Ucapan Khas oleh Gabenor Abdul Rasheed Ghaffour di Majlis Anugerah CGC ke-31
Kuala Lumpur | 11 Ogos 2026
Mendengar ucapan Dato' Mohammed Hussein mengenai pokok Gelam dan keupayaannya yang luar biasa dalam menyesuaikan diri serta terus berkembang mengingatkan saya kepada ucaptama saya di Sasana Symposium tiga minggu lalu. Saya gembira melihat pokok gelam kini telah menjadi semakin “glam”. Sejajar dengan semangat yang sama, pada petang ini saya ingin menyentuh tentang keupayaan membuat penyesuaian dapat membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) membina daya tahan dan terus berkembang meskipun berdepan pelbagai perubahan.
Saya berbesar hati dapat bersama-sama dengan tuan-tuan dan puan-puan pada petang ini di Majlis Anugerah CGC ke-31. Pada hari ini juga, kita akan melancarkan Skim Jaminan BNM-CGC. Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada CGC atas dedikasi berterusan dalam menyokong perniagaan Malaysia yang berdaya maju. Usaha ini telah membantu perniagaan mengatasi kekangan pembiayaan, membina daya tahan serta merealisasikan potensi pertumbuhan perniagaan mereka.
Kepada para penerima anugerah, setinggi-tinggi tahniah saya ucapkan. Anda bukan sahaja membuktikan kejayaan dalam perniagaan, malah telah menunjukkan daya tahan, disiplin dan pengurusan kewangan yang berhemat. Kepada institusi kewangan dan rakan kerjasama bukan bank yang turut menerima pengiktirafan pada hari ini, anda telah membuktikan komitmen terhadap amalan pembiayaan yang bertanggungjawab melalui:
- pemahaman yang mendalam terhadap perniagaan di sebalik setiap permohonan; dan
- sokongan kepada syarikat yang mempunyai keupayaan untuk terus berkembang.
Pencapaian yang diraikan pada hari ini mengingatkan kita bahawa kejayaan sukar dicapai apabila kita kekal di takuk lama. Sebaliknya, kejayaan bergantung pada keupayaan kita untuk membuat penyesuaian dan terus melangkah ke hadapan.
Kita kini berada pada satu detik yang penting. Perniagaan hari ini beroperasi dalam persekitaran yang dipengaruhi oleh ketidaktentuan geopolitik, perubahan teknologi yang pesat serta gangguan berkaitan iklim yang semakin kerap berlaku. Bagi PKS, perubahan ini bukanlah sekadar trend global yang jauh dari realiti semasa. Sebaliknya, perubahan ini mempengaruhi kos input, mengubah rantaian bekalan serta mempengaruhi tingkah laku dan permintaan pelanggan. Yang lebih penting, perubahan ini menuntut PKS untuk terus meningkatkan keupayaan untuk terus bersaing.
Malaysia memasuki tempoh ini dengan kedudukan yang kukuh. Ekonomi negara berkembang sebanyak 5.4% pada suku pertama tahun 2026, disokong oleh permintaan dalam negeri yang mampan, aktiviti pelaburan yang berterusan dan sistem kewangan yang kukuh. Keadaan pasaran pekerja kekal menggalakkan dengan kadar pengangguran menurun kepada 2.9%, manakala inflasi keseluruhan kekal sederhana pada 1.6%. Walau bagaimanapun, persekitaran luaran masih tidak menentu dan terus berubah-ubah.
PKS merupakan teras kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia. PKS menyumbang kira-kira 40% daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dan hampir separuh daripada jumlah pekerjaan. Selain itu:
- PKS menyokong rantaian bekalan dalam negeri;
- PKS menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat; dan
- PKS menyediakan laluan penting kepada keusahawanan dan inovasi.
Seiring dengan kemajuan Malaysia ke arah ekonomi yang lebih produktif, berdaya saing dan mampan, peranan PKS menjadi semakin penting dalam memacu transformasi tersebut.
Daripada perspektif Bank Negara Malaysia (BNM), keadaan pembiayaan secara keseluruhannya kekal menyokong pertumbuhan ekonomi. Bank-bank dan institusi kewangan pembangunan (IKP) terus menyediakan pembiayaan kepada perniagaan yang berdaya maju, manakala CGC memainkan peranan pelengkap yang penting. Sejak ditubuhkan, CGC telah memudah cara jaminan dan pembiayaan melebihi RM103 bilion kepada lebih 544,000 PKS. Angka ini merupakan satu pencapaian yang cukup memberangsangkan.
Namun begitu, angka agregat sahaja tidak menggambarkan keseluruhan keadaan. Banyak PKS masih berdepan dengan kos input yang lebih tinggi, margin keuntungan yang semakin mengecil, gangguan rantaian bekalan serta kelewatan pembayaran oleh pelanggan. Keadaan ini telah meningkatkan tekanan terhadap modal kerja serta menguji daya tahan perniagaan.
