Ucapan oleh Gabenor pada Majlis Makan Tengah Hari Mesyuarat Tahunan Tabung Kewangan Antarabangsa-Bank Dunia (IMF-World Bank) "Kewangan Islam: Agenda untuk Pertumbuhan dan Pembangunan Seimbang"

Washington D.C. | 10 Oktober 2010

Agenda pertumbuhan dan pembangunan kini merupakan agenda utama bagi ekonomi dunia. Dalam ekonomi maju, usaha untuk menjana pemulihan yang berterusan berikutan natijah krisis kewangan global yang belum pernah dialami sebelum ini dibebani oleh keperluan untuk menangani beberapa cabaran struktur yang akan meninggalkan kesan terhadap keteguhan pemulihan tersebut. Dalam fasa baharu globalisasi ini, ketika kesalingbergantungan ekonomi dan kewangan adalah lebih pesat, agenda pertumbuhan dan pembangunan dalam ekonomi yang sedang pesat membangun (emerging economies) dan yang sedang membangun (developing economies) kini menjadi lebih mencabar.

Pada hakikatnya, krisis global telah menunjukkan betapa pentingnya peranan sistem kewangan yang berfungsi dengan cekap untuk mencapai pemulihan ekonomi yang kukuh lagi berterusan. Krisis tersebut telah mendorong masyarakat antarabangsa mengambil langkah usaha sama yang intensif bagi melaksanakan pembaharuan kewangan yang menyeluruh dan berkesan. Komitmen ini bertujuan untuk mencari satu penyelesaian agar sistem kewangan dapat berfungsi dengan lebih cekap bagi menyokong sektor ekonomi benar, iaitu sistem kewangan yang teguh dan berdaya tahan serta tidak mudah terjejas oleh krisis kewangan.

Kewangan Islam, sebagai satu bentuk pengantaraan kewangan yang pesat berkembang, telah menunjukkan daya tahannya semasa krisis kewangan global dan mempunyai serba potensi untuk memajukan agenda pertumbuhan dan pembangunan. Saya amat berbesar hati apabila diundang untuk berucap dalam majlis makan tengah hari Kumpulan Bank Pembangunan Islam (Islamic Development
Bank Group) yang diadakan bersempena dengan Mesyuarat Tahunan Tabung Kewangan Antarabangsa-Bank Dunia (IMF-World Bank) 2010 di Washington D.C. ini. Pada petang ini, saya akan berbicara tentang perkembangan sistem kewangan Islam sejak akhir-akhir ini serta peranannya sebagai satu bentuk pengantaraan kewangan yang berkesan dan berdaya saing dalam agenda pertumbuhan dan pembangunan. Saya juga akan membincangkan peranan kewangan Islam yang semakin penting untuk mengukuhkan hubungan ekonomi dan kewangan antarabangsa dalam ekonomi global, terutama sekali dalam kalangan negara sedang pesat membangun dan sedang membangun, dan dengan itu meningkatkan potensi untuk mencapai kemajuan dan kemakmuran yang lebih meluas dan dapat dikongsi bersama.

Sebagai satu bentuk pengantaraan kewangan, terdapat beberapa elemen dalam kewangan Islam yang menjadi panduan kepada proses penggemblengan dan pengagihan dana untuk menjana aktiviti ekonomi yang produktif dan pembangunan yang inklusif. Asas bagi kewangan Islam ialah keperluan bagi sesuatu urus niaga kewangan dijalankan berlandaskan aktiviti ekonomi yang produktif yang akan menjana pendapatan dan kekayaan yang halal. Oleh sebab itu, terdapat hubungan rapat antara urus niaga kewangan dengan aliran produktif. Dengan itu, pertumbuhan aset kewangan Islam secara umumnya akan diikuti dengan pertumbuhan aktiviti asas yang menjana nilai ekonomi.

