Ucapan Gabenor di Majlis Pelancaran Laman Informasi Nasihat dan Khidmat Bank Negara Malaysia

Bank Negara Malaysia, Kuala Lumpur | 25 Februari 2005

Bank Negara Malaysia LINK merupakan satu wahana bagi Bank Negara Malaysia untuk berhubung dengan orang ramai. Saya berbesar hati untuk mengalu-alukan kehadiran para hadirin ke majlis perasmian Laman Informasi Nasihat dan Khidmat Bank Negara Malaysia atau dikenali sebagai Bank Negara Malaysia LINK.

Bank Negara Malaysia LINK bertujuan untuk mempertingkatkan keberkesanan jalinan hubungan Bank Negara Malaysia dengan orang ramai. Bank Negara Malaysia LINK ditubuhkan sebagai sebuah pusat perhubungan dengan orang ramai mengenai isu yang berkaitan dengan operasi dan dasar Bank Negara Malaysia, sektor kewangan dan pendidikan pelanggan dalam bidang kewangan. Kami percaya jalinan hubungan dengan orang ramai secara berterusan ini bukan sahaja dapat meningkatkan kesedaran, kefahaman dan penghayatan mengenai isu yang dihadapi, malah turut menyumbang ke arah memudahkan pelaksanaan fungsi sistem kewangan dengan lebih cekap, di samping memastikan keberkesanan dasar. Selain itu, Bank Negara Malaysia LINK juga memusatkan semua jalinan perhubungan dengan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mengenai isu yang berkaitan dengan akses kepada pembiayaan, dengan itu menyumbang ke arah mempertingkatkan nilai ditambah PKS kepada ekonomi.

Kami amat berbesar hati dengan kesudian Yang Amat Berhormat Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk melancarkan Laman Informasi Nasihat dan Khidmat Bank Negara Malaysia atau Bank Negara Malaysia LINK pada hari ini. Kami mengambil kesempatan kehadiran Yang Amat Berhormat Dato' Seri di taklimat ekonomi di Bank Negara Malaysia pada pagi ini untuk turut merasmikan Bank Negara Malaysia LINK. Penubuhan Bank Negara Malaysia LINK merupakan komitmen Bank Negara Malaysia untuk meningkatkan lagi perkhidmatan yang diberikan kepada orang ramai dan membantu meningkatkan akses pembiayaan kepada PKS. Perasmian ini amat bermakna kerana Yang Amat Berhormat Perdana Menteri merupakan peneraju kepada peningkatan sistem penghantaran sektor awam. Yang Amat Berhormat Dato' Seri juga telah memainkan peranan penting dalam usaha meningkatkan potensi PKS sebagai enjin pertumbuhan ekonomi negara.

Bank Negara Malaysia sememangnya sentiasa berhubung terus dengan orang ramai. Bank menerima kunjungan orang ramai yang ingin mencari maklumat mengenai operasi, dasar dan peraturan Bank Negara Malaysia, serta mereka yang ingin mencari jalan penyelesaian berkaitan isu kewangan. Unit PKS di Bank Negara Malaysia juga berhubungan terus dengan PKS mengenai isu akses kepada pembiayaan. Penubuhan Bank Negara Malaysia LINK adalah untuk memberi peluang kepada Bank untuk berhubung dengan orang ramai dan PKS di satu tempat, dan dijalankan dengan cara yang lebih cekap dan berkesan.

Premis Bank Negara Malaysia LINK dahulunya merupakan cawangan Kuala Lumpur Bank Negara Malaysia. Cawangan ini pernah menyediakan perkhidmatan perbankan runcit kepada Kerajaan sebagai sebahagian daripada peranan kami sebagai jurubank Kerajaan. Kini, peranan tersebut dipindahkan kepada institusi perbankan. Premis ini juga pernah menjadi tempat memproses mata wang. Tugas tersebut juga telah dipindahkan kepada pihak ketiga, iaitu MEPS Currency Management Sdn. Bhd. Premis cawangan ini kini telah diubah untuk menjadi pusat perkhidmatan setempat.

