Ucapan Khas Gabenor Abdul Rasheed Ghaffour di ASB-SEACEN Policy Roundtable
Asia School of Business | 15 Mei 2026
Peperangan, Kejutan Minyak dan Sekatan Perdagangan:
Geoekonomi dan Implikasinya bagi Asia
Hari ini, kita telah mendengar perbincangan yang mendalam mengenai cara konflik geopolitik, kejutan tenaga dan sekatan perdagangan sedang membentuk semula landskap ekonomi global dan serantau. Terima kasih saya ucapkan kepada ASB dan SEACEN kerana menganjurkan sesi meja bulat yang bertepatan dengan keadaan semasa, serta kepada semua ahli panel dan peserta atas perkongsian pandangan yang terbuka dan penuh manfaat.
Sambil kita mempertimbangkan implikasi ekonomi dan kewangan, kita tidak seharusnya melupakan akibat konflik terhadap kemanusiaan, serta harapan bersama untuk satu penyelesaian yang dapat mengurangkan penderitaan dan memulihkan kestabilan. Ekonomi global telah diuji dengan siri kejutan yang luar biasa: pandemik COVID-19, perang di Ukraine, pelaksanaan tarif berskala besar yang membentuk semula perdagangan global, dan kini, konflik berterusan di Timur Tengah. International Energy Agency (IEA) menyifatkan episod semasa ini sebagai gangguan bekalan minyak dan ancaman keselamatan tenaga yang paling besar dalam sejarah.
Secara keseluruhan, semua perkembangan ini menandakan satu perubahan mendasar dalam landskap global. Satu lagi “kelaziman baharu” yang dicirikan oleh kejutan yang kerap, bertindih dan saling memperkukuh antara satu sama lain. Perkara khusus yang membimbangkan ialah banyak ekonomi yang masih belum mengumpulkan semula sepenuhnya penampan dasar yang digunakan semasa tempoh pandemik. Kesannya, ruang dasar telah menjadi jauh lebih sempit, timbal balik antara keutamaan dasar menjadi lebih mencabar, dan ruang untuk ralat dasar kini semakin mengecil.
Impak dan Saluran Transmisi
Sejak permulaannya hampir tiga bulan lalu, konflik ini telah pun mengganggu aktiviti ekonomi benar dan menjejaskan mata pencarian di seluruh rantau ini. Konflik ini bukan sekadar peristiwa geopolitik yang terasing, sebaliknya merupakan satu serangan langsung ke atas rantau yang memperoleh sebahagian besar bekalan minyak dan gas dari Timur Tengah.[1]
Saluran transmisi yang terjejas bukan sekadar sektor tenaga semata-mata. Kekurangan helium dan gas khusus akibat gangguan ini telah menjejaskan input industri bagi sektor yang genting termasuk penjagaan kesihatan dan teknologi.[2] Pada masa yang sama, unjuran ADB menunjukkan peningkatan risiko terhadap hasil tanaman serta keselamatan makanan di seluruh Asia akibat kekurangan bekalan baja.
Semua gangguan ini telah pun meningkatkan tekanan kos dalam keseluruhan ekonomi. Harga tenaga yang lebih tinggi serta kekurangan input utama telah mendorong peningkatan kos pengeluaran dan logistik. Keadaan ini seterusnya menambah tekanan inflasi yang sedang dihadapi secara lebih meluas.
Pada masa yang sama, ketidakpastian mengenai tempoh konflik ini memberikan tekanan besar kepada prospek pertumbuhan. Bagi memberikan gambaran yang lebih jelas, pertumbuhan KDNK global hanya jatuh di bawah 2% sebanyak dua kali sejak beberapa dekad kebelakangan ini, iaitu semasa pandemik dan semasa krisis kewangan global pada tahun 2008. Di bawah senario lebih buruk yang dimodelkan oleh IMF dan AMRO,[3] konflik yang berlarutan sehingga tahun hadapan boleh membawa kita hampir kepada paras tersebut sekali lagi.
