Ucapan oleh Gabenor pada Majlis Jamuan Makan Malam Mesyuarat Peringkat Tinggi FSI-EMEAP: "Penyeliaan dan Perbankan yang Lebih Baik pada Era Pascakrisis"
Mandarin Oriental, Kuala Lumpur | 16 Januari 2011
Saya berbesar hati untuk mengalu-alukan kedatangan para hadirin sekalian ke Mesyuarat Peringkat Tinggi Institut Kestabilan Kewangan (Financial Stability Institute, FSI) Mesyuarat Eksekutif Bank-bank Pusat Asia Timur dan Pasifik (EMEAP) bagi Penyelia-penyelia Perbankan. Bank Negara Malaysia bangga menjadi tuan rumah pada mesyuarat kali ini kerana dapat mempertemukan para pegawai kanan daripada kalangan pengawal selia serta kepimpinan industri perbankan dari rantau Asia untuk berbincang tentang Penyeliaan dan Perbankan dalam era pascakrisis.
Kita kini berada dalam era perubahan yang besar dan penting bagi industri, para pengawal selia dan penyelia. Pakej reformasi akhir yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Basel pada bulan Disember 2010 menandakan selesainya satu pencapaian penting dalam proses reformasi kewangan antarabangsa yang bermula selepas tercetusnya krisis kewangan global. Proses ini adalah rumit, membabitkan dialog berbilang hala yang kerap, baik di peringkat antarabangsa mahupun serantau. Namun begitu, usaha ke arah membangunkan sistem kewangan antarabangsa yang lebih berdaya tahan masih lagi pada peringkat awal.
Bagi pakej reformasi yang telah dikeluarkan oleh Jawatankuasa Basel ini, fasa pelaksanaan yang berikutnya juga tidak kurang dari segi cabarannya. Malahan telah wujud banyak jangkaan tentang bagaimana piawaian baharu ini akan dilaksanakan secara berperingkat, dan impaknya terhadap landskap sektor kewangan. Yang penting adalah untuk memastikan bahawa pelaksanaan reformasi kawal selia ini tidak mengganggu proses pemulihan ekonomi yang sedang berlaku. Selain itu, meskipun persetujuan penting telah dicapai tentang komponen utama berkaitan modal dan mudah tunai, sebahagian besar daripada beberapa bidang penting lain masih lagi sedang dalam proses untuk dilaksanakan. Berlatarkan keadaan ini, para penggubal dasar dan industri kewangan perlu terus mengadakan dialog yang terbuka dan konstruktif mengenai perkembangan yang mempengaruhi industri, khususnya, untuk mengelakkan kesan yang tidak diingini ekoran reformasi ini.
Prospek Ekonomi
Kini, Malaysia sedang memasuki tahun kedua dalam pemulihan global. Pemulihan semula dalam ekonomi global pada tahun 2010 sebahagian besarnya telah dipacu oleh prestasi luar biasa dari ekonomi sedang pesat membangun, khususnya di rantau Asia. Pertumbuhan dijangka terus kukuh pada tahun ini walaupun pada kadar yang lebih sederhana berbanding dengan tahun 2010. Meskipun dalam keadaan prospek pertumbuhan yang menggalakkan, Asia perlu menguruskan kesan perkembangan antarabangsa memandangkan tahap ekonomi dan kewangannya yang sangat terbuka. Perhatian dunia pada masa ini tertumpu pada keadaan fiskal beberapa ekonomi maju, kemajuan dalam reformasi kewangan dan langkah monetari dan kewangan yang sedang dilaksanakan dalam ekonomi-ekonomi yang dilanda krisis. Cabaran utama bagi ekonomi sedang pesat membangun pada tahun 2011 sebahagian besarnya adalah untuk menguruskan aliran modal yang sangat tidak menentu. Pertumbuhan yang kukuh di Asia telah dan akan terus menarik mudah tunai global secara besar-besaran dalam bentuk aliran masuk modal ke dalam rantau tersebut. Keadaan ini menuntut pihak penggubal dasar di rantau ini agar lebih berwaspada. Beberapa ekonomi serantau telah melaksanakan langkah-langkah kehematan makro untuk memelihara kestabilan makroekonomi dan kewangan.
