Ucapan oleh Gabenor sempena Kolokium Svein Gjedrem "Peranan Bank-bank Pusat dalam Ekonomi Sedang Pesat Membangun" Oslo
Norges Bank, Oslo, Norway | 18 November 2010
Pendahuluan
Cabaran demi cabaran melanda Bank-bank Pusat dalam usaha menangani tuntutan serta desakan yang berubah-ubah lantaran persekitaran yang berubah pantas. Perubahan asas dan ketara ini telah membangkitkan seruan agar peranan Bank-bank Pusat dalam sistem kewangan dan ekonomi dikaji semula. Sering kali, seruan sebegini tercetus sewaktu krisis kewangan, seperti ketika krisis kewangan Asia dan krisis kewangan global semasa yang berlaku baru-baru ini. Namun begitu, pembaharuan keinstitusian yang dilaksanakan dalam keadaan yang luar biasa, berisiko untuk mempengaruhi sifat dan hala tuju pembaharuan tersebut. Meskipun pembaharuan susulan daripada krisis mungkin dapat menangani tuntutan jangka pendek, tetapi implikasi pembaharuan untuk tempoh jangka sederhana dan panjang juga tidak kurang pentingnya. Satu pengajaran penting yang mungkin boleh diambil oleh Bank-bank Pusat ialah pembaharuan dan pemodenan seharusnya dilaksanakan ketika keadaan stabil supaya perubahan sedemikian tidak perlu dilakukan pada saat genting. Yang penting, dalam persekitaran yang dinamik ini, Bank-bank Pusat perlu terus menyesuaikan diri dan berkembang agar kekal relevan dan seterusnya, memanfaatkan negara.
Saya amat berbesar hati kerana dijemput mengucapkan sepatah dua kata di Kolokium Norges Bank yang diadakan khas bagi memberi penghormatan kepada Gabenor Svein Gjedrem. Izinkan saya mengambil peluang ini untuk mengucapkan setinggitinggi tahniah kepada Gabenor Gjedrem atas pencapaian Bank di bawah terajunya sepanjang 12 tahun. Ucapan saya pada hari ini akan tertumpu pada peranan Bank-bank Pusat dari sudut ekonomi sedang pesat membangun dan lebih khususnya, dalam konteks Perbankan Pusat di Asia ketika kita sedang menangani cabaran dalam persekitaran ekonomi dan kewangan global yang begitu cepat berubah-ubah.
Mandat Bank Pusat
Meskipun rangka tindakan khusus bagi reka bentuk pengaturan keinstitusian sesebuah Bank Pusat tidak wujud, yang penting ialah Bank Pusat harus relevan dengan keadaan di negara masing-masing. Mandat, rangka kerja tadbir urus dan bidang kebertanggungjawaban Bank Pusat perlu jelas dan disokong oleh perundangan yang memberikan kuasa bagi memastikan Bank Pusat berupaya melaksanakan mandat yang diamanahkan.
Secara amnya, Bank-bank Pusat di ekonomi sedang pesat membangun mempunyai mandat yang lebih luas berbanding dengan mandat tradisional iaitu kestabilan monetari dan kewangan. Dalam lingkungan mandat tradisional ini pun, peranan Bank Pusat banyak bezanya. Mandat kestabilan monetari terdiri daripada mandat yang terhad iaitu kestabilan harga hinggalah mandat yang memerlukan Bank Pusat memainkan peranan penting dalam menstabilkan harga. Pada masa yang sama perhatian yang sewajarnya turut diberikan kepada matlamat ekonomi dan guna tenaga. Bagi sesetengah Bank Pusat, mandatnya jelas bersifat hierarki, namun bagi Bank Pusat yang lain, mandatnya yang berbilang memerlukan keseimbangan dinilai dengan sewajarnya.