Bagi Malaysia, ekonomi negara terus menunjukkan daya tahan. Seperti yang telah dikongsikan sebentar tadi, ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan sebanyak 5.4 peratus pada suku pertama, selaras dengan unjuran pertumbuhan 4 hingga 5 peratus bagi tahun ini. Sementara itu, inflasi dijangka kekal terkawal dalam lingkungan 1.5 hingga 2.5 peratus, bergantung pada perkembangan harga runcit bahan api. Walau bagaimanapun, kita tetap berhati-hati dan terus memantau perkembangan global serta kemungkinan implikasinya terhadap Malaysia.
Penyesuaian oleh Firma dan Kerajaan
Sebagai tindak balas, firma dan kerajaan telah mula membuat penyesuaian semula rantaian bekalan bagi melindungi keterjaminan tenaga, walaupun langkah ini tidak terlepas daripada potensi kos jangka panjang.
Pertama, negara-negara sedang giat mendapatkan sumber bekalan alternatif bagi minyak dan gas.[4]
Kedua, firma beralih kepada pengganti minyak sebagai penampan jangka pendek bagi menghadapi gangguan bekalan. Analisis terkini[5] menunjukkan peningkatan semula kebergantungan pada arang batu di beberapa bahagian di rantau Asia.[6]
Ketiga, sesetengah ekonomi telah memperkenalkan sekatan eksport ke atas komoditi berkaitan tenaga bagi mengekalkan bekalan dalam negeri.[7]
Semua tindak balas ini wajar kerana setiap daripadanya mencerminkan usaha yang berpatutan untuk melindungi ekonomi dalam negeri di bawah tekanan yang ketara. Namun begitu, usaha ini akan membawa kos jangka panjang yang boleh menambahkan lagi tahap mudah terjejas yang sedang kita cuba atasi. Oleh itu, tindak balas dasar tidak boleh terhenti pada langkah kestabilan jangka pendek semata-mata.
Tindak Balas Dasar
Sehubungan dengan itu, cabaran kepada pembuat dasar berbentuk serampang dua mata: menguruskan gangguan serta limpahan kesan dalam jangka pendek serta pada masa yang sama mengekalkan fokus pada pertumbuhan yang mampan dan berdaya tahan dalam jangka sederhana hingga panjang. Kesemua hal ini tidak boleh dianggap sebagai isu yang berbeza-beza, khususnya apabila kejutan dialami secara berlarutan dan bertindih. Izinkan saya berkongsi tiga isi penting dalam hal ini.
Pertama, pemeliharaan kestabilan makroekonomi dan kewangan mesti kekal sebagai keutamaan segera. Objektifnya jelas: untuk mengelakkan kejutan bekalan luaran daripada menjejaskan kegiatan ekonomi, mengganggu pasaran atau mempengaruhi (un-anchoring) jangkaan inflasi. Langkah untuk menjamin bekalan tenaga, mempelbagaikan sumber tenaga serta membendung tekanan inflasi pusingan kedua adalah mustahak.
Dalam konteks ini, bank pusat memainkan peranan yang amat penting dalam memelihara kestabilan harga dan kewangan ketika berdepan kejutan bekalan. Dari segi kestabilan harga, cabarannya adalah untuk membezakan antara kejutan bekalan yang bersifat sementara dengan tekanan harga yang lebih berlarutan. Dasar monetari perlu terus disesuaikan mengikut keadaan dalam negeri. Risiko timbul apabila kejutan ini berlarutan dan mula mempengaruhi harga serta gaji. Pada ketika itu, bank pusat perlu bertindak tegas bagi mengelakkan inflasi daripada berakar umbi serta memastikan jangkaan inflasi kekal tegar.
Dari segi kestabilan kewangan, kejutan luaran lazimnya mula menzahirkan kesan dalam pasaran kewangan dengan mengakibatkan pergerakan ketara pada kadar pertukaran dan aliran modal sebelum merebak kepada ekonomi benar. Oleh itu, memastikan fungsi pasaran yang teratur, mengekalkan mudah tunai yang mencukupi dan memelihara keyakinan perlu menjadi barisan pertahanan pertama.
Dasar fiskal juga memainkan peranan penting, khususnya dalam menangani kesan regresif akibat kejutan tenaga. Sokongan yang disasarkan kepada golongan mudah terjejas perlu diseimbangkan dengan usaha mengekalkan insentif bagi penggunaan tenaga yang cekap dan memastikan kemampanan fiskal.
