Ucapan oleh Gabenor di Forum Wanita dalam Kepimpinan - Memperkasa Kepimpinan Wanita dalam Kehidupan Masyarakat "Perkongsian Kuasa dalam Sektor Awam"
Mandarin Oriental, Kuala Lumpur | 22 Februari 2011
Pendahuluan
Dalam abad kedua puluh satu ini, prestasi dan kemajuan tidak lagi ditentukan oleh aset fizikal tetapi sebaliknya oleh modal insan. Kaum wanita merupakan separuh daripada penduduk dunia lantaran merangkumi setengah daripada sumber berpotensi yang mampu memacu prestasi. Hal ini diperkuat lagi oleh trend kebelakangan ini yang menyaksikan kaum wanita mencakupi sebahagian besar daripada golongan yang berpendidikan tinggi. Oleh itu, kaum wanita merupakan sumber berpotensi yang semakin penting yang mampu memikul amanah sebagai pemimpin. Dalam ekonomi sedang pesat membangun yang menghadapi kekurangan tenaga mahir berkelayakan tinggi, soal gender tidak menjadi suatu isu. Malah wanita berjaya memegang jawatan-jawatan kepimpinan berdasarkan merit dan keupayaan mereka.
Penyertaan wanita dalam semua segmen ekonomi di Malaysia sememangnya telah mencapai kemajuan yang besar lantas membuktikan mereka mampu untuk memimpin dan berjaya dalam sektor awam dan juga swasta. Saya amat berbesar hati kerana diberi penghormatan untuk berucap di Forum Wanita dalam Kepimpinan ini dengan topik "Memperkasa Kepimpinan Wanita dalam Kehidupan Masyarakat: Perkongsian Kuasa dalam Sektor Awam". Di Asia khususnya, kaum wanita kini berjaya memegang jawatan penting dan diberi peluang menyumbang ke arah kemajuan dan pembangunan negara. Dalam era yang semakin menuntut prestasi cemerlang serta bercirikan persekitaran pengawasan dan ketelusan yang semakin tinggi, pelantikan untuk memegang jawatan kepimpinan tidak lagi berdasarkan gender tetapi lebih mengutamakan kebolehan sebagai pentadbir, penggubal dasar dan pemimpin yang berinovasi (thought leadership). Dengan itu, perkongsian kuasa membawa maksud kuasa saling dikongsi demi mencapai kemajuan negara dan bukannya penggunaan mutlak kuasa itu sendiri. Ucapan saya hari ini akan dimulai dengan menyentuh peranan sektor awam dan kebertanggungjawabannya, sebelum saya membincangkan tentang wanita dan kepimpinan dalam sektor awam, cabaran yang dihadapi serta beberapa strategi kejayaan.
Kebertanggungjawaban Sektor Awam
Peranan dan kebertanggungjawaban sektor awam jauh berbeza daripada sektor swasta. Tidak seperti sektor swasta, penunjuk prestasi sesebuah agensi dalam sektor awam pada amnya tidak diukur dari segi kewangan semata-mata. Selain itu, tindakan yang diambil oleh sektor awam mempunyai kesan yang lebih meluas terhadap kemakmuran ekonomi seluruh rakyat secara amnya dan juga semua spektrum perniagaan. Tindakan sektor awam juga mempunyai implikasi pada peringkat global berikutan kesalinghubungan antarabangsa yang lebih erat yang terjalin dalam persekitaran semasa. Oleh itu, tanggungjawab dan kebertanggungjawaban yang didukung oleh sektor awam sesungguhnya amat besar. Sejarah mengajar kita bahawa kesan daripada salah pengurusan amat memudaratkan negara dan mengakibatkan rakyat terpaksa menanggung beban kos yang tinggi. Sebaliknya, negara yang diuruskan dengan baik pasti memberikan kemakmuran yang besar kepada seluruh rakyatnya.
Sektor awam mendukung tanggungjawab untuk menjana hasil dan memberi manfaat kepada rakyat. Manfaat tersebut termasuk kemudahan tempat tinggal, pendidikan, kesihatan dan pengangkutan yang lebih baik selain usaha untuk membasmi kemiskinan, mengurangkan kadar jenayah dan memastikan alam sekitar terus terpelihara. Dalam persekitaran semasa yang lebih telus dan kewujudan saluran komunikasi yang lebih canggih, kesedaran tentang keadaan semasa semakin mendalam. Ini seterusnya mendorong harapan dan jangkaan yang lebih tinggi terhadap sektor awam. Rakyat jelas tidak lagi boleh bertolak ansur dengan ketidakcekapan, prestasi yang lemah, amalan yang tidak konsisten dan kegagalan mencapai hasil yang dikehendaki. Sebaliknya, mereka mengharapkan sektor awam memberikan perkhidmatan terbaik untuk negara selain menjana hasil seperti diharapkan melalui cara yang paling cekap dan berkesan.
