Ucapan oleh Gabenor di Majlis Makan Malam Persatuan Alumni ICLIF
Mandarin Oriental Kuala Lumpur | 17 Februari 2006
Saya amat berbesar hati kerana dapat berada di sini malam ini pada Majlis Makan Malam Sulung Persatuan Alumni ICLIF. Majlis ini menyediakan peluang terbaik untuk menggalakkan penglibatan dan rangkaian yang lebih meluas di kalangan kepimpinan industri. Ini penting terutamanya bagi rantau kita dengan sektor kewangan yang telah mengalami transformasi landskap kewangan yang ketara. Dalam persekitaran baru dan amat mencabar ini, akan wujud dimensi baru dan keperluan baru bagi pemimpin dan keupayaan untuk memimpin. Ia menuntut kemampuan untuk memenuhi permintaan baru bagi ekonomi baru, kemampuan untuk berjaya dalam persekitaran yang lebih kompetitif, kemampuan untuk meraih faedah daripada teknologi baru dan akhirnya kemampuan untuk beroperasi dalam persekitaran yang semakin tidak pasti.
Meskipun menghadapi cabaran yang meningkat ini, ekonomi dunia telah memasuki tahun 2006 dengan lebih kukuh. Penunjuk terkini memperlihatkan bahawa prospek ekonomi global kekal menggalakkan, dengan pertumbuhan yang mapan di semua ekonomi utama. Sementara Amerika Syarikat (AS) dan China dijangka terus mengalami pertumbuhan yang kukuh, pemulihan di Jepun dan Eropah dijangka menyediakan sokongan tambahan terhadap permintaan global. Ini menyediakan persekitaran luaran yang positif bagi Asia. Permintaan domestik di rantau Asia pula terbukti berdaya tahan dengan kebanyakan negara mengalami pengukuhan permintaan dalam negeri. Secara kumulatif, permintaan dalam negeri yang berkembang pesat merupakan pasaran penting bagi rantau ini. Ia turut meningkatkan tahap integrasi serantau.
Walaupun harga tenaga kekal tinggi, ini dijangka tidak menjejaskan momentum pertumbuhan global. Sehingga kini, kenaikan harga minyak disebabkan terutamanya oleh dorongan permintaan. Oleh itu, ia mudah diserap berbanding dengan kejutan kenaikan mendadak harga minyak yang pernah dialami pada masa lalu. Walau bagaimanapun, keadaan kekangan bekalan minyak global yang sedang berlaku tidak melenyapkan risiko harga minyak yang lebih tinggi. Trend inflasi yang telah muncul, menyebabkan pihak berkuasa monetari di beberapa negara menaikkan kadar faedah. Walaupun tahap kenaikan itu berbeza-beza antara negara, langkah ini terutamanya mencerminkan keperluan untuk menambat jangkaan dan mengehadkan kesan pusingan kedua kenaikan harga minyak. Dengan itu, keadaan monetari terus dapat menyokong pertumbuhan.
Memandangkan prospek ekonomi global dan serantau yang secara umumnya memberangsangkan, perhatian baru kini tertumpu pada ketidakseimbangan semasa yang wujud dalam ekonomi global. Ini merupakan isu yang saling berkait khususnya kerana ketidakseimbangan ini dijangka meluas lagi pada tahun 2006. Sememangnya disedari bahawa pengurangan ketidakseimbangan global ialah tanggungjawab bersama, merentas rantau utama di dunia. Beberapa sebab dinyatakan sebagai pengekang proses pelarasan. Antaranya termasuk permintaan dalam negeri yang kurang kukuh secara relatif, di luar AS; jurang yang luas antara tabungan dengan pelaburan di rantau utama di dunia; dan struktur pengantaraan modal global yang berpecah-pecah yang menghalang rantau yang mempunyai lebihan daripada membiayai pelaburan produktif di dalam rantau mereka.
