Ucapan Gabenor pada Seminar Kewangan Islam Anjuran Bersama Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam dan Pihak Berkuasa Monetari Hong Kong "Ke Arah Meraih Potensi Pertumbuhan Global Kewangan Islam"
Saya amat berbangga dan berbesar hati kerana dapat berada di Hong Kong hari ini untuk berucap di seminar tentang Kewangan Islam anjuran bersama Pihak Berkuasa Monetari Hong Kong dan Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam. Kewangan Islam kini berada di ambang dimensi baharu. Ia kini semakin berpotensi untuk mengukuhkan hubungan kewangan antarabangsa antara negara. Dan dengan cara ini, kewangan Islam akan menyumbang ke arah pengagihan sumber kewangan yang lebih optimum merentas sempadan. Hong Kong, dengan infrastruktur kewangannya yang canggih dan tahap kepakaran sektor kewangannya yang tinggi, mempunyai potensi yang besar untuk menjadi penghubung yang penting dan rakan yang amat sesuai dalam kegiatan kewangan Islam antarabangsa.
Hari ini genap enam tahun lawatan pertama kami ke Hong Kong, iaitu destinasi pertama kami untuk mempromosikan terbitan sukuk berdaulat yang pertama di dunia. Sambutan hangat yang diterima di Hong Kong amat berkesan hingga mengukir kejayaan terbitan sulung sukuk berdaulat Malaysia bernilai USD600 juta. Terbitan ini telah terlebih langganan melebihi dua kali, dengan satu pertiga daripada pelabur adalah dari rantau ini. Dalam tempoh enam tahun ini, landskap kewangan Islam telah mengalami perubahan yang dramatik untuk menjadi suatu mekanisme pengantaraan global yang memberangsangkan, dinamik dan berdaya saing, dengan disokong oleh lebih daripada 300 institusi kewangan Islam di lebih 75 buah negara. Kewangan Islam juga telah menjadi antara segmen pertumbuhan yang paling pesat dalam industri perkhidmatan kewangan.
Pada peringkat awal perkembangannya, kewangan Islam pada asasnya hanya berpusatkan tempatan dan tertumpu pada pembiayaan runcit, pembiayaan perdagangan dan pembiayaan kegiatan perniagaan komersial lain. Walau bagaimanapun, dua perkembangan baru-baru ini telah mempengaruhi hala tuju pembangunan kewangan Islam selanjutnya. Pertama, langkah mempelbagaikan infrastruktur kewangan domestik untuk mengelakkan kebergantungan yang berlebihan terhadap sektor perbankan, dan kedua, trend ke arah liberalisasi sistem kewangan yang lebih ketara. Kedua-dua trend ini telah merangsang pembangunan pasaran kewangan Islam dan menghasilkan integrasi yang lebih kukuh dalam sistem kewangan antarabangsa, lantas meningkatkan dimensi antarabangsa kewangan Islam.
Persekitaran yang lebih dinamik ini telah memupuk penghasilan spektrum instrumen kewangan Islam yang luas, iaitu daripada instrumen untuk mengurus mudah tunai hinggalah kepada struktur pembiayaan untuk pelaburan mega. Perkembangan ini telah membawa kepada kemunculan sebuah kelas aset baharu. Ia juga telah menarik tahap penyertaan asing yang lebih tinggi dalam pasaran kewangan Islam lantas menghasilkan peningkatan aliran dana merentas sempadan. Ini bukan sahaja telah menyumbang kepada pengukuhan kesalinghubungan kewangan antarabangsa antara negara, malah turut menyumbang ke arah pengagihan sumber kewangan merentas sempadan yang lebih cekap.
Kewangan Islam pada tahun 2008 dan tahun-tahun akan datang dijangka kekal positif meskipun persekitaran kewangan semasa global adalah mencabar. Daya maju dan daya saing kewangan Islam terbentuk daripada beberapa faktor, iaitu keupayaannya untuk memenuhi permintaan ekonomi yang berubah-ubah, kosnya yang kompetitif dan juga sokongan rangka kerja perundangan, pengawalan dan penyeliaan yang mantap. Akan tetapi faktor yang lebih penting ialah keperluan Syariah kewangan Islam yang asas, yang menyokong daya maju dan kestabilannya.
