Ucapan oleh Gabenor di Majlis Pelancaran Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa (INCEIF)
Mandarin Oriental Kuala Lumpur | 23 Mac 2006
Saya amat berbesar hati dan bangga kerana dapat meraikan kedatangan anda semua ke majlis makan tengah hari ini bersempena Mesyuarat Suruhanjaya Wawasan 1440 Hijrah Bank Pembangunan Islam (IDB) dan Pelancaran Dokumen Wawasan yang telah berlangsung pagi tadi bagi mentransformasikan Bank Pembangunan Islam untuk menjadi pemangkin utama kepada kemakmuran dan pembangunan bersama yang lebih baik di kalangan ummah. Kita merasa amat bertuah hari ini dengan kehadiran Yang Amat Berhormat Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada IDB atas kejayaannya melancarkan Wawasan 1440 Hijrah IDB. Dokumen Wawasan ini akan menjadi rangka tindakan penting untuk mentransformasikan IDB untuk menjadi sebuah Bank Pembangunan yang dinamik, yang akan menyumbang kepada "pembangunan insan yang komprehensif" dan seterusnya mencapai kemakmuran ummah. Kita juga bertuah pada hari ini dengan kehadiran Yang Amat Berbahagia Tun Dr. Mahathir bin Mohamed, Pengerusi Suruhanjaya, dan Tuan Yang Terutama Dr. Ahmad Mohamed Ali, Presiden Kumpulan Bank Pembangunan Islam.
Dengan izin Allah s.w.t., kita juga ingin mengambil peluang pada majlis yang bertuah hari ini, untuk meletakkan asas kepada satu lagi inisiatif, iaitu pelancaran Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa atau INCEIF.
Industri perkhidmatan perbankan dan kewangan Islam mengalami pertumbuhan yang ketara dalam dekad ini. Pertumbuhan ini dijangka mempercepat lagi pengembangan di peringkat global memandangkan permintaan terhadap produk dan perkhidmatan yang mematuhi Syariah akan bertambah pesat. Untuk mengekalkan dan menyokong pertumbuhan industri ini pada masa hadapan, satu prasyarat penting ialah pembangunan bakat dan kepakaran yang diperlukan untuk memacu inovasi dan meningkatkan prestasi industri ke tahap yang lebih tinggi.
Penubuhan Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa merupakan satu pelaburan dalam modal insan untuk menyokong pembangunan global dalam industri perkhidmatan kewangan Islam. Modal intelek insan berperanan sebagai paksi yang menerajui prestasi dan daya saing pasaran bagi industri ini, malah ia akan menjadi faktor penentu apabila kita melangkah ke hadapan. Inovasi yang pesat dalam perkhidmatan kewangan global secara amnya dan dalam sektor perkhidmatan kewangan Islam khususnya, akan menuntut kepakaran dan kemahiran baru. Sudah pasti permintaan terhadap tenaga profesional yang cukup berkelayakan akan meningkat. Dalam persekitaran ini, pembentukan sekumpulan bakat dan kepakaran yang besar sememangnya penting bagi pertumbuhan kewangan Islam pada masa hadapan. Usaha memperkukuh keupayaan penyelidikan dan pembangunan juga penting dalam peningkatan kapasiti untuk inovasi bagi memenuhi keperluan yang pelbagai dalam ekonomi global yang pesat berubah.
Oleh itu, penubuhan Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa atau INCEIF terhasil daripada kesedaran akan keperluan ini untuk melabur dalam modal insan untuk memajukan industri ke tahap yang lebih tinggi. Bank Negara Malaysia telah memperuntukkan dana endowmen sebanyak RM500 juta bagi tujuan ini. Pendapatan daripada dana endowmen ini akan digunakan untuk membiayai operasi INCEIF. Matlamat INCEIF adalah untuk melahirkan pengamal dan profesional kewangan Islam yang berkaliber tinggi serta pakar dan penyelidik dalam pelbagai bidang kewangan Islam. INCEIF akan memanfaatkan pengalaman yang luas dalam industri kewangan Islam di Malaysia dan di luar negara untuk memberikan graduannya wawasan dan perspektif tambah nilai, khususnya dalam program penyelidikan mereka. Pengalaman lebih dua dekad Malaysia dalam kewangan Islam akan juga menyediakan persekitaran latihan, termasuk program pelatih untuk melahirkan tenaga profesional kewangan Islam.
