Ucapan Gabenor pada Persidangan Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam Yang Kedua bertajuk "Peningkatan dan Keberkesanan Tadbir Urus Korporat dalam Industri Perkhidmatan Kewangan Islam"
Sheraton Doha, Qatar | 24 Mei 2005
"Ciri utama sistem kewangan Islam terletak pada nilai etika yang tinggi yang menyokong tadbir urus dan operasi perniagaan kewangan Islam. Dengan perkembangan industri tersebut yang sangat pesat dan dengan persekitaran yang menjadi semakin kompleks dan lebih mencabar, merealisasikan sistem kewangan yang mantap dan berdaya tahan memerlukan wujudnya satu struktur tadbir urus yang kukuh bagi institusi kewangan Islam. Pada asasnya, cabaran yang dihadapi adalah untuk mengembangkan strategi yang akan menggalakkan pelaksanaan amalan tadbir urus korporat yang mantap dan efektif yang juga menyokong inovasi dan operasi perniagaan. Perkara penting dalam visi bersama ini adalah untuk mewujudkan rangka kerja tadbir urus yang komprehensif bagi institusi kewangan dan untuk merangka strategi pelaksanaan Islam yang sesuai yang mampu memenuhi keperluan industri yang dinamik di samping meningkatkan keyakinan dan kestabilan dalam sistem kewangan Islam."
Sementara pelaksanaan amalan terbaik tadbir urus bukanlah matlamat akhir, ia merupakan satu infrastruktur sokongan yang penting untuk industri mencapai prestasi yang tinggi dan perkembangan yang berterusan. Pengukuhan rangka kerja dan amalan tadbir urus korporat yang mantap telah menjadi semakin penting dalam persekitaran hari ini yang semakin tidak menentu dengan risiko sentiasa bertambah. Sesungguhnya, adalah tepat pada masanya usaha-usaha ditumpukan pada memperkukuh tadbir urus korporat dalam institusi kewangan Islam memandangkan pelbagai kontrak yang dimeterai oleh institusi kewangan Islam tersebut dengan pelanggan mereka, yang terdapat dalam kewangan Islam. Khususnya, usaha-usaha yang dijalankan perlu mengambil kira pembentukan struktur tadbir urus institusi yang sesuai dan keperluan untuk penzahiran sepenuhnya.
Ucapan saya pada hari ini tertumpu pada lima bidang utama yang penting untuk memperoleh satu rangka kerja tadbir urus yang lebih baik bagi institusi kewangan Islam yang mengambil kira peranan dan tanggungjawab pemegang saham. Ucapan saya juga akan menyentuh pengalaman dan pendekatan yang diambil oleh Malaysia untuk memperoleh rangka kerja tadbir urus yang mantap bagi institusi kewangan Islam.
Tugas pertama adalah untuk memastikan reka bentuk dan pelaksanaan strategi tadbir urus korporat tidak menjadi beban pengawalseliaan atau penghalang kepada objektif perniagaan dan potensi pertumbuhan.
Dalam mereka bentuk dan melaksanakan standard tadbir urus korporat dan prinsip teras bagi institusi kewangan Islam, cabaran yang dihadapi adalah untuk menyediakan satu rangka kerja yang bukan sahaja mengambil kira ciri utama perniagaan kewangan Islam yang unik, malahan yang mendorong inovasi dan persaingan, dengan itu menyokong potensi pertumbuhan industri. Pada asasnya, reka bentuk dan strategi perlu mencapai objektif berkembar iaitu untuk mencapai prestasi perniagaan yang berterusan dan akauntabiliti korporat yang mantap.
Dengan tahap inovasi yang meningkat dalam persekitaran yang lebih liberal dan penyahkawalseliaan, satu rangka kerja tadbir urus yang lebih berasaskan prinsip berbanding dengan yang berasaskan peraturan menjadi relevan. Dengan itu, pendekatan tersebut perlu menghasilkan panduan yang umum tetapi jelas, standard dan prinsip teras, dan bukannya peraturan dan pengawalan yang preskriptif. Proses tersebut akan melibatkan pengenalpastian risiko dan memastikan institusi-institusi mempunyai kapasiti dan mekanisme kawalan dalaman dan sistem untuk mengambil dan mengurus risiko yang dikenal pasti.
