Ucapan Gabenor pada Seminar Pelan Induk 10 Tahun bagi Industri Perkhidmatan Kewangan Islam yang bertajuk "Membina Sektor Perbankan Islam Progresif: Mencorak Hala Tuju Masa Hadapan"
Putrajaya, Malaysia | 22 Jun 2005
"Industri perkhidmatan kewangan Islam kini di ambang fasa pembangunan seterusnya. Dekad ini menyaksikan pencapaian kemajuan yang pesat. Kewangan Islam kini telah diterima secara meluas sebagai sebuah pengantara kewangan. Walau bagaimanapun, kemapanan kemajuan ini perlu diberi perhatian mendalam bagi masa hadapan - untuk melihat melebihi masa terdekat dan mengambil perspektif jangka masa panjang dalam memenuhi keperluan hadapan dan untuk mengembangkan sistem kewangan Islam yang dapat memenuhi keperluan ini dengan cara terbaik. Satu bahagian penting dalam proses ini ialah kejelasan mengenai visi dan objektif yang ingin dicapai. Ini ialah titik permulaan dalam penggubalan Pelan Induk yang akan mendefinisikan rangka tindakan pembangunan masa hadapan kewangan Islam. Dengan menggambarkan masa hadapan, ia akan memberi fokus yang strategik dan matlamat bersama yang ingin dicapai. Namun, perkara yang lebih penting ialah langkah-langkah yang perlu diambil untuk merealisasikannya".
Saya amat berbesar hati kerana diundang untuk berucap di Seminar Pelan Induk Sepuluh Tahun bagi industri perkhidmatan kewangan Islam yang dianjurkan oleh Bank Pembangunan Islam (IDB) dan Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam bagi membincangkan isu-isu dan pertimbangan utama dalam menggubal satu pelan induk untuk pembangunan perbankan dan kewangan Islam. Matlamat kita adalah untuk membangunkan satu sistem kewangan Islam yang efisien, progresif dan komprehensif yang mampu memberi sumbangan kepada keseluruhan proses pertumbuhan dan pembangunan. Fokus ucapan saya adalah pada rangka tindakan ke arah pembinaan satu sektor perbankan Islam yang progresif. Ini meliputi perbincangan mengenai blok binaan yang perlu bagi menyediakan asas pada masa akan datang untuk penambahbaikan dibuat. Saya juga mengambil kesempatan ini untuk berkongsi dengan para hadirin mengenai pengalaman Malaysia dalam penggubalan Pelan Induk Sektor Kewangan 10 tahun yang dilancarkan pada tahun 2001, serta pengalaman kami dalam melaksanakan Pelan tersebut, khususnya dalam pembangunan sektor perbankan Islam.
Keperluan akan Pelan Induk
Kewangan Islam kini sedang menuju ke arah satu dimensi baru untuk memenuhi keperluan pengguna dan perniagaan yang sentiasa berubah; untuk menjadi peserta dalam persekitaran yang lebih liberal dan global serta untuk menjadi lebih bersepadu dengan persekitaran antarabangsa. Sistem kewangan juga sedang beroperasi dalam era perubahan. Malah, landskap kewangan negara dan antarabangsa kini dibentuk oleh kuasa perubahan yang sangat kuat, justeru melahirkan satu persekitaran yang tidak menentu. Walau bagaimanapun, dengan visi yang jelas mengenai matlamat mutlak yang ingin dicapai oleh sistem kewangan, kita mampu melalui tindakan dan inisiatif yang diambil hari ini, membantu merealisasikan visi masa hadapan kita.
Pelan Induk ini pada dasarnya menyediakan satu visi yang sama dan templat bagi negara-negara dalam membangunkan industri perkhidmatan kewangan Islam. Visi dan objektif yang ingin dicapai ini sebahagian besarnya bergantung pada aspirasi yang diingini untuk ekonomi, peranan sektor kewangan dalam ekonomi, fasa pembangunan ekonomi dan sektor kewangan serta tahap integrasi antarabangsa dengan negara-negara lain.
Pelan Induk ini juga akan menjadi dokumen rujukan utama untuk memandu negara dalam menentukan hala tuju pembangunan yang teratur bagi sistem kewangan Islam. Dengan itu, strategi dan pelan tindakan umum, dengan pencapaian yang perlu dicapai pada jangka masa sederhana dan panjang bagi membangunkan sistem kewangan Islam, boleh dikenal pasti. Dalam parameter yang telah ditentukan, negara-negara mempunyai pelbagai pilihan dalam menentukan tindakan terbaik bagi mencapai visi negara yang dihasratkan. Pengalaman negara-negara anggota yang lain boleh dikumpul untuk dijadikan rujukan.