Mustahak untuk menyedari bahawa Asia boleh memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada penyeimbangan semula pertumbuhan global, dan seterusnya menyumbang ke arah pelarasan ketidakseimbangan global itu. Dari segi pertumbuhan ekonomi, rantau ini secara konsisten mencatat prestasi yang satu setengah kali lebih tinggi daripada purata global. Dari sudut demografi, Asia dihuni lebih separuh daripada penduduk dunia, dengan beberapa negara mempunyai tenaga kerja yang muda dan yang kian meningkat serta kelas pertengahan yang semakin mengembang. Oleh itu, penggunaan dalam negeri yang mantap dan pelaburan yang semakin meningkat menjadi sumber pertumbuhan yang penting manakala pertambahan pendapatan yang semakin besar dan peningkatan produktiviti serta pengembangan perdagangan antara rantau pula menyokong pertumbuhan. Perdagangan antara rantau yang semakin penting mencakupi lebih 50% daripada jumlah perdagangan Asia, lantas rantau ini menjadi rantau yang paling bersepadu dalam perdagangan selepas Kesatuan Eropah. Ini menjadikan Asia sebagai pasaran terbesar dan pesat berkembang di dunia. Di samping itu, rantau Asia juga telah memulakan pelbagai langkah merangsang keterbukaan ekonominya dengan menjalin perjanjian perdagangan bebas, yang akan menyumbang kepada peningkatan kapasiti dan potensi rantau ini, selain meningkatkan prospek untuk menyumbang ke arah penyeimbangan semula pertumbuhan global dan proses pelarasan global.
Rangkuman perjanjian perdagangan bebas itu dengan tahap keterbukaan ekonomi rantau ini – yang secara tradisinya tinggi dengan jumlah perdagangan berpurata 95% daripada KDNK di rantau ini, mencerminkan potensi Asia untuk menjadi rantau yang mempunyai kemapanan kendiri (self-sustaining) dan saling memperteguh pertumbuhan rantau ini. Tahap kefleksibelan ekonomi rantau ini yang lebih tinggi dalam tindak balasnya terhadap kejutan dan keadaan global yang dinamik merupakan ciri tambahan lain yang menyumbang ke arah memperkukuh potensi rantau ini.
Sementara sumbangan penggunaan swasta kepada permintaan dalam negeri menjadi semakin penting di rantau ini, pengembangan baru dalam pelaburan juga diperlukan untuk mewujudkan pertumbuhan yang lebih mapan. Beberapa inisiatif penting telah pun dimulakan untuk meningkatkan sumbangan pelaburan swasta dan memperoleh bidang pertumbuhan baru. Ini termasuk menambah baik iklim pelaburan dan mengurangkan kos menjalankan perniagaan. Usaha dalam bidang keutamaan di rantau ini akan terus dijalankan memandangkan negara-negara di rantau ini berpotensi untuk terus memperluas peranan permintaan dalam negeri. Bagi beberapa negara di rantau ini, pendorong kepada pelaburan yang penting dijangka dihasilkan daripada pengembangan infrastruktur fizikal dan sosial dan juga daripada aktiviti penyelidikan dan pembangunan yang dipindahkan semula ke Asia.
Dari segi kewangan, kadar tabungan dan kumpulan modal rantau ini yang tinggi untuk pelaburan produktif akan mampu menjadi pendorong kepada pembangunan pasaran kewangan rantau ini. Pengukuhan struktur pasaran serantau akan memudahkan tabungan lebihan digunakan untuk membiayai pelaburan dalam rantau ini. Kemajuan yang ketara telah pun dicapai di rantau Asia dalam usaha memperkukuh sektor kewangan, iaitu dalam sistem perbankan atau pasaran modal. Hasilnya, kapasiti rantau ini untuk menjadi pengantara dana bertambah, khasnya dalam rantau ini. Secara keseluruhan, sistem perbankan serantau telah meningkatkan kekuatan dan kemampuannya untuk mengurus risiko. Daya tahan yang baru ini didorong oleh inisiatif yang lebih dipacu pasaran, pembaikan dalam standard tadbir urus korporat serta pembangunan infrastruktur yang perlu untuk menggalakkan pasaran kewangan.
Dalam hal ini, hubungan kewangan serantau mendorong pembaharuan dalam pengantaraan modal dan untuk penyaluran semula bagi pelaburan produktif dalam rantau ini. Pelaksanaan Dana Bon Asia (ABF1 dan ABF2) menandakan pencapaian penting dalam laluan ke arah integrasi kewangan serantau memandangkan sebahagian daripada rizab asing dilaburkan dalam bon berdaulat Asia. Sementara itu, pengenalan Dana ABF2 sebagai kelas aset baru di Asia, bersama-sama dengan peningkatan infrastruktur kewangan, pembaharuan cukai dan pengawalseliaan, akan menyumbang ke arah memperluas dan memperdalam pasaran bon serantau dari semasa ke semasa. Pembinaan pasaran kewangan ke seluruh rantau adalah relevan memandangkan setiap pasaran serantau pada kebiasaannya bersaiz kecil. Dengan itu, hubung kait pasaran serantau akan meningkatkan daya penarik pelaburan Asia kepada pelabur global
dan serantau.
