Ucapan Gabenor di Persidangan Serantau mengenai Iklim Pelaburan dan Daya Saing di Asia Timur "Pembaharuan Kewangan dan Iklim Pelaburan"
Hotel Renaissance, Kuala Lumpur | 21 November 2005
Saya amat berbesar hati hari ini kerana diberi peluang berucap di Persidangan Serantau mengenai Iklim Pelaburan dan Daya Saing anjuran bersama Bank Dunia dan Unit Perancang Ekonomi Malaysia. Pelaburan dan daya saing merupakan perkara yang amat penting kepada Asia dalam persekitaran sekarang tatkala ekonomi dunia berhadapan dengan masalah ketidakseimbangan global yang tidak dapat ditampung yang telah membawa risiko kepada prospek pertumbuhan global. Sungguhpun penyelesaian kepada masalah ini dilihat sebagai tanggungjawab bersama oleh rantau masing-masing dalam ekonomi dunia, Asia dilihat sebagai rantau yang mempunyai peranan utama dalam proses penyelarasan.
Antara isu yang dikenal pasti sebagai kekangan kepada proses penyelarasan ini ialah kurangnya kekuatan dalam permintaan domestik di luar Amerika Syarikat; jurang yang luas antara tabungan dengan pelaburan di rantau-rantau utama dunia; dan struktur pengantaraan modal global yang agak tidak padu yang menghalang rantau yang mempunyai lebihan daripada membiayai pelaburan produktif di rantau mereka sendiri. Satu peranan penting Asia dalam proses penyelarasan ini ialah membantu menyeimbangkan semula pertumbuhan global. Ini bukan sahaja dari segi memperkukuh permintaan penggunaan serantau bahkan juga meningkatkan bahagian daripada lebihan tabungan kepada pelaburan yang produktif di rantau ini.
Oleh itu, iklim pelaburan dan daya saing Asia akan menjadi faktor penting dalam menentukan sejauh mana peranan yang mungkin boleh dimainkan oleh Asia dalam proses penyelarasan yang teratur untuk mengurangkan ketidakseimbangan global.
Iklim pelaburan dan daya saing sesebuah ekonomi dibentuk oleh pelbagai faktor. Ini termasuk faktor kestabilan ekonomi, kestabilan monetari dan kewangan dan sama penting ialah ia disokong oleh kestabilan sosial dan politik. Ucapan saya pada pagi ini akan tertumpu kepada pembaharuan kewangan dan iklim pelaburan.
Sektor kewangan memainkan peranan yang utama dalam memudahkan keseluruhan perjalanan ekonomi. Ia merupakan pusat nadi penggerak ekonomi. Sektor kewangan merupakan wahana untuk dana dipengantarakan, dengan penggemblengan dan pengagihan dana untuk pelaburan yang produktif dijalankan. Semakin tinggi tahap kebolehgunaan tabungan, semakin besar potensi bagi penyaluran tabungan kepada aktiviti yang produktif melalui sektor kewangan formal. Sektor kewangan juga memudahkan cara untuk membuat pembayaran dan transmisi dasar monetari. Keberkesanan sektor kewangan menjalankan fungsinya bergantung kepada kemampuannya untuk memenuhi keperluan ekonomi yang berubah-ubah dan menghadapi kitaran ekonomi. Sektor kewangan juga penting dalam memudahkan lebih banyak fleksibiliti ekonomi dan dengan itu memacu proses transformasi ekonomi. Untuk menyumbang kepada kos menjalankan perniagaan yang rendah, sektor kewangan juga perlu menjadi efisien dan kompetitif. Ini termasuk berupaya memenuhi keperluan kewangan ekonomi pada kos yang paling wajar.