Meskipun tadbir urus yang baik sangat diperlukan, prinsip yang relevan perlu diterap secara harmoni dengan ciri pelbagai jenis urus niaga yang unik dan khusus dalam kewangan Islam. Khususnya, rangka kerja perlu mendapat sokongan semua pihak berkepentingan bagi institusi kewangan Islam. Ini memerlukan sistem yang akan memastikan tanggungjawab terhadap kesemua pihak berkepentingan utama - pelanggan, pendeposit, pelabur, usahawan, pemilik dan komuniti secara keseluruhan - dipenuhi dengan integriti dan mengikut peraturan dan pengawalan. Malahan, dalam persekitaran yang memerlukan perusahaan perniagaan untuk mengimbangkan antara kepentingan pelbagai pihak berkepentingan, yang kadang kala mungkin bercanggah, rangka kerja tadbir urus yang sesuai untuk sekatan dan imbangan yang aktif menjadi begitu penting. Meskipun peranan pemegang saham dan lembaga pengarah sememangnya kritikal, tetapi ini tidak seharusnya mengurangkan peranan pihak berkepentingan lain.
Kedua, perlu ada rangka kerja tadbir urus korporat yang mantap di peringkat institusi dengan pemegang saham dan lembaga pengarah sebagai peserta-peserta utama.
Di peringkat institusi, tadbir urus korporat pada dasarnya adalah mengenai bagaimana syarikat tersebut diurus dan dikawal serta cara untuk memastikan akauntabiliti yang sesuai bagi mereka yang bertanggungjawab. Oleh itu, peranan utama dalam rangka kerja tadbir urus korporat adalah untuk memastikan integriti, kawalan dalaman yang kukuh dan amalan pengurusan risiko yang mantap. Dalam hal ini, pengaruh terbesar pemegang saham adalah dalam hal pelantikan pengarah-pengarah bebas dan tidak bebas; memastikan pemilihan mereka mampu menetapkan hala tuju yang jelas dan mendorong tadbir urus korporat yang efektif di peringkat institusi. Pemegang saham mempunyai peranan memastikan lembaga pengarah terdiri daripada gabungan individu yang cekap dengan pengalaman yang relevan bagi menyediakan perwakilan yang efektif.
Lembaga pengarah harus mampu mempertahankan objektif jangka panjang institusi dan menyediakan pucuk pimpinan bagi tadbir urus korporat yang baik dengan menetapkan rangka kerja tadbir urus korporat yang jelas untuk institusi, dan membuat pemantauan yang efektif dalam pelaksanaannya. Rangka kerja tadbir urus umum institusi akan menjadi rujukan utama bagi pihak pengurusan dan kakitangan dalam hal tadbir urus korporat. Ia juga merupakan manifestasi visi dan strategi institusi untuk mencapai tadbir urus yang baik yang dengannya pemegang saham dan pihak berkepentingan di luar yang lain boleh menilai tahap komitmen institusi ke arah meningkatkan tadbir urus yang baik.
Islam menyokong sepenuhnya kesemua bentuk tadbir urus yang positif. Walau bagaimanapun, reka bentuk rangka kerja tidak harus dibuat secara berasingan daripada nilai-nilai universal yang terdapat dalam prinsip dan standard tadbir urus yang konsisten dengan prinsip Islam. Rangka kerja ini harus menetapkan fungsi setiap komponen dan tahap tadbir urus dengan cara yang akan memastikan akauntabiliti setiap bidang kuasa dengan pembahagian kuasa yang sesuai untuk mengelakkan kemungkinan wujudnya konflik kepentingan. Dalam konteks ini, pertimbangan boleh diberi pada empat perkara yang penting kepada rangka kerja tadbir urus bagi institusi kewangan Islam.
(i) Pertama, untuk memastikan panduan, standard dan prinsip teras mampu menerapkan nilai-nilai yang bertepatan dengan Syariah. Nilai teras iaitu kejujuran dan integriti adalah intipati rangka kerja tadbir urus bagi urus niaga kewangan Islam yang banyak bergantung pada hubungan kepercayaan. Kepentingan nilai teras ini jelas disebut di dalam al-Qur'an, Sunnah dan fekah. Insitusi perbankan sebagai pengguna dana orang ramai harus bertindak secara jujur untuk manfaat semua pihak berkepentingan. Jika hubungan pembiaya dan usahawan boleh dibentuk berasaskan kejujuran, kecekapan dan keadilan, keseimbangan yang mantap boleh dicapai yang akan menjaga kepentingan kedua-dua belah pihak.
