Ucapan Majlis Makan Tengah Hari oleh Gabenor pada Mesyuarat Tahunan Ahli Institute of International Finance 2010: 'Asia Tenggara: Potensi dan Perspektif dalam Asia Baharu'

Washington D.C., U.S.A. | 8 Oktober 2010

Usaha menjana pertumbuhan dan pemulihan yang berpanjangan merupakan keutamaan tertinggi bagi ekonomi global ekoran krisis yang melanda baru-baru ini. Sokongan intensif yang disediakan untuk mengelakkan kemelesetan yang lebih teruk sepatutnya hanya sementara - bagi membolehkan pelaksanaan inisiatif untuk menangani kelemahan dalam sistem dan membina semula kapasiti bagi pemulihan yang berterusan. Tanda-tanda yang muncul baru-baru ini menunjukkan bahawa prospek tersebut masih belum tercapai. Namun demikian, ekonomi sedang pesat membangun telah menunjukkan prestasi yang baik dan berpotensi untuk menghasilkan pemulihan yang berterusan. Perkembangan ini telah menarik minat yang besar terhadap ekonomi Asia yang sedang pesat membangun selain perhatian kepada perubahan peranan kelompok negara tersebut dalam ekonomi global dan sistem kewangan antarabangsa.

Saya berasa bangga dan berbesar hati untuk berucap pada Mesyuarat Tahunan Ahli Institute of International Finance (IIF) 2010 ini. Ucapan saya hari ini akan tertumpu pada cabaran dalam menguruskan pemulihan yang berterusan, dengan tumpuan khusus pada potensi rantau Asia yang sedang pesat membangun untuk bangkit menghadapi cabaran ini dalam persekitaran ekonomi dan kewangan global yang baharu. Saya akan mengakhiri ucapan ini dengan menyentuh mengenai perubahan yang berlaku dalam persekitaran kewangan antarabangsa dari perspektif Asia yang sedang pesat membangun.

Apabila pertumbuhan di negara maju menjadi perlahan akibat faktor strukturnya, persoalan yang timbul ialah adakah persekitaran global yang semakin saling bergantung ini akan menjejaskan prospek ekonomi Asia yang sedang pesat membangun? Asia terdiri daripada ekonomi yang pelbagai sifatnya. Asia Tenggara, dengan jumlah penduduk yang melebihi 500 juta orang dan terletak secara strategik di selatan China dan timur India, telah menjadi pusat perdagangan penting yang menghubungkan Asia dengan Barat sejak abad ke-13 lagi. Sebagai ekonomi paling terbuka di Asia, dan mungkin juga di dunia, Asia Tenggara amat mudah terjejas oleh perkembangan global.

Sungguhpun rangsangan ekonomi amat penting untuk membendung krisis, ia tidak memadai untuk menjana pemulihan yang kukuh lagi berterusan. Cabaran yang dihadapi ialah penstrukturan semula dan transformasi ekonomi, selain reformasi dan pembangunan semula keupayaan institusi untuk kekal berkesan dalam persekitaran baharu dan berada pada kedudukan yang kukuh untuk menangani kejutan pada masa hadapan.

 

 

Ketika ekonomi sedang pesat membangun di Asia melalui proses peralihan ke era pasca krisis, tiga peralihan struktur yang penting sedang mengubah rantau ini. Pertama, penstrukturan semula ekonomi dan strategi untuk mendapatkan sumber pertumbuhan yang lebih seimbang. Usaha ini telah melibatkan perubahan ketara terhadap bidang yang mempunyai faedah berbanding baharu dan juga bidang pertumbuhan baharu, serta penekanan lebih besar terhadap permintaan dalam negeri sebagai pendorong pertumbuhan. Dengan eksport terus menjadi sektor yang penting, corak perdagangan telah berubah dengan ketara berikutan bertambah pentingnya perdagangan dengan ekonomi sedang pesat membangun amnya, dan dengan Asia, khususnya.

Faktor yang mungkin paling penting dalam beberapa dekad ini, yang telah berjaya mengekalkan pencapaian ekonomi sedang pesat membangun di Asia ialah fleksibiliti ekonominya untuk disesuaikan dengan persekitaran global yang berubah-ubah. Fleksibiliti ekonomi ini disokong oleh tingginya tahap mobiliti tenaga kerja dan modal dalam ekonomi negara?negara tersebut dan juga pelaburan yang besar dalam bidang pendidikan dan pembangunan infrastruktur. Rantau ini juga telah menerima pakai pendekatan pragmatik bagi dasar?dasar yang tidak dikekang oleh ideologi tegar. Dalam dekad baru-baru ini, pembangunan institusi, reformasi kewangan yang meluas, dan penggunaan model perniagaan baharu telah menjadi komponen penting dalam proses transformasi ini.

