dan pendakwaan. Kedua, penyempurnaan beberapa semakan tematik dan penilaian risiko seperti Penilaian Risiko Kebangsaan telah memperdalam pemahaman kita terhadap aktiviti jenayah kewangan dan risiko yang berkaitan terhadap sistem kewangan negara. Hal ini akan menyokong usaha kita untuk merangka dasar, langkah penyeliaan serta tindakan penguatkuasaan yang lebih bersasar.
Penting untuk diketahui bahawa aktiviti jenayah kewangan tidak mengenal sempadan. Oleh itu, usaha memperkukuh kerjasama erat dalam kalangan negara ASEAN untuk memerangi jenayah kewangan rentas negara adalah amat penting bagi menjamin keselamatan, kestabilan dan kemakmuran rantau ini serta kesejahteraan rakyatnya. Sebagai sebahagian daripada Kepengerusian ASEAN Malaysia, kami telah menyelia penerbitan ASEAN Plan of Action on Combatting Transnational Crime (2025-2036) dan Declaration on Combatting Money Laundering ASEAN yang pertama semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 baru-baru ini.
Hadirin dan hadirat sekalian,
Kita kembali kepada persidangan IFCTF tahun ini dan temanya, “Masa Hadapan Bermula Sekarang: Pematuhan Berasaskan Teknologi dalam Membanteras Jenayah Kewangan”. Seperti yang pernah saya ungkapkan semasa MyFintech Week 2025 baru-baru ini, Malaysia telah mencatatkan kemajuan yang memberangsangkan dalam usaha memodenkan sistem pembayaran negara, dengan menduduki tempat kedua pada peringkat global dalam penggunaan pembayaran QR apabila DuitNow telah menjadi sebahagian daripada kehidupan harian kita. Meskipun teknologi digital telah berkembang pada kadar yang tidak pernah dialami sebelum ini dan memberikan pelbagai manfaat kepada kehidupan seharian, jenayah siber turut meningkat dengan ketara. Pihak yang tidak bertanggungjawab turut menggunakan teknologi yang sama untuk mengelak daripada dikesan serta memanipulasi sistem, termasuk melalui penyebaran propaganda, maklumat palsu, penipuan dan serangan siber.
Perniagaan, termasuk institusi kewangan, turut menjadi sasaran penipuan yang canggih yang melibatkan penyamaran menggunakan AI. Malah gambar saya pun telah digunakan sebagai imej palsu tulen (deepfakes). Insiden sebegini menyerlahkan risiko yang semakin meningkat berikutan kemajuan teknologi, serta menunjukkan bagaimana sesiapa sahaja boleh menjadi mangsa. Pada suku pertama tahun 2025 sahaja, Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan sebanyak 12,110 kes penipuan dalam talian di seluruh negara yang melibatkan kerugian sebanyak RM573.7 juta.[1]
Sejak sekian lama, industri kewangan Malaysia telah mengharungi pelbagai cabaran yang pada ketika itu ada yang kelihatan sukar untuk diatasi. Namun, melalui daya tahan dan kerjasama, kita terus melangkah ke hadapan. Industri kewangan perlu terus menangani cabaran baharu dan memelihara integriti ekosistem kewangan kita. Sehubungan dengan itu, saya menyeru agar industri mengamalkan prinsip Kerjasama, Kreativiti dan Tingkah Laku.
Prinsip 1: Kerjasama
Hadirin dan hadirat sekalian,
Landskap digital dan kewangan yang semakin berkembang memerlukan ketangkasan dan kerjasama yang lebih cekap untuk memerangi ancaman. Perkongsian maklumat dan kepakaran yang pantas sangat penting dalam usaha kita memerangi jenayah kewangan. Sebagai contoh, Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (National Scam Response Centre, NSRC) yang ditubuhkan pada Oktober 2022, berfungsi sebagai platform kerjasama untuk agensi kerajaan, institusi kewangan dan industri komunikasi. Hasil kerjasama ini, NSRC kini beroperasi 24 jam sehari untuk menerima laporan, mengesan, membekukan, dan mendapatkan semula dana yang telah ditipu. Setakat suku ketiga tahun 2025, NSRC telah menerima 263,683 panggilan. NSRC juga berjaya menyita RM12.91 juta dan memulangkan RM1.99 juta wang yang dicuri kepada mangsa penipuan.