Rantau Asia telah menyaksikan transformasi landskap kewangan yang agak ketara yang didorong oleh proses globalisasi, peralihan kepada orientasi pasaran yang lebih nyata dan kemajuan dalam teknologi. Khususnya, ekonomi pasaran yang berkembang perlu menumpukan kepada pembinaan kapasiti dan pembangunan infrastruktur kewangan. Ini termasuk memperkukuh institusi kewangan, membangunkan pasaran kewangan domestik serta menyediakan rangka kerja perundangan dan pengawalseliaan bagi memastikan kekukuhan dan kestabilan sistem kewangan.
Dekad ini juga telah menyaksikan pembaharuan kewangan yang amat meluas, termasuk pembaharuan yang berkaitan dengan orientasi pasaran yang lebih besar bagi mencapai kecekapan operasi, produktiviti dan inovasi serta pengukuhan standard pengurusan risiko, tadbir urus korporat dan ketelusan. Inisiatif juga telah diambil untuk menyusun semula, merasionalisasikan dan menyatukan industri bagi memperkukuh kapasiti dan menangani bidang-bidang kelemahan, risiko dan keadaan mudah terjejas. Inisiatif ini termasuk pewujudan pengaturan-pengaturan institusi untuk melaksanakan penstrukturan semula dan pemulihan. Proses liberalisasi di beberapa buah negara telah dipergiatkan dan ini termasuk liberalisasi had pemilikan asing dalam institusi domestik serta pengeluaran lesen baru dan pelonggaran terhadap peraturan bagi urus niaga asing. Kebanyakan usaha ini bertujuan meningkatkan hubungan antara rantau dan global serta untuk memudahkan lebih banyak perdagangan dan pelaburan antara sempadan.
Kesemua pembaharuan itu melahirkan risiko baru yang perlu diurus bagi memastikan pencapaian manfaat yang maksimum daripada penetapan harga yang lebih kompetitif, penawaran produk berkualiti tinggi dan inovasi yang lebih banyak dalam rangkaian produk dan perkhidmatan yang ditawarkan. Sering juga dinyatakan bahawa penyahkawalan, pemansuhan kawalan dan liberalisasi akan membawa kepada peruntukan sumber yang lebih optimal yang akan mengurangkan kos modal dan dengan itu meningkatkan iklim pelaburan dan prospek pertumbuhan ekonomi secara keseluruhan. Pengalaman telah membuktikan bahawa kurangnya persediaan lazimnya mengakibatkan peminggiran dan kesan ketidakstabilan. Dengan itu strategi yang sesuai perlu digunakan untuk mengurus proses globalisasi ini. Apa yang penting ialah kita perlu memahami implikasi daripada perubahan itu, membina kapasiti untuk mengendalikan implikasi daripada perubahan sedemikian, mempunyai mekanisme untuk menjalankan pengawasan bagi memantau perkembangan dan akhirnya, pihak berkuasa kewangan mempunyai kapasiti untuk memberikan respons melalui dasar-dasarnya bagi menguruskan perkembangan kewangan dalam persekitaran yang baru.
Pada bahagian akhir ucapan saya, izinkan saya berkongsi dengan anda pengalaman Malaysia dari dimensi kewangan dalam mempengaruhi iklim pelaburan, terutamanya pembaharuan kewangan yang telah dilaksanakan sebagai sebahagian daripada usaha dan komitmen kami untuk terus meningkatkan iklim pelaburan. Matlamat kesemua usaha ini adalah untuk menambah fleksibiliti ekonomi serta memperkukuh daya saing, kekukuhan dan keyakinan para pelabur dalam ekonomi.
