Ucapan Gabenor pada Majlis Makan Malam Tahunan ke- 26 Persatuan Bank-bank Saudagar Malaysia
Mandarin Oriental Hotel | 3 Disember 2005
Saya amat berbesar hati hari ini kerana dapat bersama-sama di Majlis Makan Malam Tahunan ke-26 Persatuan Bank-bank Saudagar Malaysia.
Tahun 2005 merupakan tahun yang amat bermakna kepada industri perbankan saudagar khasnya dan sektor kewangan amnya. Sementara dekad ini telah menyaksikan perubahan penting dalam landskap kewangan kita berikutan penstrukturan semula, penggabungan, peningkatan pelaburan dalam teknologi, penyahkawalseliaan, liberalisasi dan perubahan dalam persekitaran pengawalseliaan, tahun 2005 pula telah melihat kadar perubahan sektor kewangan menjadi bertambah pesat. Izinkan saya mengambil peluang ini untuk membincangkan persekitaran makroekonomi pada tempoh perubahan-perubahan ini berlaku serta berbincang dengan lebih lanjut mengenai beberapa perubahan terkini yang sedang berlaku dalam sistem kewangan.
Ekonomi negara terus dapat menikmati manfaat daripada persekitaran luaran yang menggalakkan memandangkan ekonomi global masih lagi mantap dalam persekitaran harga minyak yang tinggi dan kadar faedah global yang meningkat. Dari segi domestik, prestasi kita secara keseluruhan terus diperkukuh oleh permintaan domestik yang mengembang. Penunjuk terkini menyarankan bahawa momentum pertumbuhan kekal teguh dengan kadar pertumbuhan yang lebih baik sebanyak 5.3% pada suku ketiga. Pertumbuhan bagi keseluruhan tahun kini dijangka meningkat antara 5-6%. Malah ramai yang lebih optimistik sekarang bahawa momentum pertumbuhan ini dijangka dapat dikekalkan pada tahun 2006.
Apa yang penting ialah aktiviti sektor swasta terus teguh. Perbelanjaan isi rumah meningkat 10.4%, sementara pembentukan modal tetap kasar naik 9.6% pada suku ketiga. Mencerminkan transformasi struktural Malaysia ke arah ekonomi berasaskan kemahiran dan pengetahuan, sektor perkhidmatan menjadi semakin penting dengan mencakupi 58% daripada KDNK berbanding dengan hanya 47% pada tahun 1990. Malah, lebih 50% daripada pertumbuhan pada suku ketiga disumbangkan oleh sektor perkhidmatan. Pertumbuhan kekal kukuh dalam subsektor perkhidmatan tradisional dan sektor pertumbuhan baru seperti perkhidmatan perkongsian dan industri teknologi maklumat dan komunikasi. Transformasi struktural ekonomi juga dicerminkan oleh corak dan kualiti pelaburan langsung asing, dengan peralihan daripada projek berintensif modal dan buruh kepada industri perkhidmatan yang mempunyai nilai tambah yang lebih tinggi serta berintensif kemahiran dan pengetahuan.
Dalam sektor perkilangan, industri elektronik dijangka mendapat manfaat daripada trend kitaran elektronik global yang meningkat, manakala harga komoditi diramal kekal tinggi. Kesemua ini menyokong pertumbuhan eksport dan penggunaan sektor swasta. Permintaan yang mapan terhadap produk baru minyak sawit, khususnya biodiesel, merupakan perkembangan yang positif. Pelaburan swasta dijangka meningkat dengan nyata pada tahun 2006, didorong oleh kapasiti pengeluaran yang tinggi dan pertumbuhan hasil dan pendapatan yang kukuh.
Tahun 2006 akan menyaksikan pelancaran dua dokumen dasar yang penting: Rancangan Malaysia Kesembilan dan Pelan Induk Perindustrian Ketiga. Kedua-dua rancangan tersebut akan menggariskan hala tuju dasar yang utama untuk beberapa tahun akan datang bagi meningkatkan prospek pertumbuhan jangka panjang Malaysia, termasuk: (i) peranan sektor pertanian dan industri bioteknologi yang baru tumbuh; (ii) peningkatan rantaian nilai dalam sektor perkilangan; (iii) kepentingan sektor perkhidmatan yang semakin meningkat, khususnya perkhidmatan perniagaan dan perkongsian, termasuk penggunaan pihak ketiga; dan (iv) kepentingan pendidikan dalam membangunkan sumber manusia yang diperlukan untuk mencapai objektif pembangunan.
