Ucapan oleh Gabenor di Majlis Syarahan Global Pertama - Forum Rasmi Institusi Monetari dan Kewangan
Frankfurt, Germany | 1 Mac 2010
Saya amat berbesar hati kerana berada di Frankfurt untuk menghadiri mesyuarat Forum Rasmi Institusi Monetari dan Kewangan (OMFIF) yang julung-julung kali diadakan dan menyampaikan ucapan pada syarahan pertama petang ini di Goethe University.
Sekarang merupakan masa yang penting bagi penggubal dasar dan industri kewangan. Ketika kita melangkah keluar daripada kancah krisis kewangan antarabangsa terburuk dalam beberapa dekad ini, masih terdapat beberapa isu yang belum diselesaikan. Pemulihan ini telah memberikan tumpuan terhadap strategi keluar dan pencarian penyelesaian kekal yang akan meletakkan sistem kewangan pada asas yang lebih kukuh. Isu-isu ini dipertimbangkan semasa tempoh keadaan yang luar biasa. Apa yang menjadi kebimbangan ialah keadaan ini mungkin akan sangat mempengaruhi hala tuju agenda pembaharuan dengan implikasi jangka sederhana dan panjang yang boleh menghalang penemuan penyelesaian yang akan membawa kita ke jalan kestabilan dan pertumbuhan yang berterusan.
Ucapan saya petang ini akan tertumpu pada tiga trend yang semakin penting dalam ekonomi global dan sistem kewangan antarabangsa serta implikasinya dalam kita bergerak maju dalam era pascakrisis ini. Pertama, rantau Asia semakin penting dalam ekonomi global; kedua, pembaharuan pengawalseliaan antarabangsa yang meluas seperti yang dijangkakan oleh komuniti antarabangsa; dan ketiga, pertumbuhan pesat kewangan Islam dan integrasinya dengan sistem kewangan antarabangsa. Trend ini dijangka menjadi lebih nyata selepas krisis kewangan global.
Ekonomi Asia dan global
Selepas mengalami satu daripada krisis ekonomi terburuk dalam sejarah moden, ekonomi global kini berada dalam landasan pemulihan tetapi momentum pertumbuhan dilihat tidak sekata. Peralihan global sedang berlaku disebabkan oleh pertumbuhan tidak sekata yang semakin ketara antara ekonomi maju dengan ekonomi sedang pesat membangun lantas menyebabkan perubahan dalam bentuk ekonomi global. Ini bukan sahaja akibat daripada faktor berkaitan krisis tetapi juga disebabkan oleh faktor struktur yang sedia wujud sebelum krisis lagi.
Kita telah melihat pelaksanaan langkah-langkah luar biasa dan belum pernah diambil oleh ekonomi maju untuk mengembalikan semula kestabilan dan fungsi sistem kewangan, dan juga untuk membendung kesan daripada krisis kewangan terhadap ekonomi. Walaupun bencana yang besar dapat dielakkan, pemulihan dalam ekonomi maju terus bergantung pada sokongan dasar dengan faktor-faktor berkaitan struktur masih belum dapat ditangani. IMF mengunjurkan pertumbuhan ekonomi maju bagi tempoh 2009 hingga 2014 sebanyak 1.3% setahun, yang merupakan separuh daripada pertumbuhan yang dicapai dalam tempoh 2000 hingga 2008.
Pada amnya, ekonomi sedang pesat membangun, khususnya rantau Asia, mencatat pertumbuhan yang lebih kukuh. Beberapa faktor penting telah membolehkan peningkatan lebih pantas dan kukuh ini. Pertama, fleksibiliti dasar untuk melaksanakan rangsangan monetari dan fiskal. Kedudukan fiskal yang kukuh dan tahap hutang awam yang secara relatif rendah telah membolehkan banyak negara di Asia melaksanakan langkah rangsangan fiskal yang lebih besar. Kedua, sektor kewangan di rantau ini berada dalam kedudukan yang kukuh lantas dapat mengelakkan daripada sebarang gangguan penyaluran kredit kepada sektor swasta. Rantau ini telah mendapat manfaat daripada pembaharuan kewangan dan pembangunan infrastruktur kewangan domestik sedekad yang lalu. Sistem kewangan di Asia terus berdaya tahan sepanjang tempoh kegawatan kewangan global ini. Ini merupakan faktor penting dalam meneruskan pemulihan ekonomi untuk menyokong aktiviti ekonomi sektor swasta domestik apabila langkah-langkah fiskal ditarik balik secara beransur-ansur. Ketiga, sektor isi rumah dan korporat tidak mempunyai tahap keberhutangan yang terlalu tinggi dan oleh itu berada pada kedudukan yang lebih baik untuk meneruskan aktiviti penggunaan dan pelaburan. Keempat, peningkatan dalam perdagangan antara rantau telah menyokong pemulihan aktiviti perdagangan serantau. Ini diperkuat lagi oleh permintaan dalam negeri di rantau ini yang semakin kukuh.
