Ucapan Khas oleh Timbalan Gabenor Adnan Zaylani Mohamad Zahid di Majlis Penganugerahan Chartered Banker ke-9 Asian Institute of Chartered Bankers

Kuala Lumpur | 16 Mei 2026

Saya amat berbesar hati untuk bersama dengan anda sekali lagi pada majlis yang meraikan profesionalisme, dedikasi dan komitmen yang berterusan pada kecemerlangan dalam komuniti perbankan. Setinggi-tinggi tahniah saya ucapkan kepada semua penerima anugerah dan pengiktirafan pada hari ini.

Seiring dengan penghargaan atas pencapaian anda, wajar untuk diingatkan tentang adanya jangkaan kecemerlangan profesionalisme yang semakin tinggi terhadap anda dalam sektor kewangan. Gelaran Chartered Banker bukan sekadar satu gelaran atau singkatan; gelaran ini melambangkan komitmen yang mendalam terhadap amalan perbankan yang mantap, tingkah laku yang beretika dan pertimbangan yang berhemah. Lebih daripada itu, gelaran Chartered Banker melambangkan peranan pegawai bank sebagai pendukung amanah terhadap kepercayaan dan nilai, iaitu prinsip yang menjadi asas sistem perbankan Malaysia yang berdaya tahan dan berpandangan ke hadapan.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Kita sedang berada dalam tempoh yang tidak menentu dan penuh perubahan. Sebaik sahaja keluar dari tempoh pandemik COVID‑19, kita telah dan masih berdepan dengan ketidaktentuan yang berpanjangan berkaitan tarif perdagangan. Kebelakangan ini pula, kita menghadapi ketegangan geopolitik, perang di Timur Tengah dan ketidakstabilan pasaran tenaga. Semua faktor ini terus menguji daya tahan ekonomi dan sistem kewangan di seluruh dunia.

Meskipun berdepan dengan semua cabaran ini, ekonomi Malaysia terus menunjukkan daya tahan. Pada suku pertama tahun 2026, ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan yang kukuh sebanyak 5.4%. Pertumbuhan ini disokong oleh perbelanjaan isi rumah yang mampan, aktiviti pelaburan yang berdaya tahan serta pertumbuhan eksport yang berterusan, yang disokong oleh eksport elektrik dan elektronik (E&E) serta perkhidmatan berkaitan teknologi maklumat dan komunikasi (information and communication technology, ICT). Momentum ini turut disokong oleh keadaan pasaran pekerja yang positif, seiring dengan kadar pengangguran yang terus menurun kepada 2.9% pada bulan Mac. Yang penting, ekonomi Malaysia memasuki tempoh ketidaktentuan ini, termasuk risiko yang berpunca daripada konflik berterusan di Timur Tengah, dalam kedudukan yang paling kukuh sejak beberapa tahun, seperti yang ditunjukkan oleh semua data ini.

Namun begitu, kita tidak boleh berpuas hati. Daya tahan kita juga bergantung pada peranan sektor kewangan sebagai faktor penstabil kepada ekonomi. Bagi semua yang hadir di sini, hal ini bermaksud kita perlu terus menyokong perniagaan, isi rumah, kegiatan ekonomi dan aktiviti pelaburan secara menyeluruh. Ini bukanlah masanya untuk kita menjadi terlalu berhati-hati serta menyemak dan mengurangkan kemudahan kredit dan pembiayaan, terutamanya kepada pelanggan yang telah memiliki hubungan baik dengan kita selepas usaha sekian lama. Sebaliknya, inilah masanya untuk kita meningkatkan keupayaan, bersikap lebih proaktif dan bekerjasama rapat dengan perniagaan dalam mengharungi tempoh yang mencabar ini. Inilah masanya untuk membuktikan bahawa institusi perbankan dan para pegawainya merupakan rakan kerjasama yang boleh dipercayai dan diharapkan pada waktu susah dan senang.

Berlatarkan keadaan ini, sektor perbankan sedang melalui transformasi yang ketara. Tatkala kita mengharungi satu lagi kitaran perniagaan, kita juga berada di tengah-tengah perubahan struktur ekonomi global. Kita berada di persimpangan beberapa trend mega yang sedang membentuk semula cara perbankan berfungsi serta kemahiran terkini yang diperlukan dalam profesion ini. Dua tahun lalu pada majlis yang sama, saya telah menekankan cara peralihan keperluan kemahiran (skill disruption), perubahan teknologi dan model perniagaan yang semakin berkembang telah mula mengubah keperluan institusi perbankan terhadap tenaga kerjanya. Hakikatnya, pemerhatian tersebut terbukti semakin relevan pada hari ini.

