Ucapan Gabenor di Pelancaran Manual Tenaga Pengajar mengenai Piawaian Syariah Murabahah
Multipurpose Hall, Lanai Kijang | 15 Ogos 2016
Kita berada di sini pada hari ini untuk menyaksikan pelancaran Manual Tenaga Pengajar bagi Piawaian Syariah Murabahah. Manual ini ialah satu usaha perintis. Penyediaan piawaian Syariah dan keperluan operasi ke dalam format pembelajaran yang mudah untuk sukatan akademik universiti-universiti tempatan akan memberikan sumbangan yang besar dalam usaha mempertingkat sukatan kewangan Islam oleh pusat-pusat pengajian tinggi.
Ini merupakan usaha berpasukan yang sangat baik. Saya ingin mengucapkan tahniah kepada panel pengarang yang telah bertungkus-lumus menyumbang bagi menghasilkan panduan pembelajaran ini, iaitu Ahli Majlis Penasihat Shariah (MPS), penyelidik daripada Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa (ISRA), wakil-wakil daripada Institut Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (IBFIM), ahli-ahli akademik dan peserta industri. Kesungguhan dan dedikasi pasukan ini telah menghasilkan sebuah manual yang akan menjadikan pengalaman pembelajaran secara keseluruhan lebih komprehensif, menarik dan interaktif.
Sekalung penghargaan dan tahniah kepada Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang berpandangan jauh untuk mengambil bahagian dalam projek rintis ini. Banyak manfaat yang akan diperoleh. Menjadi harapan kita untuk melihat universiti-universiti lain turut mengambil bahagian dalam inisiatif ini yang akan menyumbang ke arah sistem pendidikan kewangan Islam yang berkualiti.
Sejak tiga dekad yang lalu, kewangan Islam di Malaysia telah melalui satu perkembangan yang dicirikan oleh pelbagai peristiwa penting. Saya ingin menekankan tiga pencapaian utama industri ini dari segi perkembangannya sejak ia mula ditubuhkan. Pertama, kewangan Islam di negara ini telah menjadi segmen utama dalam kewangan. Daripada pasaran kewangan Islam secara kecil-kecilan kini kewangan Islam dalam arus perdana. Ini adalah kesan daripada inisiatif yang berterusan untuk membina asas yang kukuh, yang memberikan tumpuan pada langkah-langkah pembinaan infrastruktur, institusi dan keupayaan serta rangka kerja pengawalan dan penyeliaan yang teguh. Langkah-langkah ini merupakan asas penting pertumbuhan industri kewangan Islam.
Dengan kurang daripada empat bank Islam dan peserta takaful sebelum tahun 2000, kini terdapat 27 peserta yang menawarkan lebih daripada 100 produk kewangan, yang melebihi tawaran kewangan asas. Industri ini dicirikan oleh persaingan dan inovasi yang semakin sengit. Platform Akaun Pelaburan (IAP) yang dilancarkan baru-baru ini merupakan inisiatif terkini industri yang telah bekerjasama untuk meningkatkan lagi tawaran bank-bank Islam. IAP menyediakan satu pasaran dalam talian untuk mempertemukan bakal pelabur dengan usaha sama yang berdaya maju. Aset perbankan Islam juga telah berkembang menjangkau sasaran 20% seperti yang gariskan dalam Pelan Sektor Kewangan Bank Negara Malaysia.
Ia kini terdiri lebih satu perempat (27%) daripada jumlah sistem perbankan. Kewangan Islam juga menyediakan pembiayaan kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengambil kira kepercayaan, bangsa dan jantina. Penerimaan terhadap takaful juga lebih luas dengan kadar penembusannya meningkat kepada 14.8% daripada penduduk. Sejak lebih dari 3 dekad, kewangan Islam telah berkembang dan maju serta memberikan sumbangan besar kepada perkembangan ekonomi benar.
