Ucapan oleh Gabenor di Persidangan ASEM - "Strategi Pembangunan Baharu Asia: Kini ke Mana?"

Kuala Lumpur, Malaysia | 19 Oktober 2009

Asia, yang didiami lebih separuh daripada penduduk dunia dan merupakan salah sebuah rantau yang penuh dengan kepelbagaian, telah melalui pengalaman yang luar biasa dalam pembangunan ekonomi sepanjang lebih daripada setengah abad. Walaupun dilanda kemelut dari semasa ke semasa, Asia, secara umumnya, berjaya mencapai dan mengekal kadar pertumbuhan yang tinggi sepanjang tempoh itu, melalui transformasi yang pesat dalam struktur ekonominya dan beralih daripada ekonomi yang berasaskan pertanian kepada pengeluaran barangan dan perkhidmatan moden yang intensif modal. Negara Asia, yang dahulunya terdiri daripada negara miskin dan kurang membangun selepas Perang Dunia Kedua, kini diwakili oleh lima daripada dua puluh ekonomi terbesar di dunia dan beberapa ekonominya adalah antara ekonomi yang paling pesat berkembang dan menyumbang kira-kira satu pertiga daripada keluaran global dan perdagangan dunia.

Matlamat pembangunan ekonomi, bagaimanapun, bukanlah semata-mata berasaskan perdagangan, kewangan ataupun kekayaan. Pembangunan ekonomi pada dasarnya adalah berkaitan dengan kebajikan rakyat, iaitu pertumbuhan ekonomi hanya sebagai wahana untuk mencapai taraf hidup yang lebih baik secara berterusan. Asia turut mencapai kemajuan yang ketara dalam konteks ini. Perkembangan pesat Asia mendorong kenaikan lebih daripada empat kali ganda pendapatan per kapita purata, serta mengeluarkan lebih daripada 500 juta orang daripada belenggu kemiskinan dan kemelaratan sejak tahun 1980-an. Kadar kemiskinan di Asia telah menurun dengan mendadak daripada 80% pada tahun 1981 kepada 16% daripada jumlah keseluruhan penduduk pada tahun 2005. Selain keadaan sosial yang asas menambah baik dengan ketara, kemajuan yang nyata juga dicapai dengan usaha menyediakan akses kepada penjagaan kesihatan dan pendidikan yang berkualiti. Sementara penduduk bandar di Asia telah meningkat lebih enam kali ganda, purata jangka hayat telah meningkat sebanyak 25 tahun kepada 72 tahun dan kadar celik huruf purata melebihi 90%. Apa yang membuatkan pencapaian ini luar biasa adalah kerana semuanya dicapai dalam tempoh masa yang secara relatif singkat, iaitu kurang daripada dua generasi.

Kertas kerja ini mengandungi dua bahagian. Bahagian pertama meninjau strategi pembangunan yang telah menyumbang kepada kejayaan transformasi ekonomi Asia pada tempoh pasca-Perang Dunia kedua, dengan penekanan khusus pada dekad yang mutakhir ini, iaitu selepas krisis kewangan Asia. Kertas kerja ini kemudiannya membincangkan secara umum bagaimana strategi pembangunan Asia perlu disesuaikan untuk melangkah ke hadapan terutamanya dalam keadaan krisis global semasa yang telah membawa perubahan yang ketara kepada persekitaran ekonomi dan kewangan global.

STRATEGI PEMBANGUNAN ASIA SEPANJANG 50 TAHUN YANG LALU

Asia pada tempoh pasca-Perang Dunia kedua

Apa yang luar biasa tentang prestasi Asia ialah kadar pertumbuhan yang dicapai oleh ekonomi-ekonomi Asia yang berprestasi terbaik adalah secara relatifnya tinggi apabila dibandingkan dengan ekonomi-ekonomi yang menjadi juara pada era terdahulu. Transformasi yang pesat di Asia diterajui oleh tiga pendorong pertumbuhan global sejak 50 tahun yang lalu, bermula dengan Jepun pada tahun 1950-70-an, Korea dari tahun 1970-an dan RR China pada masa ini. Kadar pertumbuhan per kapita tahunan purata mereka sebanyak 6-8% setahun belum pernah dicapai dalam sejarah dan jauh melebihi kadar yang dicapai oleh ekonomi-ekonomi maju sekurang-kurangnya sebanyak tiga kali ganda, jika dibandingkan semasa tempoh awal pembangunan ekonomi itu. ASEAN-5 juga mencatat kadar pertumbuhan tahunan lebih dua kali ganda daripada purata pertumbuhan dunia sepanjang dua dekad yang lalu. Namun demikian, prestasi pertumbuhan ekonomi Asia tidak banyak berbeza daripada ekonomi-ekonomi lain. Asia juga mengalami proses perindustrian yang sama, iaitu melalui proses peralihan daripada aktiviti tradisional kepada aktiviti moden, serta daripada pengeluaran barangan nilai ditambah yang rendah kepada produk nilai ditambah yang lebih tinggi secara berperingkat sehingga akhirnya beralih kepada sektor perkhidmatan. Walau bagaimanapun, yang membezakan Asia daripada rantau yang lain ialah proses ini berlaku dengan begitu pesat.

Kejayaan Asia bukanlah hasil daripada satu faktor sahaja, tetapi sebaliknya, merupakan gabungan faktor yang telah menggalakkan, memudahkan dan mendorong pembangunan ekonomi. Memandangkan kepelbagaian di benua Asia, maka tidak mungkin dapat digariskan dengan tepat dan khusus strategi pembangunan yang telah memberikan sumbangan kepada kemajuan dan transformasi ekonomi yang pesat. Namun demikian, terdapat empat ciri umum yang penting dalam strategi pembangunan sebahagian besar ekonomi Asia.

