Ucapan Gabenor di Majlis Pelancaran "Buku Daftar Istilah Industri Perkhidmatan Kewangan"

Bank Negara Malaysia, Kuala Lumpur | 21 September 2001

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur kerana sudi menjemput saya untuk menyampaikan sepatah dua kata di majlis yang mulia ini dan seterusnya melancarkan buku Daftar Istilah Industri Perkhidmatan Kewangan.

Sehubungan dengan ini, saya ingin mengucapkan syabas kepada pihak-pihak yang terlibat, khususnya Dewan Bahasa dan Pustaka, yang telah menerajui beberapa program di bawah Gerakan Bahasa Kebangsaan Sektor Swasta, yang telah bermula sejak tahun 1996, dan dilanjutkan hingga tahun 2005, serta kejayaannya menerbitkan buku Daftar Istilah Industri Perkhidmatan Kewangan. Sesungguhnya, matlamat meningkatkan penggunaan bahasa Melayu di sektor industri perkhidmatan kewangan adalah saling melengkapi dengan matlamat membangunkan sektor ini. Perkara ini tidak boleh dianggap sebagai satu kewajipan tambahan yang membebankan.

Sebagai salah sebuah industri terbesar, yang melibatkan kehidupan harian hampir segenap lapisan masyarakat, usaha meningkatkan penggunaan bahasa Melayu di sektor industri perkhidmatan kewangan adalah merupakan satu usaha besar, memandangkan ia akan memudahkan orang ramai, untuk berurusan dengan institusi-institusi kewangan. Ia juga akan memperkuat jati diri bangsa dan menggalakkan perpaduan kaum. Iltizam dan kejayaan pihak institusi kewangan untuk memartabatkan bahasa Melayu juga penting dalam menyemai rasa bangga rakyat terhadap penggunaan bahasa kebangsaan, khususnya semasa berurusan dengan institusi kewangan.

Menyedari pentingnya usaha meningkatkan penggunaan bahasa Melayu di sektor industri perkhidmatan kewangan, Bank Negara Malaysia telah mengambil beberapa langkah khusus bagi menggalakkan institusi kewangan menggunakan bahasa Melayu dalam urusan mereka. Antaranya ialah menghendaki institusi-institusi kewangan dan insurans menggunakan borang dan dokumen standard dalam dwibahasa menjelang awal tahun 2002 serta penggunaan papan-papan tanda, pengeluaran laporan-laporan tahunan dan penterjemahan dokumen perjanjian dalam dwibahasa. Atas usaha sendiri, Institut Insurans Malaysia (MII) telah melaksanakan beberapa aktiviti seperti mengadakan laman web yang menyediakan Panduan Insurans Motor Interaktif dan Glosari Insurans serta mengeluarkan teks untuk peperiksaan ejen insurans dalam bahasa kebangsaan. MII juga telah menjalankan kursus penataran bahasa untuk pegawai dan kakitangan penanggung-penanggung insurans serta seminar-seminar dalam bahasa kebangsaan. Bank Negara juga telah menubuhkan satu jawatankuasa bahasa kebangsaan yang terdiri daripada beberapa jabatan penting di Bank Negara bertujuan untuk menggerakkan aktiviti penggunaan bahasa Melayu dengan lebih luas dan berkesan. Saya percaya semua institusi kewangan memahami dan menghayati langkah Bank Negara Malaysia untuk meningkatkan penggunaan bahasa Melayu dan telah mengambil tindakan yang sewajarnya untuk merealisasikan hasrat tersebut. Institusi kewangan digalakkan untuk terus mengambil daya usaha sendiri bagi meningkatkan penggunaan bahasa Melayu dalam operasi masing-masing secara menyeluruh.

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk melahirkan rasa bangga dengan apa yang telah diusahakan setakat ini. Bank Negara Malaysia akan sentiasa memberikan sokongan padu serta sedia memberikan komitmen sepenuhnya untuk meningkatkan penggunaan bahasa kebangsaan dalam sektor kewangan. Saya percaya penerbitan buku Daftar Istilah yang menterjemahkan istilah bahasa Inggeris ke bahasa Melayu hanyalah satu langkah permulaan. Sebagai langkah seterusnya, saya ingin menyarankan agar Dewan Bahasa dan Pustaka turut menerbitkan Daftar Istilah bagi penterjemahan daripada bahasa Melayu kepada bahasa Inggeris pula. Langkah ini akan dapat membantu memudahkan rujukan istilah dalam kedua-dua bahasa. Oleh sebab industri perkhidmatan kewangan adalah satu bidang yang dinamik, maka, Dewan Bahasa dan Pustaka perlulah proaktif dalam mencari istilah-istilah baru yang wajar dimuatkan dalam edisi yang berikutnya.

Bank Negara Malaysia yang bertanggungjawab ke atas institusi-institusi kewangan di Malaysia akan sentiasa memantau tahap penggunaan bahasa Melayu di sektor kewangan. Hasrat Bank Negara Malaysia adalah untuk melihat masyarakat industri perkhidmatan kewangan mahir dan selesa bukan sahaja dalam penggunaan bahasa Inggeris yang merupakan bahasa perdagangan dan bahasa antarabangsa tetapi juga dalam penggunaan bahasa Melayu yang menjadi lambang identiti negara kita.

Akhir kata, saya ingin mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam penerbitan Daftar Istilah ini, khususnya Dewan Bahasa dan Pustaka, Persatuan-persatuan dalam industri kewangan dan insurans, Bursa Saham Kuala Lumpur, Ahli-ahli Jawatankuasa Induk Bulan Bahasa dan Sastera Negara serta Ahli-ahli Jawatankuasa Penyelarasan Istilah. Tanpa usaha daripada semua pihak, saya yakin penghasilan buku yang bermutu ini tidak akan menjadi kenyataan. Adalah menjadi harapan saya, kerjasama yang erat sebegini akan dapat diteruskan lagi pada masa-masa akan datang. Saya, dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim melancarkan buku Daftar Istilah Industri Perkhidmatan Kewangan.

Sekian, terima kasih.

 

Bank Negara Malaysia
21 September 2001


Bank Negara Malaysia
21 September 2001

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?