Ucapan Khas Gabenor Rasheed di Perbincangan Meja Bulat Peringkat Tinggi Bank Dunia-INCEIF
Sasana Kijang | 4 Mei 2026
Memaksimumkan Impak Kewangan Sosial Islam bagi Pembasmian Kemiskinan – Model dan Hala Tuju ke Hadapan
Alhamdulillah, saya sangat bersyukur kerana dapat bersama-sama tuan-tuan dan puan-puan pada pagi ini dalam majlis yang amat bermakna. Terlebih dahulu, izinkan saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kumpulan Bank Dunia (World Bank Group), Universiti INCEIF, Centre of Excellence for Islamic Social Finance serta ISRA Institute atas usaha menganjurkan perbincangan penting ini.
Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada Ms. Judith Green dan Profesor Emeritus Dato’ Dr. Mohd Azmi atas kepimpinan mereka, serta kerjasama dan sumbangan berterusan, dalam memajukan agenda kewangan sosial Islam di peringkat global. Ms Judith, thank you for your continued partnership and leadership in advancing this important agenda.
Kehadiran pelbagai institusi pada hari ini seperti Majlis Agama Islam Negeri, institus-institusi zakat dan wakaf, Kementerian berkaitan, institusi-institusi kewangan, ahli akademik serta rakan antarabangsa, bukan sahaja mencerminkan kekuatan ekosistem kita, tetapi juga menggambarkan besarnya amanah yang kita galas bersama.
Pada asasnya, kewangan sosial Islam adalah tentang insan - tentang maruah; tentang peluang; dan tentang harapan untuk melangkah ke hadapan dengan lebih yakin. Instrumen yang sering kita bincangkan seperti zakat, wakaf, sedekah dan qard bukanlah matlamat akhir. Ia hanyalah wasilah untuk mencapai objektif Syariah: iaitu memelihara kehidupan; memperkasa insan; dan membina sebuah masyarakat yang lebih adil serta seimbang.
Malaysia mempunyai asas yang kukuh dalam bidang ini. Institusi zakat dan wakaf kita tersusun, kerangka tadbir urus terus diperkukuh, dan komitmen daripada sektor awam dan swasta amat memberangsangkan. Namun begitu, kita tidak boleh menafikan bahawa cabaran yang dihadapi kini semakin mencabar. Peningkatan kos sara hidup, tekanan terhadap pendapatan, serta perkembangan global yang tidak menentu - memberi kesan yang nyata kepada isi rumah dan komuniti, khususnya golongan rentan.
Hakikat ini mengingatkan kita bahawa daya tahan bukan sekadar bergantung kepada kestabilan ekonomi. Ia juga bergantung kepada sejauh mana bantuan yang diberikan, benar-benar sampai, dan lebih penting lagi, benar-benar mengubah kehidupan mereka yang menerimanya.
Di sinilah kita perlu bermuhasabah: Walaupun banyak bantuan telah disalurkan, namun kesannya mungkin tidak berpanjangan seperti yang kita harapkan. Sokongan sering diberikan pada peringkat dan masa yang berbeza; oleh pihak yang berbeza; dengan matlamat yang berbeza. Namun, ia tidak semestinya membentuk satu perjalanan yang jelas dan berterusan bagi individu tersebut. Akibatnya, kerentanan mungkin dapat dikurangkan tetapi - tidak semestinya dapat diputuskan atau diselesaikan.
Melangkah ke hadapan, kita perlu beralih daripada pendekatan silo, atau yang bersifat berasingan, kepada hasil yang benar-benar bersepadu. Persoalannya bukan lagi sekadar berapa banyak yang telah disalurkan, tetapi sejauh mana kehidupan dapat diubah secara berterusan.
Ini menuntut kita melihat kewangan sosial Islam bukan sekadar sebagai himpunan instrumen, tetapi sebagai satu sistem yang saling melengkapi - yang mengiringi seseorang daripada keadaan rentan, kepada lebih berdaya tahan, dan akhirnya kepada kemandirian.
Dari satu sudut cerminan positif - kita sudah mula melihat pendekatan ini berkembang. Usaha untuk menghubungkan kewangan sosial dengan keusahawanan, pekerjaan dan perlindungan kewangan semakin diperkasakan. Salah satu contoh yang jelas ialah inisiatif “iTEKAD”.
iTEKAD bermula dengan insitiatif untuk menyokong usahawan mikro melalui gabungan kewangan sosial, pembiayaan dan pembangunan kapasiti bagi membantu perniagaan kecil berkembang. Ia kemudiannya diperluaskan untuk merangkumi perlindungan, bagi memperkukuh daya tahan dalam menghadapi kejutan pendapatan. Dan kini, ia turut membuka laluan kepada peluang pekerjaan, yang memberikan sumber pendapatan yang lebih stabil.
