Ucapan Gabenor pada Pelancaran Biro Pengantaraan Kewangan

Auditorium, Bank Negara Malaysia | 20 Januari 2005

YB Tan Sri Dato' Seri Haidar bin Mohamed Noor,
Pengerusi, Biro Pengantaraan Kewangan

Landskap kewangan Malaysia sentiasa diubah dari semasa ke semasa. Objektif pengubahan tersebut adalah bertujuan bagi mencapai pembangunan sistem kewangan yang terbaik untuk negara. Untuk itu, pendekatan yang komprehensif telah diambil bagi menangani kesemua elemen dan asas penting dalam setiap komponen sistem kewangan. Ini bertujuan untuk membentuk asas yang kukuh bagi membina secara progresif sebuah sektor kewangan yang efektif, efisien dan berdaya tahan. Satu komponen penting yang tidak diabaikan dalam sistem ini ialah rangka kerja perlindungan pengguna. Keperluan dan jangkaan pengguna sentiasa berubah dengan pesat, sejajar dengan tahap pendidikan yang lebih tinggi serta kekayaan dan kemewahan yang kian meningkat. Pengguna kini adalah lebih arif dan menuntut pilihan produk yang lebih baik, saluran penghantaran yang lebih efisien dan amalan institusi kewangan yang lebih berpihak kepada pengguna daripada institusi kewangan. Trend ini menjadi penting dalam memperkukuh persekitaran yang kian kompetitif dalam sektor perkhidmatan kewangan.

Antara komponen utama Pelan Induk Sektor Kewangan ialah usaha meningkatkan kesedaran dan kefahaman pengguna tentang produk dan perkhidmatan kewangan, di samping mewujudkan infrastruktur sokongan untuk melindungi pengguna, serta mengukuhkan rangka kerja kawalselia untuk meningkatkan tahap ketelusan. Pelan Induk tersebut menggariskan beberapa inisiatif penting yang bertujuan meningkatkan kuasa pengguna, di samping meningkatkan kefahaman mereka tentang hak, dan tanggungjawab kewangan masing-masing. Ianya juga akan membolehkan pengguna membuat keputusan yang bijak, demi kesejahteraan mereka. Usaha meningkatkan tahap celik kewangan di kalangan pengguna sentiasa diberi keutamaan oleh Bank Negara Malaysia. Sejak tahun 1996, beberapa inisiatif telah diperkenalkan untuk meningkatkan tahap celik kewangan, dan memupuk kemahiran pengurusan kewangan yang baik di kalangan pelbagai kumpulan sasar.

Kesukaran pengguna mendapat akses kepada maklumat sering menyebabkan pengguna tidak mendapat maklumat yang secukupnya bagi membolehkan mereka membuat keputusan yang bijak. Pada tahun 2003, Bank Negara Malaysia dengan kerjasama institusi kewangan, telah melancarkan satu rancangan 10 tahun Program Pendidikan Pengguna yang melibatkan sektor perbankan dan insurans. Program tersebut bertujuan meningkatkan akses kepada maklumat oleh pengguna serta meningkatkan kesedaran pengguna tentang hak dan tanggungjawab mereka. Ianya juga bertujuan untuk memperdalamkan pengetahuan pengguna tentang konsep dan operasi perbankan Islam serta produk dan perkhidmatan takaful yang ditawarkan oleh institusi kewangan. Dalam hal ini, laman-laman web InfoPerbankan dan InfoInsurans telah memainkan peranan penting dalam meningkatkan kesedaran pengguna. Sehingga kini, laman web tersebut telah mendapat sambutan yang menggalakkan dengan jumlah pelawat mencecah 17.6 juta. Di samping itu, lebih 4.2 juta naskhah buku penerangan kecil telah diedarkan kepada pengguna. Peningkatan maklum balas yang kami terima daripada pengguna mencerminkan tahap kesedaran pengguna.

Di samping tumpuan terhadap tahap celik kewangan dan kesedaran di kalangan pengguna, usaha-usaha yang gigih juga diambil untuk memperkukuh infrastruktur perlindungan pengguna. Ini termasuk inisiatif khusus untuk memperkuatkan rangka kerja pengawalseliaan amalan pasaran oleh penyedia perkhidmatan kewangan, di samping mempertingkatkan keperluan dan standard penzahiran minimum bagi pengeluar kad kredit, serta terhadap fi dan caj produk kewangan. Pada masa yang sama, usaha-usaha yang berterusan untuk meningkatkan tahap profesionalisme turut diperhebat.