Pertama, pertumbuhan ekonomi yang berterusan sentiasa diberikan keutamaan oleh ekonomi-ekonomi Asia. Kerajaan di kebanyakan negara di Asia Tenggara dan di Asia Timur telah memberikan tumpuan pada pembangunan keinstitusian dan usaha menggalakkan perindustrian. Institusi-institusi telah diwujudkan untuk merancang, memacu dan memantau penyediaan asas-asas ekonomi yang diperlukan, termasuk infrastruktur yang menyokong ekonomi yang lebih luas, sementara pada masa yang sama halangan-halangan yang berkemungkinan berlaku telah ditangani. Institusi-institusi ini pada hakikatnya bertujuan menggalakkan suatu persekitaran yang kondusif untuk pertumbuhan. Tidak kurang pentingnya ialah institusi-institusi untuk memastikan kestabilan ekonomi makro dan kewangan, dan juga untuk menggalakkan penyertaan semua pihak dan kestabilan sosioekonomi. Bagi mempercepat pergerakan sumber daripada aktiviti tradisional kepada aktiviti moden dalam ekonomi perindustrian baharu di Asia (Korea, China Taipei, Hong Kong dan Singapura), dasar perindustrian telah disasarkan pada usaha meningkatkan kecekapan, produktiviti yang tinggi dan daya saing. Pada peringkat awal, insentif dan beberapa perlindungan dalam negeri memainkan peranan penting bagi merancakkan proses perindustrian. Ciri-ciri ini merupakan contoh pengalaman yang dilalui oleh Jepun dan ekonomi-ekonomi perindustrian Asia yang baharu, dan kemudiannya, dalam ekonomi-ekonomi Asia yang lain seperti ASEAN dan RR China.

Walaupun Kerajaan Asia secara langsung terlibat dalam pembangunan ekonomi, penekanan adalah terhadap pertumbuhan yang diterajui sektor swasta, terutamanya selepas asas-asas perindustrian dan infrastruktur telah tersedia. Peranan Kerajaan adalah untuk menyokong sektor swasta melalui penyediaan persekitaran yang membolehkan sektor swasta melakukan kegiatan yang lebih tinggi produktivitinya, dengan pengeluaran barangan dan perkhidmatan sebenar akhirnya akan didorong oleh sektor swasta. Kerajaan, bersama-sama dengan institusi-institusi utama, menggariskan rancangan perindustrian dan menetapkan sasaran sebagai panduan proses perindustrian untuk dilaksanakan oleh sektor swasta bagi merealisasikan matlamat ini.

Ciri penting yang kedua ialah kadar tabungan Asia yang tinggi, melebihi 30% daripada Keluaran Negara Kasar (KNK) di kebanyakan ekonomi Asia, yang telah membolehkan sektor awam dan swasta membiayai pemerolehan modal daripada sumber-sumber dalam negeri. Sementara sektor swasta memberikan tumpuan pada pelaburan dalam modal fizikal dan menggunakan teknologi baharu untuk meningkatkan kecekapan produktiviti, kerajaan di rantau Asia memberi penekanan yang sewajarnya pada pembangunan infrastruktur, seperti jalan raya, pelabuhan dan utiliti, serta penjagaan kesihatan dan pendidikan. Kombinasi modal yang cekap dan tenaga kerja yang produktif telah menghasilkan aktiviti nilai ditambah yang lebih tinggi, seterusnya mempercepat pertumbuhan ekonomi.

Ketiga, pembangunan ekonomi Asia adalah berorientasikan pandang ke luar dan tidak hanya bergantung pada permintaan dalam negeri bagi meningkatkan pengeluaran perindustrian. Hanya lima dekad yang lalu, Asia adalah antara rantau termiskin di dunia. Asia menyedari bahawa proses pembangunannya akan menjadi lambat dan perlahan sekiranya ia hanya bergantung pada permintaan dalam negeri yang didorong oleh pendapatan yang rendah untuk merangsang aktiviti perindustriannya. Asia telah mempercepat pergerakan sumber daripada aktiviti tradisional yang berproduktiviti rendah kepada aktiviti moden yang berproduktiviti tinggi. Sebahagian besar Asia, antara ekonomi sedang membangun yang terawal, sangat terbuka kepada perdagangan antarabangsa dan pelaburan langsung asing (foreign direct investment, FDI). Keadaan ini menyebabkan Asia cepat berintegrasi dengan ekonomi global. Jumlah sumbangan perdagangan Asia kepada jumlah perdagangan dunia meningkat daripada 14% pada tahun 1970 kepada 22% pada tahun 1990, dan kemudiannya kepada 28% pada tahun 2008. Selain itu, Asia juga menjadi penerima utama FDI, dengan aliran masuk FDI ke Asia meningkat sebanyak 7% kepada 20% daripada jumlah FDI global pada tahun 2007.

Keempat, ketidakseragaman dan kepelbagaian ekonomi Asia yang ketara tidak menjadi penghalang kepada kemajuan, malah telah melengkapi dan mempermudah pembangunan ekonomi serantau. Perbezaan besar dalam tahap pembangunan ekonomi Asia, iaitu daripada negara Jepun yang maju kepada RR China yang sedang pesat membangun sehinggalah Vietnam yang sedang membangun, di samping pempelbagaian sumber semula jadi dan endowmen yang kaya di seluruh rantau ini, telah membolehkan Asia untuk memanfaatkan kekuatan dan kelebihan berbanding yang banyak. Secara khusus, terdapat tahap pembangunan dan keupayaan teknologi yang berbeza di rantau ini, yang dikenali umum sebagai Flying Geese Model. Pembahagian pekerja yang khusus seperti ini jelas berlaku pada tahun 1970-an apabila Jepun memindahkan semula peringkat proses pengeluaran yang lebih intensif pekerja kepada ekonomi perindustrian baharu Asia, seperti Korea dan Singapura, dan kemudiannya pada 1980-an, kepada ekonomi yang sedang membangun di Asia, termasuk Malaysia, Indonesia dan Thailand. Kemunculan RR China pada dekad mutakhir ini terus memberi dorongan yang nyata kepada corak pengkhususan menegak (vertical specialization) ini, yang secara efektif telah menyebabkan berlakunya globalisasi dalam rantaian pengeluaran di seluruh rangkaian ekonomi serantau. Sementara perindustrian di Asia yang tidak sekata telah menyebabkan kekukuhan hubungan perdagangan dalam rantau ini, pemindahan modal, pengetahuan dan teknologi yang kritikal bagi memperkukuh keupayaan perindustrian juga telah dipertingkatkan.