Walau bagaimanapun, perlu difahami bahawa sungguhpun Pelan tersebut menyediakan hala tuju yang strategik, pelaksanaannya perlu diurus dengan fleksibel. Pendekatan bagi pelaksanaan pelan tindakan seperti yang digariskan dalam Pelan Induk perlu dijalankan secara iteratif, dengan mengambil kira potensi perubahan yang mungkin berlaku dalam persekitaran dalam dan luar negara.
Pelan Induk ini juga akan mengenal pasti blok binaan beberapa bahagian sektor kewangan yang perlu diwujudkan untuk menyediakan asas kemajuan seterusnya. Oleh itu, Pelan Induk Kewangan menyediakan susunan keutamaan dan mengenal pasti infrastruktur kewangan utama yang perlu diwujudkan sebelum melangkah ke hadapan. Pelaksanaan boleh dijalankan secara serentak bagi sesetengah bidang, manakala bagi bidang yang lain, pendekatan langsung boleh diambil untuk mempercepat kadar pembangunan.
Dalam merangka dan merumuskan Pelan Induk, pertimbangan harus diberikan kepada kepelbagaian negara anggota IDB. Negara anggota IDB berada pada tahap pembangunan ekonomi yang berbeza-beza, menghadapi cabaran ekonomi dan kewangan yang berbeza serta mempunyai keutamaan pembangunan yang berbeza. Pelan Induk bertujuan untuk mengemukakan pendekatan, templat dan blok binaan yang boleh diguna pakai di peringkat yang berbeza dalam pembangunan sistem kewangan Islam yang komprehensif. Peningkatan secara berperingkat akan memberi Pelan Induk fleksibiliti untuk mengambil kira tahap pembangunan ekonomi yang berbeza di negara-negara berkenaan. Walaupun titik permulaan mungkin berbeza, namun negara-negara tersebut boleh mengubah suai pendekatan mengikut tahap pembangunan mereka. Pelan Induk juga akan memberi pilihan kepada negara-negara untuk membangunkan sistem kewangan secara berperingkat, atau sebagai alternatif, pilihan untuk membangunkan institusi dan infrastruktur sokongan secara serentak.
Kepentingan Sistem Perbankan
Pada asasnya, perhatian perlu diberi kepada penggalakan pembangunan sistem kewangan Islam yang komprehensif, yang melibatkan pembangunan komponen sistem yang utama berstruktur, yang terdiri daripada industri perbankan Islam industri takaful, institusi kewangan bukan bank serta pasaran yang komprehensif ini akan membolehkan pengagihan sumber kewangan dan ekonomi yang lebih seimbang dalam sesebuah ekonomi serta memastikan kepelbagaian risiko dalam sistem kewangan Islam. Ini akan meningkatkan daya tahan dan kekukuhan sistem kewangan Islam dalam menghadapi kejutan kewangan dan menyumbang kepada kestabilan sistem kewangan Islam yang menyeluruh. Komponen sistem kewangan Islam hendaklah bersepadu dan saling bergantung. Infrastruktur kewangan Islam yang pelbagai akan menyumbang kepada fungsi sistem kewangan Islam keseluruhan yang lebih berkesan.
Berdasarkan peranannya dalam proses pengantaraan dan sistem pembayaran, sistem perbankan Islam akan terus menjadi teras kepada sistem kewangan Islam. Sistem perbankan yang berkesan dan berfungsi dengan baik adalah penting bagi mencapai prestasi ekonomi yang teguh. Sebagai pengantara kewangan, bank bertanggungjawab untuk melindungi deposit dan mengekalkan kecekapan cara dana digemblengkan, di samping menyalurkan secara berhemat simpanan tersebut untuk pelaburan yang produktif. Dengan tanggungjawab tersebut, institusi perbankan dikehendaki memainkan peranan mereka dengan efektif dan efisien untuk menyumbang kepada kestabilan keseluruhan sistem kewangan serta pertumbuhan dan pembangunan ekonomi.
Visi Sistem Perbankan Islam
Dalam menentukan hala tuju pembangunan masa hadapan sistem perbankan Islam, pertimbangan yang wajar perlu diberikan kepada peranan sistem perbankan dalam ekonomi. Matlamat utama adalah untuk meningkatkan kekayaan dan menggalakkan pertumbuhan ekonomi yang mapan dan seimbang. Oleh itu, visinya adalah untuk membangunkan satu sistem perbankan dan kewangan Islam yang progresif dan teguh dengan bertunjangkan nilai teras dan prinsip Islam yang dapat memenuhi keperluan ekonomi dengan cara yang terbaik.
