Ucapan oleh Gabenor di Official Monetary and Financial Institutions Forum (OMFIF) -"Ucapan Penerimaan Anugerah Visi Asia"

London | 30 Jun 2010

Saya amat berbesar hati kerana dapat berada di sini hari ini untuk menerima Anugerah Visi Asia daripada Official Monetary and Financial Institutions Forum (OMFIF). Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Lord Desai atas pujian dalam ucapan pengenalan beliau dan kepada lembaga penasihat OMFIF atas pengiktirafan ini. Sebagai seorang penggubal dasar dari sebuah ekonomi sedang pesat membangun di Asia - selama hampir tiga dekad - ia merupakan suatu pengalaman yang memberangsangkan dan amat memuaskan. Meskipun berhadapan dengan cabaran yang amat besar, terutamanya semasa krisis kewangan Asia, ekonomi Asia kini menjadi semakin kukuh dan lebih berdaya tahan.

Dekad ini telah menyaksikan perubahan yang dramatik dalam proses globalisasi. Ketika proses ini menjadi lebih giat, ekonomi Asia telah menunjukkan fleksibiliti untuk berubah dan bertindak balas terhadap peluang dan cabaran yang muncul. Gelombang permulaan globalisasi adalah dalam bentuk perdagangan. Ini diikuti oleh globalisasi syarikat dan terkini globalisasi aliran kewangan. Krisis kewangan dan ekonomi global yang berlaku baru-baru ini menuntut supaya dasar diglobalisasikan memandangkan dasar pada peringkat kebangsaan adalah terhad selain keperluan untuk menangani perkembangan merentas sempadan yang mempunyai implikasi terhadap sistem kewangan domestik dan seterusnya ekonomi dalam negeri.

Ekonomi global dan sistem kewangan antarabangsa telah memasuki era baharu. Kini sedang berlaku transformasi asas landskap global. Hasil daripada perbezaan yang semakin nyata dalam prestasi pertumbuhan antara negara maju dengan negara sedang pesat membangun, kuasa ekonomi dalam ekonomi global menjadi semakin tersebar. Pertubuhan bagi Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) menganggarkan bahawa daripada keseluruhan keluaran ekonomi global, keluaran daripada ekonomi sedang pesat membangun akan mengatasi keluaran negara maju menjelang tahun 2011. Menjelang tahun 2030 pula, ekonomi negara sedang pesat membangun dijangka mencakupi 60% daripada jumlah keluaran dunia.

Oleh itu, manfaat daripada globalisasi menjadi lebih seimbang. Pada tahun 2000, negara sedang pesat membangun mencakupi 80% daripada jumlah penduduk dunia tetapi hanya menjana 40% daripada pendapatan global. Menjelang tahun 2030, dianggarkan sebanyak 85% daripada jumlah penduduk negara sedang pesat membangun akan menjana pendapatan sebanyak 60%. Anggaran ini diperkukuh lagi oleh peningkatan perdagangan antara negara-negara sedang pesat membangun. Walaupun perdagangan dunia telah meningkat empat kali ganda antara tahun 1990 hingga tahun 2008, aliran perdagangan antara ekonomi sedang pesat membangun bertambah 10 kali ganda.

Rantau Asia merupakan sebahagian besar daripada proses anjakan global yang sedang berlaku. Berikutan transformasi ekonomi dan kewangan yang ketara selama sedekad, Asia telah muncul sebagai pusat pertumbuhan utama dalam ekonomi global. Asia kini mencakupi satu pertiga daripada keluaran dunia dan 28% daripada perdagangan dunia. Perkembangan dan pembangunan ini telah membuka peluang pekerjaan dan memperbaiki keadaan kehidupan serta membantu jutaan penduduk keluar daripada kancah kemiskinan. Walaupun Asia merupakan salah sebuah rantau yang penuh dengan kepelbagaian dalam ekonomi global, namun ia mampu mengambil manfaat daripada sifat saling melengkapi dalam rantau ini untuk menghasilkan pengembangan yang besar dalam perdagangan serantau selain aktiviti pelaburan dan juga peningkatan aliran kewangan serantau.