Kebangkitan kecerdasan buatan (artificial intelligence, AI), aset digital dan mata wang digital serta rantaian blok sedang merevolusikan dan mencabar model perbankan tradisional. Pada masa yang sama, jangkaan dan demografi pelanggan yang terus berubah menuntut tahap ketelusan, penyesuaian mengikut keperluan peribadi dan kemudahan yang lebih tinggi. Sama pentingnya ialah penegasan yang kian meningkat terhadap kelestarian, yang sedang membentuk strategi untuk mewujudkan nilai jangka panjang terhadap masyarakat dan alam sekitar.

AI telah muncul sebagai salah satu penemuan terbesar sejak kebelakangan ini dengan peralihan pantas daripada peringkat percubaan kepada penggunaan yang meluas. Pada hari ini, sekitar 81%[1] ekosistem perkhidmatan kewangan pada peringkat global telah menggunakan AI dalam pelbagai bentuk. Daripada automasi dan sokongan dalam proses membuat keputusan yang dipertingkatkan di sebalik tabir sehinggalah kepada interaksi pelanggan, khidmat nasihat dan jualan di barisan hadapan, AI sedang membentuk semula cara bank beroperasi merentas keseluruhan rantaian nilai. Walaupun perkembangan ini menghasilkan kecekapan, kesemua perkembangan ini juga mempunyai implikasi yang besar terhadap tenaga kerja.

Izinkan saya menghuraikan perkara ini dengan lebih lanjut:

  1. Dapatan daripada tinjauan garis asas tenaga kerja MyMahir yang dijalankan oleh AICB pada bulan Julai 2025 menunjukkan bahawa
    kira-kira 24% tenaga kerja telah dikenal pasti terkesan oleh automasi, sama ada melalui pergantian pekerjaan ataupun menghadapi peranan yang diperkukuh oleh teknologi dalam tempoh tiga tahun akan datang. Ringkasnya, sehingga tiga daripada setiap 10 pekerja dalam sektor kewangan mungkin menghadapi beberapa bentuk gangguan peralihan terhadap peranan mereka.
  2. Selain itu, kebanyakan institusi kewangan telah melaporkan bahawa mereka berada pada peringkat awal penggunaan AI, dengan 62% mengakui bahawa teknologi yang berkembang pesat mengatasi keupayaan tenaga kerja semasa.

Pada masa yang sama, tinjauan tersebut mengetengahkan kekurangan tenaga mahir yang semakin nyata dalam beberapa bidang yang genting seperti Perisikan Ancaman Keselamatan Siber (Cybersecurity Threat Intelligence), Sains Data (Data Science), Pengurusan Risiko dan Kawalan (Risk and Control Management), Pematuhan Kawal Selia (Regulatory Compliance) dan Strategi Kemampanan (Sustainable Strategy), dengan lebih 87% institusi kewangan menyatakan bahawa usaha meningkatkan kemahiran dan latihan semula tenaga kerja merupakan keutamaan perniagaan bagi menangani jurang kemahiran ini. Penegasan terhadap transformasi kemahiran ini selaras dengan trend global, iaitu Future of Jobs Report 2025 oleh World Economic Forum[2] menganggarkan bahawa hampir 59% tenaga kerja akan memerlukan peningkatan kemahiran menjelang tahun 2030, dengan peranan yang didorong oleh teknologi serta pekerjaan berkaitan peralihan hijau dijangka mencatatkan pertumbuhan paling pesat.