Pada tahun 2004, Bank Negara Malaysia telah memperkenalkan langkah berkenaan amalan penjualan dalam industri insurans. Ejen insurans hayat diperlukan menggunakan amalan nasihat terbaik dalam penjualan produk insurans hayat. Bagi memudahkan pengguna membuat perbandingan menerusi penzahiran yang lebih meluas, Bank Negara Malaysia telah memperkenalkan penzahiran mandatori untuk komisen, fi dan caj produk insurans yang mempunyai ciri-ciri tabungan dan pelaburan yang dijual melalui institusi perbankan. Bagi memastikan pemegang polisi dilayan dengan saksama, Bank Negara Malaysia telah mempertingkatkan lagi pengawalan ke atas amalan penyelesaian tuntutan dan memperkukuhkan kawalan ke atas pengurangan bonus oleh penanggung insurans hayat bagi memastikan pulangan yang berpatutan kepada pemegang polisi.

Baru-baru ini, industri insurans berserta Kementerian Pengangkutan telah melaksanakan sistem nota perlindungan elektronik yang akan dapat menghapuskan pemalsuan nota perlindungan insurans motor secara efektif. Ini merupakan perkembangan penting ke arah memelihara kepentingan pemilik kenderaan serta mereka yang menjadi mangsa kemalangan jalan raya. Bank Negara Malaysia juga dijangka melesenkan penasihat kewangan pada tahun 2005. Berikutan enakmen perundangan yang berkaitan, penasihat-penasihat kewangan akan dilesenkan dan dikawalselia oleh Bank Negara Malaysia untuk menyediakan khidmat nasihat profesional mengenai insurans kepada pengguna berhubung dengan keperluan perancangan kewangan mereka. Perkembangan ini menandakan satu peristiwa penting dalam evolusi yang berterusan terhadap keseluruhan rangka kerja perlindungan pengguna untuk industri.

Beberapa inisiatif juga telah diambil institusi perbankan untuk mengekalkan integriti sistem dan instrumen pembayaran, yang tertumpu kepada meningkatkan keyakinan pengguna dan memastikan kepentingan pengguna adalah terpelihara. Bagi membanteras penipuan kad, pelaburan yang besar telah dibuat oleh peserta industri untuk menukarkan semua ATM jalur magnetik dan infrastruktur kad kredit kepada persekitaran yang menerima kad yang menggunakan cip. Saluran pembayaran dan infrastruktur baru yang menggunakan Internet juga telah dibangunkan, bertujuan meningkatkan keselamatan dan kecekapan dalam sistem kewangan.

Langkah-langkah juga telah diperkenalkan untuk meningkatkan tahap perkhidmatan pengguna di institusi kewangan. Bagi tujuan ini, Bank Negara Malaysia telah menjalankan kajian di seluruh negara untuk menilai sebaik mana para pengguna dilayan oleh penyedia perkhidmatan kewangan. Hasil kajian tersebut telah dikongsi dengan industri dan setiap institusi untuk dijadikan asas bagi institusi kewangan menilai sendiri prestasi mereka dan menggunakan hasil kajian tersebut untuk menanda aras mereka sendiri dengan amalan terbaik global. Tujuannya ialah untuk mencapai kualiti perkhidmatan kewangan yang bertaraf dunia.

Penyediaan saluran pembelaan yang mencukupi juga penting bagi membolehkan pengguna menyelesaikan konflik menerusi proses yang saksama. Pelbagai usaha telah diambil untuk memperkukuhkan mekanisme pembelaan di peringkat institusi dan di peringkat industri. Seperti yang anda sedia maklum, saluran untuk pengguna mendapat pembelaan terhadap institusi perbankan dan penanggung insurans telah sedia ada, masing-masing melalui Biro Pengantaraan Perbankan dan Biro Pengantaraan Insurans. Biro-Biro yang ditubuhkan lebih daripada satu dekad yang lalu ini telah mencapai kejayaan yang boleh dibanggakan dalam menyelesaikan pertikaian terhadap bank dan syarikat insurans. Sepanjang tahun 2004, sejumlah 1,515 kes telah dikendalikan oleh kedua-dua Biro ini. Namun demikian, berikutan wujudnya kesamaran sempadan tradisi antara produk dan perkhidmatan kewangan yang disediakan oleh bank, syarikat insurans dan pengantara kewangan yang lain, penubuhan Biro yang bersepadu perlu untuk menyelesaikan isu-isu pengguna yang meluas, yang melibatkan pelbagai institusi kewangan di bawah penyeliaan Bank Negara Malaysia. Sinergi yang jelas juga boleh dicapai daripada penggunaan sumber-sumber yang sedia ada untuk meningkatkan kecekapan dan keberkesanan dalam proses penyelesaian pertikaian. Ini memandangkan pengguna akan disediakan dengan pusat sehenti yang memudahkan dan cekap dalam mendapatkan pembelaan rasmi sebagai satu alternatif kepada proses litigasi yang mungkin melibatkan masa dan sumber kewangan yang banyak.