Berikutan kesemua perkembangan luaran ini, prospek pertumbuhan Malaysia dijangka kukuh pada tahun 2006. Permintaan luaran yang menggalakkan akan memperteguh pengembangan permintaan dalam negeri yang mapan, yang dijangka kekal positif bagi penjanaan pendapatan benar dan peluang pekerjaan. Oleh itu, penggunaan swasta benar dijangka terus meningkat manakala pelaburan swasta benar diunjur berkembang, disokong oleh keperluan menambah kapasiti, terutamanya dalam sektor perkilangan dan minyak dan gas, di samping sektor perkhidmatan. Hasil daripada sokongan permintaan luar dan dalam negeri, ekonomi dijangka mencatat prestasi yang bertambah baik pada tahun 2006.
Tumpuan teras dasar Malaysia pada tahun 2006 adalah untuk memanfaatkan faedah yang diperoleh pada tahun 2005, memastikan asas diperkukuh dan kefleksibelan ekonomi terus dipertingkatkan. Dalam hal ini, Bank Negara Malaysia akan menentukan dasar kadar faedah bagi menyediakan persekitaran yang menggalakkan untuk prestasi ekonomi yang mapan. Dengan itu, dasar makroekonomi akan terus menekankan pertumbuhan dalam persekitaran harga harga yang stabil. Yang penting adalah untuk memperkukuh pertumbuhan yang diterajui sektor swasta. Oleh itu, usaha yang selanjutnya akan diambil untuk memastikan struktur dan sistem ekonomi dan kewangan adalah kondusif bagi pembangunan ekonomi yang dinamik, berdaya tahan dan fleksibel.
Kedinamikan pertumbuhan dan pembangunan di rantau ini sedang membentuk semula persekitaran kita. Ketua eksekutif dan pemimpin korporat yang efektif dalam persekitaran baru ini perlu meningkatkan keupayaan masing-masing dengan mengambil kira keperluan baru. Dalam programnya, ICLIF telah memberi tumpuan pada dimensi pembangunan kepimpinan baru ini terutamanya bagi sektor perkhidmatan kewangan.
Sebagai sebuah institusi pembangunan kepimpinan, ICLIF juga berkembang dari semasa ke semasa dengan mengkaji semula secara berterusan kandungan programnya supaya ia sepadan dengan keperluan persekitaran yang berubah dengan pesat. Kajian semula Program Pembangunan Kepimpinan Global (GLDP) kini dijalankan berdasarkan cadangan dan maklum balas yang bernas daripada peserta, fakulti, pemudah cara dan panel pakar. Pengubahsuaian struktur dan kandungan GLDP dijangka diperkenalkan dalam sesi-sesi berikutnya dan akan merangkumi, antara lain, bidang baru seperti trend geopolitik dan ekonomi, keusahawanan dan inovasi korporat, kepelbagaian dan perangkuman, budaya dan tanggungjawab sosial korporat. Bahagian program Musim Panas di AS juga akan diubah. Perubahan ini akan membawa peserta lebih dekat kepada fakulti yang ternama daripada institusi-institusi terulung seperti Stanford, UC Berkeley dan UCLA.
Izinkan saya sekarang membuat rumusan ucapan saya ini. Kepimpinan sememangnya berkaitan dengan visi untuk masa depan, menetapkan hala tuju strategik organisasi dan berkeupayaan menterjemah visi itu kepada hasil yang nyata. Ini melibatkan keupayaan memajukan visi yang dikongsi bersama dan merangsang organisasi itu supaya menjana hasil yang dikehendaki.
Saya ingin akhiri ucapan ini dengan mengulangi apa yang telah saya sebutkan kepada salah satu kumpulan peserta program GLDP iaitu “Usaha mencapai kecemerlangan dalam kepimpinan ialah suatu perjalanan dan bukannya suatu destinasi”. Apabila kita membicarakan tentang meningkatkan keupayaan kepimpinan, kita sebenarnya membincangkan tentang pemimpin yang sedia belajar secara berterusan, pemimpin yang terus berusaha untuk mencapai kecemerlangan yang tertinggi, pemimpin yang mempunyai keyakinan dan kepercayaan yang kukuh tetapi bersikap merendah diri dan menyedari tentang perlunya untuk terus memajukan diri dan dengan berbuat demikian, mereka menjadi pemimpin dinamik yang terus memperluas sempadan kecemerlangan serta berani mengharungi cabaran-cabaran baru.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.