Ucapan Gabenor pada Persidangan Euro yang bertajuk "Memperluas Hubungan Ekonomi ASEAN-EU: Peranan Mata Wang Euro"

Le Meridien Hotel, Kuala Lumpur, Malaysia | 14 Julai 2005

Bank Negara Malaysia amat berbesar hati kerana dapat menganjurkan secara bersama persidangan ini dan kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Kesatuan Eropah (EU) kerana memberi peluang ini. Persidangan ini bertujuan untuk mempertemukan pakar-pakar yang terkenal untuk berbincang mengenai isu-isu penting yang melibatkan kepentingan ekonomi, monetari dan kewangan di ASEAN dan EU. Saya percaya pertukaran pendapat dan pandangan sepanjang dua hari ini akan menyumbang kepada peningkatan pemahaman terhadap perkembangan dan isu-isu yang penting kepada rantau kita. Agenda kami adalah untuk terus memperkukuh perkongsian erat ASEAN-EU yang saling memanfaatkan kedua-dua rantau. Dengan ini menjadi harapan kami agar persidangan ini akan menjadi pemangkin untuk menggalakkan penghayatan yang lebih mengenai potensi hubungan ekonomi ASEAN-EU yang lebih luas - satu hubungan yang boleh meningkatkan lagi aliran perdagangan dan pelaburan antara rantau kita.

Perkongsian ASEAN-EU telah semakin berkembang selama ini menerusi beberapa forum yang telah mantap. Ini berlaku dalam persekitaran global dengan ekonomi dan sistem kewangan dunia menjadi semakin bersepadu. Oleh itu, dijangkakan bahawa negara-negara menjadi lebih saling bergantung, kejadian di satu bahagian dunia akan mempunyai kesan kepada bahagian-bahagian dunia yang lain. Kemungkinan ini lebih ketara bagi ekonomi dan sistem kewangan ASEAN memandangkan keterbukaan mereka dan tahap integrasi yang tinggi dengan ekonomi dunia dan sistem kewangan antarabangsa. Semasa ASEAN dan EU terus berkembang sebagai rakan strategik, peluang baru juga boleh direalisasikan. Peningkatan hubungan juga akan menyumbang kepada pengendalian cabaran-cabaran baru dengan lebih efektif dalam persekitaran dunia yang sentiasa berubah. Sesungguhnya, persidangan ini berlangsung pada masa yang penting tatkala ia menjadi sangat membina dan bermakna bagi rantau kita untuk memperkukuh gandingan, saling kaitan dan hubungan kita.

Mempelajari daripada Pengalaman EU

Penyatuan Eropah dari pelbagai segi merupakan kemajuan struktur yang utama kepada ekonomi dan landskap kewangan dunia. Walau bagaimanapun, besar kemungkinan laluan bagi proses integrasi akan menjadi sangat berlainan kerana perbezaan kita serta struktur dan tahap pembangunan kita yang berlainan. Namun demikian, boleh dikatakan dengan pasti bahawa integrasi akan tetap berlaku. Malah, proses ini telah pun bermula dan momentumnya besar kemungkinan akan meningkat ketika kita melangkah ke kadapan. Pendorong kepada peningkatan tersebut ialah ia akan membawa kepada kestabilan yang lebih dan menjana potensi pertumbuhan yang lebih tinggi.

Pengalaman Eropah memberikan pemahaman yang berharga dalam menggabungjalinkan dan mengatur kepantasan proses pengintegrasian di rantau ASEAN. Laluan Eropah ke arah pengintegrasian - yang berdasarkan pengintegrasian perdagangan, dengan sekatan atas pergerakan barangan dan kesemua faktor pengeluaran disingkir di peringkat awal, diikuti dengan peningkatan hubungan monetari dan kewangan di peringkat seterusnya - memberi ASEAN satu rujukan yang penting dalam usaha pengintegrasian monetari dan kewangannya, terutamanya yang berkaitan dengan inisiatif liberalisasi perdagangan dan pelaburan untuk memudahkan pengintegrasian ekonomi serantau yang lebih.

Peluang Amat Banyak bagi EU di ASEAN

Sememangnya terdapat banyak perkara yang boleh dipelajari ASEAN daripada pengalaman EU. EU kini merupakan pasaran bersepadu yang terbesar di dunia. EU telah menjadi rakan perdagangan ASEAN yang ketiga terbesar. Perdagangan ASEAN 5 (iaitu Indonesia, Malaysia, Filipina, Thailand dan Singapura sebagai satu kumpulan) dengan EU merupakan 12.4% daripada jumlah perdagangannya pada tahun 2004. Sementara itu, perdagangan EU dengan ASEAN 5 mencakupi 4.5% daripada jumlah perdagangan EU. Dengan terdapat pertumbuhan yang mapan dan kestabilan makroekonomi dan kewangan di ASEAN, wujud potensi yang signifikan untuk memperluas hubungan perdagangan dan pelaburan antara dua rantau kita. Tumpuan pada bidang-bidang yang saling melengkapi akan memaksimumkan manfaat bersama yang bakal diperoleh daripada hubungan yang lebih kukuh.