Sesungguhnya saya amat berbesar hati untuk melancarkan FMB pada hari ini. FMB adalah sebuah pusat penyelesaian pertikaian yang bersepadu untuk institusi kewangan di bawah penyeliaan Bank Negara Malaysia. Penubuhan agensi ini adalah seiring dengan trend antarabangsa ke arah penubuhan pusat penyelesaian yang bersepadu. Rangka kerja dan model untuk FMB telah ditanda aras dengan amalan terbaik seluruh dunia khususnya di negara-negara seperti United Kingdom, Kanada dan Australia.

Buat pertama kalinya, skop FMB telah diperluas untuk merangkumi bank-bank Islam, pengendali takaful, institusi kewangan pembangunan serta pengendali sistem pembayaran dan pengeluar kad kredit dan kad caj bukan bank terpilih. Saya juga berbesar hati mengumumkan bahawa dengan pelancaran FMB, had ke atas kes-kes di bawah bidang kuasa Biro ini telah dinaikkan daripada had yang diguna pakai oleh Biro-Biro pengantaraan terdahulu. Ini akan membolehkan lebih ramai orang mendapat akses kepada Biro sebagai saluran untuk mendapatkan pembelaan. Selain daripada liputan yang lebih meluas ini, FMB juga merancang untuk meningkatkan akses ke seluruh negara dengan penubuhan lima pejabat wilayah secara progresif.

FMB akan ditadbir oleh Lembaga Pengarah yang terdiri daripada sembilan orang ahli, lima daripadanya pengarah bebas dan selebihnya daripada industri perbankan dan insurans. Tan Sri Dato’ Seri Haidar bin Mohamed Noor sebagai Pengerusi pertama Lembaga Pengarah FMB, mempunyai karier yang panjang dan cemerlang dalam perkhidmatan kehakiman. FMB akan dikendalikan oleh pengantara yang bebas dan berpengalaman dalam hal-hal kehakiman. Dengan pengalaman ahli Lembaga Pengarah dan kakitangan FMB yang mendalam dan meluas, saya yakin bahawa Biro yang baru ini akan dapat melaksanakan tanggungjawab mereka dengan baik bagi memastikan proses penyelesaian yang adil dan saksama untuk para pengguna.

Penubuhan Biro ini merupakan satu peristiwa penting dalam meningkatkan infrastruktur perlindungan pengguna. Pengguna digalakkan menggunakan sepenuhnya saluran-saluran yang ada untuk mendapatkan penyelesaian isu-isu yang dihadapi mereka.

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan penghargaan kami kepada Lembaga Pengarah Biro Pengantaraan Perbankan dan Biro Pengantaraan Insurans terdahulu, di atas sumbangan dan dedikasi tinggi mereka dari segi masa dan pengalaman dalam operasi Biro. Saya juga ingin memberi pengiktirafan terhadap sumbangan dan sokongan oleh Persatuan Bank-Bank Malaysia, Persatuan Syarikat Kewangan Malaysia, Persatuan Bank Saudagar Malaysia, Persatuan Insurans Hayat Malaysia, Persatuan Insurans Am Malaysia, Persatuan Institusi Perbankan Islam Malaysia, Persatuan Takaful Malaysia, Persatuan Institusi Kewangan Pembangunan Malaysia, MBF Card Services (M) Sdn. Bhd., American Express dan Diners Club (M) Sdn. Bhd. dalam menjadikan Biro ini satu realiti. Mereka telah bersetuju untuk membiayai kos operasi Biro ini melalui levi ke atas syarikat ahli individu supaya perkhidmatan Biro dapat diberikan secara percuma kepada orang ramai. Sokongan dan komitmen yang padu dan berterusan yang ditunjukkan oleh industri akan menjamin kejayaan FMB.