(ii) Kedua, rangka kerja tadbir urus perlu mengambil kira peranan yang berbagai-bagai yang dimainkan oleh institusi kewangan Islam dan memberi layanan yang saksama kepada semua pihak berkepentingan yang berkenaan, termasuk pemegang saham minoriti dan pemegang akaun pelaburan. Ini terkandung dalam konsep keadilan dalam Islam seperti yang termaktub dalam al-Qur'an, yang merupakan konsep yang paling hampir dengan taqwa dalam agama Islam.
(iii) Ketiga, rangka kerja tadbir urus Syariah hendaklah diwujudkan sebagai satu dimensi tambahan dan satu ciri yang ketara dalam struktur tadbir urus institusi kewangan Islam. Ini adalah penting untuk menanam keyakinan orang ramai terhadap kesucian operasi institusi kewangan Islam. Oleh itu, Lembaga atau Jawatankuasa Syariah merupakan satu lagi lapisan dalam struktur tadbir urus. Jawatankuasa Syariah berfungsi untuk memastikan bahawa pengurusan institusi perbankan Islam mematuhi prinsip-prinsip Islam
(iv) Keempat, rangka kerja ini perlu menggalakkan ketelusan yang lebih meluas and penzahiran pada tahap yang lebih tinggi untuk menangani ketidakseimbangam maklumat bagi pihak berkepentingan yang berlainan dalam struktur urus niaga kewangan Islam yang berbeza-beza, yang seterusnya memudahkan disiplin pasaran untuk berfungsi dengan berkesan. Ini adalah penting bagi pemegang akaun pelaburan yang berupaya mempengaruhi institusi kewangan Islam sekiranya mereka mempunyai maklumat yang cukup tentang strategi pelaburan dan hasil pelaburan, serta kadar pulangan yang diguna pakai. Penzahiran juga boleh membolehkan pasaran menetapkan premium risiko yang berpatutan kepada syarikat berkenaan dan seterusnya memperkukuh disiplin pasaran yang berkesan.
Bidang utama yang ketiga ialah pengukuhan mekanisme yang sedia ada untuk menerapkan nilai-nilai Islam ke dalam operasi perniagaan dan tadbir urus.
Dengan wujudnya rangka kerja tadbir urus yang umum, institusi kewangan Islam perlu mempunyai mekanisme yang cukup untuk pelaksanaan rangka kerja yang berkesan. Ini termasuk sistem kawalan dalaman, audit dalaman dan luaran, pengurusan risiko, ketelusan dan penzahiran, dan amalan pematuhan yang kukuh. Ini juga termasuk penubuhan jawatankuasa pencalonan dan ganjaran, bagi memastikan mereka yang layak dilantik serta ganjaran atau penalti sepadan dengan akauntabiliti dan prestasi mereka. Sesungguhnya, Rasulullah s.a.w merujuk kepada perkara ini dengan sabdanya "sesiapa sahaja yang mengambil seseorang bekerja kerana sifat pilih kasih dan pada masa yang sama terdapat seseorang yang lebih baik daripada yang dipilih itu, dia telah melakukan pecah amanah dengan Tuhan, RasulNya dan semua orang Islam."
Jawatankuasa pengurusan risiko perlu mengkaji semua risiko yang khusus bagi kewangan Islam dan mempertimbangkan cara yang boleh diambil untuk mengurus risiko tersebut. Kepakaran perlu dibangunkan untuk melaksanakan pengauditan risiko Syariah. Oleh itu, Jawatankuasa audit perlu menilai bukan sahaja risiko yang berkaitan dengan operasi perbankan, bahkan juga melengkapi Jawatankuasa Syariah dalam memastikan prinsip Syariah dipatuhi sepenuhnya. Peranan Jawatankuasa Syariah juga boleh dikembangkan melangkaui kelulusan produk, terutamanya, untuk mengukuhkan tadbir urus institusi kewangan Islam dengan memastikan bahawa setiap produk baru, penzahiran yang betul dilakukan serta hak pelanggan dan tanggungjawab institusi perbankan Islam diperuntukkan dengan jelas.
Yang keempat, peranan pengawal selia dalam pengukuhan standard dan amalan terbaik bagi membentuk tadbir urus yang baik.