Satu kekuatan penting ekonomi kita dalam beberapa dekad ini ialah fleksibilitinya, iaitu kebolehan sumber-sumber untuk beralih kepada sektor baru yang kita mempunyai kelebihan berbanding sebagai respons kepada keadaan yang berubah-ubah dan peluang baru dalam ekonomi global. Khususnya, tahap mobiliti pekerja dan modal kita adalah tinggi. Pelaburan yang besar dalam latihan dan pendidikan telah membolehkan pekerja untuk membuat penyelarasan dan lebih mudah berpindah kerja. Faktor ini telah memainkan peranan yang besar untuk membolehkan pengindustrian yang lebih pesat dan peralihan kepada aktiviti yang mempunyai nilai tambah yang lebih tinggi. Modal juga telah menunjukkan mobiliti yang lebih tinggi, dengan itu mengembangkan potensi ekonomi untuk membuat penyelarasan. Malaysia juga telah secara aktif mengenal pasti dan membangunkan sektor pertumbuhan baru dengan menggunakan kelebihannya dari segi sumber dan teknologi baru untuk mempertingkat rantaian nilai. Terdapat juga usaha yang lebih gigih untuk menghapuskan ketegaran dan beralih ke arah orientasi dan persaingan pasaran yang lebih tinggi.
Berhubung dengan dasar monetari, penetapan dasar kadar faedah oleh Bank Negara Malaysia diasaskan kepada keperluan ekonomi domestik. Khususnya, dasar monetari cuba menyeimbangkan risiko antara pertumbuhan ekonomi dengan inflasi pada jangka masa sederhana. Memandangkan risiko pertumbuhan yang lebih perlahan telah berkurang sekarang, manakala kadar inflasi dijangka berada pada parasnya sekarang untuk beberapa waktu, ini telah menyebabkan respons dasar monetari. Kadar Dasar Semalaman telah dinaikkan sebanyak 30 mata asas kepada 3% pada 30 November. Pernyataan dasar monetari kami menyatakan bahawa pada paras barunya, Kadar Dasar Semalaman masih lagi berada di bawah paras neutralnya. Ini bermakna bahawa dasar monetari terus menyokong aktiviti ekonomi. Ia tidak memberi sebarang gambaran bahawa kadar faedah akan naik lagi. Melangkah ke hadapan, sebarang perubahan pada Kadar Dasar akan ditentukan oleh penilaian kami mengenai imbangan risiko antara pertumbuhan dengan inflasi.
Izinkan saya beralih ke sektor kewangan. Sektor kewangan secara umumnya dan industri perbankan secara khususnya, memainkan peranan yang penting bagi memastikan ekonomi negara terus mempunyai kefleksibelan ini dengan menyediakan persekitaran yang sesuai dan memudahkan proses ini. Ini memerlukan sektor kewangan yang mempunyai dinamisme dan ketangkasan yang tersendiri untuk bertindak balas secara proaktif terhadap keperluan ekonomi yang berubah-ubah.
Sektor kewangan Malaysia terus berkembang secara progresif sebagai tindak balas daripada perkembangan dalam persekitaran domestik dan luar negeri. Pada ketika kita beralih daripada fasa pertama Pelan Induk Sektor Kewangan kepada fasa kedua pelan ini, perkembangan yang ketara telah pun berlaku. Pada tahun ini khususnya, kita melihat pengukuhan sektor kewangan kita dari dimensi antarabangsa. Ini telah memperkukuh hubungan antara ekonomi dan kewangan negara kita dengan ekonomi global.
Beberapa perkembangan yang ketara ke arah ini termasuklah liberalisasi peraturan pentadbiran pertukaran asing pada awal tahun. Ini bertujuan untuk membolehkan kefleksibelan dan kecekapan yang lebih meluas dalam urus niaga pertukaran asing serta meningkatkan penyertaan asing dalam penerbitan bon berdenominasi ringgit dalam pasaran bon kita dan seterusnya menyumbang ke arah memperdalam pasaran. Satu lagi perkembangan yang utama pada tahun ini ialah perubahan kepada rejim kadar pertukaran apungan terurus bagi ringgit. Pada asasnya, ini adalah untuk membolehkan Malaysia berada pada kedudukan yang lebih baik untuk bertindak balas dan mendapat manfaat daripada perubahan struktural di rantau ini dan ekonomi global.