Sistem kewangan di Malaysia telah memainkan peranan yang penting dalam menyediakan persekitaran yang stabil dan positif sambil memudahkan usaha mempelbagaikan ekonomi - dengan ini memberi ruang untuk menumpukan kepada bidang yang negara ini mempunyai kelebihan berbanding, termasuk sektor pertumbuhan baru yang mempunyai potensi nilai ditambah yang lebih tinggi. Namun, apa yang paling penting ialah sistem kewangan menyediakan persekitaran yang menyokong perusahaan swasta. Ia bukan sahaja telah menyediakan suasana yang sesuai bagi aktiviti sektor swasta dan memastikan kos menjalankan perniagaan kekal rendah, bahkan meningkatkan ketahanan dan kestabilan. Ia juga penting dalam menjadikan Malaysia sebagai sebuah destinasi pelaburan yang menarik. Antara tahun 1988 hingga 1997, Malaysia telah menerima pelaburan langsung asing (FDI) pada purata 7.7% daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) setahun, iaitu salah satu nisbah yang tertinggi di dunia. Malah sepanjang tempoh 1998-2004, dengan mengambil kira juga faktor peralihan dalam corak aliran FDI global, Malaysia terus menerima FDI, sebanyak 6% daripada KDNK.
Sistem kewangan di Malaysia telah memainkan peranan penting dan bertindak sebagai pelengkap dalam mewujudkan iklim pelaburan yang baik. Sementara elemen ekonomi, politik dan pengawalseliaan menyediakan suasana pelaburan yang kondusif, sistem kewangan menyediakan jalan penghubung bagi perkhidmatan kewangan dan infrastruktur untuk pelaburan berfungsi secara efisien dalam ekonomi.
Malaysia telah mengambil pendekatan proaktif dalam menggubal pembaharuan kewangan dan membangunkan infrastruktur kewangan domestik, dengan mengambil kira tahap pembangunan sektor kewangan dan konteks persekitaran sekarang dan masa hadapan bagi memastikan kestabilan sektor kewangan khususnya, dan ekonomi amnya, tidak akan terjejas. Tujuannya adalah untuk membina sektor kewangan yang berdaya tahan, efisien dan efektif yang boleh memenuhi keperluan persekitaran domestik yang berubah-ubah dan memainkan peranan sebagai perangsang transformasi ekonomi. Pertimbangan yang teliti juga telah diberikan untuk mencapai keseimbangan daripada objektif yang bercanggah, iaitu menggalakkan kecekapan dan inovasi dalam sektor kewangan sambil mengekalkan kestabilan sistem kewangan dan memastikan sistem itu mempunyai kapasiti untuk menyesuaikan diri kepada perubahan secara teratur. Satu lagi pertimbangan penting dalam merumuskan dan melaksanakan pembaharuan kewangan ialah mengambil kira agenda sosioekonomi negara. Sebagai bank-bank pusat di ekonomi yang baru berkembang, pertimbangan juga perlu diberikan kepada pembangunan satu sistem kewangan yang merangkumi semua, yang membenarkan semua segmen, kumpulan sasaran dan aktiviti yang berbeza untuk mempunyai akses kepada perkhidmatan kewangan supaya pertumbuhan yang seimbang dapat dicapai.
Dalam meliberalisasikan sektor kewangannya, Malaysia telah menerima pakai pendekatan secara berperingkat. Proses ini disusun berperingkat-peringkat dengan mengambil kira beberapa faktor. Matlamat utama pendekatan ini adalah untuk memelihara kestabilan kewangan. Adalah penting bagi institusi perbankan domestik bersedia dan mempunyai keupayaan untuk menyesuaikan diri dan memberi respons secara positif kepada ciri dinamik liberalisasi agar manfaat yang maksimum daripada proses ini akan dapat dicapai. Sebagai sebahagian daripada proses ini, tempoh masa tertentu telah diberikan kepada institusi perbankan domestik untuk meningkatkan kecekapan dan keupayaan mereka bagi memperkukuh kapasiti mereka untuk beroperasi dalam persekitaran yang lebih kompetitif, dan menaikkan taraf mereka dan menuju ke tahap tanda aras yang telah dicapai oleh institusi perbankan antarabangsa. Prasyarat ini penting sebelum liberalisasi dilaksanakan agar dapat mengelakkan sebarang implikasi yang boleh menggugat kestabilan kewangan, yang seterusnya boleh mengakibatkan kesan yang buruk kepada iklim pelaburan negara.