Kerajaan dan pengawal selia mempunyai peranan penting untuk menyediakan persekitaran yang menyokong pembangunan struktur tadbir urus yang mantap serta yang memperuntukkan penguatkuasaan.
Di Malaysia, pembaharuan tadbir urus korporat merupakan agenda utama. Malaysia telah mengguna pakai pendekatan hibrid ke arah pembaharuan tadbir urus termasuk pembaharuan perundangan, pengawalan sendiri serta langkah-langkah untuk menggalakkan pengawalan berasaskan pasaran. Pendekatan ini mengimbangkan pengawalan berhemat, disiplin pasaran dan pemantauan pemegang saham. Malaysia telah melaksanakannya atas dasar bahawa terdapat aspek tadbir urus korporat yang pengawalan berkanun adalah berkesan dan perlu, sementara dalam aspek lain, pengawalan sendiri adalah lebih wajar. Oleh itu, membangunkan rangka kerja perundangan dan keinstitusian yang perlu untuk menyokong pembangunan amalan tadbir urus korporat yang baik ialah sebahagian penting daripada proses berikut.
Antara langkah yang diusahakan termasuk undang-undang yang menyediakan rangka kerja untuk melindungi kepentingan pendeposit, pelanggan dan pemegang saham serta rangka kerja berhemat untuk menggalakkan kestabilan kewangan. Ini termasuk peruntukan perundangan yang menetapkan had maksimum pemegangan saham yang dibenarkan bagi mengelakkan pengumpulan hak milik. Terdapat juga sekatan dalam pemberian kredit kepada pihak yang berkaitan bagi mengelakkan konflik kepentingan, serta had mengenai pemberian pinjaman kepada pelanggan tunggal. Langkah-langkah lain termasuk pengeluaran garis panduan yang khusus mengenai peranan dan tanggungjawab pengarah dan penubuhan pelbagai jawatankuasa lembaga. Penekanan juga diberikan kepada peranan pengarah bebas, kelayakan minimum mereka serta ganjaran bagi memastikan kebebasan yang mencukupi untuk bertindak mengikut kepentingan terbaik institusi.
Dalam bidang tadbir urus Syariah, garis panduan mengenai struktur tadbir urus Jawatankuasa Syariah institusi kewangan Islam telah dikeluarkan. Garis panduan tersebut menggariskan peranan dan tanggungjawab Jawatankuasa Syariah yang melangkaui pengesahan produk yang mematuhi Syariah bagi memastikan operasi institusi perbankan Islam mematuhi keperluan Syariah sepanjang masa. Garis panduan tersebut juga menggariskan kriteria yang layak dan sesuai bagi ahli jawatankuasa, dan menekan kebebasan jawatankuasa untuk melaporkan secara langsung kepada Lembaga Pengarah dan memberikan Lembaga Pengarah tanggungjawab untuk memastikan Jawatankuasa Syariah dapat menjalankan tugasnya dengan berkesan. Selain itu, ahli Jawatankuasa Syariah tidak boleh menganggotai Jawatankuasa Syariah institusi perbankan Islam yang lain dan Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia. Ini bagi menjamin kerahsiaan dan mengelakkan sebarang kemungkinan konflik kepentingan.
Bagi menggalakkan ketelusan kewangan dan penzahiran yang lebih baik serta bagi menjaga kepentingan pendeposit pelaburan, garis panduan mengenai model penyata kewangan bank Islam telah juga dikeluarkan. Sehubungan dengan itu, institusi perbankan Islam dikehendaki menyediakan penzahiran maklumat yang antara lain ialah mengenai pengasingan pendapatan dan perbelanjaan daripada kategori instrumen termasuk pelaburan deposit pelaburan yang tidak terhad, deposit pelaburan yang terhad dan pelaburan dana pemegang saham. Institusi perbankan Islam juga dikehendaki menzahirkan maklumat mengenai rizab penyamaan keuntungan.
