Ucapan oleh Gabenor Abdul Rasheed Ghaffour di Anugerah CGC ke-30 2024

Kuala Lumpur | 31 Julai 2025

Saya amat berbesar hati dapat bersama anda pada malam ini untuk meraikan pencapaian PKS tempatan serta rakan-rakan kerjasama yang terus menyokong pertumbuhan dan daya tahan PKS di Malaysia.

Terima kasih kepada Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC) atas undangan ini dan yang lebih penting, atas peranan CGC yang terus memantapkan akses pembiayaan kepada PKS yang tidak mendapat serta kurang mendapat perkhidmatan kewangan.

Kepada semua penerima anugerah: PKS, institusi kewangan dan rakan-rakan kerjasama bukan bank; tahniah saya ucapkan! Anugerah ini bukan sekadar pencapaian, malah merupakan sumbangan penting kepada pembinaan negara.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Walaupun terdapat ketidaktentuan global – daripada perubahan dasar perdagangan kepada ketegangan geopolitik – ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan. Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia dijangka berkembang antara 4% hingga 4.8% pada tahun 2025, disokong oleh permintaan dalam negeri yang kukuh, keadaan pasaran pekerja yang menggalakkan dan pelaburan yang berterusan. Inflasi dijangka kekal sederhana, menyediakan persekitaran yang stabil untuk membolehkan pembaharuan struktur terus dilaksanakan.

Kedudukan yang kukuh ini memberi kita keyakinan untuk terus maju, dan PKS akan menjadi teras kepada perjalanan tersebut dengan memacu inovasi, mewujudkan pekerjaan dan memupuk pertumbuhan serta kepelbagaian ekonomi. PKS merupakan tulang belakang ekonomi Malaysia serta nadi kepada agenda keusahawanan dan rangkuman negara, mencakupi 97% daripada perniagaan di Malaysia, menyumbang 39% kepada KDNK, dan hampir separuh daripada pekerjaan telah diwujudkan menerusi PKS.[1]

Oleh yang demikian, peranan institusi kewangan dan CGC dalam menyokong PKS terus sangat penting. Saya ingin mengiktiraf sumbangan utama yang telah diberikan oleh institusi kewangan dan CGC dalam menyokong PKS, terutamanya semasa pandemik seperti yang disebut oleh Dato’ Mohammed Hussein, serta fasa pemulihan selepas itu.

Kerjasama antara CGC dengan institusi kewangan telah membolehkan puluhan ribu PKS mendapat akses kepada pembiayaan yang mungkin tidak dapat diperoleh tanpa kerjasama ini. Antara tahun 2020 hingga 2023, CGC telah menyokong pembiayaan melebihi RM20 bilion untuk lebih 58,000 PKS. Pada tahun 2024 sahaja, CGC memberikan jaminan sebanyak RM2.8 bilion, yang membolehkan sektor kewangan menyediakan RM4 bilion lagi kepada lebih 6,500 PKS.[2] Usaha ini telah membantu mengekalkan pekerjaan, melindungi mata pencarian dan memastikan perniagaan yang berdaya maju tidak ketinggalan semasa waktu sukar.

Bahagian inovasi CGC, CGC Digital, juga memperkukuh kerjasama dengan pemberi pinjaman fintech termasuk platform Rakan ke Rakan (Peer-to-Peer, P2P) dan Pemerolehan Dana Ekuiti Melalui Internet (Equity Crowdfunding, ECF) untuk memperluas akses kepada pembiayaan, khususnya bagi perniagaan mikro dan perniagaan kecil yang kurang mendapat perkhidmatan kewangan.

Menuju masa hadapan, PKS kini berada pada persimpangan yang genting. Perubahan perdagangan global, peningkatan risiko geopolitik dan kemajuan teknologi khususnya dalam kecerdasan buatan (artificial intelligence, AI) sedang mengubah model perniagaan dengan begitu pantas. Sambil kita meraikan pencapaian PKS, kita juga perlu memastikan mereka kekal berdaya saing dan berdaya tahan dalam persekitaran yang berubah dengan pantas; melalui transformasi automasi, pendigitalan dan amalan mampan.