Kenyataan Wawasan ASEAN adalah "untuk mewujudkan rantau ekonomi ASEAN yang stabil, makmur dan kompetitif, di mana terdapat aliran barangan, perkhidmatan dan pelaburan yang bebas, pembangunan ekonomi yang saksama dan pengurangan kemiskinan dan ketidaksamaan sosioekonomi" menjelang tahun 2020. Selama lebih dari sedekad ekonomi ASEAN telah menikmati pertumbuhan yang lebih tinggi daripada purata pertumbuhan dunia. Walaupun momentum pertumbuhan ini terganggu semasa krisis mata wang Asia pada tahun 1997 dan 1998, ekonomi ASEAN telah menunjukkan daya tahan untuk meneruskan semula pertumbuhan yang kukuh hanya dalam tempoh yang singkat selama setahun bagi banyak negara yang terbabit. Semakin banyak peluang baru yang muncul di rantau kami dengan diperkukuh oleh pengintegrasian serantau yang semakin hebat pada masa ini. Di ASEAN, usaha-usaha sedang dipergiat untuk melaksanakan pelan tindakan perdagangan dan pelaburan di bawah Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN (atau AFTA, untuk perdagangan barangan), Perjanjian Rangka Kerja ASEAN mengenai Perkhidmatan (atau AFAS, untuk perdagangan perkhidmatan) dan Kawasan Pelaburan ASEAN (atau AIA, untuk liberalisasi pelaburan).

Inisiatif untuk mempertingkat aliran perdagangan dan pelaburan ke ASEAN juga telah diiringi dengan usaha-usaha untuk memperkukuh kestabilan monetari dan kewangan. Negara-negara ASEAN juga telah memperhebat usaha-usaha kerjasama kewangan serantau, termasuk dalam proses pengawasan. Usaha-usaha tersebut telah mempertemukan penggubal-penggubal dasar daripada kementerian-kementerian kewangan dan bank-bank pusat ASEAN untuk sentiasa berbincang mengenai perkembangan ekonomi serantau dan global yang mempunyai implikasi atas rantau ASEAN. Pada bulan April tahun ini, negara-negara ASEAN juga telah menggandakan saiz kemudahan pembiayaan serantaunya, iaitu Peraturan Swap ASEAN (ASA), daripada USD 1 bilion kepada USD 2 bilion. ASA merupakan satu lagi inisiatif untuk mengekalkan kestabilan ekonomi dan kewangan serantau melalui mekanisme yang menyediakan bantuan mudah tunai jangka pendek kepada negara-negara ahli yang menghadapi masalah sementara dalam imbangan pembayaran.

Pengukuhan Perkongsian Strategik sebagai Satu Langkah Wajar ke Hadapan

Dalam mengorak langkah ke hadapan, kedua-dua EU dan ASEAN, melalui perseimbangan semula pertumbuhan global, mempunyai potensi untuk menyumbang kepada pengurangan ketidakseimbangan dalam landskap global.

Proses untuk meningkatkan saling hubungan antara rantau kita telah pun bermula. Sebagai pelopor kepada penubuhan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA), rantau kita telah memulakan Inisiatif Perdagangan Rentas-Serantau Kesatuan Eropah-ASEAN pada tahun 2003. Kerja-kerja juga telah bermula bagi memperluas aliran perdagangan dan pelaburan melalui kerjasama ASEAN-EU yang lebih erat. Ini termasuk dalam perdagangan, pelaburan dan isu-isu pengawalseliaan.

Sementara sekatan-sekatan antara rantau kita akan terus dikurangkan di bawah FTA kelak, mengekalkan koheren antara liberalisasi dengan kestabilan ekonomi juga adalah penting. Bidang-bidang baru dalam sektor spesifik yang mempunyai kepentingan bersama, yang akan melengkapkan hala tuju pertumbuhan yang lebih tinggi untuk kedua rantau, perlu diteroka. Ini akan menyumbang ke arah memperkukuh kemapanan dan keberkesanan perkongsian ASEAN-EU dan dengan itu, meningkatkan potensi untuk menyumbang kepada kestabilan ekonomi global.

Izinkan saya untuk mengakhiri ucapan saya di sini. Terima kasih atas penyertaan anda dalam Persidangan Euro ini. Saya harap sesi-sesi berikutnya akan mencabar pemikiran anda dan menyampaikan banyak idea dan perspektif yang baru kepada anda tentang prospek hubungan ASEAN-EU yang lebih meluas.


Bank Negara Malaysia
14 Julai 2005

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?