Asia selepas Krisis Kewangan Asia

Krisis kewangan Asia 1997-98 merupakan titik penting dalam sejarah Asia. Krisis itu telah mendedahkan beberapa kelemahan struktur ekonomi dalam negara Asia dan arkitektur kewangan global. Menyedari kesalinghubungan dan risiko yang makin meningkat, pelbagai inisiatif baharu di peringkat negara dan serantau, di samping pembangunan institusi yang kukuh dan tadbir urus yang baik, diperkenalkan pada tempoh pascakrisis untuk mengukuhkan daya tahan ekonomi Asia dan meminimumkan risiko sistemik serantau bagi memastikan pembangunan ekonomi yang lebih mapan. Apabila ditinjau kembali, krisis Asia bukan merupakan suatu noktah, tetapi suatu permulaan untuk penyertaan yang lebih besar bagi Asia dalam landskap global.

Akibat daripada krisis, Asia telah melaksanakan reformasi kewangan yang luas, yang bertujuan mewujudkan sistem kewangan yang lebih stabil, berdaya tahan dan cekap. Ini termasuk penstrukturan semula dan pembangunan keinstitusian untuk memperkukuh daya tahan sektor kewangan. Antara lain, rejim pengawalseliaan yang kukuh telah diwujudkan, peraturan berhemat diperkuat, tadbir urus korporat dan penzahiran kewangan ditambah baik dan deposit insurans diperkenalkan. Dengan sistem kewangan domestik bertambah kukuh, persekitaran sektor perbankan telah menjadi semakin kompetitif melalui nyahpengawalseliaan dan liberalisasi yang dilaksanakan secara berperingkat. Di samping itu, usaha juga telah difokuskan pada pembangunan pasaran modal, khususnya pasaran bon, yang juga mengurangkan kebergantungan yang berlebihan pada sektor perbankan sebagai sumber pembiayaan bagi syarikat-syarikat besar. Hal ini telah mendorong sektor perbankan untuk memperluas akses kredit kepada peserta-peserta ekonomi yang lain. Secara keseluruhan, sistem kewangan yang pada suatu ketika didominasi oleh sektor perbankan telah menjadi lebih pelbagai dan kompetitif dengan tadbir urus, penzahiran dan pengawalseliaan yang kukuh. Pengukuhan kewangan Asia adalah lebih cepat berbanding dengan EU atau AS, walaupun bermula daripada asas yang lebih rendah. Bahagian pasaran bon Asia kepada KDNK pada hari ini adalah lebih tinggi jika dibandingkan dengan EU.

Pada peringkat serantau, beberapa inisiatif telah dilaksanakan untuk mempertingkatkan perdagangan dan pelaburan intrarantau sejak seawal tahun 1990-an. Sebagai contoh, pada tahun 1992, Kawasan Perdagangan Bebas Asia, (ASEAN Free Trade Area, (AFTA) dilancarkan untuk mengurangkan tarif intra-ASEAN kepada 0-5% di bawah Tarif Keistimewaan Efektif Bersama (Common Effective Preferential Tarif, CEPT), dengan sasaran untuk mewujudkan kawasan perdagangan yang bebas tarif menjelang tahun 2015. Perjanjian Rangka Kerja Perkhidmatan ASEAN (ASEAN Framework Agreement on Services, AFAS) juga ditandatangani pada tahun 1995 untuk menghapuskan sekatan-sekatan intra- ASEAN dalam perdagangan perkhidmatan dan memudahkan aliran perkhidmatan yang bebas menjelang tahun 2015. Selanjutnya, pada tahun 1998, Kawasan Pelaburan ASEAN (ASEAN Investment Area, AIA) telah diwujudkan bagi menggalakkan aliran yang lebih pesat dari segi modal, tenaga kerja mahir, kepakaran profesional dan teknologi di rantau ini. Inisiatif yang pelbagai ini ditingkatkan lagi selepas krisis Asia, dengan berbagai-bagai perjanjian perdagangan bebas (FTA) pesat dilaksanakan antara ASEAN dengan ekonomi-ekonomi Timur Laut Asia, iaitu RR China, Jepun dan Korea. Pada bulan April tahun ini, FTA antara ASEAN dengan RR China telah diperluas untuk merangkumi penghapusan sekatan-sekatan pelaburan daripada sekatan terhadap perdagangan barangan sahaja sejak tahun 2004 dan sekatan terhadap perkhidmatan sahaja sejak tahun 2007. Langkah ini telah mewujudkan kawasan perdagangan bebas terbesar di dunia dengan penduduk seramai 1.8 bilion dan keluaran dalam negeri kasar sebanyak USD2 trilion. Selain itu, rundingan mengenai FTA antara ASEAN dengan Jepun, Korea, serta India, Australia dan New Zealand juga telah dimulakan.