Sebaliknya, mandat kestabilan kewangan Bank Pusat tidak ditetapkan dengan jelas, terutamanya apabila fungsi penyeliaan tidak dipertanggungjawabkan kepada Bank Pusat. Kebanyakan Bank Pusat dalam ekonomi sedang pesat membangun di Asia mendukung tanggungjawab fungsi penyeliaan. Walau bagaimanapun bagi tiga daripada ekonomi utama di rantau ini iaitu Jepun, China dan Korea, fungsi tersebut diamanahkan kepada agensi yang berasingan. Bagi Bank-bank Pusat yang harus melaksanakan tanggungjawab fungsi penyeliaan, hasil khusus yang perlu dicapai adalah kurang jelas berbanding dengan mandat kestabilan harga. Di Malaysia, Akta Bank Negara 2009 baharu telah mendefinisikan mandat ini dari aspek risiko terhadap kestabilan kewangan - yakni, risiko gangguan pada pengantaraan kewangan, risiko gangguan pada kelancaran fungsi pasaran kewangan yang teratur dan risiko hilangnya keyakinan terhadap sistem kewangan.
Mandat untuk membangunkan sistem kewangan pula saling dikongsi oleh sebahagian besar Bank Pusat dalam ekonomi sedang pesat membangun. Melihatkan tahap pembangunan sistem kewangan dalam ekonomi sedang pesat membangun, mandat ini bukan sahaja penting untuk memantapkan proses pengantaraan kewangan dalam ekonomi tetapi juga bermatlamat membantu memenuhi mandat kestabilan monetari dan kewangan. Mandat ini merangkumi pembinaan keinstitusian, pembangunan pasaran kewangan dan infrastruktur kewangan termasuk sistem pembayaran dan rangka kerja perundangan.
Pembaharuan kewangan dan pembangunan sektor kewangan selama satu dekad yang menyusuli krisis kewangan Asia telah menghasilkan sistem kewangan yang lebih maju serta berdaya tahan, dan kini lebih berupaya untuk mengantara aliran kewangan yang tidak menentu dan menghadapi kejutan pada sistem. Sewaktu krisis kewangan global baru-baru ini, kebanyakan ekonomi sedang pesat membangun di Asia tidak mengalami sebarang gangguan pada proses pengantaraan kewangan manakala aliran kredit pula terus lancar lantas memberikan sokongan penting kepada aktiviti ekonomi. Hal ini juga telah membolehkan pasaran kewangan membantu penyampaian dasar bagi menyokong pemulihan ekonomi.
Peranan pembangunan ini juga penting dalam menyumbang ke arah pemeliharaan kestabilan kewangan. Pembangunan pasaran kewangan domestik dan penghasilan sistem kewangan yang lebih berpelbagai telah mengurangkan risiko tumpuan yang ketara terhadap sistem perbankan, iaitu suatu ciri yang berleluasa semasa krisis kewangan Asia. Pengaturan keinstitusian baharu yang diperkenalkan juga bertujuan agar seiring dengan inovasi, kemajuan teknologi dan globalisasi yang bertambah hebat. Oleh itu, pendekatan yang lebih seimbang dapat diambil ke arah pengawalan, yang dilengkapi dengan mekanisme pengawasan yang baru dihasilkan termasuk rentas sempadan, pengawasan kawal selia yang diperkukuh dan pengaturan keinstitusian untuk penyelesaian.
Bank-bank Pusat dan Pasaran Kewangan
Mandat yang hangat diperbincangkan barubaru ini ialah peranan Bank Pusat dalam memastikan pasaran kewangan berfungsi dengan teratur. Pasaran kewangan yang berfungsi dengan teratur bukan sahaja penting supaya sumber kewangan diperuntukkan dengan berkesan dalam ekonomi, tetapi juga penting untuk penyampaian dasar kewangan dan pemeliharaan kestabilan kewangan. Meskipun kuasa saingan dijangka membuahkan hasil yang cekap dan optimum, Bank-bank Pusat dalam ekonomi sedang pesat membangun memainkan peranan penting dalam mengimbangi antara kuasa pasaran dan campur tangan dengan matlamat untuk memastikan pasaran kewangan berfungsi dengan teratur. Walau bagaimanapun, perlu disedari bahawa beberapa prasyarat penting perlu dipenuhi bagi menjana harga keseimbangan (equilibrium price) yang mencerminkan asas-asas dasarnya. Ini termasuk infrastruktur institusi dan pasaran, struktur insentif, peraturan pasaran dan tahap celik kewangan yang menyedari dan memahami isyarat pasaran. Risiko ketidakstabilan meningkat apabila elemenelemen ini masih belum dikembangkan sepenuhnya dalam banyak ekonomi sedang pesat membangun. Oleh itu, akibat daripada tahap pembangunan, atau saiz pasaran tersebut, atau ketidaksempurnaan yang wujud dalam pasaran, ekonomi sedang pesat membangun lebih mudah terjejas kepada keadaan yang lebih tidak menentu dan keadaan pasaran yang tidak dapat mencapai keseimbangan dengan sendiri. Krisis kewangan global baru-baru ini telah menunjukkan bahawa kepincangan sebegini juga berlaku dalam sistem kewangan yang maju. Struktur keinstitusian dan peraturan yang lapuk dan tidak relevan meningkatkan risiko keadaan pasaran yang tidak stabil. Pengalaman turut menunjukkan bahawa kepincangan pasaran ini memberikan kesan buruk yang serius dan meluas terhadap ekonomi secara keseluruhannya.