Dengan menentukan destinasi pembangunan industri perbankan Islam, Pelan Induk ini akan menyediakan hala tuju ke arah visi yang sama di kalangan negara dalam pembangunan sistem kewangan Islam. Sementara usaha bersama boleh digembleng bagi mencapai satu visi yang sama, pertimbangan perlu diberikan pada tahap pembangunan negara-negara berkenaan. Khususnya, peranan yang dijangka dimainkan oleh sistem perbankan perlu dikenal pasti. Ini merangkumi pembangunan sistem perbankan Islam sebagai pengantara dana yang cekap dalam ekonomi, persediaan sistem perbankan dan kewangan Islam yang sofistikated dan berintegrasi pada peringkat antarabangsa serta berperanan sebagai jentera pertumbuhan.
Prasyarat Sistem Perbankan Islam
Pembangunan sistem perbankan Islam yang kukuh dan dinamik, yang boleh memainkan peranan bermakna dalam pembangunan ekonomi dan sosial negara masa hadapan, memerlukan strategi yang jelas yang memberi fokus pada dua bidang utama, iaitu pembinaan kapasiti keinstitusian dan pembangunan infrastruktur sokongan kewangan. Izinkan saya menjelaskan bidang utama dalam strategi ini.
Langkah pertama adalah untuk mengenal pasti ciri sistem perbankan Islam yang sesuai untuk negara - terutamanya sama ada mengguna pakai sistem dwiperbankan dengan bank-bank Islam dan bank konvensional yang menawarkan produk perbankan Islam beroperasi seiring dengan sistem perbankan konvensional, atau secara alternatif, mengguna pakai sistem perbankan tunggal yang menepati sepenuhnya kehendak Syariah (semua bank adalah bank Islam).
Kedua, langkah-langkah perlu diambil untuk memastikan bank-bank Islam mempunyai modal yang kukuh dan berdaya saing. Bagi bank-bank Islam yang telah beroperasi, kriteria yang jelas perlu ditetapkan bagi saiz modal minimum untuk menjadikan bank tersebut peserta pasaran yang penting, dapat memanfaatkan daripada faedah ekonomi bidangan, mempunyai asas perolehan yang pelbagai dan penonjolan yang lebih ketara dalam pasaran. Saiz minimum tersebut boleh dicapai melalui pertumbuhan organik atau penggabungan dengan bank rakan kongsi, yang akan menghasilkan matlamat yang ingin dicapai dalam tempoh masa yang lebih singkat. Insentif boleh diberikan untuk mendorong bank-bank untuk bergabung manakala garis panduan mengenai saiz modal minimum boleh diterima pakai bagi memastikan sama ada bank-bank tersebut bergabung atau menjalankan permodalan semula. Bagi negara-negara yang sedang mengambil langkah memperkenalkan bank Islam, ini boleh dicapai dengan pengeluaran lesen perbankan Islam yang baru.
Ketiga, bagi negara-negara yang mempunyai sistem dwiperbankan dengan bank konvensional dibenarkan menawarkan produk perbankan Islam, benteng pemisah "firewall" yang mencukupi perlu diwujudkan untuk memastikan pemisahan yang nyata dalam operasi perbankan supaya percampuran antara dana operasi perbankan Islam dengan konvensional dapat dielakkan. Ini adalah untuk memastikan integriti operasi perbankan Islam dan kesucian dana Islam. Benteng pemisah tersebut perlu mengambil kira dana modal, sistem penjelasan cek, akaun penjelasan dengan bank pusat, akaun penyelesaian dan sistem pelaporan yang berasingan.
Keempat, adalah penting bagi pihak berkepentingan dalam sesebuah institusi, memainkan peranan mereka dengan efektif dan efisien dalam menambahbaikan entiti tersebut tanpa mengira pemilihan sistem. Perkara utama ialah kepimpinan yang mantap dalam kumpulan pengurusan, yang mempunyai komitmen yang tinggi terhadap prestasi dan peningkatan kapasiti. Di samping itu, pelaburan dalam bakat dan kemahiran yang diperlukan adalah penting untuk menerajui pembangunan produk kewangan Islam.