Visi Asia

Anugerah ini melambangkan kepentingan Asia yang semakin meningkat dalam ekonomi dunia. Izinkan saya menyentuh mengenai tiga trend utama di Asia yang mungkin mempengaruhi peranan Asia di dunia ketika kita melangkah ke hadapan. Pertama, peranan permintaan dalam negeri serantau yang meningkat di Asia bagi keluaran serantau dan global. Kedua, peranan Asia dalam pengantaraan dana di Asia yang lebih cekap hasil daripada integrasi kewangan serantau yang lebih mantap. Ketiga, strategi dasar yang diterima pakai oleh rantau ini bagi menangani cabaran dan sebagai model bagi pengurusan hubungan antarabangsa.

Transformasi ekonomi Asia dalam dekad ini telah menjadikan Asia sebagai sumber permintaan terkumpul yang penting dalam ekonomi global. Pendapatan yang meningkat, kadar pengangguran yang rendah, struktur demografi generasi muda yang lebih cenderung untuk berbelanja, kadar hutang isi rumah yang secara relatif rendah dan dasar yang menggalakkan penggunaan telah merangsang permintaan penggunaan. Langkah-langkah lain yang sedang dijalankan termasuklah penyediaan jaringan keselamatan sosial dalam bentuk skim dan program untuk pendidikan, penjagaan kesihatan, faedah persaraan dan pengangguran. Ini bukan sahaja telah menyebabkan pengembangan yang besar dalam sektor perdagangan runcit di rantau ini bahkan menjadikan Asia sebagai pengguna yang semakin penting dalam ekonomi global.

Aktiviti pelaburan swasta juga telah kembali giat setelah melalui tempoh kapasiti berlebihan yang disebabkan oleh pelaburan yang terlalu banyak sebelum tercetusnya krisis kewangan Asia. Terdapat juga rancangan untuk pelaburan secara besar-besaran dalam pembangunan infrastruktur di rantau ini. Walaupun Asia mempunyai keupayaan dalaman daripada simpanannya yang tinggi bagi membiayai pelaburan ini, permintaan yang lebih tinggi terhadap import hasil daripada pelaburan ini boleh terus mengurangkan jurang ketidakseimbangan ekonomi global. Penggunaan dalam negeri dan permintaan terhadap pelaburan yang lebih ketara di Asia juga disokong oleh sistem kewangan yang diperkukuh dan lebih maju. Tahap hutang sektor korporat yang secara relatif rendah dan akses kepada pembiayaan yang berterusan telah menyokong trend ini.

Meskipun integrasi ekonomi serantau sememangnya telah menjadi sebahagian daripada landskap ekonomi Asia, integrasi kewangan serantau merupakan suatu fenomena baharu. Walaupun integrasi kewangan serantau akan memudahkan hubungan perdagangan dan pelaburan yang sedia kukuh di rantau ini, namun aspek integrasi kewangan yang lebih penting bagi Asia ialah ia akan memudahkan pengantaraan dana yang lebih cekap di Asia. Pasaran kewangan Asia yang lebih maju dan inisiatif berterusan untuk meliberalkan sektor kewangan juga akan mengeratkan saling hubungan antara pasaran kewangan tradisional dengan pusat kewangan baharu di negara sedang pesat membangun yang lain. Melangkah ke hadapan, produk daripada pasaran kewangan Asia dijangka menjadi semakin penting sebagai suatu kelas aset. Ini akan meningkatkan potensi untuk mempelbagaikan risiko selain menyumbang ke arah kestabilan sistem kewangan antarabangsa. Ia juga akan menambah pilihan buat pelabur dan peminjam, lantas menyumbang kepada peruntukan sumber kewangan merentas sempadan yang lebih cekap. Di samping itu, pembangunan pasaran modal di rantau Asia akan berperanan penting dalam menyalurkan kembali sebahagian daripada simpanan Asia yang besar kepada pelaburan yang produktif di rantau ini. Dengan liberalisasi sektor kewangan dan akaun modal yang semakin meningkat, rantaian sistem pembayaran negara yang lebih luas di Asia, serta terdapatnya lebih banyak institusi serantau dalam sesebuah sistem kewangan domestik, trend aliran kewangan yang meningkat di rantau ini akan berterusan. Memandangkan prospek ekonomi Asia yang menggalakkan dan pasaran kewangannya yang lebih maju, Asia telah pun berupaya menarik aliran modal yang tidak menentu.

