Ucapan oleh Gabenor pada Pelancaran Platform Kewangan Islam Bloomberg yang telah Dipertingkatkan
The Royale Chulan Hotel, Kuala Lumpur | 21 Februari 2011
Saya berasa sukacita kerana dapat menyertai anda pada pagi ini pada Pelancaran Platform Kewangan Islam Bloomberg yang telah dipertingkatkan. Perkembangan ini tepat pada masanya kerana kewangan Islam dijangka terus mencapai kejayaan besar pada dekad yang baharu ini. Platform maklumat ini merupakan elemen penting untuk memastikan pasaran kewangan Islam berfungsi dengan lebih cekap dalam sistem kewangan antarabangsa. Dalam sepuluh tahun terakhir ini kita telah melihat perkembangan yang ketara dalam kewangan Islam, baik dalam sistem kewangan dalam negeri ini mahupun antarabangsa. Dalam persekitaran yang lebih mencabar dan tidak menentu ini, kewangan Islam telah menunjukkan daya tahan dan daya maju serta telah mengekalkan momentum pertumbuhannya.
Hari ini, dengan meningkatnya pengantarabangsaan kewangan Islam, pertumbuhan dan pengembangannya yang berterusan sangat bergantung pada maklumat yang luas yang boleh diakses dengan cekap. Selama dua dekad Bloomberg telah memberikan perkhidmatan kepada komuniti kewangan Islam dalam menyediakan akses kepada penyampaian berita dan data serta maklumat yang tepat pada masanya. Oleh itu, inisiatifnya pada hari ini untuk meningkatkan platform kewangan Islamnya merupakan satu perkembangan yang amat dialu-alukan. Aliran maklumat tanpa sekatan dalam pasaran kewangan Islam penting untuk mempermudah proses penentuan harga dan mengekalkan keteguhan industri kewangan Islam. Data dan berita yang menjangkau sempadan secara masa sebenar penting bukan sahaja kepada pelabur dan institusi kewangan tetapi juga kepada para penyelidik dan ilmuwan kewangan Islam. Ia akan menyumbang kepada peningkatan daya saing, inovasi produk dan mempererat kesalinghubungan kewangan antarabangsa.
Ketika kita memasuki dekad baharu ini, cabaran pada dunia ialah untuk mengekalkan pemulihan ekonomi. Sementara masih terdapat banyak masalah yang perlu ditangani di negara maju, sebahagian besar ekonomi sedang pesat membangun terus menunjukkan prestasi yang baik. Ekonomi Malaysia mencatat pertumbuhan kukuh 7.2% pada tahun 2010 didorong oleh permintaan dalam negeri yang kukuh dan hubungan ekonomi dan kewangan yang lebih erat dengan negara membangun lain. Satu bahagian penting pemulihan ini ialah pemulihan yang kukuh dalam pelaburan swasta berikutan peningkatan penggunaan keupayaan dan ciri-ciri dinamik ekonomi yang telah menyediakan peluang pelaburan baharu dalam bidang pertumbuhan baharu.
Tahun 2011 akan menjadi tahun yang menarik bagi industri kewangan Islam. Terbitan sukuk global pada tahun 2010 telah mengatasi tahun sebelumnya lebih daripada 20 peratus. Pertumbuhan positif ini jelas membuktikan bahawa pelabur dan penerbit telah kembali yakin. Pada tahun 2011, terbitan sukuk diunjurkan melebihi paras yang dicatat pada tahun 2007 ketika ia mencapai paras terbitan tertinggi. Tahun 2010 juga menyaksikan evolusi Malaysia sebagai platform originasi sukuk pelbagai mata wang dengan empat terbitan sukuk dalam mata wang asing yang berjumlah kira-kira USD3 bilion. Trend ini akan memperoleh manfaat daripada Indeks Syariah Berdaulat Bursa Malaysia AIBIM Bloomberg (Bloomberg AIBIM Bursa Malaysia Sovereign Syariah Index, BMSSI) yang dibangunkan oleh Persatuan Institusi-Institusi Perbankan Islam Malaysia (Association of Islamic Banking Institutions Malaysia, AIBIM), Bursa Malaysia dan Bloomberg yang juga dilancarkan pada hari ini sebagai sebahagian daripada peningkatan platform kewangan Islam.
