Ucapan oleh Gabenor Sempena Pelancaran Global Gerbang Kewangan Islam Thomson Reuters: "Pencapaian penting dalam membangunkan sistem kewangan Islam global yang lebih efisien dan bersepadu pada peringkat antarabangsa"
Mandarin Oriental Hotel, Kuala Lumpur | 22 Februari 2010
Berlatarkan persekitaran ekonomi dan kewangan global yang lebih mencabar ini, kewangan Islam terus dinamik dengan inovasi yang berterusan dan pertumbuhan yang pesat seiring dengan momentumnya yang terus meningkat. Perkembangan ini bukan sahaja memperlihatkan daya maju dan daya tahan kewangan Islam, tetapi juga kemampuannya untuk kekal berdaya saing. Pengantarabangsaan kewangan Islam juga menyerlah pada dekad ini apabila jangkauannya diluaskan dalam usaha memberikan perkhidmatan kepada masyarakat global. Pembangunan pesat pasaran kewangan Islam dan sokongan arkitektur kewangan Islam antarabangsa serta trend ke arah liberalisasi yang lebih meluas telah menggalakkan integrasi kewangan Islam dalam sistem kewangan antarabangsa.
Pelancaran Gerbang Kewangan Islam (Islamic Finance Gateway) oleh Thomson Reuters pada hari ini sememangnya merupakan satu usaha yang amat dialu-alukan. Akses yang tepat pada masanya kepada pelbagai maklumat penting tentang kewangan Islam termasuk terma dan struktur produk serta keputusan Syariah akan menyumbang dalam menghasilkan pasaran kewangan Islam yang lebih telus. Sebagai platform untuk penemuan harga, gerbang ini akan menyumbang ke arah pelbagai pasaran kewangan Islam yang berfungsi dengan cekap di seluruh dunia. Gerbang ini juga akan memupuk pemahaman antarabangsa yang lebih mendalam tentang amalan kewangan Islam dalam pelbagai pasaran kewangan Islam.
Saya telah dimaklumkan bahawa Gerbang ini akan turut memasukkan dalam kandungannya pangkalan data resolusi Syariah oleh Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa (International Shariah Research Academy, ISRA) berikutan memorandum persefahaman antara Thomson Reuters dengan ISRA yang akan ditandatangani pada hari ini. ISRA ditubuhkan pada tahun 2008 untuk menyediakan platform bagi interaksi dan perbincangan yang lebih meluas antara para pengamal, cendekiawan, pengawal selia dan ahli akademik dalam bidang Syariah dan untuk menggalakkan penyelidikan gunaan terhadap isu-isu semasa dalam kewangan Islam. Usaha ISRA telah menyumbang ke arah pengharmonian dalam pentafsiran Syariah dan seterusnya penstandardan aplikasi dan amalan Syariah dalam kewangan Islam. ISRA kini merupakan wadah pengetahuan yang penting bagi pendapat Syariah atau fatwa. Oleh itu Gerbang Kewangan Islam Reuters berpotensi menjadi wahana penting bagi penyebaran maklumat bermutu tinggi tentang kewangan Islam di seluruh dunia.
Dalam melaksanakan fungsinya untuk mengumpul maklumat tentang kewangan Islam, Gerbang ini akan memaparkan nadi industri perkhidmatan kewangan Islam global yang dinamik. Peningkatan aliran maklumat merentas sempadan dalam masa nyata (real time) akan turut memperkukuh trend pengantarabangsaan kewangan Islam. Kini tahap penyertaan asing dalam pasaran kewangan Islam semakin menggalakkan, lantas meningkatkan aliran merentas sempadan dalam sistem kewangan Islam antarabangsa. Peningkatan aliran maklumat ini akan membolehkan pemerolehan dana di banyak negara dan seterusnya jumlah pelabur akan bertambah. Liberalisasi juga menghasilkan penyertaan lebih banyak institusi asing dalam negara, lantas mempelbagaikan peserta dalam sistem kewangan Islam. Secara kumulatif, perkembangan ini memperkukuh lagi hubungan kewangan antarabangsa antara negara dan menyumbang ke arah pengagihan sumber yang lebih efisien merentas sempadan.
Krisis kewangan global baru-baru ini telah menyerlahkan risiko yang berkait dengan globalisasi kewangan. Oleh itu, kualiti globalisasi kewangan dalam kewangan Islam turut memainkan peranan penting dalam proses pengantarabangsaannya. Saya akan menyentuh dua aspek globalisasi kewangan dalam kewangan Islam. Pertama, kewangan Islam adalah lebih terangkum dari segi jangkauannya bukan sahaja dari aspek penyertaan negara maju tetapi juga penyertaan negara yang sedang pesat membangun, khususnya Asia dan Timur Tengah. Ini akan menghasilkan kepelbagaian dan mengelakkan risiko yang berpunca daripada terlebih tumpuan dalam negara tertentu. Dengan prospek pertumbuhan yang secara relatif lebih menggalakkan dalam negara sedang pesat membangun, pengukuhan kesalinghubungan ekonomi dan kewangan dalam kalangan negara sedang pesat membangun akan saling ? memperkukuh prospek ini. Peranan kewangan Islam yang makin menyerlah dalam merangkumkan pelbagai negara sedang pesat membangun, di samping mengeratkan hubungannya dengan negara maju akan memudahkan lagi proses globalisasi ini.
Aspek kedua ialah berkaitan dengan interaksi global semasa yang semakin pesat dalam kalangan masyarakat antarabangsa untuk memacu agenda reformasi kewangan. Sebagai sebahagian daripada proses ini, interaksi seperti ini perlu diperluas agar mencakupi entiti penetapan piawaian kehematan bagi kewangan Islam, memandangkan kewangan Islam merupakan komponen yang semakin berkembang dalam sistem kewangan antarabangsa. Selain perlunya diberi pengiktirafan terhadap piawaian kehematan yang dikeluarkan oleh Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam (Islamic Financial Services Board, IFSB), kesedaran juga perlu disemai dalam kalangan masyarakat antarabangsa tentang implikasi piawaian baharu yang diperkenalkan terhadap sistem kewangan Islam. Langkah ini penting memandangkan kestabilan kewangan global merupakan aspirasi yang perlu dikongsi bersama.
Akhir sekali, pelancaran Gerbang Kewangan Islam oleh Thomson Reuters pada hari ini menandakan satu lagi pencapaian penting dalam perkembangan kewangan Islam di persada antarabangsa. Portal maklumat dan perdagangan yang begitu komprehensif bagi penyertaan asing dan domestik dalam sistem kewangan Islam seperti ini akan menyumbang ke arah kecekapan dan keberkesanannya sebagai satu bentuk pengantara kewangan. Oleh itu, saya ingin merakamkan ucapan tahniah kepada Thomson Reuters atas pelancaran global Gerbang Kewangan Islam secara rasmi.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.