Perkembangan selanjutnya yang lain bagi memperkukuh integrasi antarabangsa kita termasuk peningkatan penyertaan asing dalam sistem kewangan domestik. Ini termasuk pengeluaran lesen baru kepada bank Islam asing untuk beroperasi di Malaysia, pengeluaran lesen broker saham baru kepada syarikat asing serta peningkatan kepentingan asing yang dibenarkan dalam subsidiari Islam dan bank pelaburan kita. Kesemua ini akan mempertingkat integrasi antarabangsa bagi sistem kewangan domestik. Pelancaran Dana Indeks Bon Malaysia ABF juga bertujuan menggalakkan integrasi yang lebih meluas di kalangan pasaran bon serantau.
Dalam sektor domestik, tahun 2005 menandakan satu tahun yang penting bagi kemajuan industri perbankan saudagar. Pada bulan Mac tahun ini, rangka kerja baru perbankan pelaburan diperkenalkan, lantas membuka jalan kepada rasionalisasi seterusnya bagi pengantara pasaran modal domestik. Seperti yang anda sedia maklum, rangka kerja ini mempunyai dua objektif: untuk memudahkan rasionalisasi dalaman bank saudagar, syarikat broker saham dan syarikat diskaun dalam kumpulan kewangan yang sama; dan untuk menggalakkan rasionalisasi industri syarikat diskaun dan broker universal. Integrasi ini dijangka menggalakkan sistem kewangan yang lebih kompetitif dan dinamik, mempertingkat kecekapan dan memperkukuh potensi untuk menggunakan peluang perniagaan yang berkembang di dalam dan luar negeri dan dengan itu memperkukuh kedudukan daya saing entiti baru itu. Penyertaan ekuiti asing dalam bank pelaburan juga telah dilonggarkan daripada 30% kepada 49%, sebagai sebahagian daripada usaha keseluruhan untuk memperkukuh hubungan antarabangsa mereka secara global dan untuk meningkatkan pemindahan kemahiran khusus dan kepakaran dalam industri perbankan pelaburan.
Melangkah ke hadapan, tekanan daya saing dalam industri perbankan pelaburan dijangka menjadi semakin hebat. Dengan peluasan rangka kerja bank pelaburan kepada broker universal, 17 bank pelaburan mungkin akan wujud daripada usaha rasionalisasi ini. Dalam persekitaran yang semakin kompetitif dan mencabar ini, kemampuan bank pelaburan untuk berkembang maju tidak lagi bergantung kepada faktor seperti paras aset dan permodalan, tetapi kepada keupayaan dan kemampuan mereka untuk mengurus dan menggunakan sumber-sumber dengan cara yang paling efisien dan efektif.
Apa yang penting ialah bank saudagar perlu sentiasa mengkaji semula kelebihan berbanding, tumpuan perniagaan dan struktur organisasi mereka bagi memperkukuh ketangkasan strategik dan operasi mereka untuk bertindak balas secara proaktif terhadap persaingan dan mengekalkan pasaran khusus mereka. Dalam hal ini, pelaburan dalam modal insan dan kepakaran ialah perkara asas untuk menghasilkan cadangan yang dirangka khas dan unik nilainya. Dengan kemasukan peserta-peserta baru ke dalam industri, mobiliti kakitangan dalam industri dijangka meningkat. Oleh itu, cabaran kepada bank saudagar adalah untuk terus melatih dan mengekalkan kumpulan pakar mereka.
Transformasi bank saudagar kepada bank pelaburan akan juga membawa bersamanya risiko baru di samping pelbagai peluang baru. Dengan meletakkan aktiviti perbankan dan pasaran modal di bawah satu bumbung akan melahirkan bersamanya risiko yang lebih besar yang perlu diberi perhatian bagi memastikan tidak timbul risiko yang berlebihan terhadap keselamatan dan kekukuhan. Langkah-langkah keselamatan dan benteng yang kukuh perlu untuk mengurus situasi konflik kepentingan dalam bank pelaburan.