Kelima, ialah keperluan mewujudkan infrastruktur perundangan yang komprehensif. Enakmen undang-undang perbankan Islam ialah satu bahagian yang penting dalam proses ini. Bagi bank konvensional yang menawarkan produk perbankan Islam. Pindaan perundangan perbankan yang sedia ada mungkin perlu untuk membolehkan bank-bank tersebut menjalankan aktiviti-aktiviti berkaitan dengan perdagangan dan pelbagai fungsi lain. Dasar pelaburan Kerajaan mungkin perlu dikaji semula untuk menangani isu instrumen pelaburan Islam bagi memudahkan operasi mudah tunai institusi perbankan sedemikian. Selain itu, ahli-ahli perundangan yang kompeten dalam undang-undang Syariah dan sivil juga penting. Seterusnya, dalam sistem dwiperbankan, undang-undang percukaian perlu memberikan layanan sama rata antara produk perbankan Islam dengan konvensional.
Keenam, pembangunan rangka kerja Syariah yang komprehensif merupakan satu bahagian fundamental dalam proses ini. Setiap institusi menawarkan produk kewangan Islam perlu menubuhkan jawatankuasa penasihat Syariah bagi memastikan semua urus niaga, produk dan operasi kewangan Islam mematuhi kehendak-kehendak Syariah. Keputusan Syariah perlu dibuat dengan telus bagi menggalakkan persefahaman dan penerimaan yang meluas.
Ketujuh, keperluan terhadap rangka kerja pengawalan dan penyeliaan yang mantap dan efektif adalah amat penting. Walaupun pengawalan dan penyelesaian kewangan institusi perbankan Islam adalah sama, bidang-bidang tertentu seperti kecukupan modal dan rangka kerja mudah tunai perlu mengambil kira ciri risiko model perbankan Islam yang unik, yang memenuhi kehendak-kehendak Syariah: tadbir urus korporat yang baik, ketelusan, pertanggungjawaban, penzahiran, disiplin pasaran, pengurusan risiko dan perlindungan pengguna ialah isu yang sama yang perlu ditangani. Dalam sistem dwiperbankan, adalah penting untuk menghapuskan peluang-peluang arbitraj pengawalseliaan dalam amalan perbankan.
Kelapan, penyelidikan dan pembangunan adalah penting untuk memasukkan nilai-nilai Islam sebagai teras produk perbankan dan model perniagaan. Penyelidikan dan pembangunan di samping pemanfaatan kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi juga kritikal bagi memastikan prestasi dan pengagihan keuntungan dan kekayaan yang lebih adil di kalangan semua pihak yang berkepentingan. Selain itu, model kewangan yang mantap yang menggunakan kemajuan teknologi maklumat dapat diterima pakai untuk mempertingkatkan pembangunan produk dan pengurusan risiko.
Kesembilan, pembangunan infrastruktur pasaran kewangan tidak kurang pentingnya bagi memastikan kemapanan perbankan Islam. Pasaran antara bank secara Islam dan pasaran pertukaran asing adalah perlu untuk sistem perbankan Islam yang berfungsi secara efisien. Kedua-duanya memudahkan operasi mudah tunai bank-bank Islam dan menggalakkan kestabilan kewangan. Di samping itu, kedua-duanya bertindak sebagai saluran penghantaran yang penting bagi pelaksanaan dasar monetari dan peranan bank pusat sebagai pemberi pinjaman usaha akhir. Pasaran modal Islam yang maju juga penting kerana ia memberikan sumber alternatif bagi pembiayaan jangka masa lebih panjang dan berkos efisien kepada pengguna modal. Ia juga memberikan rangkaian instrumen kewangan yang lebih pelbagai kepada pelabur untuk disesuaikan dengan profil risiko mereka yang berbeza-beza. Sistem pembayaran yang cekap dan mantap bagi penjelasan dan penyelesaian pembayaran menjadi teras sesuatu sistem kewangan. Infrastruktur kewangan lain yang menyediakan sokongan kepada pembangunan sektor perbankan Islam termasuk syarikat gadai janji untuk menjalankan pensekuritian pembiayaan perumahan, syarikat jaminan kredit untuk menyediakan skim jaminan kepada industri perusahaan kecil dan sederhana (PKS), dan agensi penarafan untuk memberikan penarafan instrumen kewangan Islam serta satu skim insurans deposit untuk menyediakan jaringan keselamatan yang perlu kepada pendeposit juga perlu disediakan. Selain itu, firma pengauditan, firma percukaian dan firma perundangan hendaklah mempunyai tenaga kerja yang sesuai bagi menyediakan perkhidmatan kepada institusi kewangan Islam. Institusi sokongan ini hendaklah mempunyai kemampuan untuk menyediakan perkhidmatan yang mematuhi prinsip Syariah.