Dalam tahun-tahun kebelakangan ini, banyak kemajuan telah dicapai dalam membangunkan dan memperkukuh sektor kewangan menerusi inisiatif dasar dalam bidang-bidang rangka kerja pengawalan dan penyeliaan, pengurusan risiko dan urus tadbir korporat. Ianya telah dilengkapkan dengan inisiatif perlindungan dan pendidikan pengguna yang menggalakkan konsumerisme secara lebih aktif untuk mewujudkan sistem kewangan yang dinamik dan responsif. Pada masa hadapan, Bank Negara Malaysia akan terus memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur yang perlu bagi memastikan pengguna diberi akses kepada maklumat mengenai produk dan perkhidmatan kewangan dengan lebih meluas yang dapat membolehkan para pengguna membuat pilihan yang bijak dan melindungi kepentingan mereka.

Antara langkah yang sedang dipertimbangkan untuk dilaksanakan ialah pengeluaran garis panduan bagi memastikan orang ramai mempunyai akses kepada perkhidmatan perbankan pada kos yang berpatutan. Garis panduan telah dikeluarkan kepada institusi perbankan untuk mengawal pengenaan fi dan caj. Berkuat kuasa mulai 1 Februari 2005, institusi perbankan juga dikehendaki menyediakan “perkhidmatan perbankan asas” kepada rakyat Malaysia dengan kos yang minimal. Garis panduan ini menetapkan paras minimum perkhidmatan dan transaksi bulanan yang ditawarkan tanpa caj. Butiran perkhidmatan yang ditawarkan di bawah garis panduan ini akan diumumkan pada hari ini. Selain itu, memandangkan produk dan perkhidmatan kewangan yang semakin kompleks, institusi kewangan juga perlu menentukan harga yang berpatutan yang bukan sahaja mencerminkan kos tetapi juga mencerminkan secukupnya penjimatan kos hasil daripada pelaburan yang dibuat. Dalam suasana persaingan yang semakin meningkat, usaha-usaha juga diperlukan untuk mencapai peningkatan kecekapan dan keberkesanan kos. Ini bukan sahaja memberi faedah kepada pengguna dan peniaga bahkan kepada ekonomi keseluruhannya.

Satu elemen penting dalam jaringan keselamatan untuk pengguna ialah insurans deposit. Usaha dalam bidang ini adalah di peringkat akhir dan akan beroperasi tidak lama lagi. Sistem insurans deposit akan terus memperkukuhkan insentif untuk institusi kewangan mengguna pakai amalan kewangan dan perniagaan yang baik, serta meningkatkan keyakinan orang ramai dalam sistem kewangan, dengan menyediakan perlindungan deposit secara jelas. Ini merupakan peningkatan tambahan terhadap rangka kerja perlindungan pengguna bagi meningkatkan keyakinan terhadap sistem kewangan, serta kekuhuhannya.

Pembangunan masyarakat pengguna yang berpengetahuan dan mampu menguruskan hal ehwal kewangan peribadi masing-masing dengan baik, memerlukan usaha dan kerjasama erat di antara institusi kewangan, pengguna dan persatuan pengguna serta pengawal selia. Bank Negara Malaysia akan mempastikan industri kewangan memainkan peranan secara aktif dalam usaha ini. Namun demikian, proses ini wajar dipacu oleh institusi-institusi kewangan. Persatuan-persatuan pengguna juga mempunyai peranan penting dalam memberi pendidikan dan penerangan kepada pengguna tentang hak dan tanggungjawab mereka, termasuk saluran untuk pengguna mendapatkan pembelaan. Walaupun inisiatif yang diambil akan meningkatkan perlindungan pengguna dan tahap celik kewangan, pengguna juga perlu lebih bersikap proaktif untuk memahami hak dan tanggungjawab mereka, serta lebih berhemat dalam memilih produk dan perkhidmatan kewangan. Pembangunan pengguna yang lebih berpengetahuan juga akan memberi cabaran kepada institusi kewangan untuk mempercepatkan proses inovasi dan mempelbagaikan produk, perkhidmatan dan saluran penghantaran yang ditawarkan. Ini akan merangsang pembangunan sektor kewangan yang kukuh dan progresif, yang selanjutnya akan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara yang mapan.

Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan sukacitanya merasmikan pembukaan Biro Pengantaraan Kewangan di Malaysia.


Bank Negara Malaysia
20 Januari 2005

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?