Sehubungan dengan ini, dalam usaha mencapai agenda transformasi negara kita, termasuk melalui Pelan Induk Perindustrian Baharu (New Industrial Masterplan, NIMP), Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (National Energy Transition Roadmap, NETR) dan Rancangan Malaysia Ketiga Belas yang diumumkan pagi ini, sektor kewangan termasuk CGC mesti berkembang seiring untuk menyokong pembaharuan ini.

Dalam konteks ini, saya ingin mengetengahkan tiga bidang utama yang berpotensi memberikan impak pembangunan yang lebih besar menerusi kerjasama antara CGC dengan sektor kewangan secara menyeluruh, termasuk Bank Negara Malaysia.

Pertama: Menggerakkan penyertaan PKS dalam sektor pertumbuhan strategik.

Sektor seperti semikonduktor, aeroangkasa, tenaga boleh diperbaharui, pusat data dan teknologi perolehan karbon merupakan sektor yang intensif modal, dipacu teknologi dan sering menghadapi halangan untuk mendapatkan pembiayaan.

Mekanisme jaminan boleh memainkan peranan pemangkin dalam menarik modal swasta, menguruskan risiko inovasi dan mewujudkan peluang untuk PKS memasuki industri baharu ini. Sebagai contoh, dalam menyokong penerapan IR4.0 oleh PKS menerusi program TechUP MITI, CGC boleh bekerjasama dengan institusi kewangan dan agensi berkaitan untuk membangunkan pakej pembiayaan dan khidmat nasihat yang bersepadu.

Program jaminan yang dirangka dengan baik, digabungkan dengan kepakaran teknikal, boleh membantu mengecilkan jurang maklumat, menggerakkan PKS untuk membuat perubahan serta membolehkan institusi kewangan memberikan pembiayaan kepada PKS dengan lebih yakin.

Kedua: Memajukan pembiayaan PKS berasaskan data.

Transformasi dalaman CGC ke arah analitik dan membuat keputusan berasaskan data harus diberikan pujian. Asas ini membuka peluang kepada inovasi yang lebih besar dalam model pemarkahan kredit alternatif, kecekapan operasi dan penyelesaian khusus untuk PKS.

Menerusi platform imSME, digabungkan dengan pengalaman jaminan CGC dan kerjasama digital, terdapat potensi sebenar untuk kita membina alat yang mengurangkan kebergantungan pada penilaian kredit tradisional tanpa menjejaskan pengurusan risiko yang mantap dan berkesan.

Hal ini amat bernilai terutamanya dalam segmen yang kos perkhidmatannya tinggi dan kurang mendapat perhatian. Tambahan pula, rangka kerja berasaskan data yang kukuh akan meningkatkan lagi pengukuran impak, lantas membantu CGC mencatatkan sumbangan sosioekonominya dengan lebih baik, melangkaui prestasi kewangan semata-mata.

Ketiga: Memperkukuh daya tahan dan kecemerlangan PKS.

Pembiayaan semata-mata tidak mencukupi. PKS memerlukan bimbingan, alat dan wakil terutamanya dalam persekitaran yang bergerak pantas hari ini.[3]

Program pembangunan berstruktur CGC telah memberikan manfaat kepada lebih 8,700 PKS, membantu meningkatkan literasi kewangan, keupayaan digital dan akses kepada pasaran. Perkhidmatan Nasihat Kewangan CGC, termasuk melalui MyKNP (Khidmat Nasihat Pembiayaan), telah memperkasakan perniagaan untuk lebih memahami kedudukan kewangan mereka dan bersedia untuk pembiayaan masa hadapan.

Saya ingin memberikan contoh sebuah perniagaan perikanan di Malaysia Timur. Dengan sokongan MyKNP, perniagaan ini dapat mengemas kini rekod kewangan untuk mencerminkan keuntungannya yang sebenar, Hasilnya, perniagaan ini layak mendapatkan modal kerja yang sangat diperlukan.