Hasil daripada inisiatif perdagangan dan pelaburan serantau ini, pasaran eksport Asia telah dipelbagaikan dengan perdagangan intrarantau menjadi bertambah penting. Bahagian perdagangan intrarantau di Asia Selatan, Asia Timur dan Asia Tenggara kepada jumlah perdagangan bagi ketiga-tiga rantau ini telah meningkat daripada 25% pada tahun 1980 kepada 44% pada tahun 2006. Lebih khusus lagi, pertumbuhan perdagangan intrarantau Asia Timur 9 (East Asia-9, EA-9) adalah lebih tinggi pada 17% berbanding dengan jumlah perdagangan serantau (15%) dan perdagangan dunia (12%) bagi tempoh 1999-2008. Walaupun bahagian perdagangan EA-9 dengan AS kepada jumlah keseluruhan perdagangan rantau ini telah menurun daripada 17% pada tahun 1990 kepada 11% pada tahun 2008, perdagangan intrarantau telah meningkat daripada 28% kepada 39% pada tempoh yang sama. Secara keseluruhan, jumlah perdagangan intrarantau di Asia Tenggara dan Asia Timur adalah sama jumlahnya seperti perdagangan intrarantau di Eropah dan Amerika Utara, jumlah yang jauh lebih besar berbanding dengan kedua-dua rantau tersebut, pada permulaan usaha pengintegrasian mereka. Perkembangan ini mencerminkan pengukuhan hubungan perdagangan dan pelaburan yang lebih meluas antara rantau Asia.

Yang lebih ketara dalam dekad kebelakangan ini ialah usaha serantau yang menjangkau bidang perdagangan dan pelaburan, iaitu ke arah kerjasama kewangan yang lebih kukuh. Kepentingan kerjasama kewangan serantau telah diakui, bukan hanya untuk menyediakan platform bagi pembangunan serantau melalui penyaluran sebahagian daripada tabungan yang tinggi di Asia untuk dilaburkan di Asia, tetapi juga sebagai pelindung daripada ketidaktentuan pasaran global. Usaha yang meluas kini telah dilaksanakan dalam bidang pengawasan, pengaturan sokongan mudah tunai, rangka kerja pengurusan krisis, pembangunan pasaran kewangan dan infrastruktur kewangan lain, liberalisasi akaun modal, liberalisasi perkhidmatan kewangan, pembangunan sistem pembayaran dan penyelesaian serantau, serta latihan dan bina upaya.

Secara am, pengawasan ekonomi dan kewangan yang bertujuan untuk mengenal pasti sumber-sumber risiko dan kelemahan serantau telah dilakukan untuk meningkatkan kewaspadaan sebagai usaha pencegahan terhadap kemungkinan berlakunya krisis kewangan dan membolehkan tindakan pembetulan yang segera. Beberapa forum, termasuk Mesyuarat Eksekutif Bank-bank Pusat Asia Timur dan Pasifik (EMEAP), ASEAN dan ASEAN +3, telah membincangkan isu-isu ini. Rangka kerja untuk membendung, mengurus dan menyelesaikan krisis serantau secara bersepadu juga telah dilaksanakan. Rangka kerja ini juga telah dilengkapkan dengan pengaturan sokongan bersama dan mekanisme sokongan mudah tunai, seperti Inisiatif Chiang Mai (CMI) yang dilancarkan pada tahun 2000. CMI, yang terdiri daripada Pengaturan Swap ASEAN dan rangkaian pengaturan swap dua hala antara negara ASEAN +3, bertujuan untuk menyediakan sumber kewangan yang diperlukan tepat pada masanya kepada anggota yang menghadapi masalah sementara dalam imbangan pembayaran dan mudah tunai jangka pendek. Pada tahun 2005, telah dipersetujui semua komponen utama pengaturan, CMI akan berasaskan pengaturan pelbagai hala dan terkini pada tahun 2009, jumlah kemudahan ini telah ditingkatkan kepada USD120 bilion.

Usaha yang meluas juga telah dilakukan dalam pembangunan pasaran kewangan serantau, terutamanya untuk menjadikan pasaran bon sekunder yang lebih kukuh dan lebih cair. Dari segi penawaran, Inisiatif Pasaran Bon Asia (Asian Bond Market Initiatives, ABMI) bertujuan untuk membangunkan pasaran modal yang lebih kukuh dan lebih cair, yang memudahkan penyaluran tabungan yang besar di rantau ini untuk membiayai pelaburan yang produktif, dan seterusnya menyokong pembangunan ekonomi serantau yang berterusan. Penubuhan Mekanisme Jaminan Kredit dan Pelaburan oleh ASEAN +3 untuk menyokong terbitan bon-bon korporat dalam denominasi mata wang tempatan, dengan modal permulaan sebanyak USD500 juta, telah diumumkan baru-baru ini. Sementara itu, inisiatif Dana Bon Asia (Asian Bond Fund, ABF) memberikan tumpuan pada usaha menangani isu-isu berasaskan permintaan dengan memperluas dan memperkukuh pasaran bon domestik dan serantau melalui pengumpulan rizab untuk dilaburkan ke dalam pasaran bon serantau. Dua dana, berjumlah USD3 bilion, telah ditubuhkan untuk menjadi pemangkin kepada pengembangan pasaran.

Integrasi kewangan serantau bertambah pesat pada dekad ini. Sistem kewangan yang lebih pelbagai, di samping infrastruktur kewangan yang kukuh dan liberalisasi akaun modal telah menyebabkan pelaburan portfolio intrarantau, dalam kedua-dua hutang dan ekuiti, sebagai bahagian daripada jumlah pelaburan portfolio meningkat kepada 24% pada tahun 2007 daripada 15% pada tahun 2001. Penggabungan dan pengambilalihan (M & A) juga telah berkembang, dengan sumbangan M & A intrarantau kepada jumlah keseluruhan M & A di rantau ini meningkat kepada 47% pada tahun 2006 daripada 32% pada tahun 2004. Sebahagian besar pelaburan intrarantau ini adalah dalam sektor perkhidmatan, seperti perkhidmatan kewangan dan harta tanah. Namun, meskipun banyak kemajuan dicapai dalam integrasi kewangan di Asia, ia masih rendah berbanding dengan Kesatuan Eropah-16 (2007: menyumbang sebanyak 56% daripada jumlah pelaburan portfolio).