Dalam keadaan ketidaktentuan yang berterusan, Asia dijangka terus memacu pertumbuhan global, disokong oleh asas makroekonomi yang kukuh dan sistem kewangan yang teguh. Aktiviti ekonomi sektor swasta yang giat semula telah menjadi faktor penting dalam mengekalkan prospek pertumbuhan yang kukuh di Asia. Bagi ekonomi dalam negeri, ekonomi Malaysia dijangka mencatat pertumbuhan pada sekitar 7% bagi tahun 2010. Meskipun sektor luaran mungkin terjejas oleh pertumbuhan global yang lebih perlahan, momentum pertumbuhan permintaan dalam negeri diunjurkan terus mampan pada tahun 2011, disokong oleh peningkatan kukuh yang berterusan dalam aktiviti sektor swasta. Faktor yang amat menggalakkan ialah pelaburan swasta dijangka bertambah kukuh dan menjadi penyumbang penting kepada pertumbuhan.
Mencapai objektif kestabilan kewangan
Saya akan menyentuh pula tentang usaha-usaha untuk mencapai kestabilan kewangan yang lebih menyeluruh. Meskipun masih banyak usaha yang perlu dilaksanakan pada peringkat antarabangsa, keutamaan dalam jangka terdekat adalah untuk melaksanakan pendekatan yang berkesan dan lebih bersepadu dalam pelaksanaan reformasi kewangan yang telah diumumkan. Hal ini penting memandangkan kesalinghubungan yang lebih meluas dalam ekonomi global. Walaupun hasil kajian impak kuantitatif telah meramalkan bahawa keuntungan jangka panjang daripada langkah-langkah tersebut akan mengatasi kos jangka pendek yang timbul hasil daripada pelarasan ini, pengalaman sebenar akan berbeza-beza merentas pelbagai negara.
Meskipun setiap negara akan berdepan dengan cabaran khusus dalam pelaksanaan yang mungkin timbul daripada perbezaan dalam struktur ekonomi dan pasaran, namun terdapat juga banyak persamaan, khususnya dalam kalangan ekonomi sedang pesat membangun yang boleh dikongsi antara negara. Tempoh pemerhatian yang diperuntukkan oleh Jawatankuasa Basel bagi beberapa komponen daripada pakej reformasi adalah dialu-alukan. Ini akan membolehkan negara-negara mempertimbangkan tindakan yang sewajarnya untuk menyokong pelaksanaan yang berkesan reformasi tersebut. Pada masa yang sama, terdapat jangkaan bahawa akan ada kesediaan dalam kalangan komuniti penentu piawaian antarabangsa untuk mengubah suai atau melengkapkan preskripsi yang sedia ada, rangka kerja atau strategi pelaksanaan berikutan lebih banyak pengalaman yang diperoleh dalam keadaan pasaran yang berubah-ubah. Pelaksanaan yang berkesan juga akan memerlukan sokongan untuk melaksanakan reformasi, khususnya dalam bidang pembangunan keupayaan, terutamanya dalam ekonomi sedang pesat membangun dan sedang membangun. Saluran komunikasi yang inklusif dengan pasaran dan proses perundingan global yang inklusif akan membolehkan negara memperoleh manfaat daripada pengalaman pihak lain dan, yang lebih penting, mempermudah tindak balas dasar yang lebih bersepadu dan seterusnya menyokong penyesuaian yang teratur terhadap piawaian baharu tersebut.
Meskipun perkembangan dasar kestabilan kewangan dalam tempoh dua tahun lalu menyaksikan mandat yang lebih jelas telah diperuntukkan bagi pihak berkuasa kawal selia, rangka kerja bagi kestabilan kewangan pada peringkat negara mahupun antarabangsa terus menjadi bahan perbincangan yang hangat. Tumpuan adalah pada keberkesanan instrumen dasar yang diperlukan untuk memelihara kestabilan kewangan, struktur dan reka bentuk rangka kerja untuk membuat keputusan dan pengaturan keinstitusian serta kebertanggungjawaban berhubung dengan dasar kestabilan kewangan. Satu bahagian penting daripada perkara ini ialah, dengan adanya kebertanggungjawaban, terdapat keperluan untuk mempunyai pelbagai rangkaian instrumen yang luas dan ruang dasar dan fleksibiliti untuk mencapai matlamat dasar kestabilan kewangan yang khusus. Selain itu, bagi kebanyakan ekonomi sedang pesat membangun, mandat yang penting adalah untuk turut membangunkan sistem kewangan. Bagi sebahagian besar Bank Pusat dalam ekonomi sedang pesat membangun, peranan pembangunan ini merupakan bahagian yang penting untuk memelihara pembangunan yang teratur bagi sistem kewangan dan seterusnya kestabilan kewangan dalam jangka masa panjang.