Kedua, peningkatan integrasi dengan pasaran global akan membolehkan hubungan perdagangan dan kewangan yang lebih pesat. Malaysia kini berada di barisan hadapan dalam perkembangan antarabangsa dengan kesalinghubungan yang semakin meningkat antara pusat kewangan dan lebih banyak urus niaga kewangan Islam rentas sempadan. Pasaran sukuk negara kini mencakupi lebih 50% daripada sukuk global terkumpul sejak 16 tahun yang lalu. Malaysia sebagai pasaran kewangan Islam antarabangsa menawarkan platform yang menarik dan platform sokongan untuk penerbit asing memanfaatkan pasaran sukuk domestik kita. Pelbagai sukuk berbilang mata wang telah diterbitkan dalam Dolar Amerika, Dolar Singapura, Renminbi China dan Yen Jepun. Terdapat juga hubungan dua hala yang lebih kukuh dengan pelbagai negara seperti United Kingdom, Hong Kong, Turki, Indonesia dan Jepun.
Kesalinghubungan ini telah membuka peluang yang lebih luas untuk memperkenalkan dan menempatkan perkhidmatan kewangan Islam secara strategik pada peringkat global di samping memberikan peluang penyertaan yang bermakna oleh peserta tempatan kita sebagai pengatur utama (lead arranger) untuk beberapa terbitan sukuk global. Manfaat yang diperoleh juga diterima oleh penyedia perkhidmatan sokongan kita yang berjaya mewujudkan hubungan yang lebih luas dengan pasaran antarabangsa.
Ketiga, inisiatif-inisiatif perintis dan kepimpinan pemikiran dalam kewangan Islam di Malaysia telah membolehkan negara untuk meningkatkan inovasi dalam industri kewangan Islam. Dari segi pengawalseliaan, pemodenan rangka kerja pengawalseliaan melalui Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (IFSA) memberikan peluang dan ruang untuk institusi kewangan Islam menawarkan produk dan perkhidmatan baharu.
Pelancaran yang kita saksikan pada hari ini ialah satu inisiatif satu inisiatif utama, pembangunan piawaian Syariah yang disepadukan dengan perincian terhadap keperluan operasi. Pendekatan ini memastikan asas yang jelas bagi kehendak Syariah oleh MPS dan memberikan pemahaman yang seragam antara cendekiawan Syariah dengan pengamal industri. Dalam perkara judisiari, iaitu MPS bertindak sebagai tempat rujukan dalam analisis kes muamalat, mahkamah juga boleh menggunakan piawaian Syariah yang komprehensif dan telus ini sebagai asas untuk dijadikan hukuman. Penerimaan piawaan oleh institusi pendidikan akan merintis jalan bagi pemahaman dan penerimaan yang lebih luas terhadap piawaian ini sebagai asas rujukan global untuk komuniti kewangan Islam.
Dengan pelancaran manual tenaga pengajar ini, yang merupakan siri pertama daripada empat belas (14) siri manual yang akan diterbitkan, saya ingin berkongsi pandangan mengenai pendekatan kami dalam membangunkan piawaian Syariah dan juga ingin menekankan kepentingan untuk menerima kepelbagaian dan saling menghormati dalam tafsiran Syariah. Saya akan membincangkan dua bidang tambahan yang perlu dipertimbangkan oleh pihak-pihak berkepentingan supaya faedah memiliki manual ini mencapai matlamatnya iaitu konfigurasi semula program akademik dan memanfaatkan tenaga mahir secara strategik.
Perkembangan kewangan Islam pada masa hadapan, terutamanya merentas sempadan, amat bergantung pada pengharmonian pandangan Syariah dan saling mengiktiraf pandangan dan keputusan Syariah di seluruh dunia. Ini penting sekiranya ingin memperkukuh perdagangan merentas sempadan. Pelbagai usaha sedang dilaksanakan untuk merapatkan jurang pendapat antara para cendekiawan melalui simposium, perbincangan meja bulat serta dialog dua hala. Merapatkan jurang pendapat sememangnya baik namun bukan kritikal. Hakikatnya, perbezaan pandangan dan pendapat dalam kalangan cendekiawan merupakan fakta sejarah dan diterima dalam bidang Syariah, terutamanya dalam perkara yang berkaitan dengan fiqh muamalat (perundangan). Malah, pada pandangan saya, peradaban Islam yang hebat pada masa lampau telah wujud dan menjadi perhatian ramai disebabkan oleh kepelbagaian kita serta sikap bertolak-ansur dan saling menghormati pandangan satu sama lain.