Pelan Induk Sektor Kewangan Malaysia yang dilancarkan pada tahun 2001 menggariskan strategi pembangunan sektor kewangan dan pendekatan ke arah liberalisasi. Pelan Induk itu menyediakan rangka tindakan pembangunan sektor kewangan jangka pertengahan dan panjang serta langkah-langkah penting yang perlu diambil untuk mencapai matlamat membentuk sektor kewangan yang berdaya tahan dan kompetitif serta mampu menyumbang secara lebih bermakna kepada pertumbuhan ekonomi dan proses pembangunan . Pada fasa pertama Pelan Induk itu, tumpuan diberikan kepada usaha membentuk satu kumpulan teras institusi kewangan domestik yang kukuh dan memandang ke hadapan, yang lebih efisien, kompetitif dan yang didorong oleh teknologi serta mampu menghadapi cabaran liberalisasi dan globalisasi. Pada dasarnya, fokus fasa pertama adalah untuk meningkatkan kapasiti institusi domestik serta membangunkan dan menambah baik infrastruktur kewangan domestik. Selepas fasa pertama, lebih banyak penyahkawalseliaan dan liberalisasi dijangka dilaksanakan untuk meningkatkan tahap persaingan. Langkah-langkah ini akan dilaksanakan secara berperingkat, dengan mengambil kira kemampuan sistem kewangan menghadapi perubahan itu. Fasa akhir Pelan Induk itu akan melibatkan asimilasi ke dalam sistem kewangan antarabangsa secara beransur-ansur yang memungkinkan timbulnya persaingan asing yang baru. Fasa ini juga akan menyaksikan penyertaan institusi perbankan domestik dalam sistem kewangan global secara lebih meluas.
Kini telah hampir lima tahun Pelan Induk itu diperkenalkan. Kemajuan yang ketara telah dicapai dalam pembinaan kapasiti dan keupayaan institusi kewangan domestik dan pewujudan infrastruktur kewangan yang perlu bagi menyediakan asas kepada pertumbuhan sektor kewangan. Pengukuhan sektor kewangan juga telah didorong oleh usaha-usaha penstrukturan semula, rekayasa semula, rasionalisasi dan konsolidasi yang telah dibuat pada tempoh itu. Selain itu, ia juga telah diperteguh oleh pengukuhan amalan pengurusan risiko dan infrastruktur serta penerimapakaian standard tadbir urus yang tinggi dan amalan terbaik. Khususnya, sektor perbankan kini diterajui oleh satu kumpulan teras institusi perbankan domestik yang mempunyai modal yang agak besar hasil daripada program konsolidasi seluruh industri itu yang disempurnakan pada tahun 2002. Permodalan sistem perbankan adalah kukuh dengan nisbah modal wajaran risiko kekal pada paras yang tinggi, iaitu melebihi 13%, sementara kualiti aset telah menjadi bertambah baik dengan nyata. Sistem perbankan juga terus mencatat keuntungan yang tinggi hasil daripada sumber pendapatan yang lebih pelbagai dan peningkatan kecekapan operasi yang berterusan.