Elemen-elemen penting ini yang terdapat dalam kewangan Islam meningkatkan keupayaannya untuk menyumbang kepada agenda pertumbuhan dan pembangunan. Pertama, kewangan Islam telah membuktikan

keupayaannya untuk menjadi dinamik dalam memenuhi keperluan pengguna dan perniagaan yang berbeza. Pada peringkat awal pembangunannya, tumpuan kewangan Islam adalah untuk memenuhi permintaan pembiayaan perdagangan. Kini, ia menawarkan rangkaian produk dan perkhidmatan kewangan daripada sistem kewangan yang tinggi kepelbagaiannya termasuk penyediaan produk dan perkhidmatan kewangan yang inovatif dan berkualiti tinggi seperti pembiayaan pengguna, pengurusan kekayaan dan berbagai­bagai produk daripada industri Takaful dan pasaran modal Islam. Kewangan Islam juga berkeupayaan dalam memajukan pembiayaan projek dan produk berstruktur jangka panjang untuk membiayai projek berskala besar dan pembangunan infrastruktur.

Faktor kedua yang telah menjamin kemampanan kewangan Islam ialah keupayaannya untuk kekal sebagai satu bentuk pembiayaan yang berdaya saing. Daya saing kewangan Islam amat penting untuk meningkatkan peranannya dalam agenda pertumbuhan dan pembangunan yang terhasil daripada beberapa sebab asas. Memandangkan instrumen kewangan Islam perlu berasaskan aktiviti ekonomi, dan instrumen tersebut sememangnya mempunyai potensi untuk membawa pulangan nyata kepada pelabur, dengan itu kewangan Islam telah mewujudkan permintaan yang ketara terhadap produk kewangan yang berlandaskan Syariah. Dalam persekitaran yang amat tidak menentu ketika ini, kedua­dua pelabur dan pengeluar perlu mencari produk dan perkhidmatan kewangan yang mempunyai ketelusan yang lebih tinggi dan pengurusan risiko yang eksplisit. Dalam hal ini, prinsip Syariah melarang aktiviti leveraj dan spekulasi kewangan yang berlebihan serta tidak menggalakkan pendedahan risiko yang keterlaluan.

Daya tahan merupakan aspek ketiga kemampanan kewangan Islam. Krisis kewangan global baru-baru ini yang belum pernah dialami dalam sejarah moden, telah menonjolkan dan mengetengahkan berbagai-bagai isu mengenai kekukuhan dan kestabilan sistem kewangan.

Pembaharuan dalam pengawalseliaan dan arkitektur kewangan antarabangsa merupakan sebahagian daripada usaha komuniti antarabangsa dalam menangani pelbagai kelemahan yang menjadi punca tercetusnya krisis tersebut. Walau bagaimanapun, kejelasan objektif yang ingin dicapai amat penting dalam sebarang usaha pembaharuan. Hakikatnya diakui bahawa kestabilan kewangan amat penting dalam memastikan kemampanan fungsi pengantaraan. Walau bagaimanapun isu yang dibahaskan adalah sama ada pengawalseliaan yang sebegitu ketat akan meningkatkan kos pengawalseliaan kewangan dan seterusnya menjejaskan agenda pertumbuhan dan pembangunan.

Dalam kewangan Islam, kestabilan kewangan telah ditangani melalui tiga aspek. Pertama, kewangan Islam mempunyai sekatan dan imbangan dalamannya yang tersendiri. Tawaran nilainya dari segi perkongsian keuntungan dan risiko memerlukan usaha wajar (due diligence), penzahiran dan ketelusan yang bersesuaian. Oleh itu, ciri-ciri dalaman kewangan Islam menekankan aspek tadbir urus dan pengurusan risiko. Peranan Jawatankuasa Syariah adalah untuk memastikan semua aspek operasi perniagaan institusi Islam berlandaskan prinsip Syariah. Dengan itu, satu lagi tahap pengawasan diwujudkan yang secara dalaman melindungi amalan-amalan yang tidak bertanggungjawab. Hal ini amat penting untuk memastikan bahawa inovasi pada kadar yang pantas dalam persekitaran semasa menyumbang terhadap sektor ekonomi benar dan masyarakat.

Faktor kedua yang menyumbang kepada peningkatan keteguhan sistem kewangan Islam ialah penubuhan Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam (Islamic Financial Services Board, IFSB) pada tahun 2002. Lembaga ini merupakan institusi antarabangsa penting yang menetapkan piawaian kehematan untuk kewangan Islam, termasuklah piawaian untuk kecukupan modal, pengurusan risiko dan tadbir urus korporat dengan mengambil kira risiko khusus yang terdapat dalam kewangan Islam. Sementara rejim pengawalseliaan sentiasa mengawasi perubahan dramatik yang
telah mentransformasikan landskap ekonomi dan kewangan antarabangsa, pengukuhan tahap daya tahannya yang berterusan merupakan faktor utama bagi perkembangan industri perkhidmatan kewangan Islam dalam persekitaran baharu ini.