Perkembangan ini menekankan tentang realiti asas. Kadar perubahan semakin pantas, jangkaan terhadap bank semakin meluas dan tuntutan terhadap profesional perbankan terus berkembang. Dalam era kecerdasan buatan, pertimbangan dan kebijaksanaan insan menjadi semakin bernilai, bukannya semakin berkurangan.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Seorang Chartered Banker bukan sekadar memiliki kelayakan profesional dalam bidang perbankan. Pada hemat saya, gelaran ini merupakan amanah untuk menjadi seorang pegawai bank yang baik. Apakah ciri-ciri pegawai bank yang baik? Ada yang akan mempersoalkan sama ada mereka wujud atau mampu wujud sekalipun. Walau bagaimanapun, takrifan pegawai bank yang baik pada masa lalu mungkin tidak lagi mencukupi pada hari ini. Dahulu, seorang pegawai bank yang baik mungkin seseorang yang cemerlang dalam menguruskan transaksi, menilai risiko kredit, mengekalkan hubungan pelanggan yang baik, bertindak dengan integriti serta memiliki hubungan komuniti dan set kemahiran yang kukuh. Sekurang-kurangnya, inilah jawapan yang saya dapat hasil bantuan AI. Semua ciri ini sememangnya benar dan kekal penting, namun tidak lagi mencukupi secara sendiri.

Hari ini, menjadi seorang pegawai bank yang baik membawa maksud yang jauh lebih luas, iaitu memerlukan keupayaan untuk menyesuaikan diri dengan perubahan pantas, menghayati kemajuan teknologi dan meningkatkan kemahiran secara berterusan. Semua kualiti ini perlu berlandaskan minda yang berpandangan jauh, disokong oleh piawaian etika yang kukuh dan pertimbangan yang mantap. Peralihan keperluan sedemikian bukanlah sementara atau kitaran semata-mata. Sebaliknya, peralihan ini melambangkan penyesuaian semula secara asas yang perlu untuk membentuk hala tuju masa depan sektor ini dan ekonomi yang lebih luas. Pada masa akan datang, kejayaan akan bergantung pada pembangunan tenaga mahir dan keupayaan yang melangkaui kepakaran teknikal tradisional, memupuk kebolehsuaian, pertimbangan yang wajar dan perspektif yang lebih luas terhadap risiko, tadbir urus dan penciptaan nilai jangka panjang.

Sehubungan dengan itu, saya ingin merakamkan penghargaan atas pelbagai inisiatif yang diterajui industri untuk menjamin masa hadapan tenaga kerja sektor kewangan negara. Antara inisiatif utama ialah Future Skills Framework atau FSF yang menyediakan rujukan berstruktur dan khusus sektor bagi membimbing pembangunan keupayaan, mengenal pasti kemahiran yang diperlukan serta menangani keperluan keupayaan yang sentiasa berkembang. Melengkapi usaha ini, FSF Xcel yang diperkenalkan tahun lalu membolehkan institusi kewangan menilai keupayaan tenaga kerja, mengenal pasti jurang kemahiran dan menterjemahkan dapatan tersebut kepada program pembelajaran yang lebih berfokus serta laluan kerjaya yang lebih jelas. Lebih daripada sekadar alat penilaian, FSF wajar dihayati sebagai satu komitmen bersama seluruh industri untuk memupuk pembelajaran berterusan dan membangunkan keupayaan masa hadapan secara terselaras dan berdisiplin.

Pada peringkat yang lebih luas, Future Skills Talent Council (FSTC) yang diterajui oleh TalentCorp dan pelbagai kumpulan rangkaian industri
masing-masing memainkan peranan penting dalam memupuk dialog berterusan mengenai keperluan kemahiran yang sedang bercambah dan membantu menyelaraskan permintaan seluruh sektor dengan keperluan saluran tenaga mahir yang sentiasa berkembang.

Amat menggalakkan untuk menyaksikan industri menerajui semua inisiatif pembangunan tenaga mahir ini, disokong oleh ekosistem penggerak pembelajaran dan pembangunan yang semakin berkembang. Saya menggesa industri untuk terus memanfaatkan semua platform ini dan kekal komited terhadap transformasi tenaga kerja secara kolektif. Pembangunan tenaga mahir tidak seharusnya dilihat sebagai agenda sampingan, tetapi sebagai keutamaan strategik yang akan membentuk kekuatan dan daya tahan sektor kewangan negara pada tahun-tahun akan datang.

Pada masa hadapan, peranan pegawai bank perlu berkembang melangkaui pembiayaan tradisional untuk menjadi pendorong pertumbuhan. Peranan bank bukan sahaja sebagai perantara kewangan, tetapi juga sebagai pendorong strategik transformasi ekonomi. Seiring dengan perubahan landskap operasi, pertumbuhan ekonomi dan industri kini semakin disertai dengan risiko yang lebih kompleks dan saling berkait, lantas mewujudkan tuntutan yang lebih besar terhadap pertimbangan, pemahaman konteks serta penilaian risiko yang berpandangan ke hadapan.