Walau bagaimanapun, untuk campur tangan yang berkesan, matlamat yang ingin dicapai oleh Bank Pusat dan hasil yang ingin diraih haruslah jelas. Yang penting, perlu wujud kesedaran bahawa campur tangan tersebut bersifat sementara serta wujud cabaran untuk melupuskannya dengan berkesan apabila matlamat telah dicapai. Selain itu, risiko akibat yang tidak dirancang kesan daripada campur tangan langsung oleh Bank Pusat juga perlu diurus. Risiko ini termasuk potensi untuk pemintasan, atau tumpuan kepada pasaran lain yang tidak dilindungi oleh campur tangan sedemikian. Kos juga mungkin ditanggung berkaitan dengan campur tangan tersebut, yang bukan sahaja merangkum kos semasa, tetapi juga kos yang perlu ditanggung oleh generasi akan datang.
Meskipun kadar penyahkawalseliaan dan liberalisasi ekonomi sedang pesat membangun mungkin berbeza, namun, peralihan nyata ke arah orientasi pasaran yang lebih meluas dapat dilihat dalam dekad ini. Usaha pembaharuan ini telah diperkukuh dengan usaha membangunkan pasaran kewangan dan infrastruktur kewangan. Dalam rangka kerja ini, campur tangan dilakukan melalui kehadiran secara langsung dalam pasaran kewangan, penetapan kaedah dan peraturan, dan penyelesaian untuk institusi kewangan yang bermasalah. Campur tangan ini ketara semasa krisis kewangan Asia pada lewat tahun 1990-an bagi memulihkan kestabilan pasaran kewangan, yang seterusnya mewujudkan keadaan untuk proses pengantaraan kewangan disambung semula. Meskipun perjalanan sistem kewangan yang berkesan memainkan peranan penting dalam pemulihan ekonomi di Asia, yang lebih penting ialah himpunan dasar komprehensif yang menghasilkan pemulihan. Dalam tempoh satu tahun selepas langkah menggalakkan pertumbuhan diperkenalkan, kebanyakan ekonomi yang terjejas oleh krisis menunjukkan tanda-tanda pemulihan yang kukuh.
Baru-baru ini, krisis kewangan global telah melalui beberapa siri campur tangan pasaran secara langsung dalam pelbagai bentuk yang bertujuan memulihkan fungsi pasaran. Disifatkan sebagai tindakan yang diambil dalam keadaan yang benar-benar luar biasa, peristiwa ini membuktikan bahawa fenomena kepincangan pasaran yang serius boleh berlaku meskipun dalam sistem kewangan yang paling maju. Sambil campur tangan meluas ini diteruskan, terutamanya dalam pasaran sekuriti awam dan swasta, wujud kebimbangan berhubung dengan akibat yang bakal ditanggung oleh negara-negara lain di dunia, khususnya bagi negara sedang pesat membangun. Dalam dunia kini yang lebih terhubung dan saling bergantung, tindakan ini sudah pun mewujudkan peralihan ketara dalam aliran modal. Negara sedang pesat membangun harus berupaya untuk mengantara pertambahan aliran modal yang mendadak dan menguruskan risiko berkaitan dengan aliran masuk mudah tunai tersebut dan potensinya untuk menjejaskan pemulihan semasa.