Intervensi sebegini bukan sahaja membantu, malah menghasilkan sebuah transformasi. Harapan saya adalah supaya CGC akan terus memperluas usaha sama seperti ini, memperluas perkhidmatan tersebut dan membimbing PKS sepanjang pelbagai peringkat pembiayaan yang dilalui.

Pada masa yang sama, kita tidak boleh melupakan satu lagi kumpulan perniagaan yang penting di Malaysia, iaitu syarikat tahap pertengahan (mid-tier companies, MTC). Walaupun bilangannya sedikit, MTC juga memainkan peranan strategik dalam trajektori pertumbuhan Malaysia.

MTC merupakan firma yang berpotensi untuk menjadi teras kepada rantaian bekalan, mengeksport secara besar-besaran dan menerajui peningkatan industri. Mengikut piawaian global, banyak kalangan MTC yang kekal kecil, di sampingmempunyai akses yang terhad kepada pembiayaan yang canggih atau modal risiko.

Menyokong pertumbuhan MTC bukan suatu penyimpangan daripada mandat PKS, malah merupakan kesinambungan bagi mandat tersebut. Apabila PKS berkembang menjadi firma tahap pertengahan, mereka mewujudkan pekerjaan baharu, permintaan untuk pembekal dan rantaian nilai yang berdaya saing.

Sehubungan dengan ini, apa yang penting ialah inisiatif yang dilaksanakan, sama ada mekanisme jaminan atau program kewangan, perlulah tangkas dan responsif terhadap keperluan firma yang berada pada pelbagai titik perubahan pertumbuhan.

Tetamu yang dihormati,

Di Bank Negara Malaysia, fokus kami kekal untuk memastikan sistem kewangan menyokong aktiviti ekonomi benar dengan keterangkuman, akauntabiliti dan daya tahan jangka panjang sebagai terasnya. Dalam melaksanakan usaha ini, kami terus memperkukuh kerjasama dengan semua pihak berkepentingan, khususnya dengan tiga aspirasi dalam fikiran:

  • Pertama, kita perlu memperluas akses pembiayaan, bukan sahaja untuk peminjam kali pertama, tetapi juga untuk firma yang sedang membangun dengan potensi untuk berkembang.
  • Kedua, kita perlu melabur dalam saluran pembiayaan mampan, termasuk penyelesaian kewangan hijau dan pembiayaan Islam,
  • Dan ketiga, kita perlu memperdalam kerjasama ekosistem yang menggabungkan kewangan tradisional dengan fintech, data dan alat pembangunan.

Sambil kita meraikan para pemenang anugerah malam ini, marilah kita juga mengambil cakna tentang tanggungjawab yang datang bersama kejayaan. Saya menggalakkan semua penerima anugerah, baik PKS mahu pun institusi kewangan, untuk terus memberikan manfaat kepada pihak lain:

  • Kepada PKS, kami menggalakkan anda untuk menjadi contoh teladan. Bimbing rakan usahawan lain, kongsi amalan terbaik dan bantu memupuk budaya inovasi dan daya tahan dalam komuniti.
  • Kepada institusi kewangan, pertingkatkan komitmen anda terhadap pembiayaan berasaskan impak. Terajui inisiatif yang memberikan hasil sosial dan alam sekitar yang bermakna, di samping memastikan kemampanan kewangan.

Marilah kita terus membina ekosistem kewangan yang bukan sahaja menyokong firma pada awal permulaan mereka, tetapi juga mengiringi mereka sepanjang setiap peringkat pertumbuhan.

Tahniah sekali lagi kepada semua penerima anugerah.

Terima kasih.

 


[1] Sumber: Jabatan Perangkaan Malaysia (Department of Statistics Malaysia, DOSM) 2023. Statistik Prestasi PKS 2024 dijangka Diterbitkan pada akhir bulan Julai, berdasarkan Kalendar Siaran Awal DOSM.

[2] Sumber: Laporan Tahunan CGC 2024.

[3] Diadaptasi daripada: Malaysia’s Experience with the SME Masterplan, Bank Dunia, 2020.


Bank Negara Malaysia
01 Ogos 2025

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?