Selain keperluan penzahiran dalam penyata kewangan, satu rangka kerja standard pengiraan kadar pulangan bagi operasi perbankan Islam telah diperkenalkan. Rangka kerja tersebut memerlukan institusi perbankan Islam untuk mengasingkan dengan jelas pendapatan dan perbelanjaan operasi perbankan Islam berdasarkan pengurusan dana, iaitu pada asas terhad dan tidak terhad.Rangka kerja tersebut menyediakan asas pengiraan dividen kepada pendeposit pelaburan bagi mencerminkan purata kadar pulangan bersih sebenar bagi setiap deposit berdasarkan tempoh matang masing-masing. Pengiraan dividen yang tepat adalah penting bagi memastikan pendeposit pelaburan mendapat bahagian yang wajar daripada pulangan pelaburan. Selain itu, rangka kerja itu membenarkan peruntukan keuntungan di bawah mekanisme rizab penyamaan keuntungan untuk mengurangkan turun naik dalam kadar keuntungan.
Akhirnya, mempertingkatkan peranan badan penentu standard yang lain
Dengan berkembangnya kewangan Islam, terdapat beberapa bidang bersama yang tertentu yang usaha secara kolektif oleh industri kewangan Islam, termasuk oleh badan penentu standard tempatan dan antarabangsa, boleh membawa manfaat kepada sistem kewangan keseluruhan.
Dalam hubungan ini, persatuan-persatuan institusi perbankan mempunyai peranan yang penting dalam menerajui inisiatif untuk menggalakkan standard yang tinggi bagi kod etika amalan pasaran untuk memenuhi kehendak dan permintaan pelanggan yang semakin meningkat. Persatuan institusi perbankan boleh memainkan peranan pelengkap yang penting terhadap usaha pihak berkuasa pengawalseliaan menggalakkan sistem perbankan yang lebih progresif, dinamik dan berdaya tahan. Bagi industri perkhidmatan kewangan Islam, terdapat beberapa bidang kepentingan bersama yang persatuan industri boleh memberi sumbangan untuk memperkukuh tadbir urus korporat.
Di arena antarabangsa, AAOIFI telah menyumbang ke arah kualiti penyata kewangan dan metodologi pelaporan institusi Islam yang lebih baik melalui pengeluaran standard perakaunan dan pengauditan bagi institusi kewangan Islam. Standard dan kod etika telah juga dikeluarkan untuk mengurus amalan akauntan dan juruaudit institusi Islam. Jelas bahawa AAOIFI telah membantu usaha untuk mempercepatkan kadar ketelusan dan tadbir urus korporat institusi kewangan Islam dalam persekitaran antarangsa.
Sememangnya peranan Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam adalah penting dalam mempertingkatkan tahap ketelusan dan kualiti tadbir urus korporat institusi kewangan Islam. Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam melalui Penyebarluasan standard berhemat antarabangsa mengenai tadbir urus korporat yang konsisten dengan prinsip Syariah, akan memainkan peranan yang penting dalam menggalakkan pembangunan perkhidmatan kewangan Islam yang berhemat, telus dan mantap.
Rumusan
Tadbir urus yang baik pada dasarnya,merangkumi penyertaan, ketelusan dan kebertanggungjawapan. Kesemua elemen tersebut adalah sebati dalam Islam dan oleh itu merupakan satu bahagian yang amat penting dalam rangka kerja tadbir urus institusi kewangan Islam. Berikutan itu, rangka kerja tadbir urus Islam yang berkesan memerlukan penglibatan semua pihak yang berkepentingan - kerajaan, persatuan industri, pemegang saham, pengarah, pihak pengurusan dan pihak lain yang berkenaan dengan perniagaan tersebut seperti juruaudit, akauntan, peguam dan penasihat Syariah untuk saling melengkapi dengan penuh tanggungjawab dalam memainkan peranan semakan dan sekatan, dan dalam memperkukuh amalan tadbir urus korporat. Di peringkat antarabangsa, Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam dan badan penentu standard yang lain mempunyai peranan penting untuk mengharmonikan amalan dan melengkapkan rangka kerja tersebut dengan menetapkan rangka kerja tadbir urus yang umum untuk digunakan di peringkat antarabangsa. Dengan pendekatan yang sepadu dan secara kumulatif, rangka kerja tadbir urus korporat yang berkesan akan dapat dilaksanakan dengan jayanya. Setiap seorang daripada kita, tanpa mengira kedudukan, sama ada sebagai pengawalselia atau ahli bank, adalah bertanggungjawab. Saya ingin merumuskan dengan merujuk sabda Rasulullah s.a.w, "Setiap seorang daripada kamu ialah penjaga, dan setiap penjaga bertanggungjawab atas setiap perkara di bawah jagaannya".
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.