Elemen selanjutnya yang sering dipandang ringan ialah peranan tingkah laku, yang banyak mempengaruhi dinamik pasaran kewangan. Bentuk tingkah laku ekstrim memang ketara dalam pasaran aset dan pertukaran asing. Pasaran aset cenderung dilanda boom and bust, manakala pasaran pertukaran asing pula cenderung untuk melampau (overshooting). Meskipun beberapa ekonomi sedang pesat membangun berjaya menggunakan langkah kehematan makro untuk membendung pembentukan gelembung aset (asset bubble), namun pasaran pertukaran asing berbeza daripada pasaran lain. Dengan urus niaga harian berjumlah USD4 trilion, pasaran ini merupakan pasaran paling cair dan dinamik di dunia. Sentimen dan jangkaan telah mengakibatkan pasaran yang sering kali cenderung mengalami pergerakan berlebihan dan melampau. Sebagai ekonomi yang sangat terbuka, gangguan dan ketidakseimbangan dalam pasaran pertukaran asing memberikan akibat yang meluas dalam ekonomi benar. Operasi campur tangan untuk mengekalkan keadaan pasaran yang teratur dan diperkukuh oleh operasi pensterilan bertujuan memastikan mudah tunai dalam pasaran dan keadaan pasaran mencerminkan asas-asas ekonomi yang mendasarinya. Sama seperti dalam pasaran kewangan lain, langkah ini bertujuan memastikan kemampanan fungsi pasaran yang berkesan.
Bank-bank Pusat dan Pembendungan dan Pengurusan Krisis
Melangkah ke hadapan, dunia pastinya akan terus dilanda krisis kewangan. Sejarah telah menunjukkan bahawa lebih daripada 100 krisis perbankan yang berbeza telah berlaku sepanjang dua dekad kebelakangan ini. Prospek untuk menangani krisis sedemikian bukan hanya tentang membina daya tahan tetapi juga keupayaan untuk menguruskannya. Bank-bank Pusat memainkan peranan kritikal dalam membendung dan menguruskan krisis, khususnya menyediakan mudah tunai, memastikan pasaran kewangan berfungsi dengan cekap, menerajui program penyelesaian dan mengembalikan keyakinan dalam sistem kewangan.
Sebagai pemberi pinjaman usaha akhir, Bank Pusat berada di barisan hadapan bagi melaksanakan tindakan untuk memulihkan kestabilan. Tanpa mengambil kira pengaturan keinstitusian bagi fungsi pengawasan - sama ada berdasarkan model bersepadu atau model yang disusun menurut garis sektor - penyelarasan yang berkesan amat penting untuk memelihara kestabilan kewangan. Pengaturan penyelarasan yang mantap mampu mengelakkan pendekatan sedikit demi sedikit oleh mana-mana agensi individu dalam sistem dan memastikan tindak balas menyeluruh dapat diambil semasa krisis. Penyelarasan merentas agensi yang lebih meluas juga membolehkan tindakan segera diambil.
Elemen bagi pengurusan krisis sebahagian besarnya telah diwujudkan dalam beberapa ekonomi sedang pesat membangun di Asia. Ini merangkumi rangka kerja pengawasan yang ketat untuk pengesanan awal risiko dan kelemahan, rangkaian instrumen dasar untuk menangani pertambahan risiko, rangka kerja tadbir urus dan kebertanggungjawaban serta rangka kerja penyelarasan. Tidak kira sama ada tanggungjawab penyeliaan diamanahkan kepada Bank Pusat atau tidak, peranannya dalam pengawasan pengurusan makro-ekonomi, dan hubungan langsung dengan pasaran kewangan dalam operasi pasaran wang serta pengurusan rizabnya dapat dimanfaatkan bagi menyokong mandat kestabilan kewangan. Ini akan membolehkan tindak balas yang lebih menyeluruh diberikan untuk membendung dan menguruskan krisis.