Pada awal tahun ini, Lembaga Tadbir Urus IFSB telah mengesahkan laporan bebas oleh Bank Pembangunan Islam (IDB) dan IFSB yang telah mencadangkan lapan syor dan dua daripada syor tersebut sedang dilaksanakan. Syor pertama ialah penubuhan Forum Kestabilan Kewangan Islam (Islamic Financial Stability Forum, IFSF) sebagai platform untuk mewujudkan dialog merentas sempadan antara pengawal selia dalam usaha memastikan kestabilan sistem kewangan Islam. Objektif IFSF adalah untuk membantu pemahaman yang lebih baik mengenai perkembangan yang sedang berlaku dalam sistem kewangan Islam dan implikasinya terhadap kestabilan kewangan negara dan global. Syor kedua ialah pembangunan infrastruktur pengurusan mudah tunai untuk memudahkan aliran kewangan merentas sempadan. Ini merupakan kejayaan penting dalam kewangan Islam. Ia bukan sahaja menangani isu pengurusan mudah tunai merentas sempadan dengan lebih berkesan, malahan juga meningkatkan daya saing dan menangani isu pengurusan mudah tunai bagi mencapai kestabilan kewangan.

Syor lain melibatkan pengukuhan pengaturan keinstitusian dan infrastruktur kewangan bagi kewangan Islam. Hal ini termasuklah meluaskan parameter piawaian kehematan kepada segmen industri yang lain untuk mengelakkan penghijrahan kepada sektor yang kurang dikawal selia. IFSB kini turut diberikan mandat untuk menetapkan piawaian kehematan bagi sektor takaful dan pasaran modal.

Syor kedua yang lain ialah pengukuhan mekanisme jaring keselamatan yang bersesuaian dengan prinsip Syariah, seperti kemudahan pemberi pinjaman usaha akhir (lender of last resort) dan mekanisme pembiayaan kecemasan serta insurans deposit. Dalam usaha pembaharuan pengawalseliaan oleh komuniti antarabangsa pada masa
ini, kesepakatan mengenai rangka kerja penyelesaian belum lagi dicapai. Untuk kewangan Islam, usaha yang diambil adalah selari dan bukan sahaja untuk penyelesaian bagi institusi bermasalah di dalam negeri tetapi juga merentas sempadan.

Syor ketiga lain berkait dengan piawaian perakaunan, pengauditan dan penzahiran untuk meningkatkan pelaporan kewangan dan membolehkan pemantauan dan penilaian institusi kewangan Islam yang efektif. Syor keempat berkait dengan rangka kerja pengawasan kehematan makro untuk menyokong pengawalseliaan kehematan yang tidak dapat menangani sepenuhnya tekanan terhadap keseluruhan sistem kewangan (system-wide stress). Syor kelima berkait dengan pengukuhan proses penarafan dan syor keenam, yang terakhir sekali, berkait dengan pembangunan keupayaan dan pembangunan tenaga mahir agar industri dan pengawal selia dilengkapi sepenuhnya bagi menangani isu dan cabaran dalam persekitaran baharu.

Dalam usaha mencapai penyelesaian yang berkekalan untuk meletakkan sistem kewangan pada asas yang kukuh, isu yang sering kali dibangkitkan ialah kemungkinan kos pengantaraan kewangan akan menjadi lebih tinggi dan akan meninggalkan impak yang tidak seimbang terhadap aktiviti ekonomi. Khususnya, isu tersebut relevan dengan ekonomi sedang pesat membangun dan sedang membangun. Dalam kewangan Islam, untuk mengelak daripada terlampau bergantung pada pengawalseliaan bagi mencapai kestabilan kewangan, strategi yang diambil adalah untuk melengkapkan rangka kerja pengawalseliaan dengan membina keupayaan institusi, bergantung pada dasar lain termasuk langkah kehematan makro, mengukuhkan pengawasan dan meningkatkan keberkesanan dalam pengawasan penyeliaan.