Walaupun sumber pertumbuhan dalam negeri semakin penting, sektor perdagangan masih lagi penting meskipun terdapat perubahan yang nyata dalam corak perdagangan sekarang. Perdagangan antara ekonomi sedang pesat membangun telah pun meningkat dan trend ini paling ketara dalam kalangan ekonomi sedang pesat membangun di Asia. Perdagangan antara negara di rantau Asia telah meningkat daripada 32% daripada jumlah eksport pada tahun 1995 kepada purata 50% pada tahun 2008. Liberalisasi perdagangan yang pesat di seluruh Asia telah meningkatkan akses kepada pasaran. Paras pendapatan yang semakin tinggi di rantau Asia yang mempunyai lebih separuh daripada penduduk dunia telah membentuk pasaran yang besar. Peningkatan dalam permintaan penggunaan ini telah membawa kepada pembangunan sektor runcit moden yang meluas di seluruh rantau ini.
Ekonomi sedang pesat membangun dijangka berkembang pada kadar yang lebih tinggi untuk tempoh lima tahun akan datang berbanding tempoh sebelum krisis pada tahun 2000 - 2008, hasil sokongan asas-asas ekonomi yang lebih kukuh. IMF mengunjurkan ekonomi sedang pesat membangun di Amerika Selatan, Timur Tengah, Afrika dan Asia akan berkembang pada purata 6.1% pada tempoh 2010 - 2014, lebih tinggi daripada tempoh 2000 - 2009. Prospek Asia pada tempoh ini akan terus cerah disebabkan oleh beberapa faktor struktur. Pertama, Asia mempunyai struktur demografi yang menggalakkan dengan penduduk yang secara relatif muda dan lebih cenderung berbelanja. Kadar simpanan di Asia yang tinggi juga membolehkan peningkatan permintaan perbelanjaan memandangkan lebihan adalah lebih daripada mencukupi untuk membiayai aktiviti pelaburan yang diperlukan. Dalam pada itu, pengantaraan kewangan di Asia semakin giat bagi memenuhi keperluan pembiayaan baharu sektor isi rumah dan perniagaan.
Dalam dekad kebelakangan ini, terdapat integrasi kewangan yang semakin meningkat. Integrasi kewangan ini akan menghasilkan lebih banyak penggunaan semula yang lebih cekap simpanan penduduk Asia dalam bentuk pelaburan di Asia. Dianggarkan bahawa rantau Asia perlu melabur sebanyak kira-kira USD8 trilion dalam pembangunan infrastruktur untuk tempoh sepuluh tahun akan datang. Penyaluran secara berkesan simpanan penduduk Asia yang besar kepada aktiviti pelaburan yang produktif di rantau ini pasti akan menyokong pembangunan dan pertumbuhan rantau ini yang lebih pesat. Hubungan ekonomi dan kewangan juga telah dijalin dengan ekonomi sedang pesat membangun di rantau lain lantas saling memperkukuh prospek pertumbuhan ekonomi global. Ini seterusnya akan menyumbang ke arah pertumbuhan global yang lebih seimbang. Hasilnya, tumpuan kuasa ekonomi global akan menjadi lebih sekata.
Pembaharuan pengawalseliaan antarabangsa
Saya akan beralih pula kepada pembaharuan pengawalseliaan kewangan.
Skala, skop dan kos krisis kewangan global yang ketara telah menyebabkan kerajaan dan pihak berkuasa pengawalseliaan di seluruh dunia merumuskan satu agenda paling agresif dalam pembaharuan pengawalan kewangan yang pernah dilihat kebelakangan ini. Pembaharuan yang dibuat ini sebenarnya hampir sama dramatik dengan peristiwa yang mencetuskannya. Khususnya, impak yang mungkin timbul daripada pembaharuan ini dalam pentakrifan semula landskap kewangan pada masa hadapan adalah besar, dengan implikasi yang lebih meluas bagi persaingan, inovasi dan akhirnya terhadap seluruh aktiviti ekonomi.