Kerjasama juga sangat penting untuk membanteras jenayah yang baru muncul. Hari ini, kita menyaksikan peningkatan jenayah yang dipermudah oleh teknologi, khususnya melalui platform media sosial dan penstriman. Jenayah baharu ini didorong oleh kemunculan teknologi baharu. Menangani jenayah yang baru muncul ini bukanlah tanggungjawab pihak penguat kuasa undang-undang semata-mata. Setiap daripada kita perlu sentiasa berwaspada dalam mengesan dan melaporkan aktiviti sedemikian.
Tatkala penipuan menjadi semakin licik, memperkasakan pengguna dengan pengetahuan menjadi keutamaan penting. Bagi 95% kes penipuan di Malaysia, mangsa secara sedar memindahkan wang kepada orang yang kemudiannya dikenal pasti sebagai penipu.[2] Hal ini menunjukkan jurang yang serius dalam tahap kesedaran dan menekankan kepentingan pendidikan pengguna. Kesedaran dalam kalangan pengguna kewangan merupakan barisan pertahanan yang pertama. Mendidik pengguna kewangan tentang kaedah penipuan baharu dan melengkapkan mereka dengan alat untuk melindungi diri merupakan tanggungjawab kita bersama. Kempen #JanganKenaScam yang saya lancarkan pada bulan Oktober 2023 semasa IFCTF yang ke-13, telah memainkan peranan penting dalam meningkatkan kesedaran orang ramai. Tinjauan mendapati bahawa sembilan daripada 10 responden kini peka tentang amaran penipuan yang dikeluarkan oleh institusi perbankan.[3]
Kerjasama tidak seharusnya terhad kepada situasi formal; malah perlu menjadi penetapan minda (mindset) yang sebati bagi membolehkan kita menangani landskap jenayah yang sentiasa berubah dengan berkesan. Menerusi kerjasama yang utuh merentas semua peringkat pihak berkepentingan, kita dapat merangka strategi yang lebih menyeluruh, baik dari segi tindakan pemulihan mahupun pencegahan, bagi memastikan kita sentiasa berada di hadapan segala ancaman.
Prinsip 2: Kreativiti
Apabila membanteras jenayah kewangan, langkah-langkah dan infrastruktur AML tidak boleh kekal statik. Industri kewangan perlu mengkaji penyelesaian yang kreatif dan memanfaatkan teknologi terkini. FATF telah menerbitkan laporan[4] pada bulan Julai 2021 yang mengetengahkan manfaat penyelesaian digital, termasuk menggunakan AI untuk mengatasi ancaman pengubahan wang haram. Penggunaan penyelesaian digital ini menambah baik pemantauan masa nyata oleh para pengawal selia dan memantapkan proses penilaian risiko serta amalan penyertaan pelanggan oleh sektor swasta.
Pada peringkat domestik, National Fraud Portal (NFP) yang dilancarkan oleh BNM, Payments Network Malaysia Sdn. Bhd. (PayNet) dan institusi kewangan pada bulan Ogos 2024, telah meningkatkan lagi keupayaan kita untuk membuat penyesuaian dengan taktik penipuan yang sentiasa berubah. NFP berupaya untuk membantu pengesanan dana yang lebih pantas, intervensi yang tepat pada masanya oleh institusi kewangan serta penyepaduan data transaksi dan akaun keldai daripada pelbagai sumber.
Penggunaan NFP telah memperkukuh keupayaan institusi kewangan dalam aspek pencegahan. Digabungkan dengan langkah-langkah pencegahan dan operasi lain, keupayaan yang dipertingkatkan ini telah berjaya menyekat transaksi penipuan berjumlah RM369 juta antara bulan Januari hingga bulan Jun 2025. Pencapaian ini berada pada landasan untuk melepasi jumlah RM399 juta transaksi penipuan yang berjaya disekat pada tahun 2024. Kini, NFP terus diperkukuh dengan masa pengesanan yang lebih singkat, penyepaduan data yang lebih meluas dan penggunaan analisis ramalan untuk meningkatkan pengesanan penipuan dan akaun keldai.
Sebagai pelengkap kepada usaha-usaha untuk memupuk kreativiti, MyFintech Week 2025 baru-baru ini telah menghimpunkan para peserta industri, pengawal selia dan agensi penguat kuasa undang-undang untuk membincangkan pendekatan inovatif bagi menangani jenayah kewangan. Perbincangan bermakna diadakan mengenai pembangunan pangkalan ilmu serta strategi berasaskan AI bagi memerangi penipuan pelaburan dan penipuan kewangan rentas sempadan. BNM turut mengambil maklum akan peningkatan minat terhadap penggunaan Financial Technology Regulatory Sandbox untuk membangunkan dan menguji penyelesaian e-KYC yang inovatif.