Sektor awam, sebagaimana sektor swasta, turut menerima kesan daripada persekitaran dinamik yang pantas berubah. Pendekatan yang sebelum ini membuahkan kejayaan kini mungkin tidak lagi relevan. Malah kemahiran dan keupayaan yang dahulunya mencukupi kini tidak lagi memadai. Tambahan pula, usaha kumulatif juga diperlukan daripada semua bahagian sektor awam untuk mendapatkan hasil yang dikehendaki. Pergantungan kini bukan hanya kepada bahagian-bahagian tertentu sistem tetapi melibatkan lebih banyak bahagian dalam sistem awam. Pengaturan lama juga tidak lagi berkesan. Cabaran baharu yang semakin rumit perlu dihadapi dengan kaedah dan sistem baharu. Dengan itu, organisasi perlu melalui proses transformasi agar ia dapat melangkah seiring dengan tuntutan persekitaran baharu yang pantas berubah.
Dalam usaha untuk mendorong kemajuan dan pembangunan negara, keupayaan untuk menguruskan cabaran yang mendatang sudah menjadi suatu kemestian. Susulan itu, peranan kepimpinan dalam sektor awam telah banyak berubah. Negara yang berjaya ialah negara yang memberi keutamaan kepada modal insan serta mengambil langkah mengkaji semula dan melaksanakan transformasi organisasi. Memandangkan modal insan yang berkeupayaan tinggi masih lagi kurang, peluang terbuka luas kepada kaum wanita yang berkebolehan untuk memikul tanggungjawab kepimpinan dalam sektor awam dan seterusnya mencapai matlamat untuk meningkatkan kesejahteraan seluruh rakyat.
Memperkasa Kepimpinan Wanita dalam Sektor Awam
Wanita merupakan komponen penting dalam sumber modal insan dan kini semakin giat memperkukuh kedudukan mereka dalam kumpulan tenaga mahir. Untuk menjadi pemimpin, pelaburan dalam pembangunan kemahiran kepimpinan adalah amat perlu. Meskipun kepimpinan dalam sektor swasta dan awam mempunyai unsur-unsur yang sama, terdapat beberapa ciri kepimpinan tertentu yang penting dan khusus buat sektor awam.
Pertama, perlu ada wawasan yang jelas - iaitu matlamat dan hasil yang perlu dicapai oleh organisasi. Berbeza dengan sektor swasta, kejayaan dalam sektor awam tidak diukur melalui hasil kewangan yang dicapai. Sering kali juga pengukuran dari segi kuantitatif sukar dibuat. Namun begitu, pengukuran sedemikian amat penting agar sumber dan daya usaha organisasi dapat disejajarkan bagi mencapai hasil yang dikehendaki. Sama pentingnya juga ialah langkah ini membolehkan organisasi terus fokus dan meneruskan hala tuju yang ditetapkan apabila berdepan tekanan daripada pelbagai pihak berkepentingan yang mempunyai persepsi dan jangkaan berbeza terhadap organisasi.
Kedua, berkeupayaan untuk menerangkan wawasan ini kepada pihak lain dalam organisasi dan juga kepada mereka yang akan menerima kesan daripada tindakan yang diambil oleh organisasi. Dengan cara ini, daya usaha pekerja dapat diselaraskan untuk mencapai hasil strategik yang dikehendaki. Acap kali, wawasan yang dikongsi bersama dengan mereka yang akan menerima kesan daripada tindakan organisasi juga membolehkan usaha-usaha bersama saling mengukuh.
Aspek ketiga yang penting ialah pengetahuan dan pemahaman tentang urusan dan unsur-unsur utama yang memacu organisasi. Cara sistem dikendalikan dan cara matlamat direalisasikan juga harus dihayati. Oleh itu, perlu ada pengetahuan, kemahiran, maklumat, metodologi dan struktur organisasi yang menyokong untuk mencapai hasil yang disasarkan. Ini penting agar wawasan dapat direalisasikan.
Keempat, berikutan ciri urusan sektor awam dan kepelbagaian pihak berkepentingan yang terlibat, kepimpinan dalam sektor ini menuntut kemahiran penyelarasan dan integrasi yang mampu menyatukan cara pemikiran dan pemahaman yang berbeza, serta keupayaan untuk menyatukan perspektif yang berlainan agar menjadi suatu bentuk penyelesaian yang menghasilkan keputusan yang dikehendaki. Langkah ini turut melibatkan kemahiran penyelarasan yang dapat menyatukan bukan sahaja pelbagai bahagian organisasi bahkan organisasi lain dalam sektor awam yang boleh menyumbang ke arah pencapaian hasil yang dikehendaki.