Pastinya, langkah mengukuhkan pengawalan kewangan merupakan satu matlamat penting. Malah, keperluan untuk mempertingkat bentuk pengawalan kewangan sememangnya sudah dipersetujui. Bagi banyak ekonomi sedang pesat membangun - yang pastinya di Asia - pengukuhan pengawalan dan penyeliaan kewangan serta pembangunan sistem kewangan merupakan keutamaan yang penting, terutamanya dalam dekad kebelakangan ini dan lama sebelum tercetusnya krisis. Agenda penyelesaian kami tidak pernah berubah sejak krisis bermula. Sebaliknya, ia telah mempertajam tumpuan kami dalam merumuskan langkah-langkah untuk menempatkan sistem kewangan kami pada asas yang lebih kukuh.
Krisis ini telah membawa perhatian kepada beberapa isu penting yang menuntut tindak balas pengawalseliaan yang pelbagai. Walau bagaimanapun, tahap persetujuan bagi spektrum pembaharuan yang disyorkan oleh komuniti antarabangsa adalah berbeza. Namun, terdapat kata sepakat yang jelas dalam beberapa perkara. Terdapat persetujuan bahawa rangka kerja pengawalseliaan perlu lebih responsif kepada risiko. Bersama-sama itu juga, terdapat persetujuan untuk meningkatkan dengan nyata pengurusan risiko dalam institusi kewangan dan mengukuhkan peranan penyelia dalam memantau kesilapan institusi kewangan. Keperluan untuk meningkatkan tahap jaringan keselamatan, khususnya dalam pengaturan sokongan mudah tunai dan insurans deposit, juga telah diterima secara meluas sebagaimana keperluan bagi penzahiran dan ketelusan yang lebih tinggi, khususnya bagi item luar kunci kira-kira. Kesemua ini juga merupakan tumpuan kebanyakan pihak berkuasa ekonomi sedang pesat membangun di Asia ketika kami bersedia untuk memodenkan sistem kewangan selepas krisis kewangan Asia.
Terdapat juga perbincangan yang hangat mengenai bidang lain dalam kalangan komuniti antarabangsa. Pertama, berkaitan dengan tahap keseimbangan pengawalan. Krisis yang berlaku telah menunjukkan bahawa disiplin pasaran perlu dilengkapi oleh pengawalan. Walau bagaimanapun, persoalan tertumpu pada sejauh mana sokongan terhadap pengawalan yang lebih tinggi. Patutkah kekangan pengawalseliaan dikenakan terhadap saiz, hutang dan aktiviti institusi kewangan? Ini tentunya mempunyai implikasi yang besar terhadap peranan sektor kewangan dalam keseluruhan ekonomi. Kebimbangan utama terhadap pembaharuan sebegini ialah sama ada ia akan dapat menghasilkan kestabilan kewangan yang lebih baik melangkaui asas dan perubahan yang dirumuskan khas terhadap arkitektur pengawalseliaan. Ia juga membangkitkan persoalan sama ada ia akan meningkatkan kos pengantaraan kewangan dengan ketara.
Tumpuan utama perbahasan antarabangsa sekarang ialah cadangan mengehadkan saiz institusi. Cadangan ini masih belum terbukti berkesan dalam mengurangkan risiko sistemik. Pengalaman Australia dan Kanada yang mempunyai sistem perbankan yang sangat tertumpu menunjukkan bahawa kawalan risiko sistemik tidak begitu berkaitan dengan saiz, sebaliknya lebih berkaitan dengan keberkesanan pengurusan risiko dan penyeliaan terhadap institusi yang besar.
Malaysia bersetuju dengan pandangan ini. Berikutan krisis kewangan Asia, langkah-langkah diambil untuk mempercepat penggabungan sektor perbankan kami bagi mewujudkan institusi yang lebih besar dengan keupayaan yang lebih tinggi bukan sahaja untuk beroperasi secara berkesan dalam sistem kewangan domestik bahkan merentas sempadan negara. Tumpuan utama adalah untuk memberi penekanan pada pelaburan bagi meningkatkan keupayaan mengurus risiko bukan hanya oleh barisan pengurusan tetapi juga lembaga pengarah institusi. Ada kemungkinan sekatan artificial terhadap saiz dan skop boleh menyebabkan risiko sistemik beralih kepada rangkaian institusi lebih kecil dan ini secara kolektif boleh menyebabkan tahap risiko sistemik yang sama.