Kesepuluh, pendidikan dan kesedaran pengguna tentang perbankan Islam adalah kritikal dalam menentukan kejayaan dan pembangunan masa hadapannya. Program pendidikan pengguna perlu dibangunkan bagi meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap ciri produk dan perkhidmatan perbankan Islam.
Menterjemah Pelan Tindakan menjadi Realiti
Sistem perbankan Islam yang sesuai bagi sesebuah negara bergantung terutamanya pada agenda negara tersebut, matlamat yang ingin dicapai oleh sistem tersebut dan sumber-sumber yang sedia ada. Dalam sistem dwiperbankan, bank konvensional mempunyai pilihan untuk menawarkan produk perbankan Islam melalui struktur jendela atau cawangan-cawangan bank Islam sepenuhnya atau subsidiari Islam. Bank konvensional juga boleh ditukar untuk beroperasi sebagai bank Islam. Sebagai alternatif, sistem perbankan Islam mungkin juga terdiri daripada bank-bank Islam yang baru ditubuhkan untuk beroperasi seiring dengan sistem perbankan konvensional.
Di samping itu, kerajaan boleh menaik taraf institusi tabungan Islam sedia ada menjadi bank Islam; melesenkan bank Islam asing sebagai satu konsortium atau usaha sama dengan bank-bank tempatan; atau kombinasi pilihan tersebut bagi mencapai matlamatnya. Sebagai alternatif, sesebuah negara boleh mengguna pakai sistem perbankan dan kewangan Islam secara menyeluruh, iaitu sistem perbankan tunggal yang memenuhi keperluan Syariah sepenuhnya.
Izinkan saya mengambil peluang ini untuk membentangkan pengalaman Malaysia. Sistem perbankan Islam di Malaysia telah melalui empat fasa pembangunan. Fasa pertama melibatkan penubuhan institusi kewangan Islam. Dalam fasa kedua, bank konvensional yang mempunyai benteng pemisah yang sewajarnya dibenar menawarkan produk dan perkhidmatan kewangan Islam. Fasa ketiga menyaksikan operasi jendela yang telah mencapai saiz kritikal diberi pilihan untuk mentransformasi struktur jendela kepada subsidiari Islam. Akhir sekali, apabila kapasiti dipertingkatkan, sektor perbankan Islam telah diliberalisasikan bagi membolehkan sistem perbankan Islam domestik berintegrasi dengan sistem perbankan di peringkat antarabangsa yang merupakan fasa keempat pembangunan.
Fasa pertama pembangunan kewangan Islam di Malaysia bermula pada tahun 1969 dengan tertubuhnya institusi tabungan Islam iaitu Lembaga Tabung Haji (LTH), sebagai institusi kewangan Islam pertama di Malaysia. Matlamat LTH adalah untuk menggembleng wang simpanan orang Islam yang berniat untuk mengerjakan haji dan menyalurkan dana tersebut ke dalam pelaburan yang berlandaskan prinsip Syariah. Atas kesedaran kewangan Islam yang semakin meningkat, bank Islam pertama iaitu Bank Islam Malaysia Berhad, ditubuhkan pada tahun 1983 dan dilesenkan di bawah Akta Bank Islam.
Akta Pelaburan Kerajaan juga digubal pada tahun 1983 bagi membolehkan sijil pelaburan kerajaan diterbitkan untuk memudahkan operasi mudah tunai Bank. Sebagai sebahagian daripada matlamat jangka panjang pembangunan sistem kewangan Islam yang komprehensif, yang mampu beroperasi seiring dengan sistem perbankan konvensional, pengendali takaful atau insurans Islam pertama ditubuhkan pada tahun 1984, di bawah Akta Takaful iaitu setahun sesudah Bank Islam ditubuhkan bagi menyediakan perlindungan bagi pembiayaan Islam.
Dalam fasa kedua pembangunan perbankan Islam, institusi perbankan konvensional dibenar menawarkan produk dan perkhidmatan perbankan Islam melalui struktur jendela dengan mengguna pakai infrastruktur sedia ada, termasuk kakitangan dan rangkaian cawangan, bagi mencapai pasaran yang lebih meluas dan kos yang optimum. Dasar penting ini hanya dilaksanakan selepas 10 tahun penubuhan bank Islam sepenuhnya bagi membolehkan ia mencapai sasaran yang lebih luas. Operasi jendela membolehkan bank konvensional sedia ada menyertai pasaran perbankan Islam bagi orang Islam dan bukan Islam.