Syariah merupakan tunggak utama kewangan Islam dan membentuk ciri-ciri kewangan Islam yang unggul. Injunksi Syariah menuntut supaya urus niaga kewangan Islam berlandaskan aktiviti produktif. Dalam kewangan Islam, sentiasa terdapat pertalian yang rapat antara aliran kewangan dengan aliran produktif. Tambahan pula, di bawah prinsip perkongsian risiko yang dituntut, institusi kewangan Islam akan berkongsi keuntungan atau kerugian usahawan. Terdapat perkongsian risiko yang jelas oleh pembiaya dan juga peminjam. Pengaturan ini memerlukan usaha wajar yang bersesuaian dan penyepaduan risiko yang berkaitan dengan kegiatan pelaburan sebenar ke dalam urus niaga kewangan. Dalam pengaturan ini, kegiatan benar dijangkakan menjana keuntungan yang secukupnya untuk menampung risiko yang telah diambil.
Sebaliknya, instrumen kewangan konvensional secara umumnya memisahkan risiko daripada aset sandaran. Hasilnya, pengurusan risiko dan penjanaan kekayaan ada kalanya bergerak dalam arah yang berbeza atau bertentangan. Instrumen kewangan konvensional juga membolehkan risiko dijadikan bahan komoditi, yang menghasilkan peningkatan bilangannya melalui berbilang lapisan aktiviti leveraj dan pengagihan tidak seimbang yang seterusnya boleh meningkatkan lagi risiko sistemik. Ini boleh meningkatkan kemungkinan berlakunya ketidakstabilan dalam sistem kewangan.
Di samping itu, ketelusan merupakan rukun asas bagi semua urus niaga kewangan Islam. Penyedia perkhidmatan kewangan Islam mempunyai tanggungjawab dalam kewangan Islam untuk mematuhi piawai ketelusan yang bersesuaian. Ciri perkongsian keuntungan urus niaga kewangan Islam inilah yang memerlukan tahap penzahiran yang tinggi dalam kontrak kewangan. Kebertanggungjawaban pihakpihak tertentu yang terlibat dalam urus niaga dinyatakan dengan jelas dalam kontrak tersebut. Ketelusan ini juga menggalakkan institusi kewangan Islam untuk mengurus risiko dengan sewajarnya. Penzahiran ini membolehkan pasaran untuk menetapkan premium risiko yang berpatutan terhadap syarikat-syarikat yang berkenaan, dan sekali gus meningkatkan keupayaan disiplin pasaran untuk berfungsi. Ciri semula jadi ini sebagaimana yang dituntut oleh injunksi Syariah menyediakan sekatan dan imbangan (check and balance) yang terbina secara dalaman, yang berperanan memastikan kestabilan kewangan dalam sistem kewangan Islam.
Ciri-ciri ini diperkukuh lagi dengan penghasilan sebuah rejim pengawalan dan penyeliaan yang komprehensif, yang dimantapkan dengan penubuhan Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam pada tahun 2002. Penubuhan Lembaga ini juga telah menyumbang kepada pengharmonian pembangunan kewangan Islam merentas pelbagai rantau. Selain itu, institusi pendidikan telah ditubuhkan untuk membangunkan kumpulan tenaga mahir profesional dan kepakaran dalam kewangan Islam bagi menyokong pertumbuhan dan pembangunan kewangan Islam pada masa hadapan.
Evolusi produk kewangan Islam yang canggih yang telah distrukturkan berdasarkan pelbagai konsep Islam telah mewujudkan gelombang baharu inovasi. Produk kewangan Islam ini sudah pun kompetitif dan efisien dari segi struktur produk dan penentuan harga. Inovasi yang lebih terkini termasuk pengenalan dana lindung nilai Islam dan pembentukan indeks tanda aras Islam. Penyenaraian instrumen kewangan Islam di bursa antarabangsa juga telah bertambah. Ini telah memperdalam pasaran kewangan Islam dan menambah daya tarikannya sebagai sebuah kelas aset untuk pelaburan. Kesemua ini telah menjadikan produk perbankan Islam dan takaful semakin canggih seperti diperlihatkan oleh percambahan produk berstruktur dan produk berkaitan pelaburan sejak kebelakangan ini.