Memenuhi semua tuntutan ini memerlukan lebih daripada sekadar kepakaran teknikal khusus sektor. Hal ini menekankan pemikiran strategik yang lebih kukuh, pemahaman yang lebih mendalam tentang risiko yang baru muncul serta keupayaan pengurusan risiko yang lebih teguh. Dalam menyokong dan memudahkan transformasi ekonomi negara, institusi perbankan boleh dan seharusnya memainkan peranan utama dalam menyelaraskan strategi dan keupayaan dengan keutamaan negara seperti Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (National Energy Transition Roadmap, NETR) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (New Industrial Master Plan 2030, NIMP 2030). Bank boleh memainkan peranan pemangkin dalam memajukan kemakmuran jangka panjang Malaysia dengan menghalakan pembiayaan ke arah pelaburan yang menggerakkan peralihan serta pelaburan bernilai tinggi, terutamanya dalam bidang pertumbuhan baharu seperti tenaga boleh diperbaharui, perkilangan termaju dan aktiviti yang dipacu teknologi.

Dalam konteks ini, Financing Sectoral Engagement (FSE) yang baru dilancarkan pada bulan Mac menunjukkan bahawa pembiayaan pada hari ini perlu melangkaui penyediaan modal. Institusi perbankan perlu meningkatkan peranan sebagai rakan strategik, berinteraksi dan berbincang secara lebih mendalam dengan perniagaan untuk memahami realiti operasi, menilai risiko secara lebih holistik dan menyokong aspirasi pertumbuhan jangka panjang. Sehubungan dengan itu, saya ingin merakamkan penghargaan kepada persatuan industri, ABM, AIBIM dan ADFIM yang telah memainkan peranan penting dalam menggerakkan libat urus yang lebih mendalam dengan bank ahli masing-masing. Sektor elektrik dan elektronik (E&E) telah dikenal pasti sebagai fokus awal yang pertama kali dilaksanakan berikutan kepentingan strategiknya di bawah Strategi Semikonduktor Negara, NIMP 2030 dan Rancangan Malaysia Ketiga Belas. Seterusnya, libat urus lanjut akan diperluas secara berperingkat dengan sektor lain seperti perkapalan, aeroangkasa, automotif dan tenaga hijau dalam fasa-fasa berikutnya. Inisiatif FSE diharapkan dapat merealisasikan jangkaan yang semakin meningkat terhadap bank-bank untuk menawarkan lebih daripada sekadar produk kewangan, malah untuk bekerjasama secara aktif, memberikan pandangan dan menawarkan penyelesaian kewangan khusus yang selaras dengan keperluan perniagaan dan objektif pertumbuhan mampan.

Selaras dengan ini, Pelan Sektor Kewangan yang akan datang sedang dirangka dengan teliti untuk menyokong ekonomi Malaysia yang lebih dinamik, kompleks dan berdaya tahan. Pencapaian wawasan ini akan bergantung pada ekosistem yang berfungsi dengan baik yang menggalakkan kerjasama dan inovasi seluruh sektor. Saya menyeru pendekatan seluruh sektor yang setiap pesertanya, iaitu bank, pengawal selia, pendidik, persatuan industri dan masyarakat sama-sama menghayati dan menggerakkan peranan dan tanggungjawab masing-masing, termasuk dalam memajukan pembangunan tenaga mahir demi menyokong transformasi ekonomi Malaysia.

Sebagai penutup, saya ingin menegaskan bahawa kekuatan dan daya tahan sistem kewangan bukan sahaja terletak pada institusi, rangka kerja dan modal, justeru asasnya terletak pada semua insan yang mendukungnya. Bank Negara Malaysia akan terus bersedia untuk menyokong inisiatif yang memperkukuh ekosistem tenaga mahir dan mempertingkatkan piawaian profesional di seluruh sektor.

Sekali lagi, saya ingin merakamkan penghargaan kepada industri dan khususnya kepada para penerima anugerah pada hari ini atas komitmen berterusan anda terhadap profesionalisme dan pembelajaran sepanjang hayat.

 


[1] 2026 Global AI in Financial Services Report: Adoption, Impact and Risks. Cambridge Centre for Alternative Finance, University of Cambridge

[2] World Economic Forum. Future of Jobs Report 2025. Dapatan Utama Menerusi LinkedIn


Bank Negara Malaysia
16 Mei 2026

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?