Bagi menangani tekanan aliran tunai jangka pendek, BNM telah bekerjasama dengan industri kewangan dan CGC untuk mewujudkan Kemudahan Bantuan Kestabilan PKS berjumlah RM5 bilion. Kami memahami bahawa ketika berdepan dengan gangguan ekonomi, langkah bantuan yang bersasar mampu membantu perniagaan yang berdaya maju mengharungi tekanan aliran tunai yang bersifat sementara. Sokongan sebegini sememangnya penting. Namun begitu, bantuan sementara bukanlah penyelesaian jangka panjang kepada kejutan ekonomi yang berulang. Perniagaan perlu terus membuat penyesuaian, memperkukuh keupayaan dan meningkatkan produktiviti, manakala pembiayaan pula perlu terus berkembang seiring dengan perubahan keperluan perniagaan.
Persoalannya bukan sekadar tentang pembiayaan yang tersedia. Yang lebih penting, adakah pembiayaan itu turut berkembang seiring dengan perubahan keperluan perniagaan? Adakah pembiayaan turut menjalani penyesuaian seiring dengan perubahan dalam model perniagaan serta mengambil kira profil risiko PKS?
Walaupun peluang untuk mendapatkan pembiayaan tersedia dalam sistem kewangan, masih terdapat PKS berdaya maju yang menghadapi kesukaran untuk mendapatkan pembiayaan tersebut kerana potensi mereka tidak dapat dinilai sepenuhnya menerusi penilaian kredit konvensional.
Sesebuah perusahaan yang masih baharu mungkin mempunyai sejarah kredit yang terhad. Perniagaan yang beroperasi dengan aset yang minimum pula mungkin mempunyai cagaran yang terhad. Namun begitu, kedua-dua perniagaan ini mungkin mempunyai aliran tunai yang kukuh, prospek yang meyakinkan atau tempahan yang memberangsangkan. Perniagaan sebegini tidak semestinya tidak berdaya maju. Sebaliknya, potensi mereka mungkin kurang terserlah melalui lensa penilaian kredit tradisional. Dalam keadaan inilah jaminan serta perkongsian risiko dapat memainkan peranan yang penting.
Jaminan yang direka bentuk dengan baik tidak menghapuskan risiko dan juga tidak melonggarkan piawaian kredit. Sebaliknya, jaminan ini membolehkan risiko dikongsi dengan lebih berkesan serta pada masa yang sama mengekalkan tanggungjawab institusi kewangan. Namun begitu, perkara ini tidak mengurangkan kepentingan penilaian kredit yang teliti, pemantauan terhadap kemajuan pelanggan dan langkah intervensi awal apabila timbul sebarang kesukaran.
Nilai sebenar sesuatu jaminan bukan sekadar diukur melalui jumlah pembiayaan yang disokong. Sebaliknya, nilai tersebut terletak pada keupayaan untuk membolehkan pembiayaan disalurkan kepada perniagaan berdaya maju yang sebelum ini mungkin ditolak, serta membolehkan pembiayaan ditawarkan dengan terma yang lebih bersesuaian dengan keperluan perniagaan.
Berlatarkan keadaan ini, kami melancarkan Skim Jaminan BNM-CGC bernilai RM10 bilion. Skim ini menandakan peralihan ke arah pendekatan perkongsian risiko yang lebih mampu diperluas dan berasaskan pasaran. Melalui skim ini, sokongan akan diberikan kepada perusahaan mikro, syarikat pemula serta firma yang melabur dalam bidang kelestarian, inovasi, sektor strategik, keterjaminan makanan dan daya tahan luaran.
Selain Skim ini, BNM juga bekerjasama dengan CGC dan Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan. Dengan sokongan teknikal daripada Bank Dunia, kami berhasrat untuk memperkukuh rangka kerja jaminan kredit Malaysia secara menyeluruh. Matlamat kerjasama ini adalah untuk memastikan jaminan kredit diselaraskan dengan lebih baik, iaitu disasarkan dengan lebih berkesan, disokong oleh data yang lebih kukuh serta kekal mampan dari segi kewangan untuk jangka masa panjang. Matlamat kami bukan sekadar untuk menyediakan lebih banyak jaminan. Sebaliknya, kami mahu memperbaik cara jaminan dirangka, disasarkan dan dinilai.
Tiga minggu lalu semasa di Sasana Symposium, saya telah berkongsi tentang peningkatan daya tahan melalui proses pembaharuan dan penyesuaian. Prinsip yang sama turut terpakai kepada pembiayaan PKS. Apabila perniagaan berkembang, cara kita mengenal pasti, menilai dan menyokong juga perlu turut sama berkembang. Izinkan saya mengetengahkan tiga perkara yang akan menjadi semakin penting pada masa hadapan.