Kedua, pembaharuan struktur perlu diteruskan dengan kadar segera. Dalam suasana ekonomi global yang semakin dicirikan oleh kejutan berulang, penangguhan pembaharuan struktur hanya akan meningkatkan kelemahan dan kos pelarasan pada masa hadapan.
Namun demikian, kekangan sumber tidak boleh diketepikan. Banyak kerajaan kini perlu menguruskan konsolidasi fiskal, keterjaminan makanan, peralihan tenaga, pendigitalan dan adaptasi iklim secara serentak. Semua bidang ini tidak seharusnya dilihat sebagai agenda yang bersaing, sebaliknya merupakan pelaburan yang saling memperkukuh bagi membina daya tahan dan daya saing jangka panjang.
Dalam konteks ini, pembaharuan struktur memerlukan keutamaan dan penyusunan yang lebih jelas, dengan tumpuan kepada bidang yang paling dapat mengurangkan dedahan kepada kejutan masa hadapan secara terus. Beberapa bidang utama wajar diberi perhatian.
Keterjaminan tenaga perlu menjadi teras pembaharuan. Konflik tersebut menyerlahkan risiko yang berpunca daripada penumpuan sumber bekalan yang tinggi serta pilihan pengganti yang terhad. Pelaburan dalam infrastruktur tenaga yang berdaya tahan terhadap perubahan iklim dan lebih pelbagai, termasuk tenaga boleh diperbaharui, bukan sahaja tentang memenuhi komitmen terhadap iklim. Pelaburan ini secara asasnya bertujuan mengurangkan dedahan struktur kepada gangguan bekalan pada masa hadapan.
Keterjaminan makanan juga memerlukan perhatian dasar yang lebih besar. Kejutan tenaga dan perdagangan lazimnya memberikan kesan pada harga makanan dengan sela masa, lantas isi rumah berpendapatan rendah serta negara sedang membangun[8] terjejas secara tidak seimbang.
Akhir sekali, daya tahan jangka panjang bergantung pada keterbukaan dan rangkaian. Dalam persekitaran global yang semakin berpecah, pengukuhan rantaian bekalan serantau kekal penting.
Ketiga, kestabilan dan pertumbuhan mampan tidak dapat dicapai melalui usaha dalam negeri semata-mata. Meskipun semakin berpecah, ekonomi kita kekal saling berhubung rapat melalui saluran perdagangan, kewangan dan keyakinan berkaitan ekonomi. Oleh itu, kerjasama dan tindakan secara kolektif bukan lagi pilihan tetapi satu keperluan strategik.
Yang menggalakkan, rantau ini telah pun memulakan langkah secara kolektif. Inisiatif seperti ASEAN Power Grid, POWERR Asia Initiative[9] oleh Jepun serta platform ACCEL[10] yang baru dilancarkan oleh ADB dan Jepun menunjukkan cara kerjasama serantau dapat menggerakkan pembiayaan, memperkukuh keterjaminan tenaga dan menyokong daya tahan ekonomi serantau.
Melangkaui setiap inisiatif ini, keperluan yang lebih besar adalah jelas. Kita perlu mengekalkan sistem perdagangan yang terbuka dan berasaskan peraturan, mengurangkan rintangan rentas sempadan serta memperkukuh penampan pada peringkat global, serantau dan kebangsaan. Seperti yang ditegaskan semula dalam Mesyuarat Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat ASEAN+3 awal bulan ini, tindakan ini termasuk mengekalkan aliran perdagangan dan pelaburan yang terbuka, mengukuhkan lagi daya tahan rantaian bekalan serta memperdalam kerjasama kewangan serantau melalui Chiang Mai Initiative Multilateralisation (CMIM).
Bagi CMIM, ini bermaksud membina jaringan keselamatan kewangan serantau yang lebih kukuh dan berwibawa. Pengenalan Rapid Financing Facility (RFF) serta usaha berterusan untuk beralih kepada struktur Modal Berbayar (Paid-in Capital, PIC) mencerminkan komitmen rantau ini ke arah akses mudah tunai yang lebih tangkas dan boleh dipercayai bagi menghadapi tempoh tekanan. Namun begitu, usaha ini perlu diteruskan dan momentum pembaharuan yang kukuh adalah penting bagi memastikan CMIM kekal relevan dalam persekitaran yang semakin mencabar.