Sektor kewangan juga disokong oleh sistem kewangan Islam yang berkembang maju yang menyediakan rangkaian produk dan perkhidmatan berdasarkan prinsip Syariah yang komprehensif. Sehingga kini, pencapaian ketara yang dicapai adalah dalam bentuk pembangunan infrastruktur kewangan dan rangka kerja pengawalseliaan bagi perbankan Islam. Sektor insurans dan takaful memperlengkap pembangunan sektor perbankan dan kewangan Islam dengan memberi sumbangan yang besar dalam menyokong proses transformasi ekonomi. Premium dan sumbangan sektor ini terus berkembang pada kadar pertumbuhan dua angka pada separuh pertama tahun 2005. Asas yang sedia ada untuk pengembangan yang mapan juga telah diperkukuh, dengan kedudukan kesolvenan yang bertambah mantap, keuntungan yang berterusan dan disiplin pengunderaitan yang bertambah baik. Sejajar dengan perkembangan sektor kewangan yang holistik, tumpuan juga telah diberikan kepada usaha membangunkan pasaran modal, khususnya industri pasaran bon dan modal teroka ke arah mencapai matlamat membina sektor kewangan yang kukuh, memberangsangkan dan pelbagai. Sektor korporat, termasuk syarikat multinasional asing dan agensi multilateral, kini boleh mengakses pasaran bon domestik kami.
Kini, institusi kewangan juga mempunyai tahap teknologi yang lebih tinggi dan proses perniagaan yang bertambah baik yang membolehkan mereka menggunakan peluang perniagaan dengan lebih luas dan meraih faedah daripada ekonomi mengikut bidangan serta jualan silang produk dan perkhidmatan. Pencapaian yang penting juga telah diperoleh dalam menyediakan rumusan kewangan peribadi mengikut kehendak pengguna bagi memenuhi keperluan pengguna yang semakin kompleks. Penggunaan saluran penghantaran baru melalui mekanisme berasaskan teknologi yang inovatif juga telah meningkat, lantas mendorong kepada pengedaran produk dan perkhidmatan kepada pengguna secara lebih efektif dan efisien. Kemampuan sektor kewangan untuk terus memenuhi pelbagai keperluan dan pilihan pelbagai segmen pengguna dengan produk dan perkhidmatan yang dibezakan secara nyata dan perkhidmatan nilai ditambah, telah memperkukuh kelebihan bersaing mereka dan menyumbang kepada iklim pelaburan yang lebih baik kepada para pelabur.
Sejajar dengan usaha ini, penyusunan semula organisasi dan proses rekayasa semula untuk mencapai tahap kecekapan operasi yang lebih tinggi juga telah ditekankan. Menjelang bulan Disember 2005, semua syarikat kewangan akan berjaya digabungkan dengan bank perdagangan masing-masing. Rangka kerja bank pelaburan juga akan mengorak langkah ke arah rasionalisasi perbankan saudagar, broker saham, syarikat diskaun dan industri pembrokeran universal. Penubuhan bank pelaburan dijangka meningkatkan kapasiti dan keupayaan peserta pasaran modal domestik untuk bersaing secara lebih bermakna dalam persekitaran yang semakin mencabar, lantas menyumbang kepada pembangunan satu pasaran modal yang dinamik dan memberangsangkan yang menyokong proses pertumbuhan dan transformasi ekonomi secara berkesan.
Usaha membangunkan sektor kewangan juga telah dilengkapi oleh langkah membangunkan infrastruktur kewangan dan perlindungan pengguna. Langkah-langkah juga ditumpukan untuk membangunkan sistem pembayaran yang efisien dan efektif yang mempunyai ketangkasan untuk mengambil peluang daripada teknologi baru yang telah muncul. Kami juga telah memulakan program 10 tahun pendidikan pengguna yang komprehensif untuk meningkatkan celik kewangan di kalangan pengguna dan menggalakkan aktivisme pengguna sebagai cara untuk menggalakkan penyertaan pengguna dan juga meningkatkan prestasi sektor kewangan. Penambahbaikan yang berterusan juga sedang dijalankan untuk memperkukuh rangka kerja perlindungan pengguna. Penubuhan satu sistem insurans deposit di Malaysia baru-baru ini merupakan satu daripada inisiatif yang sedang dilaksanakan.