Pasaran sukuk sedang pesat berkembang sebagai satu bentuk pembiayaan Islam yang paling penting dan terus menarik minat yang meluas sebagai satu saluran untuk menerbitkan dana dan juga pelaburan. Momentum pertumbuhan pasaran sukuk menjadi semakin pesat dan telah meningkat pada kadar purata 40 peratus setahun. Paling ketara, 90 peratus daripada terbitan sukuk ialah terbitan korporat. Di Malaysia, terbitan sukuk telah mengatasi terbitan bon konvensional selama tiga tahun berturut-turut, dengan nilai jualan tahunan urus niaga sukuk dalam pasaran sekunder sebanyak kira-kira RM135 bilion. Permintaan yang tinggi terhadap sukuk juga telah didorong oleh tahap tabungan dan rizab yang tinggi di Asia dan Timur Tengah.
Sukuk juga merupakan instrumen yang menarik untuk membantu institusi kewangan Islam menguruskan keperluan mudah tunai mereka. Pada masa yang sama, sukuk merupakan instrumen berkesan yang digunakan oleh syarikat, institusi dan kerajaan untuk mendapatkan dana pada kadar yang kompetitif bagi membiayai keperluan dana jangka panjang mereka. Ketika ini, permintaan terhadap sukuk amat memberangsangkan. Permintaan yang tinggi terhadap instrumen sukuk terbukti dengan lebihan langganan antara dua hingga tiga belas kali. Ini telah mengurangkan kos terbitan sekurang-kurangnya 10 hingga 20 mata asas. Permintaan terhadap sukuk datangnya daripada beberapa bahagian dunia, daripada pelabur kewangan konvensional dan pelabur kewangan Islam. Lantaran kurangnya terbitan sukuk, pelabur lebih cenderung untuk memegang sukuk sebagai pelaburan lantas menyebabkan aktiviti sekunder dalam pasaran agak kurang aktif. Ini telah menyebabkan harga sukuk meningkat dalam pasaran sekunder dan seterusnya menjana pulangan pelaburan yang lumayan buat para pelabur. Justeru, sukuk menawarkan tawaran nilai yang positif kepada penerbit dan juga pelabur.
Saya ingin menyentuh pula pengalaman Malaysia dalam kewangan Islam. Malaysia mempunyai pengalaman selama tiga dekad dalam membangunkan sistem kewangan Islam yang komprehensif, yang beroperasi selari dengan sistem konvensional. Antara rangka kerja perundangan yang menyokong termasuklah sebuah perundangan khusus yang mengambil kira prinsip kontrak Islam yang unggul. Infrastruktur perundangan juga merangkumi sistem mahkamah dan mekanisme penimbangtaraan untuk menyelesaikan pertikaian bagi memastikan kontrak berkaitan dengan urus niaga kewangan Islam dikuatkuasakan secara berkesan. Sistem kewangan Islam juga disokong oleh bilangan besar peserta yang pelbagai dalam perbankan, takaful dan pasaran modal. Akhirnya, bagi sebuah sistem dwikewangan, perubahan cukai telah dilaksanakan untuk memberikan layanan yang sama rata antara produk kewangan konvensional dengan produk kewangan Islam. Penubuhan sebuah Majlis Syariah di peringkat kebangsaan adalah penting bagi memastikan pengharmonian keputusan Syariah dalam industri perkhidmatan kewangan Islam.
Industri kewangan Islam di Malaysia telah mengalami transformasi yang pesat dalam lima tahun kebelakangan ini. Rangkaian produk kewangan Islam kini telah berkembang menjadi rangkaian instrumen inovatif yang meluas. Beberapa produk kewangan Islam baharu telah diperkenalkan, termasuk sekuriti bersandarkan gadai janji kediaman, pembiayaan berasaskan komoditi dan juga produk berkaitan pelaburan dan ekuiti yang berasaskan musyarakah, mudarabah dan ijarah.