Kesimpulannya, perkara yang paling penting pada waktu sebegini ialah sejauh mana kita bersedia untuk mengemudi kebiasaan baharu yang dicirikan oleh kejutan yang berulang dan bertindih, dalam keadaan kekangan yang lebih ketat. Kita mungkin mengharapkan situasi kembali seperti sebelum perang, namun situasi sebegitu tidak boleh dianggap sebagai satu kepastian dan berkemungkinan besar sukar untuk menjadi nyata. Kita perlu menghadapi kelaziman baharu ini pada kadar segera berserta dengan penuh keazaman; memperkukuh penampan, mempercepat pembaharuan dan memperdalam kerjasama di seluruh rantau. Daya tahan perlu seawalnya, lama sebelum krisis seterusnya muncul.
Kepada para peserta yang menghadiri sesi ini secara maya, terima kasih atas masa yang diluangkan. Bagi para hadirin yang hadir secara bersemuka, saya berharap anda semua akan dapat menikmati keramahan, hidangan dan layanan mesra gaya Malaysia sepanjang kunjungan anda.
[1] ASEAN+3 memperoleh lebih satu pertiga daripada bekalan minyak dan gasnya dari Timur Tengah. Sumber: ASEAN+3 Macroeconomic Research Office (AMRO), Building the Energy Resilience ASEAN+3 Needs (Mac 2026).
[2] Sumber: AMRO, ASEAN+3 Regional Economic Outlook 2026: An Interim Update (April 2026)
[3] Senario IMF merangkumi penutupan Selat Hormuz yang berlanjutan hingga tahun 2027 serta kerosakan lanjut pada kemudahan penggerudian dan penapisan. Senario AMRO pula meliputi Selat Hormuz terus tertutup selama enam bulan, kerosakan kemudahan penggerudian dan penapisan yang berterusan serta harga urus niaga hadapan Brent kekal melebihi USD150 setong sekurang-kurangnya selama empat bulan.
[4] AMRO memerhatikan peningkatan import dari dalam rantau ASEAN+3, di samping usaha mempelbagaikan sumber bekalan daripada pembekal di benua Afrika dan benua Amerika. Sumber: AMRO, ASEAN+3 Regional Economic Outlook 2026: An Interim Update (April 2026).
[5] Sumber: Channel News Asia, How the Iran War Might Reshape Asia’s Energy Playbook (April 2026)
[6] Di Korea Selatan, pihak berkuasa telah menghentikan sekatan ke atas penjanaan berasaskan arang batu, manakala di India, loji arang batu telah diarahkan untuk beroperasi pada kapasiti maksimum. Sumber: World Economic Forum, How is War in the Middle East Reshaping Asia’s Energy Transition.
[7] China telah mengenakan sekatan eksport ke atas bahan api dan baja (dengan pengecualian kepada beberapa pembeli serantau), manakala Thailand telah menghentikan eksport bahan api dan Indonesia telah menghentikan penghantaran LNG yang tidak tertakluk pada kontrak. Sumber: Reuters, Asia battles rising, uneven toll of energy crisis caused by Iran war (Mei 2026).
[8] Sumber: ADB, The Impact of the Middle East Conflict on Asia and the Pacific: An Updated Analysis (April 2026)
[9] Partnership on Wide Energy and Resources Resilience (POWERR) Asia oleh Jepun yang dilancarkan pada bulan April 2026 menyediakan pembiayaan sebanyak USD10 bilion yang merangkumi bidang seperti perolehan minyak alternatif, sokongan fiskal serta pengukuhan sistem bekalan tenaga.
[10] Action for Creating Energy Security for Long-term Resilience (ACCEL) yang dilancarkan pada bulan Mei 2026 menyediakan sokongan mudah tunai dan bantuan teknikal kepada PKS di samping membiayai pelaburan tenaga bersih bagi jangka sederhana hingga panjang.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.