Bank Negara Malaysia LINK akan juga menyokong perkhidmatan yang disediakan oleh Unit Khas PKS dalam beberapa bidang yang berkaitan dengan akses kepada pembiayaan. Unit Khas PKS ditubuhkan di Bank Negara Malaysia hampir dua tahun yang lalu. Pada awalnya, fungsi Unit Khas PKS adalah untuk menyediakan maklumat mengenai pelbagai sumber pembiayaan yang disediakan untuk PKS; memudahkan proses permohonan pinjaman; dan menyediakan khidmat nasihat berkaitan keperluan pembiayaan PKS. Peranan unit ini kemudiannya dipertingkatkan untuk memantau, menyelaraskan dan menilai pembiayaan PKS dalam semua sektor; menyemak dasar untuk meningkatkan akses kepada pembiayaan serta menyelaraskan pelaksanaan semua dasar pembiayaan PKS. Unit Khas PKS juga merupakan Sekretariat Jawatankuasa Penyelesaian Hutang Kecil, yang membantu penstrukturan semua pinjaman tidak berbayar (NPL) PKS dengan perniagaan yang masih dijalankan. Kemudahan untuk PKS yang terdapat di LINK akan meningkatkan lagi keupayaan jangkauan Unit Khas PKS.

Seiring dengan sistem kewangan yang semakin maju dan canggih, terdapat keperluan untuk meningkatkan lagi tahap celik kewangan. Sebagai sebahagian daripada Pelan Induk Sektor Kewangan, kami telah melaksanakan program 10 tahun untuk meningkatkan tahap celik kewangan pelanggan. Kini program tersebut telah memasuki tahun ketiga. Bagi menjadikan penyertaan orang ramai dalam sistem kewangan berkesan, penyertaan tersebut perlu merupakan penyertaan bermaklumat. Para pelanggan perlu ada kefahaman yang lebih mendalam mengenai hak dan tanggungjawab mereka. Mereka perlu mengetahui peluang yang ada serta risiko dan kos produk dan perkhidmatan kewangan.

Melalui pameran, kios informasi interaktif dan buku-buku kecil yang disediakan, Bank Negara Malaysia LINK akan menjadi satu saluran untuk menyediakan pendidikan kewangan pengguna kepada orang ramai. Sehubungan ini, Bank Negara Malaysia LINK akan menyediakan maklumat berkaitan dengan perbankan konvensional dan perbankan Islam, insurans dan takaful, PKS, pentadbiran pertukaran wang asing, Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat, Biro Maklumat Cek, institusi kewangan pembangunan dan perkara berkaitan pembiayaan yang lain. Bank Negara Malaysia LINK juga akan memberi perhatian pada aduan orang ramai mengenai perkara-perkara yang tersebut di atas. Sebagai sebahagian daripada usaha untuk memelihara sejarah mengenai peranan Bank Negara Malaysia LINK juga menyediakan ruang pameran untuk memaparkan sumbangan Bank Negara Malaysia dalam membentuk ekonomi dan sektor kewangan negara semenjak tahun 1950-an.

Penubuhan Bank Negara Malaysia LINK meletakkan program mendekati pelanggan ke tahap yang lebih tinggi. Dengan menyediakan platform berpusat kepada orang ramai untuk mencari maklumat dan menangani isu kewangan, hasrat kami adalah untuk Bank Negara Malaysia LINK memainkan peranan penting dalam membina jambatan perhubungan antara pelanggan, termasuk PKS, komuniti perniagaan kewangan, persatuan pengguna, dan pembuat dasar. Kami yakin akan pentingnya usaha untuk mendekati pelanggan, bukan sahaja kerana orang ramai berhak pada penyertaan bermaklumat dalam urusan kewangan mereka, bahkan juga kerana ia merupakan bahagian penting dalam usaha bersepadu kita untuk mencapai kejayaan pada masa hadapan.


Bank Negara Malaysia
25 Februari 2005

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?