ASIA MELANGKAH KE HADAPAN

Krisis global semasa, yang dianggap sebagai krisis yang paling teruk dalam tempoh pasca-Perang Dunia Kedua, mendedahkan kelemahan dalam sistem global pada ketika ini. Bagi tempoh selepas krisis, landskap ekonomi dan kewangan global dijangka akan berubah dengan ketara. Walaupun tanda-tanda penstabilan kini dapat dilihat, prospek pemulihan dalam ekonomi negara maju dijangka berlaku secara beransur-ansur. Pendapat umum meramalkan ekonomi-ekonomi Asia yang sedang pesat membangun, khususnya RR China dan India, akan menerajui pemulihan ekonomi global pada masa akan datang. Beberapa faktor struktural akan menyokong pertumbuhan di Asia, termasuk reformasi untuk meningkatkan pertumbuhan dan integrasi serantau yang lebih meluas yang telah dilaksanakan sedekad yang lalu. Di samping itu, sistem kewangan Asia yang secara relatifnya lebih kukuh dan berdaya tahan, dan tidak terjejas oleh krisis kewangan global semasa, berada dalam kedudukan yang baik untuk menyediakan pembiayaan bagi menyokong aktiviti ekonomi dalam negeri. Sesungguhnya, trend ini akan mempercepat pembentukan landskap global yang lebih pelbagai pada masa hadapan.

Untuk kemajuan dan pembangunan yang berterusan, strategi untuk rantau Asia ialah penyesuaian mengikut perubahan landskap; memanfaatkan kekuatan serantau dan mengatasi kelemahan semasa serta risiko masa hadapan. Dua prinsip utama telah menyumbang kepada kejayaan Asia pada masa lalu, iaitu integrasi ekonomi serantau dan global dan pembangunan yang inklusif. Asia sentiasa mengamalkan dasar ekonomi yang terbuka. Walaupun integrasi yang lebih meluas melangkaui sempadan negara akan diteruskan, corak integrasi akan berubah. Integrasi ini akan menjadi semakin pelbagai antara ekonomi sedang pesat membangun, khususnya di Asia. Bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan, integrasi juga perlu mengambil kira pembangunan yang inklusif.

Tiga Strategi Utama untuk Asia

Melangkah ke hadapan, terdapat tiga bidang yang sangat kritikal bagi Asia. Krisis semasa menunjukkan kesan kebergantungan Asia terhadap perdagangan dan permintaan akhir daripada ekonomi-ekonomi maju. Walaupun permintaan dalam negeri dan perdagangan intrarantau telah mula meningkat, namun, hubungan perdagangan antara rantau ini dengan komuniti global masih erat. Prestasi eksport Asia yang teruk terjejas menyebabkan ekonomi yang lebih terbuka di rantau ini dilanda kemelesetan, sementara ekonomi Asia yang lainnya mengalami pertumbuhan ekonomi yang perlahan. Kemerosotan dalam perdagangan dunia adalah sejajar dengan pengurangan permintaan akhir daripada ekonomi negara maju. Dasar yang berorientasikan pandangan ke luar di seluruh Asia dan pengantarabangsaan serta integrasi menegak rantaian penawaran sektor perkilangan telah meningkatkan magnitud dan menambah kecepatan penguncupan perdagangan Asia. Oleh itu, strategi penting untuk Asia pada masa hadapan ialah meningkatkan keseimbangan strategi pembangunan yang berorientasikan pandangan ke luar dengan usaha untuk menggalakkan peranan permintaan dalam negeri yang lebih besar. Pempelbagaian ekonomi ini akan memperkukuh daya tahan dalam menghadapi kejutan luaran dan akan meningkatkan keseluruhan prospek pertumbuhan di Asia.

Melangkah ke hadapan, beberapa prasyarat untuk menyokong permintaan dalam negeri Asia telah pun diwujudkan. Yang pertama ialah struktur demografi yang bersesuaian, tahap pendapatan yang cepat meningkat, kekayaan yang makin meluas dan golongan menengah yang kian bertambah di sebahagian besar ekonomi Asia. RR China dan India dianggarkan mempunyai pasaran golongan menengah dalam negeri yang besar dan makin berkembang - iaitu kira-kira USD1 trilion setahun di RR China dan USD250 bilion setahun di India. Trend ini dijangka berterusan memandangkan bilangan penduduk muda yang makin meningkat di Asia dengan corak perbelanjaan yang baharu, sekali gus mendorong kebangkitan sektor runcit moden merentas rantau. Di RR China, bahagian perdagangan runcit yang terancang kepada jumlah keseluruhan perdagangan runcit telah meningkat daripada 5% pada sedekad yang lalu kepada kira-kira 17%, manakala di India, pertumbuhan pasaran runcit adalah sebanyak 7% setahun. Faktor kedua ialah kedudukan kewangan isi rumah di Asia yang secara relatifnya kukuh, dengan kadar tabungan yang melebihi 30% daripada KNK di kebanyakan ekonomi serta tahap hutang yang secara relatif rendah, dengan itu mempunyai potensi untuk mengekalkan penggunaan yang meningkat. Ini didorong oleh keupayaan sektor kewangan untuk menyediakan pembiayaan bagi menyokong penggunaan. Dalam hal ini, Malaysia menjadi sebuah negara contoh, dengan hutang isi rumah pada 66.8% daripada KDNK pada akhir bulan Julai 2009, manakala pertumbuhan kredit sektor isi rumah terus meningkat dalam dekad mutakhir ini. Yang ketara ialah kadar pinjaman tak berbayar, iaitu ukuran kualiti aset terus rendah.