Dalam konteks Piawaian Syariah, proses pembangunannya yang dinamik melibatkan tindakan mengharmonikan pandangan yang berbeza dan meraikan kepelbagaian. Kita menghormati pandangan yang berbeza dengan merujuk kepada kebijaksanaan para cendekiawan terdahulu daripada semua mazhab yang diiktiraf. Kita juga bersedia untuk membuat keputusan baharu sekiranya sesuai. Ini memperluas skop rujukan untuk cendekiawan Syariah berbahas mengenai penggunaan Syariah dengan cara terbaik dalam kewangan kontemporari berdasarkan adat, perundangan dan rangka kerja operasi setiap pasaran. Ini merupakan prinsip penting kerana ia menggalakkan penyelidikan fiqh yang lebih mendalam dan seterusnya menghasilkan pemahaman yang lebih mantap terhadap amalan muamalat dengan peredaran masa dan pada masa yang sama menyedari pengaruh tradisi tempatan serta amalan kebudayaan. Usaha menyeimbangkan antara keaslian dengan tafsiran Syariah yang berbeza secara praktikal merupakan komponen penting dalam mencari penyelesaian demi manfaat dan kebajikan ummah. Dalam hal ini, prinsip yang sentiasa menjadi pedoman MPS adalah untuk merumuskan ijtihad secara kolektif atau keputusan Syariah yang menyeluruh, terangkum dan pragmatik tanpa menjejaskan matlamat murni Syariah.
Saya amat percaya akan pentingnya menerima tafsiran Syariah yang pelbagai dalam kalangan komuniti akademik. Penuntut yang didedahkan kepada ajaran semua mazhab dari peringkat awal akan dapat menghargai perbezaan intelektual dan fleksibiliti yang disebabkan oleh perbezaan pendapat. Ini memberi peluang kepada penuntut untuk membuka dan mempertajam minda mereka serta meluaskan pemikiran mereka dengan meneroka isu dari perspektif pelbagai dimensi. Melalui cara ini, tenaga mahir yang kita bangunkan bukan sahaja dilengkapi pengetahuan Syariah tetapi juga mempunyai keberanian intelektual yang boleh menyatakan dengan jelas isu-isu semasa dalam konteks adat resam dan persekitaran perniagaan tempatan.
Izinkan saya menjelaskan pandangan saya berhubung dengan dua lagi perkara, yang sekiranya dilaksanakan, boleh meningkatkan lagi manfaat yang diperoleh pihak berkepentingan daripada Manual Tenaga Pengajar ini:
- Pertama, pengaturan semula program akademik untuk membangunkan tenaga mahir dengan faktor kebolehgajian (employability) yang lebih tinggi; dan
- Kedua, merangka strategi menempatkan (deployment) tenaga mahir bagi mengurangkan tempoh untuk mencapai tahap kompetensi.
Pengaturan semula program akademik
Penambahbaikan kurikulum yang berterusan di universiti- universiti adalah penting untuk meningkatkan faktor kebolehgajian penuntut-penuntut kita. Ini termasuk mengatur semula program akademik di universiti-universiti serta menambah baik alat pembelajaran dan kaedah mengajar. Inisiatif ini merupakan tambahan kepada kaedah pedagogi tradisional bagi memastikan ia terus dinamik dengan peredaran masa, dan pada masa yang sama, menyediakan persekitaran pembelajaran yang sesuai yang boleh mencabar minda serta mengasah kemahiran dan pengalaman penuntut. Salah satu penambahan tersebut ialah pembelajaran berasaskan pengalaman.
Penerapan pembelajaran berasaskan pengalaman membuka peluang kepada penuntut untuk melangkaui pendidikan berasaskan teori. Contohnya termasuk program latihan amali seluruh industri, tugasan menyelesaikan masalah berdasarkan masalah sebenar dan program perantisan untuk penuntut. Kaedah ini boleh mewujudkan hubungan yang lebih erat antara pembelajaran dalam kelas dengan kehidupan sebenar. Saya percaya bentuk pembelajaran berasaskan pengalaman seperti ini merupakan perangsang yang kuat bagi pemerolehan pengetahuan, yang seterusnya menggalakkan penuntut untuk meningkatkan kemahiran mereka di samping melalui pengalaman membuat keputusan yang bertanggungjawab dalam masa nyata. Pengalaman dalam situasi kehidupan sebenar membezakan pembelajaran berasaskan pengalaman daripada pembelajaran secara kognitif dan tingkah laku. Ini memberikan penuntut kelebihan daya saing dan meningkatkan kemungkinan para graduan untuk berjaya pada peringkat kemasukan tenaga kerja.