Di bawah satu program perintis, tiga bank konvensional pada mulanya diberi kebenaran untuk menawarkan produk dan perkhidmatan perbankan Islam. Kemudian, pada awal tahun 1994, bersama-sama dengan penubuhan pasaran wang antara bank secara Islam, sistem dwiperbankan dilaksanakan. Penubuhan pasaran wang antara bank adalah penting supaya sistem perbankan Islam dapat berfungsi dengan lancar dan menjadi model pertama seumpamanya. Seiring dengan perkembangan ini, benteng pemisah antara dana konvensional dengan dana Islam diperkenalkan. Ini termasuk pengasingan dana modal, sistem penjelasan cek, akaun penjelasan dengan Bank Negara Malaysia, akaun penyelesaian dan sistem pelaporan. Mereka juga dikehendaki menubuhkan unit perbankan Islam yang diketuai oleh pegawai kanan, mewujudkan dana perbankan Islam dengan peruntukan minimum, dan melantik sekurang-kurangnya seorang pakar runding Syariah untuk memberi nasihat dalam operasi harian bahagian perbankan Islam. Pada tahun-tahun berikutnya, beberapa peraturan dan pengawalan tambahan dibuat untuk memperkukuh operasi tersebut. Seterusnya, lebih banyak peserta diberi kelulusan untuk menawarkan produk dan perkhidmatan kewangan Islam. Langkah ini meningkatkan lagi keaktifan pasaran antara bank secara Islam.
Kecekapan pasaran antara bank secara Islam dipertingkatkan oleh Sistem Penyelesaian Kasar Masa Nyata (RENTAS) dan Sistem Automatik Sepenuhnya untuk Tender (FAST). RENTAS memudahkan pemindahan dana antara bank dan sekuriti tanpa skrip yang lebih besar nilainya, sementara FAST memudahkan proses tender bagi sekuriti Islam termasuk sekuriti kerajaan, kertas komersial dan sekuriti hutang swasta. Dana dikumpul bagi membiayai projek infrastruktur dan pembangunan jangka panjang melalui penerbitan sekuriti hutang swasta Islam.
Menyedari betapa pentingnya pasaran modal, Malaysia mula membangunkan pasaran sekuriti kewangan Islam swasta pada awal tahun 1990-an, kira-kira enam tahun selepas penubuhan bank Islam tersebut, dengan penerbitan instrumen kewangan Islam pertama. Kemudiannya, lebih banyak instrumen diterbitkan dan ini mewujudkan persekitaran pelaburan yang kondusif bagi pelabur, termasuk bank. Pengenalan pasaran modal Islam telah mengurangkan kebergantungan pembiayaan jangka panjang pada sistem perbankan Islam dan membenarkan institusi perbankan Islam mempelbagaikan sebahagian daripada risiko dan berpunca daripada ketidakpadanan aset dan liabiliti. Pasaran modal Islam memainkan peranan yang penting dalam mengurangkan sumber potensi keadaan kewangan yang mudah terjejas dan meningkatkan keteguhan dan daya tahan sistem kewangan Islam, dengan itu menghasilkan kestabilan kewangan yang lebih mantap.
Satu perkembangan yang ketara dalam pasaran kewangan Islam domestik baru-baru ini ialah penerbitan sekuriti hutang Islam berdenominasi ringgit oleh dua institusi kewangan pelbagai hala. Ini meningkatkan keyakinan dalam pasaran kewangan Islam Malaysia. Penerbitan tersebut menjadi kenyataan berikutan liberalisasi terhadap peraturan pentadbiran pertukaran asing untuk memudahkan bank pembangunan pelbagai hala, institusi kewangan pelbagai hala dan syarikat multinasional untuk menerbitkan bon berdenominasi ringgit dalam pasaran modal Malaysia.
Kini, sistem perbankan Islam diwakili oleh 30 institusi perbankan Islam, yang terdiri daripada empat bank Islam dan 26 institusi perbankan konvensional, iaitu lapan bank perdagangan, empat bank asing, tiga syarikat kewangan, empat bank saudagar dan tujuh syarikat diskaun. Kemampuan institusi perbankan Islam mengurus dan menawarkan produk dengan ciri yang menarik dan inovatif pada harga yang kompetitif berbanding dengan produk perbankan konvensional telah menarik minat pelanggan Islam dan bukan Islam. Ini mencerminkan kecekapan dan daya saing kewangan Islam sebagai satu bentuk pengantara kewangan. Rangkaian pengagihan institusi perbankan Islam yang meluas, yang terdiri 152 cawangan perbankan Islam sepenuhnya dan 2,065 kaunter perbankan Islam, juga disokong oleh sistem pembayaran yang cekap dan terjamin.