Set kemahiran yang diperlukan dalam kewangan Islam adalah unik. Ia memerlukan paduan yang sesuai dalam ilmu kewangan dengan pemahaman mengenai Syariah sebagai tunjangnya. Prinsip Syariah perlu diserapkan dalam setiap aspek operasi institusi kewangan Islam, termasuk pembentukan struktur produk kewangan dan pembiayaan, kontrak kewangan serta pelaksanaannya, pengurusan mudah tunai dan kunci kira-kira, pengurusan risiko serta pengurusan aset dan kekayaan. Kepatuhan terhadap prinsip Syariah mesti diterapkan daripada peringkat paling tinggi, termasuk pada peringkat lembaga pengarah dan pengurusan kanan. Dasar dan amalan yang baik yang berdasarkan prinsip Syariah akan mengembangkan sistem kewangan Islam untuk menjadi sistem kewangan yang mempunyai etika yang terserlah dan yang menggalakkan keadilan ekonomi.
Bagi mencapai matlamat untuk menyediakan rumusan kepada pengurusan bakat yang menyeluruh bagi industri perkhidmatan kewangan Islam, INCEIF akan menawarkan pentauliahan kewangan Islam yang pertama di dunia, iaitu melalui program Kewangan Islam Profesional Bertauliah (CIFP). Modul CIFP yang akan ditawarkan, digarap oleh pakar yang tersohor dalam bidang masing-masing dan dibangunkan hasil daripada perundingan menyeluruh dengan peserta industri tempatan dan luar negara demi memastikan ia relevan dengan keperluan industri. Berikutan pelancaran INCEIF pada hari ini, program ini akan dibuka untuk pendaftaran. Kelas bagi pengambilan pertama akan bermula pada bulan Jun 2006. INCEIF juga menawarkan program lepasan ijazah dalam kewangan Islam termasuk program Sarjana dan Doktor Falsafah yang khusus, dalam pelbagai bidang kewangan Islam.
INCEIF akan ditadbir oleh Majlis Tadbir Urus INCEIF dan Panel Pembangunan Profesional. Majlis Tadbir Urus INCEIF, yang terdiri daripada profesor tersohor daripada kalangan akademik dan pengamal industri dari dalam dan luar negara, akan menetapkan hala tuju strategik dan memberikan kefahaman global yang berwawasan mengenai keperluan pembelajaran industri perkhidmatan kewangan Islam. Panel Pembangunan Profesional dengan ahli akademik yang berpengalaman luas, akan menjadi pihak penentu dalam hal-hal akademik serta bertanggungjawab menetapkan dasar akademik INCEIF serta jaminan kualiti CIFP dan modul program lepasan ijazah. Fakulti akademik akan dianggotai pensyarah tetap serta profesor pelawat yang tetap dan cendekiawan bermastautin.
INCEIF juga akan membentuk pakatan strategik dengan institusi pengajian tempatan dan luar negara yang terkemuka untuk melengkapkan matlamat kami untuk memberikan ilmu pengetahuan bertaraf dunia demi kebaikan industri khususnya, dan ummah amnya. Wawasan kami agar suatu hari nanti INCEIF akan menjadi nukleus antarabangsa bagi pendidikan tinggi dalam kewangan, latihan dan penyelidikan Islam, dan menyediakan sokongan padu dalam pembangunan infrastruktur kewangan Islam.
Dengan izin Allah s.w.t., dan dengan sokongan masyarakat kewangan Islam antarabangsa, kami berharap INCEIF akan dapat memberi sumbangan bermakna kepada pembangunan masa depan kewangan Islam demi kebaikan ummah.
Akhir kata, saya sekali lagi ingin merakamkan penghargaan yang tinggi kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia kerana sudi menghadiri majlis ini dan seterusnya merasmikan pelancaran INCEIF.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.