Ekonomi sedang pesat membangun mempunyai minat yang mendalam dalam arah pembaharuan ini. Bagi ekonomi sedang pesat membangun di Asia, sistem perbankan kekal sebagai komponen sistem kewangan terbesar. Pembaharuan pengawalseliaan dan perundangan secara amnya menumpukan pada tadbir urus yang berkesan dan keupayaan pengurusan risiko yang setara. Di Malaysia, nisbah hutang sistem perbankan adalah kurang daripada 11 kali, manakala nisbah modal wajaran risiko pula pada 14.1%, dengan modal kumpulan 1 pada 13.6%.
Sama pentingnya ialah struktur insentif yang tersedia untuk institusi kewangan sedemikian, tahap ketelusan dan penzahiran, pengawasan berkesan dan bersifat berpandangan jauh oleh pihak berkuasa dan pengaturan keinstitusian untuk mendapatkan penyelesaian berkesan bagi institusi yang bermasalah yang memudahkan jalan keluar secara teratur bagi institusi berkenaan.
Akhirnya, pertimbangan untuk membuat pembaharuan yang wajar seharusnya tidak mengabaikan matlamat utama pengawalan. Perlu disedari bahawa matlamat utama adalah untuk mencapai kestabilan kewangan dengan matlamat akhirnya adalah untuk mencapai pertumbuhan mapan dan kemakmuran bersama. Kos pengawalseliaan yang tinggi dan beban yang bertambah terhadap proses pengantaraan akan memberi kesan terhadap aktiviti ekonomi dan tidak banyak membantu dalam mengubah tabiat pengambilan risiko yang merupakan penyebab utama krisis. Perlu ada pemahaman dari pelbagai dimensi tentang kesan langkah-langkah yang dicadangkan, termasuk bagaimana ia akhirnya akan mempengaruhi tindak balas institusi. Cabaran untuk membuat penilaian pada peringkat global adalah sukar tetapi tindak balas dasar perlu berjaya mencapai matlamatnya bagi mengelakkan akibat yang tidak diingini yang pada hakikatnya sukar untuk dipulihkan tanpa membebankan sistem kewangan.
Perkara penting kedua yang dibincangkan menekankan bentuk rangka kerja institusi untuk kestabilan kewangan. Isu utama tertumpu pada peranan bank pusat dalam kestabilan kewangan dan sama ada perlunya pihak berkuasa penyeliaan tunggal atau berbilang. Memandangkan bank pusat merupakan pemberi pinjaman terakhir apabila berlakunya sesuatu krisis, bank pusat sentiasa berada di barisan hadapan untuk bertindak bagi mengembalikan kestabilan. Walaupun tiada satu persetujuan umum berhubung dengan struktur optimum fungsi penyeliaan, sistem kewangan diakui semakin kompleks dan saling berkaitan, dan sama ada sesebuah negara menerima pakai model bersepadu atau model yang dikendalikan mengikut sektor, penyelarasan berkesan adalah kritikal untuk menyokong penilaian keseluruhan pendedahan risiko dalam sistem kewangan. Tambahan pula, kemungkinan berlakunya arbitraj pengawalseliaan perlu dielakkan.
Faktor lain yang menyokong bank pusat untuk memainkan peranan fungsi penyeliaan perbankan ialah kecekapan penggunaan maklumat terutamanya dalam pengurusan krisis secara berkesan. Kefahaman yang diperoleh daripada analisis ekonomi dan operasi pasaran yang dibuat oleh bank pusat untuk mencapai objektif dasar monetari juga menyumbang dengan ketara ke arah penyeliaan kewangan berdasarkan maklumat. Ini termasuk memberikan kefahaman yang lebih mendalam mengenai potensi melaksanakan langkah-langkah kehematan makro sebagai sebahagian daripada tindak balas penyeliaan. Struktur penyeliaan yang dipilih perlu membuktikan ia mampu bertindak balas dan berfungsi secara berkesan seiring dengan persekitaran yang pantas berubah. Kapasiti dan keupayaan pihak berkuasa dari segi kaliber, kemahiran dan kepakaran perlu sentiasa dipertingkat seiring dengan perkembangan baharu dan lebih kompleks. Bagi kebanyakan ekonomi sedang pesat membangun, tenaga kerja mahir terbesar selalunya tertumpu di bank pusat.