Di Asia, semakin kukuh integrasi kewangan serantau, semakin erat jugalah kerjasama dan usaha sama serantau. Semasa krisis kewangan Asia, ekonomi serantau menguruskannya secara individu. Memandangkan cabaran menjadi semakin rumit, tindakan yang diambil sendiri mungkin tidak dapat meraih hasil yang diharapkan. Tambahan pula, penyelesaian yang dianggap terbaik buat sesebuah negara mungkin membawa akibat yang tidak dirancang terhadap kestabilan secara kolektif. Oleh itu, Asia telah menjalin kerjasama rapat bagi melaksanakan pengawasan serantau dengan langkah kukuh untuk menubuhkan rangkaian sokongan kewangan, membangunkan pasaran kewangan dan sistem pembayaran serantau. Kerjasama sedemikian juga membolehkan pendapat dan dan perwakilan secara kolektif, serta mempunyai potensi untuk negara rantau Asia bersuara dalam perumusan dasar global.
Pemodenan Bank Pusat
Sambil Bank-bank Pusat melangkah ke arah masa hadapan yang penuh dengan ketidakpastian, cabaran persekitaran baharu menuntut keupayaan keinstitusian yang baharu supaya bank-bank pusat dapat terus melaksanakan mandatnya dengan berkesan. Bank-bank Pusat juga harus melaksanakan pembaharuan dan pemodenan mereka sendiri. Peningkatan keupayaan keinstitusian seperti ini mungkin melibatkan perubahan pada pengaturan keinstitusian, struktur dan amalan organisasi dan tadbir urus, perundangan yang memberikan kuasa dan tenaga mahir yang diperlukan. Oleh itu, perkembangan organisasi tersebut memerlukan pembaharuan yang berterusan bagi menyesuaikan diri dengan realiti baharu dalam persekitaran yang berubah-ubah.
Dalam kebanyakan ekonomi sedang pesat membangun, sebahagian besar tenaga mahir tertumpu di Bank Pusat. Dalam persekitaran baharu ini, tenaga mahir tersebut perlu mempunyai keupayaan baharu untuk menangani isu-isu rumit daripada perspektif berbeza yang bukan lagi berasaskan fungsi. Selain melibatkan kerjasama merentas organisasi, ia juga memerlukan pengurusan perhubungan termasuk dengan Kerajaan, dan pada masa yang sama masih mengekalkan kebebasan organisasi. Langkah ini memerlukan usaha menginstitusikan saluran aliran maklumat, struktur tadbir urus dan kejelasan kebertanggungjawaban serta mekanisme untuk menangani pertikaian. Secara kolektif, perhubungan yang konstruktif dapat dibina dan pada masa yang sama, kebebasan Bank Pusat dapat dikekalkan.
Satu elemen asas dalam Perbankan Pusat, yang amat penting dalam persekitaran yang penuh ketidakpastian ini ialah strategi komunikasi yang benar-benar mantap. Tidak seperti strategi komunikasi dalam pengendalian dasar monetari yang sudah matang, komunikasi Bank-bank Pusat berhubung dengan kestabilan kewangan masih lagi di peringkat awal. Malah, krisis baru-baru ini jelas menyerlahkan bahawa Bank-bank Pusat dan pembuat dasar perlu menghasilkan strategi komunikasi yang mengimbangi matlamat memberikan maklumat kepada pasaran dan orang ramai, dan pada masa yang sama mencapai hasil optimum iaitu kestabilan kewangan yang lebih kukuh.
Kesimpulan
Persekitaran ekonomi dan kewangan global yang pantas berubah akan terus memberikan tuntutan dan desakan terhadap Bank-bank Pusat. Meskipun pemodenan dan pembaharuan Bank-bank Pusat yang meluas dapat dilaksanakan pada peringkat kebangsaan, persekitaran yang semakin terhubung dan saling bergantung antara satu sama lain ini menuntut supaya lebih penekanan diberikan kepada perspektif dan pertimbangan global. Perhubungan yang lebih erat pada peringkat antarabangsa melibatkan komitmen dan interaksi yang lebih kukuh bagi menghasilkan tindakan kerjasama yang lebih mantap. Matlamat umum adalah penyertaan yang menyeluruh dalam sistem kewangan antarabangsa yang akan membantu agenda yang dikongsi bersama iaitu pertumbuhan dan perkembangan global yang mapan kendiri.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.