Industri kewangan Islam boleh menyumbang dengan nyata ke arahpembelajaran berasaskan pengalaman. Malaysia, dengan sejarahnya yang panjang dan merangkumi perkembangan kewangan Islam melebihi tiga dekad, kaya dengan maklumat dan sesuai untuk penyelidikan kajian kes. Terdapat banyak perkara dan bidang yang memerlukan kajian mendalam dan penyelesaian. Kaedah kajian kes merupakan satu lagi alat pembelajaran popular yang terbukti berkesan dalam meningkatkan dan mengukuhkan penilaian kritikal dan kepelbagaian pendapat dalam kalangan penuntut. Kaedah kajian kes juga menyediakan peluang perbincangan dari pelbagai perspektif mengenai cara menangani isu-isu.
Dalam kewangan Islam, kajian kes yang boleh dibuat antara lain ialah aplikasi Piawaian Syariah oleh bank-bank Islam dan kesannya terhadap strategi penstrukturan produk dan penentuan harga, aspek perundangan, pengurusan risiko, fungsi pengawasan dan proses tadbir urus bank. Bagi sektor takaful pula, kajian kes berhubung dengan mikro takaful contohnya, boleh menjurus kepada pembangunan skim perlindungan yang boleh ditawarkan pada harga berpatutan. Saya percaya ahli-ahli akademik mempunyai sumber yang cukup untuk menjalankan kajian kes seperti ini serta memperoleh hasil kajian dan penemuan baharu, dengan adanya pengetahuan dan kepakaran fakulti akademik masing-masing.
Pada dasarnya, kita perlu bersifat ingin lebih meneroka dan berani mengkaji dengan teliti atau meneliti situasi sebenar dan senario yang kompleks lantas mendapat manfaat daripada pengalaman lalu serta iktibar yang diperoleh, yang boleh memberikan penyelesaian baharu untuk pembangunan masa depan.
Inisiatif untuk membangunkan Manual Tenaga Pengajar merupakan titik permulaan yang baik untuk menggalakkan universiti beralih ke arah pembelajaran berasaskan pengalaman. Penuntut akan didedahkan kepada keperluan Syariah dan operasi yang merangkumi bidang seperti penstrukturan produk, perundangan, perakaunan serta pengurusan risiko. Ciri piawaian yang telus akan membolehkan penuntut mengkritik dan membentuk pandangan dan rumusan mereka sendiri. Ini merupakan lonjakan untuk mengubah paradigma berhubung dengan aspek teori dan aspek operasi aplikasi Syariah. Inisiatif ini pasti menjadi titik perubahan program pendidikan kewangan Islam. Ia juga merupakan pencapaian penting dari segi kerjasama akademik-industri dalam melengkapi penuntut kita dengan aplikasi kontrak Syariah dalam produk dan perkhidmatan kewangan Islam yang berkaitan dengan industri dan bersifat semasa.
Memandangkan isi kandungan manual ini merupakan perkara yang baharu, prasyarat bagi kejayaan pelaksanaan panduan pengajaran ini adalah melalui latihan untuk para pensyarah dan mendedahkan mereka kepada pelbagai disiplin bidang pelajaran. Ini terutamanya kerana aplikasi Syariah dan keperluan operasi meliputi pelbagai bidang termasuk perundangan, perakaunan, pengurusan risiko dan teknologi maklumat. Latihan perkembangan ini merupakan komponen penting kerana ia membolehkan penyampaian ilmu pengetahuan secara efektif.
Strategi penempatan tenaga mahir
Meskipun diakui bahawa peranan institusi pengajian adalah penting untuk membangunkan tenaga mahir dengan set kemahiran yang lebih tinggi, sama pentingnya juga ialah industri memainkan peranan penting untuk memastikan penempatan graduan secara efektif apabila mereka memasuki alam pekerjaan. Bilangan graduan sememangnya bertambah dengan pesat. Walau bagaimanapun, maklum balas graduan Syariah ialah kurangnya peluang pekerjaan buat mereka. Namun, hakikatnya ialah industri ini masih berdepan kekurangan tenaga mahir dengan kelayakan yang sesuai untuk menerajui dan mempergiat inovasi. Jalan penyelesaiannya adalah dengan menyesuaikan jurang jangkaan antara industri dengan graduan. Program pengembangan tenaga mahir merupakan bidang yang kita boleh dapatkan yang terbaik daripada kemahiran penuntut. Program pengembangan dalam bidang selain bidang Syariah, seperti latihan kepimpinan pada peringkat awal kemasukan ke dalam guna tenaga akan memperkukuh keyakinan penuntut bidang Syariah dan menyediakan pendedahan yang diperlukan mereka untuk lebih memahami dan mengetahui selok-belok keadaan perniagaan.
