Ucapan Gabenor di Majlis Anugerah Ekonomi Islam 2014

Ritz Carlton, Dubai, UAE | 14 Januari 2015

Saya amat berbesar hati menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat (Lifetime Achievement Award) bagi pembangunan kewangan Islam global di bawah naungan Yang Amat Mulia Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum. Dengan ini, saya menerima anugerah dengan rasa rendah hati. Saya juga berbesar hati kerana diberi peluang untuk menyumbang kepada usaha-usaha antarabangsa bagi mewujudkan asas-asas sistem kewangan Islam yang mampan dan berdaya tahan dalam sistem kewangan global. Dunia kewangan menghadapi cabaran getir pada dekad yang lalu, namun pengalaman mengharungi semua cabaran ini amat berharga. Kemajuan dan pencapaian kewangan Islam secara menyeluruh telah meningkat seiring dengan pertumbuhan, dinamisme dan kestabilan.

Secara keseluruhan, kewangan Islam menawarkan manfaat yang sangat besar kepada ekonomi. Kewangan Islam merupakan satu bentuk pengantaraan kewangan yang berteraskan ekonomi benar. Dengan pengantarabangsaan yang bermula pada peralihan alaf ini, kewangan Islam kini memainkan peranan penting untuk meningkatkan dan mengukuhkan kesalinghubungan antara ekonomi, serta memudahkan aktiviti perdagangan antarabangsa dan pelaburan merentas sempadan. Trend ini menunjukkan bermulanya usaha gigih secara kolektif untuk memperkukuh infrastruktur kewangan Islam lantas mewujudkan sistem kewangan Islam global yang kukuh dan berdaya tahan.

Untuk mewujudkan sistem kewangan yang kukuh, fokus telah beralih daripada pengukuhan pengantara dalam industri kewangan Islam domestik kepada pemantapan rangka kerja pengawalan, penyeliaan, Syariah dan mudah tunai yang diperlukan. Ini telah melibatkan kerjasama dan permuafakatan antarabangsa yang lebih erat. Perkembangan selanjutnya melibatkan evolusi pasaran kewangan Islam domestik ke dalam pasaran antarabangsa. Perkembangan ini dapat dilihat melalui penyertaan asing dalam aktiviti pemerolehan dana dan pelaburan dalam pasaran ini, lantas menjana peningkatan aliran kewangan merentas sempadan. Ini telah menarik penyertaan daripada pasaran sedang pesat membangun dan juga pasaran maju dalam kalangan negara Islam dan bukan Islam. Peranan sistem kewangan Islam dijangka bertambah penting dalam menghubungkan ekonomi sedunia pada masa hadapan yang dapat dicapai melalui pengukuhan hubungan kewangan yang seterusnya akan meningkatkan aktiviti perdagangan dan pelaburan antarabangsa.

Pengantarabangsaan kewangan Islam memerlukan usaha kolektif antarabangsa yang lebih kukuh bagi membina arkitektur kewangan Islam antarabangsa dan membangunkan mekanisme pengurusan mudah tunai merentas sempadan yang lebih berkesan. Bagi mencapai teras pembangunan seterusnya, peningkatan asas tenaga mahir yang berkaliber tinggi dan berdaya saing diperlukan bagi memupuk inovasi kewangan. Untuk memperkukuh industri ini, pelaburan modal insan dititikberatkan. Meskipun pengalaman dan aspirasi Malaysia adalah untuk menjadi pusat kewangan Islam antarabangsa, Malaysia juga terus menggalakkan sistem kewangan yang lebih inklusif untuk menyokong pertumbuhan yang lebih seimbang. Matlamat pada peringkat antarabangsa adalah untuk meningkatkan hubungan Malaysia dan sekali gus mewujudkan hubungan ekonomi yang lebih kukuh dengan negara-negara lain. Di Dubai, usaha pihak berkuasa untuk mewujudkan inisiatif ekonomi Islam bagi meningkatkan lagi hubungan dengan pusat kewangan Islam lain merupakan satu langkah ke arah mengukuhkan hubungan ekonomi antarabangsa dan antara rantau. Usaha ini bukan sahaja akan meningkatkan lagi kewangan Islam sebagai pengantara kewangan yang berkesan tetapi juga sebagai satu kuasa penghubung bagi segmen lain dalam ekonomi Islam, dan juga di negara-negara lain.

Usaha kolektif bersama untuk membangunkan kewangan Islam akan memberikan platform penting bagi membuka peluang yang berpotensi dimanfaatkan oleh setiap segmen masyarakat dan komuniti perniagaan yang kini melangkaui sempadan negara. Dalam persekitaran dunia yang sangat dinamik dan pesat berubah, usaha yang berterusan adalah penting untuk pembangunan infrastruktur, pembinaan asas-asas kestabilan dan peningkatan keupayaan dalaman. Dengan hubungan antarabangsa yang lebih meluas, kepentingan kerjasama secara kolektif adalah penting dan diperlukan bagi mencapai matlamat dan manfaat bersama.


Bank Negara Malaysia
15 Januari 2015

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?