Kelima, kepentingan pelbagai pihak yang perlu diseimbangkan. Sering kali, tindakan yang perlu diambil menyebabkan implikasi yang berbeza kepada kumpulan sasaran yang berlainan, dan mungkin menyentuh kepentingan yang bercanggah. Oleh itu, kepentingan yang berlainan bagi segmen masyarakat yang berbeza perlu diseimbangkan dan risikonya diuruskan dengan sewajarnya.
Keenam, kemahiran untuk menguruskan krisis perlu dipupuk lantaran peranannya yang semakin penting dalam persekitaran semasa. Berbanding dengan dekad-dekad sebelum ini yang secara relatif stabil, persekitaran semasa kini sering dilanda krisis. Dalam tempoh ketidaktentuan dan ketidakstabilan, sektor awam berada di barisan hadapan untuk bertindak dan menyediakan penyelesaian terhadap krisis. Apabila membuat keputusan dalam keadaan sedemikian, sebarang kelewatan, kealpaan atau dasar yang salah boleh membawa kemudaratan yang besar kepada negara.
Ketujuh, keupayaan untuk mengurus dengan berkesan meskipun berdepan dengan tekanan yang hebat. Tekanan sedemikian mungkin berpunca daripada tuntutan tinggi pihak berkepentingan yang berbeza, keadaan krisis atau kegagalan bahagian-bahagian lain sektor awam yang memberi kesan kepada prestasi anda. Namun, keupayaan untuk terus memberi tumpuan strategik selain kemampuan untuk melaksanakan tindakan seperti yang dirancang dapat membantu menangani tekanan sedemikian.
Kelapan, keberanian dan tekad untuk melaksanakan tanggungjawab. Kecekalan dan ketabahan hati amat penting bagi membolehkan keputusan dibuat semasa berhadapan tekanan tinggi di samping memastikan organisasi dapat terus beroperasi dan kekal bersatu dalam tempoh sukar tersebut.
Kesembilan, keazaman dan ketekunan yang tinggi dalam usaha merealisasikan wawasan. Agenda sektor awam yang secara mutlaknya adalah untuk meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat merupakan usaha yang berpanjangan dan memerlukan ketabahan. Pelbagai prasyarat tertentu harus dipenuhi selain memastikan persekitaran yang menyokong diwujudkan dan bahagian-bahagian berlainan sektor awam bergerak seiringan untuk mencapai matlamat bersama. Sering kali, faktor-faktor ini tidak dapat diselaraskan dengan wajar. Keyakinan yang kuat terhadap matlamat, ditambah dengan keupayaan dan ketabahan yang kukuh akan meningkatkan potensi untuk menjana hasil yang berkesan.
Faktor akhir dan juga paling penting ialah kemampuan untuk terus membuat penciptaan semula. Globalisasi membawa bersama-samanya perubahan persekitaran, saingan yang lebih sengit, kekaburan dan ketidakpastian, kelebihan dan kecanggihan teknologi, keadaan yang lebih mudah dilanda krisis dan keperluan pengawasan dan ketelusan yang lebih tinggi. Persekitaran operasi yang lebih rumit ini memerlukan kemahiran dan kebolehan serba baharu untuk menguruskan cabaran-cabaran baharu. Kini, peranan kepimpinan adalah dinamik dan telah banyak berubah. Penciptaan semula yang dibuat adalah untuk menyokong keupayaan untuk memberi tindak balas yang bersesuaian dengan perubahan.
Membina Organisasi yang Cekap
Organisasi yang cekap perlu dibina dan diperlengkap dengan keupayaan untuk menjana hasil yang dikehendaki untuk memperkukuh keupayaan kita dalam mengurus cabaran baharu yang berbangkit daripada persekitaran yang berubah-ubah. Oleh itu, organisasi harus dikaji semula dan sentiasa dimodenkan agar dapat terus berkhidmat demi kepentingan negara. Usaha ini memerlukan penelitian persekitaran dan penetapan matlamat secara berkala untuk memastikan teras strategik organisasi terus utuh. Usaha pemodenan seterusnya perlu disokong oleh rangka tindakan yang menggariskan langkah dan inisiatif strategik yang perlu diambil. Wanita yang berkelayakan perlu diberi peluang menerajui pucuk pimpinan agar dapat turut serta dalam proses ini. Bagi meningkatkan peluang buat kaum wanita, ruang dan peluang untuk mereka mendapat pendidikan dan pengalaman serta pendedahan haruslah diberi. Selepas melalui fasa pendidikan formal, pengalaman dan kepakaran yang diperoleh daripada bimbingan dan program mentor akan meningkatkan lagi sumbangan setiap individu terhadap keberkesanan organisasi.