Memperhebat penyeliaan dan memperkukuh tadbir urus
Krisis kewangan global juga telah menggalakkan pembaharuan dan pengukuhan berterusan dalam pendekatan penyeliaan, manakala usaha dilipatgandakan untuk memperdalam kerjasama penyeliaan merentas sempadan. Ini mencerminkan bahawa institusi kewangan yang aktif pada peringkat antarabangsa dan serantau menjadi semakin penting. Walaupun pendekatan penyeliaan berasaskan risiko sudah diterima pakai oleh banyak negara dan menyediakan rangka kerja bagi penilaian risiko yang lebih baik dengan pertimbangan penyeliaan yang lebih tepat, kaedah yang digunakan untuk menentukan kekerapan penyeliaan mungkin memerlukan penilaian semula secara berkala memandangkan tahap inovasi kewangan yang berterusan dan keadaan pasaran yang berubah-ubah.
Memandangkan lebih banyak negara mengambil langkah untuk menerima pakai pendekatan kawal selia yang lebih berdasarkan prinsip atau berdasarkan pencapaian, usaha untuk memastikan penyeliaan yang rapi dan wajar akan menjadi semakin penting bagi memastikan pengambilan risiko yang berhemat dalam sistem kewangan. Walaupun pematuhan akan kekal penting, ciri-ciri dan kemantapan hubungan penyeliaan dengan institusi kewangan kini memperlihatkan kecenderungan yang lebih nyata untuk berinteraksi secara lebih terbuka dan melalui komitmen yang membolehkan penyelia dan institusi kewangan memberikan pemahaman yang lebih lengkap mengenai risiko yang dihadapi oleh institusi dan industri secara keseluruhan. Hal ini juga menyokong usaha-usaha pada masa ini untuk mengukuhkan orientasi kehematan makro terhadap pengurusan risiko, baik pada peringkat sistem mahupun pada peringkat institusi apabila penilaian risiko keinstitusian ini dilengkapi dengan pertimbangan pembangunan makroekonomi dan kelakuan pasaran secara menyeluruh yang boleh memberikan impak yang nyata terhadap kestabilan kewangan.
Langkah-langkah reformasi untuk meningkatkan daya tahan institusi kewangan dan keupayaan penyeliaan dalam mengenal pasti dan menilai risiko pada peringkat makro juga diperkukuh dengan usaha untuk memantapkan kewibawaan lembaga pengarah dan pengurusan kanan dalam institusi kewangan. Di Malaysia, komitmen untuk meningkatkan prestasi lembaga pengarah institusi kewangan tidak hanya dengan mengeluarkan panduan penyeliaan, tetapi juga dengan pengenalan Program Pendidikan untuk Pengarah yang disusun rapi, yang dilancarkan pada tahun 2008. Mulai awal tahun ini, program ini terbuka kepada lembaga pengarah institusi kewangan dari luar Malaysia. Daripada banyak pengajaran yang diperoleh daripada krisis kewangan Asia dan krisis kewangan global, usaha memupuk budaya risiko dan tenaga kerja beretika yang mantap dalam industri kewangan adalah amat penting dalam usaha untuk menggalakkan kestabilan kewangan dan keperluan ini harus bermula dengan lembaga pengarah dan pengurusan institusi kewangan.
Berikutan tercetusnya krisis kewangan ini, tuntutan yang lebih tinggi diletakkan ke atas lembaga pengarah dan pengurusan kanan untuk menunjukkan kepimpinan dan pengawasan yang lebih berkesan. Di sesetengah negara, tuntutan ini telah direalisasikan melalui pendekatan campur tangan dalam pelantikan pengarah dan kakitangan utama dalam institusi kewangan, manakala pada peringkat antarabangsa ia telah menghasilkan penambahbaikan yang ketara kepada piawaian penyeliaan antarabangsa tentang tadbir urus syarikat yang sedia ada. Dalam proses ini, timbul semula perdebatan dan dialog tentang bagaimana peraturan tadbir urus yang penting harus dikendalikan dengan cara terbaik bagi mencapai maksud isi kandungan berbanding hanya bentuk sesuatu peraturan, termasuk konsep pemisahan antara pengawasan dengan pengurusan, penentuan kecekapan lembaga pengarah yang relevan dalam persekitaran hari ini dan peranan lembaga pengarah, pengurusan dan penyelia yang wajar dalam memperkukuh amalan tadbir urus yang mantap. Oleh itu, proses pembaharuan semula amalan yang telah terpakai perlulah berterusan bagi memelihara asas kestabilan kewangan.