Sejak beberapa tahun yang lalu, Bank telah menubuhkan institusi-institusi khusus untuk mempertingkat ekosistem tenaga mahir. Institusi-institusi tersebut iaitu INCEIF, ISRA, IBFIM, Chartered Institute of Islamic Finance (CIIF) dan Persatuan Penasihat Syariah Institusi Kewangan Islam Malaysia (ASAS) telah bersama-sama menyumbang ke arah pembangunan berterusan tahap profesional dan kepakaran dalam industri ini.
Saya amat berbesar hati kerana melihat industri ini telah meraih manfaat yang besar daripada sumbangan institusi-institusi tersebut. INCEIF kini semakin diiktiraf sebagai universiti global dalam kewangan Islam dan telah menerima kemasukan lebih daripada 2,000 penuntut dari 80 buah negara serta melahirkan lebih 1,000 graduan setakat ini. ISRA memainkan peranan penting sebagai cabang penyelidikan Syariah yang khusus di samping menjadi repositori ilmu pengetahuan kewangan Islam. Ia dikenali sebagai salah satu peserta utama dalam penyelidikan kewangan Islam peringkat global dan muncul sebagai penyumbang utama dalam penyelidikan kewangan Islam antara tahun 2011-2013. IBFIM, yang merupakan cabang latihan industri, juga telah melakar pencapaian yang membanggakan, dengan lebih daripada 6,400 peserta telah menghadiri program-program latihannya pada tahun 2015. Dalam usaha mempertingkat tahap profesionalisme, CIIF merupakan badan profesional pertama dalam kewangan Islam yang berusaha menggalakkan piawaian tertinggi amalan profesional dalam kalangan pengamal kewangan Islam. Dua piawaian berhubung dengan kemasukan ahli-ahli dan akreditasi institusi telah dikeluarkan pada bulan November 2015 dan dua lagi dijangka dikeluarkan tahun ini. ASAS, yang ahlinya terdiri daripada cendekiawan Syariah tersohor, juga telah memulakan pelbagai inisiatif yang menyumbang ke arah pencapaian matlamatnya untuk memupuk tahap profesionalisme tertinggi bagi penasihat Syariah
Walaupun banyak yang telah kita capai, kita perlu mengakui bahawa tiada ruang untuk kita berasa selesa dan berpuas hati. Kita seharusnya terus mewujudkan asas baharu dan menetapkan paras ambang pencapaian (threshold) yang baharu bagi organisasi kita untuk mencapai kejayaan yang lebih besar. Dalam konteks ini, saya ingin memaklumkan bahawa Bank Negara Malaysia akan membentuk sebuah Jawatankuasa Pemandu yang terdiri daripada wakil industri dan ahli akademik untuk menjalankan kajian mendalam untuk menempatkan organisasi-organisasi penting tersebut secara strategik. Ini merupakan sebahagian daripada usaha kita untuk memperkasa semula dan mengubah landskap pembangunan tenaga mahir kewangan Islam
Kesimpulan
Usaha-usaha bersama kita akan menentukan laluan dan hala tuju kewangan Islam pada masa akan datang. Majlis pelancaran Manual Tenaga Pengajar hari ini yang walaupun ringkas namun bermakna kerana bakal menyaksikan pelancaran Manual Tenaga Pengajar yang merupakan bahan pembelajaran penting bagi para penuntut yang akan datang. Sekali lagi saya ingin merakamkan ucapan terima kasih atas sumbangan dan komitmen banyak pihak, terutamanya panel pengarang dan ahli-ahli akademik. Saya mendoakan agar kejayaan akan terus dicapai bagi siri manual yang akan datang.
Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya melancarkan Educator’s Manual on Shariah Standard Murabahah.
Terima kasih.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.