Sebagai pengantara pasaran modal, bank pelaburan juga perlu mengurus isu mengenai perlindungan pelabur dengan cermat dan keperluan untuk menggalakkan pasaran yang saksama, efisien dan telus. Prinsip amalan pasaran yang saksama bagi menggalakkan keyakinan pelabur dan memastikan kepentingan mereka dilindungi perlu terangkum dalam operasi perbankan pelaburan. Sesungguhnya, reputasi dan kepercayaan merupakan aset yang bernilai dan asas bagi perniagaan perbankan. Memandangkan bank pelaburan mencipta penyelesaian kewangan yang lebih kompleks untuk memenuhi kehendak pelanggan borong yang lebih arif dan canggih, bank itu juga perlu sedar betapa pentingnya untuk memelihara kepercayaan serta reputasi bank dalam amalan perniagaan. Dalam hal ini, tumpuan akan diberi pada pengukuhan pengendalian pasaran keseluruhan bank pelaburan kerana sebarang kesilapan dalam pengendalian pasaran boleh memberikan implikasi yang besar terhadap reputasi bank. Penekanan akan diberikan kepada penggalakan disiplin pasaran yang lebih luas bagi mendorong prestasi bank pelaburan. Inisiatif berasaskan penzahiran akan diteruskan bagi memastikan pengguna dan pelabur mempunyai akses kepada maklumat yang sesuai supaya mereka boleh membuat keputusan pelaburan yang bijak.
Perubahan dalam landskap perbankan saudagar juga akan membuka pelbagai peluang baru. Dalam hal ini, perniagaan luar pesisir merupakan saluran penting bagi bank saudagar mempelbagaikan potensi perniagaan dan aliran pendapatan mereka. Keupayaan bank saudagar yang mantap yang lahir daripada proses transformasi akan membuka peluang perniagaan baru yang menguntungkan khususnya di luar negara. Bank saudagar perlu mengambil kesempatan daripada peluang-peluang ini bagi memperkukuh kehadiran mereka melangkaui sempadan domestik, terutama dalam bidang yang mereka mempunyai kelebihan dan kemampuan untuk bersaing dengan pesaing mereka di luar negara. Urus niaga merentas sempadan bukan lagi dianggap asing tetapi sesuatu yang biasa. Ini lebih ketara dengan liberalisasi peraturan pentadbiran pertukaran asing yang memberikan peluang yang lebih luas kepada syarikat-syarikat untuk melabur di luar negara. Tahap kesedaran yang lebih tinggi mengenai perkembangan global dan penerimapakaian amalan terbaik antarabangsa seterusnya akan meningkatkan keupayaan dan kemampuan bank saudagar untuk menjadi cemerlang dalam perniagaan mereka di luar negara.
Pada masa yang sama, liberalisasi terhadap penyertaan ekuiti asing dalam bank pelaburan membuka peluang untuk bank pelaburan meninjau jalinan dan usaha sama dengan pihak asing supaya dapat menggunakan kepakaran dan rangkaian edaran mereka untuk membantu bank pelaburan Malaysia melonjak dalam bidang yang mereka mempunyai kelebihan persaingan. Tekanan persaingan yang sengit mungkin bermakna bahawa bank pelaburan tidak boleh terus tumbuh secara perlahan-lahan. Bermulanya peningkatan persaingan akan menentukan kecepatan penambahbaikan yang perlu dibuat oleh bank pelaburan untuk kekal relevan dan dapat bersaing dengan lebih bermakna dalam persekitaran yang lebih mencabar.