Strategi kedua ialah pempelbagaian selanjutnya pasaran luaran, khususnya, untuk mempercepat usaha menggalakkan hubungan perdagangan serantau yang lebih luas untuk Asia.Strategi ini juga akan mengubah komposisi perdagangan intrarantau daripada penggunaan input pengantara untuk mengeluarkan barangan permintaan akhir kepada pasaran tradisional, kepada komposisi yang lebih seimbang dengan peningkatan bahagian pengeluaran bagi memenuhi permintaan akhir di Asia. Pertama, apabila ekonomi sedang pesat membangun, khususnya Asia, telah menjadi pusat pertumbuhan yang penting, maka destinasi eksport ke pasaran Asia secara kumulatif akan berkembang pada masa hadapan. Golongan menengah Asia yang bertambah dengan cepat akan meningkatkan permintaan terhadap barangan dan perkhidmatan akhir. Kedua, Asia dapat memanfaatkan kepelbagaiannya sebagai sumber pelengkap ekonomi. ?Flying Geese Model' menggambarkan bagaimana Asia telah, pada masa lalu, memanfaatkan pempelbagaiannya. Melangkah ke hadapan, penekanan yang sama boleh disesuaikan melalui pengeluaran barangan yang bukan semata-mata untuk permintaan akhir di luar Asia.

Integrasi kewangan sebagai strategi ketiga

Strategi ketiga ialah menggalakkan integrasi kewangan yang lebih mendalam. Perkara ini penting untuk kemajuan seterusnya dalam pembangunan ekonomi serantau. Integrasi kewangan umumnya berkaitan dengan mobiliti modal dan merujuk kepada sejauh mana suatu sistem kewangan dalam ekonomi saling berhubung dengan pasaran kewangan lain. Sistem kewangan yang bersepadu sepenuhnya merupakan satu sistem yang bakal peserta pasarannya dalam kedua-dua sektor perbankan dan pasaran kewangan menerima pakai satu set peraturan yang seragam, mempunyai akses yang sama dan dilayan sama rata. Ini akan dicerminkan melalui pertumpuan antarabangsa dalam harga produk dan aset kewangan, dengan kos urus niaga yang rendah, yang menggalakkan institusi, penerbit dan pelabur untuk bukan sahaja menyertai pasaran dalam negeri malah meneroka ke pasaran luar negeri. Pada dasarnya, matlamat akhir integrasi kewangan adalah untuk mewujudkan aliran kewangan dan modal yang bebas, sebanding dengan integrasi perdagangan yang bertujuan untuk mobiliti tanpa sekatan bagi barangan dan perkhidmatan. Integrasi kewangan yang lebih mendalam akan terus meningkatkan daya saing dan kedinamikan Asia.

Secara amnya, integrasi kewangan yang lebih meluas akan menghasilkan tiga manfaat utama. Pertama, integrasi kewangan menggalakkan persaingan yang lebih sengit dan ekonomi ikut bidangan dalam sistem kewangan, sekali gus meningkatkan kecekapan dalam pengagihan modal dalam rantau dan dengan itu meningkatkan keupayaan sistem kewangan untuk memenuhi permintaan pelabur yang semakin bertambah serta berbeza. Sementara pasaran kewangan Asia secara individu adalah kecil dan tidak bersepadu, pasaran yang bersepadu akan meningkatkan daya tarikan Asia terhadap pelabur serantau dan global. Kedua, integrasi kewangan akan memudahkan pemindahan dana yang berlebihan dengan lebih efisien untuk dilaburkan di rantau ini, dengan kos pengantaraan yang lebih rendah serta memberikan pulangan yang lebih optimum. Melalui peluang yang lebih besar untuk perkongsian risiko dan pempelbagaian merentas kawasan geografi yang lebih luas, kejutan-kejutan yang khusus bagi sesebuah negara dan kelemahan kewangan akan dikurangkan. Ini menyumbang kepada peningkatan kestabilan kewangan di rantau ini. Ketiga, integrasi kewangan membolehkan negara-negara berkembang berdasarkan saling melengkapi antara negara. Secara individu, sistem kewangan yang berlainan boleh memanfaatkan kelebihan berbanding pelbagai pasaran yang ada di rantau ini. Oleh itu, dengan integrasi yang lebih meluas, negara-negara di rantau Asia dapat memperluas produk dan perkhidmatan kewangan mereka.

Pada peringkat ini, integrasi kewangan serantau sangat penting kepada pembangunan ekonomi Asia. Sesungguhnya, pasaran kewangan yang lebih bersepadu di rantau ini akan memacu Asia ke tahap pembangunan ekonomi yang lebih tinggi. Pertama, meskipun kebanyakan ekonomi Asia mempunyai lebihan dana yang besar, terdapat juga banyak keperluan pembangunan ekonomi di Asia, yang merangkumi pembangunan infrastruktur yang lebih maju termasuk pengangkutan, penjagaan kesihatan dan pendidikan, memerlukan pembiayaan yang besar. Namun, keperluan pembiayaan yang tidak sepadan merupakan suatu perkara yang selalu berlaku. Dalam hal ini, sistem kewangan serantau yang lebih bersepadu akan membolehkan pemadanan yang lebih baik antara tabungan dengan pelaburan di rantau ini, sekali gus membolehkan penyaluran tabungan yang tinggi di Asia untuk kegunaan yang produktif dalam rantau bagi menyokong pertumbuhan dan pembangunan di rantau ini.