Sistem kewangan Islam di Malaysia telah berkembang menjadi sebuah komponen yang kompetitif dalam keseluruhan sistem kewangan, melengkapkan sistem kewangan konvensional sebagai pemacu pertumbuhan dan kemajuan ekonomi negara. Malaysia terus menggalakkan peluasan sistem dwiperbankan, dengan sistem kewangan Islam dan konvens ional beroperasi selari dalam menyediakan produk dan perkhidmatan kewangan yang inovatif dan berdaya saing. Lebih terkini, liberalisasi industri perkhidmatan kewangan Islam yang semakin pesat telah meningkatkan kehadiran dan penyertaan asing dalam sistem kewangan Islam domestik Malaysia. Ini telah mewujudkan peserta yang lebih pelbagai dalam sistem kami. Pasaran bon Malaysia juga telah diliberalkan untuk membolehkan entiti asing menerbitkan dana dalam denominasi ringgit dan mata wang asing dalam pasaran domestik. Berikutan perkembangan ini, Malaysia kini memasuki fasa baharu dalam pembangunan sistem kewangan Islam, dengan inisiatif baharu untuk mempromosikan Malaysia sebagai sebuah Pusat Kewangan Islam Antarabangsa. Ini bertujuan mengukuhkan kesalinghubungan ekonomi dan kewangan Malaysia dan seterusnya menggalakkan perdagangan dan pelaburan merentas sempadan yang lebih giat. Justeru, kami kini sedang memasuki fasa baharu pembangunan kewangan Islam di Malaysia memandangkan ia menjadi lebih bersepadu dengan sistem kewangan antarabangsa.
Berdasarkan permintaan terhadap produk dan perkhidmatan kewangan Islam yang amat menggalakkan, beberapa negara dan pusat kewangan semakin aktif mengambil bahagian dalam industri ini. Sesungguhnya kumpulan yang bakal menerajui pada peringkat global ialah mereka yang memiliki gabungan kekuatan keupayaan dan sumber di samping kemampuan untuk mendapatkan keyakinan masyarakat kewangan Islam antarabangsa. Berlatarbelakangkan persekitaran yang semakin kompetitif inilah potensi kekuatan dua hala dan pelbagai hala akan menjadi penting dalam menguruskan industri perkhidmatan kewangan Islam yang kompleks dan mempunyai kekangan.
Peningkatan minat beberapa pusat kewangan, bersama-sama dengan hubungan antarabangsa mereka akan menyumbang ke arah mewujudkan sistem kewangan Islam antarabangsa yang lebih bersepadu. Contohnya, Hong Kong yang mempunyai infrastruktur dan keupayaan untuk memudahkan penawaran produk yang akan merangkaikan hubungan kewangan serantau dan antarabangsa. Kerjasama strategik dalam kalangan peserta kewangan Islam akan menjadi pemangkin yang akan membuka ruang potensi kewangan Islam serantau dan global.
Di Asia Tenggara sahaja terdapat potensi besar dalam pasaran yang boleh dimanfaatkan. Pasaran ini bukan sahaja mempunyai 217 juta penduduk Islam malah juga menjangkaui masyarakat bukan Islam dan komuniti negara asing yang beroperasi dalam rantau ini. Rantau ini semakin pesat berkembang menjadi sebuah destinasi pelaburan, termasuk bagi pelabur dari Timur Tengah. Pada tahun 2006, rantau Asia Pasifik telah mengatasi Eropah sebagai rantau kedua terbesar bagi pelaburan dari GCC (Gulf Cooperation Council) dengan pelaburan sebanyak USD460 bilion.
Inisiatif khusus terkini untuk meningkatkan pasaran pensekuritian oleh Cagamas Berhad dengan pewujudan sebuah syarikat usaha sama the Malaysian Mortgage Corporation dan Hong Kong Mortgage Corporation untuk menyediakan sebuah program jaminan gadai janji bagi gadai janji Islam dan konvensional di Malaysia, merupakan satu contoh kerjasama. Ini boleh menjadi pemangkin kepada inisiatif yang sama pada masa hadapan.
Institusi kewangan konvensional juga boleh menjalinkan kerjasama dengan institusi kewangan Islam untuk menjadi pengatur bersama bagi menstrukturkan sukuk atau produk kewangan Islam lain berasaskan aset yang berlandaskan Syariah dalam rantau ini. Ketersediaan pelbagai aset sedemikian dan keperluan pembiayaan yang besar bagi sektor pertumbuhan baharu dalam rantau ini, seperti di China, Indonesia dan Vietnam, akan menarik dana daripada negara yang mempunyai lebihan dana seperti dari negaranegara Teluk. Usaha juga boleh ditumpukan pada pemudahan penyenaraian silang sukuk di pelbagai negara. Di samping itu, daya maju pembentukan Asian Sukuk Fund sebagai lanjutan kepada Asian Bond Fund juga boleh dikaji dengan lebih lanjut.