Dalam organisasi yang serba moden, proses pengurusan prestasi memerlukan tahap kecemerlangan tertinggi dan keupayaan untuk menjana hasil yang dikehendaki dalam tempoh masa yang ditetapkan. Organisasi yang telah melalui proses transformasi akan beralih daripada aktiviti berasaskan tugas kepada organisasi yang lebih berorientasikan hasil dengan tumpuan yang jelas terhadap mandat dan penunjuk prestasi utama. Bagi menggalakkan organisasi berorientasikan prestasi, pengiktirafan prestasi dan sistem ganjaran yang diwujudkan perlu dibezakan dengan jelas. Masih banyak negara yang belum melaksanakan langkah ini.
Transformasi organisasi juga perlu menitikberatkan pembelajaran sepanjang hayat, pengurusan pengetahuan dan penyediaan peluang untuk mengimbangi pekerjaan dengan kehidupan. Peluang pembelajaran amat kritikal untuk meningkatkan keupayaan. Akhirnya, struktur tadbir urus baharu merupakan kunci untuk memastikan keputusan dibuat dengan teliti dalam organisasi dan wujud elemen sekatan dan imbangan (check and balance) yang mencukupi agar keputusan terbaik dapat dibuat dan tahap kredibiliti dan integriti tertinggi dicapai.
Cabaran
Walaupun peluang terbuka luas untuk kaum wanita dalam sektor awam, namun sehingga kini tidak ramai daripada mereka yang berjaya mengisi jawatan kepimpinan. Meskipun masih terdapat halangan atau glass ceiling, dalam kita melangkah ke hadapan, asas kukuh yang membolehkan wanita mengisi jawatan kepimpinan sudah pun terbina. Cabaran yang wujud kini adalah untuk memberi keutamaan kepada penciptaan semula yang diperlukan secara berterusan, iaitu dengan menimba ilmu pengetahuan baharu serta kemahiran dan pengalaman baharu agar dapat meningkatkan kebolehan baharu dan seterusnya mampu menangani cabaran baharu.
Bagi wanita yang juga merupakan seorang ibu, isteri dan anak, pengorbanan yang dituntut adalah besar. Cabaran yang dihadapi adalah untuk mencapai keseimbangan agar prestasi kerja tidak menjejaskan mana-mana peranan tersebut. Sistem sokongan di tempat kerja dan di rumah adalah amat penting. Sama pentingnya ialah pengurusan masa, pengurusan tekanan dan pengurusan insan. Akhirnya, dan lebih-lebih lagi di sektor awam - memandangkan tekanan yang dihadapi oleh sektor itu adalah dari pelbagai penjuru ekoran implikasi meluas daripada tindakan yang diambil - jawatan kepimpinan memerlukan keberanian dan keazaman yang jitu. Tumpuan dan daya usaha strategik untuk mencapai hasil yang dikehendaki memperteguh keupayaan untuk menguruskan keadaan apabila berdepan tekanan sedemikian.
Kesimpulan
Akhir kata, jawatan kepimpinan dalam sektor awam menuntut usaha dan azam yang amat tinggi. Kepimpinan sebegini memerlukan keupayaan untuk menyampaikan hasil dan membuat perubahan kepada kehidupan orang lain. Bagi mencapai matlamat ini, kita perlu berubah secara berterusan agar mampu melaksanakan tugas dan tanggungjawab kepada negara. Penciptaan semula ini melibatkan keupayaan kepimpinan, keinstitusian dan kebolehan organisasi untuk bertindak balas kepada perubahan sekeliling yang berlaku. Dengan berbekalkan transformasi inilah baru kita mampu memimpin dengan jayanya.
Meskipun bilangan kaum wanita dalam kumpulan tenaga mahir semakin bertambah, kuasa sebenar adalah kuasa yang dikongsi. Kaum wanita dan kaum lelaki yang saling berganding bahu dan memanfaatkan kelebihan, pengalaman dan pengetahuan masing-masing, yang akan bersama-sama mencorakkan perubahan yang paling sesuai dengan keadaan dan persekitaran kita demi menaikkan tahap prestasi dan kemajuan ke tahap yang paling cemerlang.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.