Kedua, sektor perdagangan yang besar dan berkembang di Asia menyediakan pasaran yang lebih luas untuk perkhidmatan kewangan. Kemudahan untuk memperoleh akses kepada kredit melalui integrasi kewangan, pengkhususan dan manfaat ekonomi ikut bidangan akan menyokong aktiviti perdagangan dan pelaburan yang kian meningkat. Selain itu, pembangunan pasaran modal serantau dalam hutang dan ekuiti memberikan peluang yang lebih besar bagi syarikat-syarikat untuk memperoleh modal yang diperlukan untuk pengembangan industri pada masa hadapan. Lebih penting lagi, penghasilan barangan dan perkhidmatan dengan nilai ditambah yang lebih tinggi memerlukan lebih banyak kredit bagi memperoleh kelengkapan dan teknologi pengeluaran yang lebih canggih. Oleh itu, peranan kewangan luaran menjadi semakin penting untuk memudahkan perdagangan dan pelaburan serantau ketika ekonomi sedang menuju ke arah tahap pembangunan yang lebih tinggi. Dengan itu, integrasi kewangan serantau yang lebih mendalam akan memudahkan trend perdagangan dan pelaburan intrarantau yang makin berkembang di Asia. Ketiga, Asia didiami oleh lebih separuh daripada penduduk dunia, dengan golongan menengah dan penduduk muda yang kian bertambah di rantau ini. Ini mewakili pasaran yang amat berpotensi bagi produk dan perkhidmatan kewangan. Kadar tabungan yang tinggi juga menandakan terdapat jumlah pelabur tempatan yang besar.

Walaupun kerjasama serantau yang meluas telah dimulakan dan dilaksanakan melalui liberalisasi sistem kewangan Asia dan dalam pembangunan infrastruktur kewangan, masih ada beberapa bidang yang memerlukan usaha untuk mengukuhkan lagi integrasi kewangan di Asia. Empat bidang yang penting itu termasuklah liberalisasi sektor kewangan, liberalisasi akaun modal, sistem pembayaran dan penyelesaian serantau dan kerjasama dalam kalangan pengawal selia dan bank pusat. Keutamaan-keutamaan ini, bagaimanapun, perlu mengambil kira pempelbagaian dalam ekonomi-ekonomi di rantau Asia, dari segi tahap perkembangan kedua-dua sistem kewangan dan ekonomi yang lebih meluas. Oleh itu, reformasi perlu disusun atur dan disejajarkan kepada kepelbagaian dalam ekonomi tersebut.

Pertama ialah liberalisasi yang selanjutnya dalam perkhidmatan kewangan bagi membolehkan penyertaan yang lebih nyata institusi-institusi serantau dalam pasaran domestik masing-masing, yang akan memudahkan lagi aliran perdagangan dan pelaburan di rantau ini. Selain komitmen dalam Perjanjian Am Mengenai Perdagangan dan Perkhidmatan (General Agreement on Trade in Services, GATS), had-had lesen, rangkaian cawangan, bahagian pemilikan saham dan hak mengundi masih kekal dalam sebahagian besar sektor kewangan Asia pada masa ini. Penghapusan sekatan-sekatan ini secara beransur-ansur untuk menarik penyertaan institusi kewangan dan pelabur Asia yang lebih besar dalam ekonomi masing-masing, akan mempermudah proses integrasi.

Kedua, dasar meliberalkan akaun modal dalam imbangan pembayaran secara berperingkat akan memudahkan lebih banyak pelaburan merentas sempadan dan aliran modal. Ini membolehkan syarikat-syarikat dan para pelabur memanfaatkan pasaran kewangan di rantau ini bagi mencari kos yang terendah dan pulangan terlaras risiko yang tertinggi. Tidak kurang penting ialah perlindungan kehematan yang bersesuaian bagi menguruskan aliran jangka pendek dan supaya proses liberalisasi disusun atur dengan wajar dan berdasarkan sistem kewangan domestik yang berfungsi dan dikawal selia dengan baik serta mencapai tahap kemajuan yang berpatutan.

Ketiga, oleh sebab sistem pembayaran dan penyelesaian di sebahagian besar pasaran Asia secara relatifnya maju, peningkatan hubungan dalam sistem pembayaran antara negara akan meningkatkan kecekapan dan mengurangkan kos urus niaga kewangan di rantau ini. Beberapa usaha serantau telah dimulakan. Kumpulan Kerja bagi Sistem Pembayaran dan Penyelesaian (Working Group on Payment and Settlement Systems (WGPSS) - Pasukan Petugas bersama Kumpulan Kerja bagi Pasaran kewangan (Working Group on Financial Markets, WGFM) Mesyuarat Eksekutif Bank-Bank Pusat Asia Timur dan Pasifik (Executives' Meeting of the East Asia and Pacific Central Banks EMEAP) telah memulakan inisiatif pengaturan bercagar merentas rantau untuk menyokong dan meningkatkan pengurusan mudah tunai institusi kewangan rantau ini yang aktif di peringkat antarabangsa. Kedua, Inisiatif AseanPay pada tahun 2004 telah mendorong hubungan rangkaian ATM merentas rantau, yang membolehkan pengeluaran wang tunai yang lebih mudah untuk menyokong aktiviti pelancongan Asia yang makin meningkat. Dengan penyertaan yang meluas oleh institusi perbankan dari Malaysia, Indonesia, Thailand dan Singapura, infrastruktur tersebut boleh digunakan bagi mempertingkatkan kecekapan dan keberkesanan kos pembayaran dan penghantaran semula wang melalui kad elektronik intrarantau. Sistem Penyelesaian Kasar Masa Nyata (Real Time Gross Settlement, RTGS) Bank Negara Malaysia (RENTAS) dan Hong Kong Monetary Authority telah dihubungkan untuk mempermudah cara pembayaran yang lebih cepat dan efisien. Perhubungan yang seterusnya juga boleh dilakukan antara masyarakat Asia yang lebih meluas dengan menghubungkan lebih banyak sistem RTGS, sekali gus mempermudah cara pembayaran yang lebih cepat dan efisien.