Walau bagaimanapun, laluan yang diambil oleh Asia untuk menjalin integrasi kewangan yang lebih kukuh adalah berbeza daripada Eropah. Tidak seperti di Kesatuan Eropah, Asia belum lagi meneroka usaha untuk mempunyai institusi berpusat bagi menyelaraskan integrasi kewangan. Sebaliknya, ia memanfaatkan kumpulan serantau dan rangkaian sedia ada untuk menjalin kerjasama yang lebih erat dalam bidang-bidang kepentingan bersama. Kedua, rancangan untuk mempunyai mata wang bersama bukan merupakan agenda Asia dalam jangka sederhana. Bagi mengurangkan risiko kadar pertukaran dan memudahkan perdagangan dan pelaburan antara rantau, negara-negara Asia telah memutuskan untuk menggunakan mata wang negara masing-masing bagi tujuan penyelesaian perdagangan.

Izinkan saya menyentuh mengenai dasar dan strategi yang digunakan di Asia. Asia cenderung untuk tidak mematuhi ideologi tegar tetapi sebaliknya memberi tumpuan pada pembinaan institusi dan pembangunan pasaran kewangan, mengukuhkan sistem pembayaran dan rangka kerja pengawalan dan penyeliaan. Malah, banyak pembaharuan yang kini sedang dibincangkan secara meluas bagi menangani kelemahan yang terdapat dalam sistem kewangan global semasa berlakunya krisis, sebenarnya telah pun dilaksanakan terlebih dahulu di Asia. Ini termasuk penggunaan rangka kerja mudah tunai yang kukuh, amalan tadbir urus dan pengurusan risiko yang diperkukuh, jaringan keselamatan kewangan yang menyeluruh dan pelaksanaan langkah-langkah kitaran berbalas (counter-cyclical) seperti nisbah pinjaman berbanding nilai. Walaupun reformasi kewangan selama sedekad telah membuahkan hasil, usaha pengawasan serantau yang meningkat, pengurusan krisis, pengaturan sokongan mudah tunai dan penyeliaan kewangan serta pembangunan pasaran kewangan serantau terus menjadi fokus utama pada masa akan datang.

Kesimpulan

Sebagai mengakhiri ucapan ini, ingin saya nyatakan bahawa ekonomi global sesungguhnya sedang mengalami suatu anjakan yang asas dan penting. Rantau Asia berada betul-betul di tengah-tengah anjakan ini. Sambil Asia menjadi sumber permintaan yang semakin meningkat dan dengan bertambahnya kesepaduan kewangan Asia yang menjadikannya lebih berhubung kait dengan seluruh dunia, dan ketika Asia terus memperkukuh ketahanannya, kini tiba masanya buat Asia untuk memainkan peranan yang lebih penting dalam ekonomi global.

Dalam usaha untuk mencapai matlamat bersama, iaitu pertumbuhan global yang seimbang dan kepentingan kestabilan kewangan global bersama, Asia mempunyai potensi dan boleh menjadi platform bagi kerjasama yang bermakna ke arah mencapai penyelesaian dan kemajuan global yang mapan dalam dunia yang semakin saling berkait ini.


Bank Negara Malaysia
02 Julai 2010

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?