Beberapa ekonomi sedang pesat membangun di Asia telah membuat transformasi kapasiti pengeluaran sektor perkilangan dan perkhidmatan untuk memenuhi perubahan dalam permintaan ekonomi global dan juga pasaran pengguna di Asia yang semakin luas. Memandangkan tahap pembangunan dan sumber-sumber semula jadi dalam rantau ini adalah berbeza, ekonomi sedang pesat membangun di Asia juga telah memanfaatkan faedah berbanding masing-masing yang unik. Ini telah menghasilkan pembahagian tenaga kerja dan pengkhususan dalam rantau, serta keupayaan untuk melaksanakan seluruh spektrum rantaian bekalan bagi pelbagai produk dan perkhidmatan.

Sebahagian daripada penstrukturan semula ekonomi melibatkan penekanan yang lebih besar terhadap permintaan dalam negeri sebagai sumber pertumbuhan yang penting. Ini melibatkan aktiviti penggunaan domestik swasta dan pelaburan yang lebih aktif. Paras pendapatan yang semakin meningkat dan struktur demografi muda yang amat cenderung berbelanja telah mewujudkan pasaran pengguna yang besar serta pembangunan sektor runcit moden yang meluas merentas rantau. Potensi bagi trend ini untuk berterusan juga disokong dengan tiadanya trend inflasi, kadar pengangguran yang tinggi, atau paras keberhutangan yang tinggi.

Trend asas kedua ialah integrasi ekonomi dan kewangan serantau yang kian pesat. Ini telah dibantu oleh kemampuan untuk memanfaatkan kesalinghubungan dalam rantau ini yang terhasil daripada kepelbagaian dan perbezaan dalam faedah berbanding masing-masing. Perdagangan dalam rantau ini telah menjadi penyumbang utama kepada pemulihan di Asia baru-baru ini. Aliran pelaburan dalam rantau ini juga semakin meningkat. Aktiviti perniagaan dalam rantau ini semakin giat memanfaatkan elemen saling melengkapi serantau dan merebut peluang daripada pasaran dalam rantau ini yang semakin berkembang melalui perjanjian perdagangan serantau untuk merealisasikan aspirasi ASEAN untuk menjadi Komuniti Ekonomi menjelang tahun 2015.

Sebagai ekonomi yang mempunyai tabungan yang tinggi, sememangnya diakui bahawa amat perlu bagi pengantaraan untuk menjadi lebih cekap bagi menggembleng dana lebihan yang terdapat dalam rantau ini. Ini tidak terhad kepada penyaluran dana secara berkesan kepada peluang pelaburan yang produktif dalam rantau ini, tetapi juga untuk pembiayaan pembangunan infrastruktur secara besar?besaran yang diperlukan oleh rantau ini. Sebagai mencerminkan sebahagian daripada integrasi kewangan serantau yang meningkat, kini terdapat kewujudan serta penyertaan serantau yang lebih ketara dalam sistem kewangan domestik rantau ini. Fenomena ini disokong oleh liberalisasi kewangan yang progresif, pembangunan pasaran kewangan domestik, penggunaan mata wang domestik yang lebih meluas untuk memudahkan aktiviti perdagangan dua hala, serta pembangunan sistem pembayaran dan penyelesaian.

Integrasi ekonomi dan kewangan serantau juga diperkukuh oleh tahap kerjasama serantau yang lebih tinggi. Sebelum ini, kerjasama serantau banyak tertumpu pada perdagangan, pelaburan dan pembangunan. Namun, dekad ini menyaksikan bentuk kerjasama telah beralih kepada usaha menangani isu-isu kestabilan kewangan, termasuk pengawasan, pengurusan krisis, pengaturan sokongan mudah tunai, penyeliaan kewangan dan pembangunan pasaran kewangan.

Pendekatan yang akan digunakan untuk memperkuat integrasi kewangan di Asia adalah berbeza daripada kaedah yang digunakan di Eropah. Ini kerana rantau Asia tidak mempunyai institusi berpusat untuk menyelaraskan integrasi kewangan tetapi sebaliknya memanfaatkan perkumpulan dan rangkaian dalam rantau yang sedia ada untuk membentuk kerjasama dan kolaborasi yang lebih erat dalam bidang?bidang kepentingan bersama. Rantau ini juga mempunyai jawatankuasa kestabilan monetari dan kewangannya sendiri yang disokong oleh pengaturan pengawasan serantau bagi mengenal pasti risiko dan ancaman kepada rantau ini. Selain itu, terdapat juga rangka kerja pengurusan krisis bersepadu yang akan beroperasi sekiranya tanda-tanda krisis kewangan mulai muncul di rantau ini. Baru-baru ini rantau ini berjaya menubuhkan dua skim pengumpulan rizab, iaitu Dana Bon Asia dan Perjanjian Swap Mata Wang Multilateralisasi ASEAN+3 Chiang Mai untuk menyediakan kemudahan sokongan mudah tunai.