Dari segi pendekatan pengawalseliaan, kami telah beralih daripada pendekatan "berasaskan peraturan" kepada pendekatan yang lebih fleksibel, iaitu "berasaskan prinsip". Ini bertujuan menggalakkan persaingan dan inovasi sambil mengekalkan pengawalan yang mencukupi bagi memastikan kehematan dan kestabilan kewangan dalam sistem kewangan. Penekanan juga diberikan ke arah membangunkan garis panduan dan prinsip berhemat yang luas, dengan menambah tumpuan terhadap pengenalpastian risiko di peringkat sistem dan memastikan setiap institusi kewangan mempunyai sistem yang perlu untuk mengambil dan mengurus risiko. Dalam konteks ini, peserta kewangan mempunyai fleksibiliti untuk membentuk strategi dan pasaran khusus mereka sendiri. Proses penyeliaan juga telah diperkukuh dan mekanisme pengawasan yang lebih teliti di peringkat institusi dan sistem telah diwujudkan.
Memandangkan kedudukan sektor kewangan kini semakin kukuh, beberapa langkah liberalisasi telah dilaksanakan lebih awal daripada yang dijadualkan dalam Pelan Induk. Antara langkah lebih awal yang telah diambil termasuklah liberalisasi bagi penyediaan perbankan internet oleh bank asing pada bulan Januari 2002, dan penghapusan kuota 50:50 atas kredit yang diberikan kepada syarikat milik bukan pemastautin antara bank asing dengan bank domestik pada bulan April 2003. Tiga lesen baru perbankan Islam sepenuhnya telah dikeluarkan kepada institusi kewangan asing lebih awal daripada cadangan asal pada fasa ketiga Pelan Induk itu. Langkah-langkah lain yang telah dipergiatkan termasuk menaikkan had penyertaan ekuiti asing dalam bank pelaburan dan subsidiari Islam kepada 49%, dan fleksibiliti bagi bank perdagangan, termasuk bank perdagangan asing, untuk menyediakan perkhidmatan pemfaktoran sebagai sebahagian daripada perniagaan perbankan perdagangan atau melalui satu entiti sah yang berasingan. Inisiatif lain termasuk fleksibiliti operasi bagi bank asing yang diperbadankan di Malaysia untuk menambah jumlah cawangan mereka. Langkah-langkah liberalisasi yang akan dijalankan secara berperingkat ini mencerminkan komitmen Malaysia untuk melaksanakan liberalisasi pada kadar yang menyediakan keadaan yang memberi manfaat bersama dalam ekonomi domestik.
Sebagai kesimpulan, sistem kewangan yang kukuh dan stabil, disokong oleh satu rangka kerja perundangan dan pengawalseliaan yang komprehensif, merupakan faktor positif yang menyokong potensi pertumbuhan di Malaysia. Ia telah menyediakan para pelabur dengan persekitaran selamat dan stabil yang kondusif untuk mencapai prestasi yang mapan. Usaha akan diteruskan bagi memastikan sektor kewangan terus memainkan peranan dalam ekonomi, memberikan respons terhadap keperluan ekonomi dan berfungsi secara efisien. Kemahiran dan kepakaran dalam sektor kewangan akan terus dipertingkatkan untuk mewujudkan satu kumpulan pakar yang boleh menyumbang secara berkesan kepada proses ini. Perkara yang diberikan perhatian khusus adalah untuk membangunkan Malaysia sebagai hab perbankan dan kewangan Islam di samping meningkatkan kelebihan daya saing kami sebagai sebuah pusat proses perniagaan penggunaan pihak ketiga (outsourcing). Dalam melaksanakan semua usaha ini, Malaysia akan terus memperkukuh hubungan globalnya melalui perdagangan, pelaburan, aliran kewangan, perikatan strategik, penggabungan dan pengambilalihan merentas sempadan, pengantarabangsaan perniagaan, mobiliti tenaga kerja serta kerjasama serantau dan antarabangsa. Ini akan membolehkan Malaysia menyertai ekonomi serantau khususnya dengan tujuan untuk saling memperkukuh potensi pertumbuhan rantau ini.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.