Bidang kerjasama yang lebih luas
Dalam dunia yang serba saling berhubung kait, bidang kerjasama penyeliaan dan kolaborasi untuk keberkesanan pengendalian dasar kestabilan kewangan kini sudah pun berkembang. Kerjasama serantau dalam kalangan bank pusat dan agensi kawal selia di Asia sendiri telah pun mencapai kemajuan dalam banyak bidang, khususnya selepas krisis kewangan Asia. Fokus kerjasama telah menjangkau bidang kestabilan kewangan, pasaran kewangan dan sistem pembayaran dan penjelasan yang tradisi untuk mencakupi dasar yang lebih teknikal dan isu-isu masa hadapan. Meskipun mencapai kemajuan yang nyata, masih terdapat peluang untuk lebih memanfaatkan banyak platform yang sedia ada bagi menghadapi cabaran yang lebih mutakhir berkaitan isu merentas sempadan seperti arbitraj kawal selia, mempermudah integrasi kewangan, dan membentuk satu rangka kerja yang lebih mantap untuk pengawasan makro serantau dan pengurusan krisis.
Pengalaman menghadapi krisis global juga memberikan pengajaran penting yang akan terus memperdalam pemahaman kita dan menghasilkan kerjasama yang lebih erat dalam bidang penyelesaian institusi yang bermasalah merentas sempadan. Usaha yang sedang dilakukan di Eropah untuk melaksanakan pendekatan "living wills” adalah amat penting bagi rantau ini, dari perspektif pembentukan serta pelaksanaannya. Walaupun pendekatan ini masih belum teruji, langkah ini akan memberikan sumbangan penting untuk memperdalam pemahaman kita tentang kewajaran model perniagaan dan struktur kawal selia serta sistem undang-undang yang berbeza yang akan memberikan kesan terhadap operasi institusi yang penting yang mempunyai operasi merentas sempadan.
Melangkah ke hadapan, lebih banyak pengalaman harus diperoleh berhubung dengan strategi komunikasi kestabilan kewangan yang berkesan, satu perkara yang tidak mendapat banyak perhatian sehinggalah tercetusnya krisis kewangan baru-baru ini. Strategi komunikasi kestabilan kewangan yang diyakini, terutamanya dalam tempoh ketidakpastian yang nyata akan memerlukan masa dan penyampaian yang bersesuaian serta penyelarasan yang berkesan antara agensi yang berkaitan. Sebagai contoh, penyelarasan yang berkesan dalam membuat pengumuman mengenai jaminan menyeluruh daripada kerajaan dan langkah mudah tunai di Malaysia, Singapura dan Hong Kong semasa krisis baru-baru ini telah membantu mengekalkan keyakinan secara keseluruhan dalam pasaran kewangan negara. Selain itu, terdapat juga pengajaran yang boleh dipelajari berhubung dengan pengalaman dalam komunikasi hasil ujian tekanan penyeliaan di Eropah dan Amerika Syarikat.
Kesimpulan
Memandangkan pasaran kewangan yang dinamik pada masa ini, interaksi yang lebih berkesan antara penggubal dasar dengan industri, baik di dalam mahupun merentas sempadan menjadi amat penting agar dapat memberikan kesedaran yang lebih meluas terhadap isu-isu utama kestabilan kewangan. Ini sekali gus dapat mempertajam penilaian penyeliaan dan pertimbangan pengurusan serta menggalakkan kerjasama yang lebih erat dalam pelbagai bidang. Prospek yang lebih baik bagi kestabilan kewangan global yang lebih meluas bergantung pada komitmen berterusan terhadap bidang-bidang keutamaan ini. Akhir sekali, matlamatnya adalah untuk mengukuhkan kemampuan kita secara kolektif bagi menjangka dan bertindak balas secara berkesan terhadap perkembangan yang mempengaruhi kestabilan kewangan, tidak hanya dalam suasana yang mencabar ketika ini, tetapi juga kemungkinan tempoh pelarasan global yang berpanjangan pada masa hadapan.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.