Institusi-institusi lain yang ditubuhkan untuk memastikan sistem kewangan Islam kekal mapan dan kukuh termasuk agensi penarafan kredit luaran, seperti Agensi Penarafan Malaysia dan Malaysian Rating Corporation Berhad, tiga pengendali takaful, lima institusi kewangan pembangunan yang menawarkan produk kewangan Islam, termasuk sebuah bank koperasi yang bertukar menjadi institusi kewangan Islam sepenuhnya dan perbadanan cagaran nasional, Cagamas Berhad yang kesemuanya menawarkan produk kewangan Islam.
Malaysia juga melaksanakan pembaharuan undang-undang, pengawalan sendiri dan langkah-langkah untuk menggalakkan pengawalan berasaskan pasaran. Langkah-langkah baru telah diperkenalkan untuk terus meningkatkan tahap tadbir urus di kalangan institusi perbankan. Di Malaysia, Mahkamah Tinggi Malaysia mempunyai hakim mahkamah tinggi khas yang bertugas untuk menghakimi litigasi mengenai hal-hal berkaitan perbankan dan kewangan Islam. Untuk melakukan kajian semula perundangan yang holistik, Bank Negara Malaysia telah menubuhkan Jawatankuasa Kajian Semula Undang-Undang untuk mengkaji semula perundangan dalam negeri yang berasaskan common law untuk memasukkan prinsip Syariah. Matlamatnya adalah untuk menghapuskan sebarang halangan undang-undang dan memastikan sistem perbankan dan kewangan Islam berfungsi tanpa halangan dan efisien. Akta Bank Negara Malaysia juga telah dipinda untuk membolehkan penubuhan Majlis Penasihat Syariah di Bank Negara Malaysia sebagai satu-satunya pihak berkuasa dan tempat rujukan mengenai semua perkara yang berkaitan dengan perbankan dan kewangan Islam.
Sistem kewangan Islam pada hari ini telah muncul sebagai satu komponen penting sistem kewangan Malaysia yang menyumbang kepada pertumbuhan dan perkembangan ekonomi Malaysia. Semenjak tahun 2000, dari segi aset, industri perbankan Islam domestik telah berkembang pada kadar purata 18% setahun. Pada akhir tahun 2004, jumlah aset sektor perbankan Islam meningkat kepada RM94.6 bilion, iaitu 10.5% daripada jumlah aset dalam sistem perbankan. Bahagian pasaran bagi deposit dan pembiayaan Islam juga meningkat masing-masing kepada 11.2% dan 11.3%.
Pada masa industri perbankan Islam domestik berkembang ke tahap pembangunan yang lebih maju, perkembangan yang ketara membentuk infrastruktur pengawalseliaan kewangan industri. Perkembangan yang bakal berlaku termasuk satu set piawaian pengawalan kehematan dan penyeliaan yang unik bagi operasi perbankan Islam oleh Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam, satu set piawaian perakaunan yang dibuat khusus bagi perniagaan kewangan Islam oleh Lembaga Piawaian Perakaunan Malaysia dan pengenalan Skim Insurans Deposit di Malaysia.
Ekoran pencapaian saiz kritikal, pada tahun 2003, Bank Negara Malaysia menjalankan kajian semula pada struktur keinstitusian 'jendela' bank yang sedia ada bagi mewujudkan struktur baru yang boleh diasimilasikan dengan perkembangan infrastruktur pengawalseliaan kewangan Islam pada masa hadapan untuk jangka masa yang lebih panjang dan seterusnya memperkukuh rejim pengawalseliaan berhemat sistem perbankan Islam. Ini ialah fasa ketiga dalam pembangunan perbankan Islam di Malaysia. Struktur institusi baru yang dikenali sebagai 'subsidiari Islam' diperkenalkan pada tahun 2004. Dijangka bahawa fokus yang lebih strategik dan sumber yang lebih serta tahap autonomi dan tadbir urus yang lebih tinggi akan diberikan kepada bank-bank Islam. Sehingga hari ini, dua subsidiari Islam yang dimiliki oleh dua kumpulan perbankan telah ditubuhkan.