Keempat, meskipun integrasi kewangan yang lebih meluas memberikan banyak manfaat, risiko yang berkaitan dengannya perlu dijangka dan dikawal. Dalam hal ini, kerjasama antara pengawal selia kewangan dengan bank pusat serantau perlu diperkukuh. Mekanisme kerjasama dan kolaborasi yang menyeluruh telah pun dilaksanakan. Lebih khusus lagi, telah ada peningkatan dalam pengawasan serantau yang memudahkan pengesanan awal kemunculan risiko dan potensi penularan di peringkat rantau. Selain itu, pengaturan keinstitusian dan rangka kerja untuk membendung, mengurus dan menyelesaikan krisis kewangan kini sedang diwujudkan. Ini telah diperkukuh dengan pembangunan infrastruktur dalam bidang pasaran kewangan, sistem pembayaran, dan rangka kerja pengawalseliaan. Dengan kemajuan besar yang sudah tercapai, cabaran utama Asia adalah untuk memperkukuh momentum yang positif ini dengan memperhebat kerjasama dan kolaborasi. Untuk beberapa tahun yang akan datang, tumpuan akan diberikan pada pelaksanaan syor-syor yang selanjutnya yang terkandung dalam rangka tindakan yang dihasilkan pada tahun 2006, yang telah menggariskan hala tuju strategik kerjasama serantau. Ini merangkumi pembangunan pasaran pertukaran asing yang teguh dan cekap, pasaran bon sekunder yang lebih mendalam dan cair, pengukuhan berterusan pengaturan sokongan bersama dan mekanisme sokongan mudah tunai untuk menghadapi krisis, serta peningkatan kapasiti dan keupayaan dalam pengurusan rizab dan pembinaan kapasiti secara keseluruhan. Pengaturan keinstitusian yang kini diwujudkan untuk menangani tekanan dan krisis kewangan perlu dilengkapkan dengan pengaturan dan rangka kerja kolaboratif untuk mengatasi krisis ekonomi di dalam dan di luar rantau ini. Kekukuhan dan kepentingan kesalinghubungan ekonomi dan perdagangan di Asia yang kian meningkat akan menjadi asas untuk memelihara kestabilan ekonomi makro, kewangan dan sosial di rantau ini.

Integrasi kewangan yang lebih kukuh di Asia juga akan mempermudah usaha untuk memajukan kedudukan strategik rantau ini dalam landskap kewangan global. Selain itu, Asia kini mempunyai suara dalam menentukan hala tuju reformasi kewangan antarabangsa dan menetapkan piawaian antarabangsa. Ini merupakan perkembangan positif dan membuka peluang untuk kepentingan negara-negara yang sedang pesat membangun, khususnya di Asia, mencapai lebih banyak penyelesaian yang seimbang dan komprehensif yang akan memperkukuh kestabilan kewangan global. Keanggotaan Asia yang bertambah dalam institusi kewangan antarabangsa akan membuka peluang bagi proses yang lebih inklusif dalam menetapkan piawaian antarabangsa dan membuat keputusan. Bagi menyokong proses ini, peranan platform kolaborasi Asia yang sedia ada telah diperkukuh bagi memantapkan kedudukan Asia untuk memberi tindak balas terhadap isu-isu global yang mencerminkan keprihatinan dan perspektif Asia.

KESIMPULAN

Dalam tempoh masa yang singkat, iaitu hanya lima puluh tahun, Asia, yang begitu luas kepelbagaiannya dengan penduduk, etnik, struktur sosial dan rejim politik, telah mencapai kemajuan yang luar biasa di seluruh rantau. Walaupun menghadapi cabaran yang besar dan berbeza daripada proses urbanisasi dan ketidakseimbangan pendapatan yang makin meningkat hinggalah kepada krisis ekonomi dan ketidakstabilan sosial, Asia telah berkali-kali bangkit semula dan terus mencapai kemajuan ekonomi. ?Keajaiban Asia' ini tidak dicapai secara kebetulan, tetapi dengan dasar-dasar yang pragmatis, memastikan asas-asas ekonomi yang kukuh dan institusi-institusi yang teguh.

Hari ini, anjakan global yang tercetus oleh krisis ekonomi dan kewangan global yang buruk telah mengakibatkan semakin meningkatnya pembentukan dunia yang pelbagai polarnya. Dalam fasa baharu globalisasi ini, pemusatan kuasa ekonomi dalam ekonomi global akan menjadi lebih luas. Asia akan menjadi sebahagian dari masa hadapan yang bakal muncul ini. Dengan pertumbuhan ekonomi negara maju dijangka terus perlahan dan dengan ekonomi sedang pesat membangun memainkan peranan yang lebih penting sebagai pusat pertumbuhan dalam ekonomi global, Asia perlu mengkaji semula dan sewajarnya mengubah pembangunan yang sedia dalam persekitaran yang baharu ini. Yang ketara, pengukuhan ekonomi dalam negeri di Asia telah disokong oleh institusi-institusi yang bersesuaian, pasaran kewangan yang terus maju dan integrasi kewangan serantau yang lebih meluas, yang diperkuat oleh kerjasama serantau secara keseluruhan. Dengan trend ini kian ketara, ia tidak sahaja akan menyumbang dalam menyerlahkan potensi Asia sepenuhnya, tetapi juga akan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi global yang lebih seimbang.


Bank Negara Malaysia
19 Oktober 2009

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?