Saya menggesa semua pihak untuk memupuk kreativiti bagi membangunkan penyelesaian yang inovatif, transformatif dan praktikal. Setiap sesi latihan, forum dan sesi perkongsian perlu melangkaui perbincangan semata-mata. Bersama-sama, marilah kita mengubah perbincangan ini kepada tindakan yang jelas untuk memerangi jenayah kewangan dengan lebih berkesan.
Prinsip 3: Tingkah Laku
Hadirin dan hadirat sekalian,
Seiring dengan teknologi dan AI yang membentuk semula pematuhan dan AML, kita perlu ingat bahawa pada dasarnya, tingkah laku dan etika yang mengekalkan kepercayaan. Tiada algoritma yang dapat menggantikan pertimbangan, integriti dan akauntabiliti yang diharapkan daripada industri kewangan. Kes-kes penipuan dan rasuah dalam industri kewangan mengingatkan kita bahawa kita perlu terus berusaha untuk memperbaiki tingkah laku kita di samping memberikan mesej yang jelas bahawa kakitangan yang tidak beretika dan individu yang melanggar undang-undang perlu dikenakan hukuman atas salah laku mereka.
Prinsip Layanan Adil terhadap Pengguna Kewangan, iaitu keadilan, ketelusan dan keprihatinan, perlu terus dijadikan panduan dalam reka bentuk, pelaksanaan dan tadbir urus teknologi. Pengawal selia, institusi kewangan dan pelanggan masing-masing memainkan peranan dalam melindungi integriti sistem kewangan negara, lebih-lebih lagi ketika kita mempergiat usaha memerangi penipuan, scam dan akaun keldai.
Tingkah laku bukan sekadar pematuhan. Tingkah laku perlu menjadi budaya dan suara hati yang diterjemahkan dalam tindakan. Salah satu contoh adalah untuk melengkapi kakitangan yang berurusan dengan pelanggan dengan disiplin bagi menangani isu-isu pematuhan dan pengawalseliaan dengan yakin, serta pada masa yang sama memastikan pelanggan mendapat pengalaman kewangan yang positif. Sehubungan dengan itu, saya ingin merakamkan penghargaan atas sumbangan para pegawai perkhidmatan pelanggan dalam industri kewangan yang sentiasa berwaspada lantas membolehkan pengesanan dan pencegahan penipuan dibuat lebih awal. Sebagai barisan hadapan, tindakan anda memupuk kepercayaan pelanggan dan menyokong usaha kita untuk mendidik serta melindungi masyarakat daripada jenayah kewangan. Tingkah lakulah yang memelihara keyakinan dan akhirnya memastikan sistem kewangan kekal selamat dan berdaya tahan.
Kesimpulan
Tetamu yang dihormati,
Sebelum saya mengakhiri ucapan ini, mari kita luangkan sedikit masa untuk merenung peranan penting yang dimainkan oleh setiap daripada kita bagi membentuk masa hadapan pencegahan jenayah kewangan. Prinsip Kerjasama, Kreativiti dan Tingkah Laku bukanlah sekadar aspirasi malah merupakan prinsip panduan yang membentuk tindakan kita sewaktu kita mengharungi landskap industri kewangan yang sentiasa berubah.
Seperti yang pernah diungkapkan oleh Warren Buffet, “someone’s sitting in the shade today because someone planted a tree a long time ago.” Dengan tema “Masa Hadapan Bermula Sekarang”, persidangan ini mengingatkan kita bahawa cabaran hari esok memerlukan penyelesaian hari ini. Marilah kita manfaatkan saat ini untuk membina kerjasama yang bermakna, memupuk inovasi dan memimpin secara berintegriti, dengan menyedari bahawa usaha kita hari ini akan membentuk sistem kewangan pada masa hadapan.
Terima kasih.
[1] AI fuels scam surge: Over 12,000 online fraud cases in Q1 2025, losses near RM574m
[2] Rencana: Membina Pertahanan yang Bersepadu bagi Memerangi Risiko Penipuan dalam Talian (LT BNM 2024)
[3] Banking industry survey revealed high public awareness on scams, with 9 in 10 respondents saying that they read scam alerts from banks - The Association of Banks in Malaysia
[4] Opportunities and Challenges of New Technologies for AML/CFT (Julai 2021)
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.