Malaysia telah menerima pakai pengaturan keinstitusian dengan tanggungjawab menyelia sektor perbankan dan insurans terletak pada Bank Negara Malaysia. Pengaturan ini telah memberi manfaat yang besar buat Malaysia, tidak kira semasa keadaan normal mahupun semasa krisis. Ini sebagaimana ditunjukkan semasa berlakunya krisis kewangan Asia dan pergolakan pasaran baru-baru ini. Semasa krisis, pengaturan ini telah membolehkan Bank menggunakan dengan pantas pelbagai set kemahiran kritikal, pengalaman dan maklumat yang ada lantas membolehkan keputusan dan tindakan segera diambil. Bank juga telah memanfaatkan proses, struktur dan hubungan dalaman yang sedia ada semasa keadaan normal sebagai sebahagian daripada fungsi penyeliaan bersepadunya.
Kewangan Islam, pertumbuhan dan kestabilan global
Ketika isu yang dinyatakan di atas terus dibincangkan oleh masyarakat antarabangsa, sistem kewangan Islam global terus berkembang dan tidak banyak terjejas. Ini telah menarik minat yang mendalam terhadap kewangan Islam. Kini, kewangan Islam telah berkembang dengan pesat untuk menjadi komponen sistem kewangan antarabangsa yang berdaya maju dan berdaya saing. Susulan krisis kewangan global, perbincangan kini semakin tertumpu pada peranan yang boleh dimainkan oleh kewangan Islam dan sumbangannya terhadap kestabilan kewangan global serta dalam menyokong pertumbuhan ekonomi keseluruhan.
Kewangan Islam adalah berlandaskan Syariah, iaitu undang-undang Islam yang menghendaki urus niaga kewangan Islam diasaskan kepada aktiviti ekonomi sebenar, yang dengan itu memastikan terdapat hubung kait yang erat antara aliran kewangan dengan aliran produktif. Prinsip asas ini merujuk kepada fungsi perbankan asas dalam menyediakan perkhidmatan kewangan yang menambah nilai kepada ekonomi benar. Oleh itu, aliran kewangan dalam kewangan Islam didasari oleh pengembangan aktiviti produktif yang sebenar. Pengaturan sebegini juga mengelakkan pendedahan berlebihan kepada risiko yang berkaitan dengan pengambilan pinjaman yang keterlaluan. Kedua, kewangan Islam adalah berdasarkan pada perkongsian keuntungan dan risiko. Urus niaga kewangan Islam secara jelas mentakrifkan pengaturan pada peringkat permulaan lagi dan memberi insentif untuk institusi kewangan Islam menjalankan usaha wajar (due diligence) yang bersesuaian bagi memastikan keuntungan adalah setimpal dengan risiko yang diambil. Aspek tadbir urus dan pengurusan risiko amat ditekankan dalam pengaturan ini. Khususnya, kontrak sebegini menuntut standard penzahiran dan ketelusan yang lebih tinggi, yang seterusnya memperkukuh disiplin pasaran dan mengurangkan maklumat yang tidak tepat. Terdapat juga tawaran nilai yang jelas dalam kewangan Islam untuk pelabur dan penerbit. Bagi pelabur, produk kewangan Islam menawarkan pelbagai portfolio dan peluang pelaburan baharu dalam kelas aset baharu ini. Bagi penerbit pula, kewangan Islam memberi akses kepada sumber dana dan mudah tunai baharu dan juga pilihan pengurusan risiko yang baharu.
Sebagai sebahagian daripada langkah berterusan untuk memperkuh daya tahan kewangan Islam, Bank Pembangunan Islam (Islamic Development Bank, IDB) dengan kerjasama Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam (Islamic Financial Services Board, IFSB) telah menubuhkan Pasukan Petugas Kewangan Islam dan Kestabilan Kewangan Global pada tahun 2008 untuk mengkaji dan mencadangkan syor tertentu berhubung dengan peranan dan sumbangan kewangan Islam dalam menggalakkan kestabilan kewangan global. Pasukan tersebut juga menggariskan bidang yang akan memperkuat infrastruktur kewangan Islam termasuk penyediaan infrastruktur pembangunan bagi pengurusan mudah tunai dan krisis dalam sistem kewangan Islam.