Pelancaran indeks sukuk ringgit ini menandakan satu lagi pencapaian penting dalam persekitaran kewangan Islam Malaysia kerana ia menjadi pengukur prestasi sekuriti kerajaan berlandaskan Syariah dengan denominasi ringgit selain untuk tujuan penandaarasan. Perkembangan ini merupakan sebahagian daripada sokongan berterusan AIBIM dan Bursa Malaysia untuk mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju pasaran sukuk di dunia. Kerjasama antara AIBIM, Bursa Malaysia dan Bloomberg juga dijangka dapat membangunkan indeks sukuk korporat ringgit tidak lama lagi. Melangkah ke hadapan, usaha-usaha sedang dilaksanakan antara Bank Negara Malaysia dengan Bloomberg untuk memperluas inisiatif ini bagi membangunkan indeks sukuk mata wang asing. Liberalisasi pasaran kewangan dijangka dapat menarik lebih banyak terbitan sukuk mata wang asing seperti ini oleh entiti berdaulat, institusi pelbagai hala dan syarikat multinasional.
Bagi mengukuhkan lagi infrastruktur pasaran sukuk, Malaysian Electronic Clearing Corporation atau MyClear, sebuah syarikat subsidiari milik penuh Bank Negara Malaysia yang mengendalikan sistem penyelesaian kasar masa sebenar dan sistem depositori sekuriti, juga telah melaksanakan inisiatif untuk menggalakkan urus niaga kewangan rentas sempadan yang cekap, teguh dan selamat. Inisiatif ini mencerminkan komitmen kami terhadap integrasi kewangan di rantau ASEAN dan sistem kewangan global melalui hubungan yang lebih erat dengan pusat-pusat depositori sekuriti lain, iaitu Euroclear dan Central Moneymarkets Unit (CMU) dari Hong Kong Monetary Authority. Dijangkakan bahawa institusi depositori sekuriti pusat lain akan menyertai inisiatif ini bagi mengeratkan lagi hubungan rentas sempadan ini. Oleh itu, MyClear akan menjadi salah satu platform penting bagi penyelesaian pelbagai hala yang memudahkan urus niaga perdagangan sukuk. Pelaksanaan inisiatif ini yang dijadualkan selesai pada separuh kedua tahun 2011 menawarkan akses berkesan kos bagi pelabur asing melabur dalam sekuriti Malaysia yang didepositkan dengan MyClear. Pada masa yang sama, ia membolehkan pelabur Malaysia melabur dalam sekuriti asing yang didepositkan dengan institusi depositori sekuriti pusat antarabangsa dan serantau. Melangkah ke hadapan, MyClear akan terus memperluas jangkauannya ke rantau lain di seluruh dunia.
Satu lagi pembangunan infrastruktur yang sedang dilaksanakan dalam sistem kewangan Islam antarabangsa ialah penubuhan Perbadanan Pengurusan Mudah Tunai Islam Antarabangsa (International Islamic Liquidity Management Corporation, IILM). Dilancarkan pada bulan Oktober 2010, IILM telah memulakan operasinya di Kuala Lumpur pada 1 Februari. Peranan utamanya ialah untuk melaksanakan terbitan instrumen mudah tunai pelbagai mata wang jangka pendek bagi memudahkan pengurusan mudah tunai rentas sempadan antara pusat-pusat kewangan dan pada masa yang sama meningkatkan kesalinghubungan kewangan. IILM dijadualkan melaksanakan terbitan instrumen mudah tunai pada akhir tahun ini. Ini akan membolehkan pengurusan aliran kewangan rentas sempadan yang lebih mantap dan seterusnya menyumbang kepada pengantarabangsaan kewangan Islam yang lebih cekap.
Sehubungan dengan peningkatan komuniti kewangan Islam yang ketara, adalah wajar platform kewangan Islam yang dilancarkan pada hari ini telah memperluas jangkauannya kepada pelanggan global dan daripada penyumbang data serta maklumat daripada institusi di seluruh dunia. Bagi menyokong platform kewangan Islam yang telah dipertingkatkan dan yang baharu ini, Bank Negara Malaysia dan anggota komuniti lain di bawah inisiatif MIFC berbesar hati untuk menjadi salah satu penyumbang. Laman MIFC dalam platform yang dipertingkatkan ini menyediakan pandangan Syariah, peluang perniagaan dan perkembangan penting dalam MIFC. Ia juga menjadi hos kepada rangkaian komuniti kewangan Islam yang luas di Malaysia.
Dengan yang demikian, saya ingin mengucapkan tahniah kepada Bloomberg, AIBIM, Bursa Malaysia serta rakan-rakan lain yang mengusahakan inisiatif ini untuk memberikan khidmat kepada industri kewangan Islam.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.