Bakal penerbit boleh menggunakan platform sukuk Malaysia dan kekuatannya sebagai pusat penerbit sukuk terbesar di dunia yang bernilai lebih daripada USD56 bilion atau 62% daripada terbitan sukuk dunia. Malaysia merupakan pasaran sukuk primer yang paling aktif, dengan pertumbuhan tahunan purata sebanyak 17% antara tahun 2001-2006. Malaysia juga mempunyai pasaran sekunder yang paling aktif dengan nilai jualan tahunan urus niaga sukuk sebanyak lebih daripada USD40 bilion. Penerbit antarabangsa yang diberikan penarafan yang baik akan mendapat manfaat daripada prosedur terbitan yang lebih mudah. Ini sebagai tambahan kepada keupayaan untuk menerbitkan sukuk dalam pelbagai mata wang dan kefleksibelan untuk menukar dana dalam ringgit ke dalam mata wang lain bagi membolehkan penerbit asing memanfaatkan premium harga terbitan sukuk dalam denominasi ringgit.
Satu lagi bidang kerjasama ialah penggunaan perkhidmatan pihak ketiga (outsourcing), penggunaan perkhidmatan dalaman (insourcing) atau pun perkhidmatan atau produk yang tidak diketahui pengeluarnya tetapi diberi penjenamaan tertentu oleh syarikat yang memasarkannya (white labelling). Kesemua mekanisme ini bukan sekadar berperanan sebagai saluran untuk mengurangkan kos menjalankan perniagaan, mencapai ekonomi ikut bidangan dan menghindarkan penggunaan sumber secara bertindih, akan tetapi ia juga memberikan tumpuan sepenuhnya kepada peserta untuk membangunkan perniagaan kewangan Islam yang baru diterokai. Pengalaman Malaysia dalam operasi kewangan Islam dan reka bentuk produk boleh dimanfaatkan untuk merangka penyelesaian menyeluruh secara sistematik yang boleh ditawarkan kepada peserta lain.
Melangkah ke hadapan, kewangan Islam sebagai sebuah industri baharu memerlukan lebih banyak inisiatif untuk meluaskan parameter perniagaan dan penawaran produk inovatif. Terdapat keperluan untuk menjalankan penyelidikan mendalam mengenai isu-isu Syariah yang berkaitan dengan pengurangan risiko, pengurusan mudah tunai dan perlindungan nilai. Gabungan pengetahuan pasaran dan kefahaman yang mendalam daripada institusi pendidikan dan latihan seperti Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa di Malaysia (International Centre for Education in Islamic Finance, INCEIF) boleh memberikan sumbangan bermakna kepada industri kewangan Islam global yang menangani hal keperluan pasaran dan pematuhan terhadap Syariah. Selain itu, program utama INCEIF, iaitu Chartered Islamic Finance Professional (CIFP) menawarkan program pensijilan profesional dalam kewangan Islam yang pertama di dunia untuk melahirkan kumpulan tenaga mahir dalam kewangan Islam.
Akhir kata, saya ingin merumuskan bahawa industri kewangan Islam sesungguhnya telah berkembang daripada sebuah wadah berasaskan kepercayaan kepada sebuah industri berpacukan perniagaan untuk semua golongan masyarakat. Dengan jumlah aset kewangan Islam global hanya mencakupi 40% daripada aset bank konvensional terbesar dan dengan hanya 300 peserta berbanding dengan 23,000 peserta konvensional di seluruh dunia, tekanan persaingan dalam melangkah ke hadapan mungkin menjadi lebih sengit. Akan tetapi, dengan kekuatan kewangan Islam dan potensinya untuk menyatukan bahagian dunia yang berbeza yang mempunyai dana lebihan dan sedang mencari peluang pelaburan, dengan pihak yang memerlukan pembiayaan, akan melimpahkan peluang besar yang boleh diraih daripada kewangan Islam. Gabungan usaha dan jalinan kerjasama akan merintis jalan ke arah kemajuan yang saling memperkukuh yang akan menyumbang kepada keseluruhan sistem kewangan antarabangsa dan juga kemakmuran ekonomi global.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.