Dalam dekad ini, langkah mengantarabangsakan kewangan Islam secara lebih giat turut diiringi oleh corak baharu kesalinghubungan ekonomi dan kewangan global. Ini jelas dalam hubungan lebih erat antara Asia dengan Timur Tengah dalam pelbagai bidang perdagangan dan pelaburan sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Rantau Asia dan Timur Tengah semakin diakui sebagai rantau pertumbuhan yang dinamik dalam ekonomi global. Kedua-dua rantau ini mempunyai sejarah hubungan perdagangan rapat yang semakin berkembang dengan adanya Laluan Sutera lama, yang menjadi penghubung global utama antara tamadun purba Timur dengan Barat sehingga ke abad 14. Kewangan Islam kini telah menggiatkan kembali hubungan ekonomi tersebut menerusi pengukuhan hubungan kewangan antara Asia dengan Timur Tengah, iaitu trend yang akan saling memperkukuh prospek pertumbuhan. Kemunculan pusat kewangan baharu di Asia dan Timur Tengah serta peningkatan integrasi antara kedua-dua pusat itu telah merintis jalan bagi Laluan Sutera Baharu. Ia juga membuka peluang untuk ekonomi maju menjalin hubungan kewangan yang lebih erat dengan rantau pertumbuhan Asia dan Timur Tengah yang dinamik.
Kewangan Islam berada pada kedudukan yang baik untuk meraih manfaat daripada Laluan Sutera Baharu memandangkan infrastruktur sokongan telah sedia ada. Rangka kerja pengawalseliaan dan perundangan kewangan Islam yang diperlukan juga telah dirumuskan, bukan sahaja di negara-negara Asia dan Timur Tengah bahkan di peringkat antarabangsa. Usaha untuk menguatkuasakan piawaian kehematan bersama telah mencapai kemajuan yang menggalakkan dengan penubuhan badan penetapan piawaian berhemat iaitu IFSB pada tahun 2002 di Malaysia. Usaha ke arah menyeragamkan tafsiran Syariah dan isu-isu berkaitan dengan pengiktirafan bersama kini berada pada peringkat terakhir untuk dimuktamadkan.
Hari ini, Malaysia mempunyai sistem kewangan Islam yang komprehensif dan maju termasuk sektor perbankan dan takaful yang teguh serta pasaran modal dan pasaran wang Islam yang kukuh dan beroperasi selari dengan sistem konvensional. Pasaran sukuk kami adalah yang terbesar di dunia. Sistem kewangan Islam di Malaysia juga disokong sepenuhnya oleh rangka kerja Syariah, perundangan serta pengawalseliaan yang komprehensif bagi memastikan kekukuhan dan kestabilan sistem kewangan tersebut. Kami juga berusaha membangunkan modal insan bagi memastikan kumpulan tenaga kerja mahir dan pakar adalah mencukupi untuk menyokong pembangunan kewangan Islam. Untuk tujuan ini, Malaysia telah menubuhkan Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa (INCEIF) dan Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa dalam Kewangan Islam (ISRA) bagi menyokong pendidikan dan penyelidikan lanjutan dalam kewangan Islam.
Dengan industri perkhidmatan kewangan Islam kini lebih maju, yang meliputi institusi kewangan dan pasaran Islam yang dibangunkan dengan baik, inisiatif liberalisasi yang lebih agresif telah dilaksanakan dalam sektor ini bagi mengukuhkan saling hubungan Malaysia dengan pasaran kewangan lain. Ini juga telah diperkukuh oleh liberalisasi selanjutnya terhadap akaun modal imbangan pembayaran dan pelaksanaan langkah cukai yang neutral. Inisiatif-inisiatif ini bertujuan untuk memperkukuh perdagangan dan pelaburan merentas sempadan melalui kewangan Islam.
Kesimpulan
Izinkan saya mengakhiri ucapan saya dengan memperkatakan mengenai tiga trend utama yang wujud dalam ekonomi dunia dan sistem kewangan antarabangsa. Melangkah ke hadapan, peranan Asia dalam ekonomi global, agenda pembaharuan pengawalseliaan antarabangsa dan pembangunan serta pengembangan kewangan Islam dilihat sebagai mempunyai pengaruh yang besar terhadap ekonomi dan sistem kewangan global. Sambil kita menghadapi persekitaran yang pesat berkembang, trend baharu ini perlu diberi perhatian dalam membentuk ekonomi global dan aturan kewangan yang jauh lebih baik daripada apa yang kita ada hari ini.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.