Akhir sekali, izinkan saya untuk menyentuh satu lagi bidang dalam sektor kewangan yang sedang mengalami perubahan yang signifikan, iaitu pertumbuhan global yang memberangsangkan dalam perbankan dan kewangan Islam. Kewangan Islam diamalkan dalam lebih daripada 60 buah negara di pelosok dunia. Jumlah kasar aset bank Islam dan aset berasaskan prinsip Islam bank konvensional melalui jendela perbankan Islam melebihi USD400 bilion. Dana bersama Islam melebihi USD300 bilion. Sukuk Islam berdaulat dan korporat pula melepasi paras USD15 bilion. Untuk tahun ini sahaja, terbitan bon Islam atau sukuk dijangka melebihi USD10 bilion. Permodalan pasaran global Indeks Islam Dow Jones pula jauh melebihi USD10 trilion. Sebahagian besar pertumbuhan ini dicapai dalam dekad baru-baru ini dengan permintaan terhadap aset kewangan Islam terus bertambah. Instrumen lindung nilai yang mematuhi Syariah juga diperlukan bagi memenuhi kehendak pelabur dan penerbit bon.
Pengembangan kewangan Islam dan permintaan terhadap aset kewangan Islam menjanjikan peluang yang menarik bagi pengamal bank saudagar yang inovatif dan berdaya usaha. Peluang sebegini bukan sahaja terdapat di Malaysia bahkan di rantau ini dan global. Sudah tiba masanya untuk kita merebut peluang daripada pasaran kewangan Islam.
Malaysia mendahului dalam perbankan dan kewangan Islam. Sungguhpun Malaysia mempunyai pasaran perbankan Islam yang terbesar di dunia, pasaran modal Islam yang terbesar dan pasaran takaful yang terbesar, potensi yang ada hasil daripada pertumbuhan luar biasa industri kewangan Islam global masih belum digunakan sepenuhnya oleh para peserta sektor kewangan Malaysia. Dengan produk kewangan Islam menjadi lebih canggih, Malaysia memerlukan tahap kompetensi, kemahiran dan kemampuan penstrukturan yang lebih tinggi daripada komuniti perbankan saudagar. Seandainya Malaysia dapat muncul sebagai pembekal perkhidmatan yang canggih ini, keadaan perbankan saudagar akan berubah dengan ketara.
Di pihak Kerajaan, inisiatif utama telah diambil untuk mewujudkan persekitaran yang sesuai dan membentuk sumber untuk fasa pembangunan kewangan dan perbankan Islam seterusnya. Ini termasuk usaha kami untuk mewujudkan kepakaran Syariah, menggalakkan penyatuan kefahaman Syariah, mempromosikan dan menjadi tuan rumah bagi IFSB, iaitu sebuah badan yang menetapkan standard Islam antarabangsa, dan yang terbaru ialah usaha-usaha untuk menyelaraskan rejim pengawalseliaan untuk perbankan Islam dan Takaful. Usaha kumulatif ini bertujuan menggalakkan persekitaran yang lebih sesuai bagi mempertingkat kedudukan Malaysia sebagai pusat kewangan Islam. Langkah-langkah ke arah reformasi undang-undang berkaitan perkara ini telah dimulakan dan dijangka selesai pada tahun hadapan. Usaha juga sedang dijalankan untuk menubuhkan pusat antarabangsa bagi pendidikan kewangan Islam bagi mengeluarkan ahli profesional dan menghasilkan kepakaran yang penting untuk pembangunan global bagi kewangan Islam.
Kesimpulan
Tahun ini memperlihatkan perkembangan penting yang berlaku dalam beberapa bidang. Melangkah ke hadapan, kita perlu meneruskan kejayaan ini dengan memaksimumkan sepenuhnya potensi manfaat yang ada. Dalam persekitaran yang dinamik ini, usaha kumulatif industri akan membolehkan kemajuan yang dicapai melalui usaha bersungguh-sungguh ini memberikan hasil yang berterusan. Kita kini sedang berada di ambang pembangunan sektor kewangan. Industri perbankan saudagar perlu bertekad menghadapi cabaran yang muncul dan merebut peluang baru yang bakal muncul hasil daripada struktur pengantaraan barunya. Industri perbankan saudagar juga perlu peka mengenai trend domestik dan global yang muncul dan bergerak seiring dengan perkembangan itu supaya dapat berada pada kedudukan yang baik untuk bertindak balas terhadap persekitaran yang baru muncul itu. Ini seterusnya akan mengekalkan prestasi dan sumbangan berkesan sektor itu kepada ekonomi.
Akhir kata, izinkan saya mengambil peluang ini untuk mengucapkan selamat tahun baru dan semoga tahun hadapan merupakan tahun yang produktif dan berjaya.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.