Bersepadu dengan Sistem Kewangan Antarabangsa
Satu lagi kemajuan dalam perbankan dan kewangan Islam dalam sistem perbankan Malaysia sepanjang pembangunan dua dekadnya ialah pengeluaran tiga lesen bank Islam kepada institusi kewangan Islam dari Timur Tengah. Bank-bank tersebut yang mempunyai kemampuan dan kekuatan tersendiri berpeluang menghubungkan dua rantau ini, menyertai industri perbankan Islam yang kian berkembang serta menerokai pasaran baru di Malaysia dan di rantau ini, di samping merangsang persaingan sihat yang seterusnya menyumbang kepada peningkatan industri ke tahap dinamisme baru. Selain itu, pihak asing dibenarkan memiliki sehingga 49% kepentingan dalam subsidiari Islam. Ini merupakan fasa keempat pembangunan sektor perbankan Islam negara. Kadar proses integrasi kewangan Islam dengan sistem kewangan antarabangsa bergantung pada langkah-langkah untuk meningkatkan kemantapan dan daya tahan sistem kewangan Islam domestik. Ini akan menggalakkan peningkatan daya saing, daya tahan dan kemapanan sistem kewangan Islam sebagai satu bentuk pengantaraan kewangan. Integrasi tersebut akan memberi sumbangan yang besar ke arah memudahkan aliran merentas sempadan yang lebih besar dari segi peningkatan urus niaga perdagangan dan pelaburan; dengan itu, memperkukuh hubungan ekonomi dan kewangan global. Dengan proses integrasi antarabangsa yang semakin hebat, ini akan memudahkan mobilisasi dan penyaluran sumber yang lebih besar antara negara-negara kepada pelaburan yang produktif; dengan itu, meningkatkan prospek pertumbuhan global yang lebih seimbang dan kemakmuran bersama di kalangan ummah. Ini juga membolehkan kepelbagaian risiko yang lebih untuk mencapai kestabilan global.
Kita menyaksikan permulaan proses ini melalui penyertaan bank Islam yang lebih meluas dalam pasaran negara-negara Islam dan bukan Islam serta kemampuan memperoleh dana daripada sesama pasaran kewangan tersebut, terutamanya oleh institusi pelbagai hala tradisional. Langganan dan perdagangan instrumen kewangan Islam oleh institusi kewangan konvensional menjadi perkara biasa yang dilakukan menggunakan sistem sedia ada untuk perdagangan, bursa antarabangsa sedia ada untuk penyenaraian dan rumah penjelasan sedia ada untuk tujuan penyelesaian.
Inisiatif penting dalam pembangunan arkitektur kewangan Islam antarabangsa ialah penubuhan Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam (IFSB) pada tahun 2002. Lembaga ini ditubuhkan untuk menyebarluaskan piawaian pengawalseliaan antarabangsa bagi institusi kewangan Islam seluruh dunia dengan matlamat untuk mengharmonikan amalan perbankan Islam, menggalakkan amalan terbaik dan memperoleh keutuhan dan kestabilan dalam kewangan Islam. Inisiatif lain untuk mempercepat integrasi kewangan Islam adalah dengan penubuhan Pasaran Kewangan Islam Antarabangsa (IIFM) pada tahun 2002. IIFM menyediakan persekitaran untuk menghubungkan semua pusat kewangan di serata dunia yang menyertai kewangan Islam, dengan itu menggalakkan penyertaan yang aktif institusi kewangan Islam dan bukan Islam dalam pasaran sekunder untuk instrumen kewangan Islam. Dengan peningkatan jumlah urus niaga, ini akan memperkukuh hubungan dan integrasi di kalangan pusat kewangan Islam.
Walaupun suatu Pelan Induk menyediakan visi bersama dengan matlamat yang sama, perlu disedari bahawa evolusi sistem kewangan Islam berserta komponennya tidak akan tercapai dalam tempoh yang singkat. Walau bagaimanapun, matlamat jangka sederhana dan panjang yang dirangka menyediakan asas bagi memastikan inisiatif jangka pendek akan konsisten dan koheren dengan objektif jangka panjang. Dalam erti kata lain, pembinaan blok binaan harus bergerak mengikut arah yang betul. Sebagai sebahagian daripada proses ini, setiap institusi perbankan Islam perlu merumuskan pelan strategik dan pelan tindakan jangka pendek dalam perspektif jangka panjang ini. Walaupun dengan asas-asas yang dibina dan pelan yang tersedia, masa depan belum terjamin. Hanya dengan gabungan usaha dan ketekunan semua pihak yang berkepentingan sahaja visi untuk pembangunan kewangan Islam masa hadapan akan dapat membuahkan hasil yang diharapkan.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.