Pertama, kita perlu memperluas pembiayaan. Institusi kewangan perlu bersedia untuk melangkaui perniagaan yang lazim dibiayai, cagaran konvensional dan sektor yang telah sedia mampan. Seiring dengan usaha Malaysia bergerak ke arah rantaian nilai yang lebih tinggi, pembiayaan perlu memainkan peranan yang sewajarnya dalam menyokong aktiviti yang memacu inovasi, produktiviti dan penciptaan nilai. Hal ini termasuk peluang yang terhasil daripada peralihan iklim, aktiviti penyelidikan dan pembangunan, prototaip, inovasi proses serta teknologi baharu yang masih kurang difahami, sekali gus kurang mendapat pembiayaan. Jaminan boleh memberikan keyakinan yang lebih tinggi kepada institusi kewangan untuk membangunkan kepakaran dan menyediakan penyelesaian yang sesuai bagi syarikat-syarikat ini.
Kedua, kita perlu menilai perniagaan secara menyeluruh. Cagaran dan penyata kewangan adalah penting. Namun begitu, kedua-dua faktor ini tidak boleh menjadi satu-satunya asas untuk menilai daya maju sesebuah perniagaan. Aliran tunai, rekod transaksi, invois elektronik, corak pembayaran serta maklumat rantaian bekalan boleh memberikan pemahaman yang lebih menyeluruh tentang cara sesuatu perniagaan beroperasi dan mencipta nilai. Apabila digunakan secara bertanggungjawab, analitik data boleh membantu membuat penilaian yang lebih lengkap terhadap perniagaan yang mempunyai rekod kredit terhad (thin-file), memiliki aset yang minimum serta didorong inovasi. Data dan teknologi seharusnya melengkapi dan bukan menggantikan pertimbangan yang wajar serta amalan penilaian kredit yang berhemat. Begitu juga dengan jaminan yang seharusnya menyokong pengambilan risiko yang lebih berasaskan maklumat namun tidak boleh dijadikan pengganti kepada proses penilaian kredit yang kukuh dan berhemat.
Ketiga, pembiayaan dan pembangunan keupayaan perlu bergerak seiring. Akses kepada pembiayaan adalah penting, namun kejayaan jangka panjang PKS juga bergantung pada produktiviti, kekuatan pengurusan, penggunaan teknologi serta akses kepada pasaran baharu. Pembiayaan mungkin dapat mengurangkan kekangan kewangan semasa tetapi pembiayaan semata-mata tidak semestinya mampu mentransformasikan sesebuah perniagaan dalam jangka masa panjang. Oleh sebab itu, platform seperti imSME dan MyKNP terus memainkan peranan yang penting. Platform sebegini membantu perniagaan meningkatkan tahap kesiapsiagaan pembiayaan, di samping mengenal pasti penyelesaian yang sesuai bagi memperkukuh keupayaan kewangan, digital dan akses pasaran.
Malaysia memerlukan lebih banyak PKS yang mampu berkembang menjadi syarikat pertengahan yang lebih kukuh. Kita mahukan PKS menjadi pemacu kepada rantaian bekalan dalam negeri. Kita mahukan PKS yang mampu bersaing dalam pasaran antarabangsa serta menyumbang secara signifikan kepada transformasi ekonomi negara. Dalam hal ini, jaminan boleh menjadi batu loncatan yang membantu perniagaan berdaya maju membina rekod prestasi, meningkatkan keyakinan dan memperkukuh keupayaan untuk memasuki arus perdana ekosistem pembiayaan Malaysia.
Seiring dengan pelancaran Skim ini, aspirasi kami bukan sekadar untuk menyokong lebih banyak pembiayaan. Justeru, kami mahu membangunkan perniagaan yang lebih kukuh. Perniagaan yang lebih kukuh untuk melabur, lebih kukuh untuk berinovasi, lebih kukuh untuk meneroka pasaran baharu dan yang paling utama, mampu berdiri teguh atas daya saing serta kemampuan sendiri.
Kepada para PKS, teruskan melabur dalam peningkatan produktiviti, keupayaan dan daya tahan perniagaan anda. Kepada institusi kewangan serta rakan ekosistem, manfaatkan Skim ini untuk menyokong perniagaan berdaya maju yang berpotensi untuk berkembang dan bertransformasi. Namun begitu, lakukan tanggungjawab ini dengan berhemat kerana perkongsian risiko tidak seharusnya bertukar menjadi pemindahan risiko.
Sekiranya kita berjaya, kejayaan Skim Jaminan RM10 bilion ini tidak akan diukur melalui jumlah pembiayaan yang berjaya disalurkan semata-mata, tetapi juga melalui jumlah perniagaan yang berjaya ditransformasikan. Perniagaan yang menjadi lebih inovatif, lebih berdaya saing, lebih berdaya tahan dan mampu menyumbang secara bermakna kepada ekonomi negara.
Terima kasih.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.