Apa yang penting di sini bukan sekadar bentuk bantuan yang diberikan, tetapi pendekatan yang dibawa. Apabila kewangan sosial digabungkan dengan perkhidmatan kewangan, pembangunan kemahiran dan peluang ekonomi yang sebenar, hasilnya menjadi jauh lebih bermakna dan mampan.
Namun, untuk mencapai impak yang lebih meluas, usaha ini tidak boleh bergerak secara bersendirian. Ia memerlukan ekosistem yang benar-benar bersepadu. Institusi zakat, khususnya Majlis Agama Islam Negeri, memegang amanah besar dalam menyalurkan bantuan dan memelihara kepercayaan.
Wakaf pula menyediakan asas penyelesaian jangka panjang yang mampan. Dalam konteks ini, adalah wajar untuk meneroka instrumen inovatif seperti sukuk wakaf tunai bagi menggerakkan modal filantropi yang berasaskan pasaran dengan lebih berkesan. Institusi kewangan membawa keupayaan untuk memperluas capaian dengan kepakaran dan kecekapan penyampaian. Agensi kerajaan pula menetapkan hala tuju yang jelas, manakala institusi akademik dan rakan antarabangsa menyumbang idea serta inovasi. Namun, kekuatan sebenar terletak pada bagaimana semua peranan ini dapat disatukan.
Kita telah melihat kerjasama yang semakin erat antara Majlis Agama Islam Negeri dan institusi kewangan, yang mana hasilnya telah meningkatkan keberkesanan usaha kewangan sosial. Langkah seterusnya adalah untuk memperkukuhkan lagi kerjasama ini supaya bantuan bukan sahaja disampaikan, tetapi dirancang dengan lebih tersusun; dilaksanakan secara berperingkat; dan diteruskan secara konsisten.
Apabila usaha diselaraskan, dan laluan ke hadapan menjadi lebih jelas, impaknya akan menjadi jauh lebih besar, khususnya dalam memastikan pelaksanaan yang lebih berkesan.
Dalam konteks ini, peranan Bank Negara Malaysia adalah untuk memudahcara dan memperkukuh hubungan dalam ekosistem ini. Kami berusaha memastikan persekitaran dasar dan kawal selia menyokong inovasi, tanpa mengorbankan kepercayaan dan integriti. Kami juga memberi penekanan kepada pengukuhan hubungan antara kewangan sosial dan sistem kewangan formal, - agar penerima bantuan tidak terus berada di pinggiran, tetapi dapat melangkah menjadi peserta ekonomi yang aktif. Dan sama pentingnya, kami menghimpunkan pihak berkepentingan kerana penyelarasan tidak berlaku dengan sendiri. Ia perlu dirancang, dipupuk dan dibina.
Dalam masa yang sama, aspek tadbir urus dan akauntabiliti tidak boleh diketepikan. Kepercayaan adalah asas kepada kewangan sosial Islam. Ia menuntut kejelasan dalam pengurusan dana ketelitian dalam mengukur hasil; serta ketelusan dalam melaporkan impak. Kerana akhirnya, persoalannya bukan berapa banyak yang telah kita salurkan, tetapi apa yang telah berubah hasil daripadanya.
Jika kita berjaya, hasilnya adalah lebih jelas. Golongan isi rumah yang bergantung kepada bantuan berulang akan menjadi lebih kecil. Lebih ramai individu yang lebih mampu berdikari dengan sumber pendapatan yang mampan. Komuniti akan menjadi lebih kukuh dan berdaya tahan. Inilah yang mencerminkan semangat sebenar maqasid al-Shariah - bukan sekadar meringankan beban, tetapi memperkasa kehidupan.
Kita sebenarnya telah mempunyai asas yang kukuh dari segi institusi, sumber dan komitmen. Apa yang diperlukan kini adalah penyelarasan yang lebih mantap; kerjasama yang lebih mendalam; dan pelaksanaan yang lebih berkesan.
Saya berharap perbincangan pada hari ini bukan sekadar menjadi wadah pertukaran pandangan, - tetapi menjadi titik tolak kepada tindakan yang lebih tersusun dan bersepadu. Agar setiap usaha yang kita lakukan bukan sahaja baik pada niatnya, tetapi benar-benar memberi kesan yang berkekalan dan diterima sebagai suatu ibadah.
Sekian, terima kasih.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.