Sambil sistem ekonomi dan kewangan di Asia melaksanakan transformasi, dan integrasi rantau ini menjadi lebih bersepadu dan erat, perkembangan ini bukan sahaja telah meningkatkan potensi rantau ini untuk menyumbang kepada pertumbuhan global bahkan turut meningkatkan daya tahan serantau, sekali gus meningkatkan sumbangan rantau ini kepada kestabilan kewangan global. Kesemua perkembangan ini menyokong usaha di peringkat global yang dijalankan oleh pelbagai pertubuhan antarabangsa dan agensi pelbagai hala dalam usaha mencari penyelesaian untuk mencapai kestabilan kewangan global dan pertumbuhan yang berterusan.

Peralihan daripada G7 kepada G20 diakui sebagai langkah ke hadapan yang positif yang telah pun melangkaui dunia maju. Akan tetapi perwakilan dalam G20 adalah berdasarkan saiz ekonomi dan bukannya oleh perwakilan daripada kumpulan negara tertentu. Lantaran itu, jangkauan dan rangkumannya adalah terhad, dan negara-negara membangun yang kecil dan sederhana bukan merupakan sebahagian daripada proses ini. Namun, G20 masih merupakan forum global yang penting untuk membincangkan dan mempertimbangkan isu-isu global dan akan memainkan peranan penting dalam menentukan hala tuju dasar global. Sebelum ini, kesepaduan, keprihatinan dalam tujuan serta tindakan segera G20 sebenarnya telah menyumbang kepada usaha untuk memulihkan keyakinan terhadap sistem kewangan global, dan dasar rangsangan terselaras pula menjadi pemangkin penting untuk pemulihan ekonomi. Namun, dalam beberapa bulan kebelakangan ini, momentum untuk tindakan terselaras ini semakin menurun dan pendirian terhadap beberapa isu penting juga berbeza. Pada masa yang sama, beberapa negara yang teruk dilanda krisis telah melaksanakan rancangan reformasi kewangan mereka sendiri. Memandangkan implikasi mana-mana agenda reformasi adalah besar, adalah menjadi tanggungjawab global yang penting untuk memastikan reformasi akan mencapai hasil yang diinginkan, dan fasa baharu globalisasi akan mewujudkan sistem kewangan antarabangsa yang lebih inklusif bagi membolehkan penyertaan yang efektif dalam ekonomi global dan sistem kewangan antarabangsa, tanpa mengira saiz mahupun tahap pembangunan.

Sehubungan dengan reformasi pengawalseliaan yang khusus untuk menangani isu dan masalah yang mencetuskan krisis, apa yang penting ialah matlamat reformasi tersebut tidak harus diabaikan - iaitu menggalakkan kestabilan kewangan dalam mencapai matlamat, dengan tujuan utamanya untuk mencapai pertumbuhan dan pembangunan yang mapan. Ramai yang telah membangkitkan mengenai potensi kenaikan kos pengawalseliaan terhadap aktiviti pengantaraan dan seterusnya aktiviti ekonomi. Malah faktor ini lebih relevan di Asia yang banyak bergantung kepada sektor perbankan untuk pembiayaan. Usaha yang diambil untuk membuat penilaian yang komprehensif mengenai kesan makroekonomi, termasuk oleh IIF, adalah sangat relevan dan penting bagi proses reformasi.

Satu lagi kebimbangan yang timbul tetapi kurang dibincangkan ialah pelaksanaan reformasi pengawalseliaan. Dengan mobiliti modal merentas sempadan yang lebih tinggi, peraturan yang lebih ketat boleh menyebabkan perniagaan kewangan berpindah ke segmen pasaran, institusi atau pusat kewangan yang kurang dikawal selia. Sehubungan dengan ini, penting untuk membangunkan rangka kerja penyelarasan dasar dan resolusi merentas sempadan. Di Asia, usaha sedang dilaksanakan untuk menangani isu-isu khusus ini, dengan kesedaran bahawa dalam persekitaran yang saling berhubung kait ini, pelaksanaan langkah?langkah pemulihan dan pembendungan akan menjadi sangat rumit dan mencabar. Tumpuan juga diberikan pada usaha untuk meningkatkan pengawasan dan pemantauan yang dilengkapi rangka kerja yang mantap bagi tadbir urus, ketelusan dan kebertanggungjawaban.

