Ucapan Gabenor sempena Pelancaran Dana Indeks Bon Malaysia Dana Bon Asia (ABF)
Bursa Malaysia, Kuala Lumpur | 18 Julai 2005
"Exchange Traded Fund" (ETF) ialah hasil inovasi kewangan yang penting dan sangat berjaya, yang terdapat dalam pasaran kewangan yang lebih maju. Penggunaan ETF, yang diperkenalkan buat kali pertama di Kanada pada awal tahun 1990-an semakin berkembang selepas penyenaraian S&P Depositary Receipt Trust Series 1 (juga dikenali sebagai "Spiders") di Bursa Saham Amerika Syarikat pada tahun 1993. Semenjak itu, ETF telah berkembang dengan pesat dan kini sejumlah 350 dana berkenaan tersenarai di bursa global dengan jumlah aset sebanyak USD313 bilion, terdiri daripada bukan hanya dalam saham dan bon tetapi juga dalam mata wang dan komoditi.
Saya amat berbangga untuk berada di sini pada hari ini dalam upacara penyenaraian Dana Indeks Bon Malaysia ABF, ETF yang pertama di Malaysia. Di rantau EMEAP (rantau Asia Pasifik Timur), Dana Indeks Bon Malaysia ABF merupakan subdana negara yang kedua dilancarkan, berikutan kejayaan pelancaran Dana Indeks Bon Hong Kong ABF pada 21 Jun 2005. Enam lagi subdana sampingan negara EMEAP akan dilancarkan apabila tiba masanya.
Pelancaran Dana Indeks Bon Malaysia ABF pada hari ini menandakan satu lagi pencapaian penting hasil kerjasama bank-bank pusat EMEAP di rantau ini. Ini merupakan kejayaan dalam perlaksanaan projek Dana Bon Asia untuk mempercepat pembangunan pasaran bon domestik serta menggalakkan peningkatan integrasi antara pasaran bon serantau. Dengan itu, penyenaraian Dana Indeks Bon Malaysia ABF adalah satu langkah ke hadapan yang penting dalam pembangunan pasaran bon Malaysia, dan untuk terus meningkatkan potensinya dalam menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara yang lebih mapan dan seimbang.
Bon ETF ialah instrumen pelaburan dengan kos kemasukan yang rendah. Instrumen ini ialah alat pelaburan yang sangat efisien, telus dan mudah, yang direka bentuk bukan sahaja untuk menarik minat pelabur institusi tetapi juga pelabur runcit. Dengan saiz lot standard yang mampu dimiliki, bon ETF memberi ruang kepada pelabur runcit untuk mendapat akses kepada pasaran bon. Oleh itu, bon ETF menawarkan pelabur dengan instrumen pelaburan alternatif tambahan serta peluang untuk mempelbagaikan pelaburan mereka dalam lebih banyak kategori aset yang baru.
Dana Indeks Bon Malaysia ABF merangkumi pelaburan dalam sekuriti Kerajaan dan separa Kerajaan dan menjejak sebuah indeks, yang boleh direplikakan dan telus. Penyenaraian Dana Indeks Bon Malaysia ABF pada hari ini tidak hanya akan menambah kepelbagaian dalam penyenaraian di Bursa Malaysia tetapi juga akan membuka jalan kepada peningkatan pengenalan produk-produk yang lebih berinovatf yang lain pada masa akan datang. Berdasarkan pada keadaan persekitaran kewangan semasa yang dinamik dan sering berubah, perkembangan ini penting untuk memenuhi permintaan pelabur yang berbeza yang mahukan pelbagai produk kewangan yang lebih meluas pada harga yang lebih kompetitif dan melalui saluran pelaburan yang lebih cekap dan mudah. Penyenaraian ETF di Bursa Malaysia juga akan meningkatkan kesedaran serta menjana minat pelabur domestik dan antarabangsa dalam pasaran bon Malaysia, seterusnya menyumbang ke arah pembangunan pasaran bon di Malaysia yang lebih mendalam dan meluas.
Pelancaran Bon Malaysia ETF mungkin tidak akan menjadi kenyataan tanpa sokongan dan kerjasama yang erat daripada banyak pihak. Khususnya, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Suruhanjaya Sekuriti, Bursa Malaysia, Persatuan Syarikat Broker Saham Malaysia, AmInvest, selaku pengurus dana, dan penggerak pasaran kerana sumbangan dan komitmen mereka dalam kerjasama dengan Bank Negara Malaysia untuk merealisasikan penyenaraian Dana Indeks Bon Malaysia ABF ini. Kerjasama yang kukuh antara pengawalselia dengan industri adalah penting dalam menyelesaikan cabaran pengawalseliaan dan operasi yang ketara bagi membolehkan penyenaraian Dana Indeks Bon Malaysia ABF ini berjaya. Malahan, ia merupakan kerjasama strategik yang menyumbang kepada peningkatan pertumbuhan keseluruhan pasaran kewangan.
Saya juga ingin merakamkan ribuan terima kasih kepada AmMerchant Bank, CIMB dan Maybank atas penyertaan mereka sebagai peniaga yang menyertai. Saya juga ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada AmInvest, selaku pengurus dana, dalam pengurusan dan penggalakkan Dana ini.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.