Satu lagi perkembangan penting kewangan Islam akhir-akhir ini ialah dimensi antarabangsanya yang semakin meningkat, didorong oleh minat dan permintaan yang meluas dari pelbagai negara. Pengantarabangsaan kewangan Islam kini
mencetuskan corak aliran kewangan dan perdagangan global baharu. Keadaan ini juga didorong oleh liberalisasi yang progresif dalam ekonomi sedang pesat membangun pada dekad mutakhir ini. Kini terdapat peningkatan penglibatan institusi kewangan Islam yang melangkaui sempadan domestik mereka dan peningkatan penyertaan asing dalam pasaran kewangan domestik Islam. Oleh itu, proses pengantarabangsaan ini mencerminkan integrasi kewangan global yang lebih inklusif kerana memudahkan pembiayaan perdagangan antarabangsa dan aktiviti pelaburan merentas sempadan dalam kalangan negara sedang pesat membangun dan sedang membangun. Gelombang pengantarabangsaan dalam kewangan Islam yang berterusan meskipun berlakunya krisis global baru-baru ini, telah menyumbang kepada aliran pelaburan dan kewangan yang lebih besar antara Asia dengan Timur Tengah, seterusnya menjana prospek pertumbuhan yang saling memperkukuh untuk kedua-dua rantau. Secara khususnya, ini telah menyumbang kepada hubungan kewangan dan ekonomi yang semakin kukuh antara Asia dengan Timur Tengah, yang memanfaatkan kesalinglengkapan yang ada di rantau pertumbuhan yang dinamik ini untuk menggalakkan perdagangan, pelaburan langsung dan kewangan.

Pengantarabangsaan kewangan Islam kini menjadi saluran penting dalam memupuk hubungan kewangan antarabangsa dan dengan berbuat demikian dapat menyumbang kepada pertumbuhan dan pembangunan yang lebih seimbang. Oleh yang demikian, pengantarabangsaan kewangan Islam bukan sahaja membolehkan risiko terus dipelbagaikan, malahan turut menyumbang kepada pengagihan dana merentas sempadan yang lebih cekap dari rantau yang mempunyai dana berlebihan kepada rantau yang mempunyai peluang pelaburan.

Pentingnya kewangan Islam dalam mengukuhkan hubungan kewangan terbukti khususnya dengan kemunculan instrumen sukuk sebagai kelas aset baharu yang menarik kepada pelabur dan sebagai bentuk pembiayaan yang berdaya saing kepada perniagaan. Pasaran global sukuk pada masa ini mencecah hampir US$130 bilion, dengan kadar pertumbuhan purata kira-kira 40 peratus setahun. Setelah muncul sebagai segmen paling memberangsangkan dalam kewangan Islam, kini pasaran sukuk telah berkembang sepenuhnya dalam pasaran antarabangsa, menjana aliran merentas sempadan yang besar dengan dana yang diperoleh melangkaui pasaran kewangan domestik.

Seperti yang dilihat daripada pengalaman di Malaysia, sungguhpun sukuk kini menjadi pilihan pembiayaan dan pertambahan modal yang digemari oleh kerajaan dan syarikat tempatan, terdapat juga penyertaan dalam jumlah yang besar serta minat yang terus meningkat daripada syarikat asing dan institusi multilateral dalam pasaran sukuk negara. Pasaran sukuk negara turut menarik pelaburan dari seluruh dunia. Terbitan sukuk Kerajaan Malaysia baru-baru ini yang berjumlah USD1.25 bilion pada bulan Mei tahun ini terlebih langganan 6 kali dengan jumlah pelabur yang lebih besar dari Asia, Timur Tengah, Eropah dan Amerika Syarikat, walaupun dalam keadaan pasaran yang tidak menentu pada masa kini.

Kesimpulan

Sambil kita meneruskan agenda pembangunan dan pertumbuhan yang seimbang dengan lebih bersemangat, kita mampu untuk memanfaatkan peranan kewangan Islam yang kian meningkat bagi menyumbang ke arah agenda pertumbuhan dan kestabilan kewangan global. Di samping itu, kewangan Islam juga boleh dimanfaatkan untuk menggalakkan aliran kewangan merentas sempadan yang lebih meluas bagi menyumbang kepada agenda dalam meningkatkan pertumbuhan yang saling memperkukuh dan agenda pembangunan untuk mencapai aspirasi global ke arah kemajuan dan pembangunan ekonomi yang kukuh, seimbang dan berterusan.


Bank Negara Malaysia
12 Oktober 2010

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?