Memandangkan terdapat banyak institusi antarabangsa di rantau Asia, kami mempunyai kepentingan yang besar dalam pembentukan mekanisme resolusi merentas sempadan yang berkesan agar sebarang kegagalan institusi yang besar dan penting dari segi sistemik yang mempunyai perwakilan merentas sempadan, akan dapat ditangani dengan berkesan dan teratur. Ini memerlukan kerjasama dan koordinasi merentas negara, dengan mengambil kira peraturan dan sistem perundangan negara yang berbeza-beza.

Satu lagi keutamaan bagi rantau Asia yang sedang pesat membangun ialah usaha untuk menggalakkan amalan pasaran yang bertanggungjawab dan perlindungan pengguna berdasarkan tahap pembangunan dan celik kewangan. Terdapat skop yang luas untuk mewujudkan momentum global yang lebih pesat bagi meningkatkan standard pengawalseliaan terhadap amalan pasaran.

Masih banyak lagi tugas yang perlu dilaksanakan pada masa hadapan dan ini memerlukan azam dan komitmen dalam agenda reformasi ini. Proses global yang lebih inklusif amat penting dalam usaha ini dan perlu diperdalam untuk benar-benar mencerminkan dimensi sistem kewangan global dalam abad ke-21 ini.

Dalam perdebatan yang hangat baru-baru ini berkaitan dengan peranan kadar pertukaran sebagai penyelesaian bagi ketidakseimbangan global, perlu diketahui bahawa pasaran pertukaran asing tidak seperti pasaran lain. Dengan nilai urus niaga hariannya mencecah sehingga USD4 trilion, ia merupakan pasaran paling cair dan dinamik di dunia. Ia merupakan pasaran yang mudah terjejas oleh pergerakan yang berlebihan dan keterlaluan. Sebarang usaha untuk membuat pelarasan yang besar terhadap kadar pertukaran dalam masa yang singkat mempunyai risiko untuk menyebabkan ketidakstabilan yang amat ketara. Ketidakseimbangan global yang berlaku sejak beberapa tahun yang lalu perlu ditangani melalui kombinasi pelarasan dalam permintaan, harga dan kadar pertukaran. Terlalu bergantung kepada kadar pertukaran untuk membuat pelarasan bukan sahaja tidak akan menjana hasil yang diharapkan, bahkan berisiko menjadi pencetus ketidakstabilan dan krisis akan datang.

Perkembangan terakhir yang ingin saya nyatakan ialah mengenai pembangunan kewangan Islam global dan peranannya yang semakin meningkat dalam memperkuat hubungan ekonomi dan kewangan global, khususnya dalam kalangan ekonomi sedang pesat membangun. Hakikatnya, kewangan Islam adalah mengenai perbankan asas yang sentiasa berlandaskan aktiviti ekonomi sebenar. Ciri-ciri perkongsian keuntungannya membolehkan risiko dikongsi dan sekali gus memerlukan usaha wajar, penzahiran dan ketelusan, serta pengurusan risiko dan tadbir urus yang baik. Industri ini juga disokong kukuh oleh standard pengawalan dan penyeliaan yang ditetapkan oleh Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam (Islamic Financial Services Board, IFSB). Meskipun fokus IFSB adalah supaya peraturan yang dibuat adalah sejajar dengan perkembangan dalam sistem kewangan, penekanan juga
diberikan terhadap pengawasan penyeliaan, bina upaya, dan pembangunan institusi dan infrastruktur kewangan yang merupakan antara usaha untuk memastikan kestabilan kewangan. Perkembangan terkini yang paling nyata ialah penubuhan Perbadanan Pengurusan Mudah Tunai Islam Antarabangsa (International Islamic Liquidity Management Corporation, IILM) yang akan menerbitkan instrumen jangka pendek Islam berpenarafan tinggi untuk memudahkan pengurusan mudah tunai yang lebih cekap bagi pelaburan merentas sempadan.

Cabaran-cabaran global memerlukan pendekatan bersepadu untuk memperkuat prospek pemulihan global. Langkah seterusnya juga adalah untuk mengetahui kekuatan relatif bahagian-bahagian dunia yang berbeza dan potensi untuk memanfaatkan kekuatan tersebut. Transformasi Asia dalam persekitaran baharu ini menawarkan prospek tanggungjawab bersama yang lebih besar ke arah mencapai kemakmuran bersama yang lebih meluas di seluruh dunia.


Bank Negara Malaysia
09 Oktober 2010

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?