Ucapan oleh Penolong Gabenor di Pelancaran Majlis Hari Kanak-Kanak 2016
Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia, Sasana Kijang, Kuala Lumpur | 14 Oktober 2016
Selamat datang saya ucapkan kepada semua yang hadir ke majlis pelancaran Hari Kanak-kanak di Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia pada pagi ini. Pada tahun ini, tema “Seni Mata Wang” dipilih untuk menyokong inisiatif pendidikan kewangan Bank Negara Malaysia serta memberi pendedahan kepada orang awam, terutamanya kanak-kanak, tentang keindahan karya yang terdapat pada mata wang yang kita gunakan seharian. Tema ini diambil bersempena dengan pameran “Karya Kertas: Seni Mata Wang” yang sedang berlangsung di ruang pameran sementara di Aras 2, Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia.
Untuk makluman para hadirin sekalian, pendidikan kewangan merupakan elemen yang penting bagi Bank Negara Malaysia untuk membentuk masyarakat celik kewangan. Pelbagai inisiatif telah dibuat untuk menyokong Pelan Sektor Kewangan 2011 - 2020. Bank Negara Malaysia dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia telah berusaha sedaya upaya untuk mengintegrasikan elemen pendidikan kewangan dalam kurikulum sekolah rendah dan menengah secara berperingkat. Antara elemen kewangan berhemat yang diterapkan ialah peranan wang, pengurusan dan perancangan kewangan; simpanan dan pelaburan, sumber pendapatan dan kerjaya; pengurusan kredit dan hutang, serta perlindungan insurans. Di peringkat Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia, salah satu cara untuk menyokong inisiatif pendidikan kewangan ialah melalui pameran dan program seperti Pameran LATerasi kewangan iaitu pameran celik kewangan yang memaparkan kompilasi lebih 150 karikatur terpilih daripada 14 siri Buku Wang Saku oleh Datuk Lat; Pameran “Kenali Nusantara: Wang Yang Membentuk Rantau Ini”; Program Ceramah Sejarah Perkembangan Numismatik Malaysia; serta sambutan Hari Kanak-kanak di Muzium.
Sambutan Hari Kanak-kanak ini telah bermula pada 4 Oktober dan akan diteruskan sehingga 30 November 2016. Pelbagai aktiviti menarik juga telah dijadualkan dengan tujuan meningkatkan tahap celik kewangan kanak-kanak serta memberi peluang kanak-kanak mempelajari sejarah mata wang. Program yang dianjurkan adalah termasuk sesi ceramah “Apa itu Wang?”, “Kenali Wang Anda” dan “Perkhidmatan e-Pembayaran”. Disamping itu, dengan berteraskan konsep “Berjimat, Berbelanja dan Berkongsi”, kami juga menerapkan amalan berjimat cermat dalam kalangan kanak-kanak. Aktiviti “Jom Buat Tabung Si Kijang” dan lawatan ke Galeri Kanak-kanak juga mendidik kanak-kanak untuk membuat pilihan antara keperluan dan kehendak semasa membelanjakan wang yang dimiliki serta kepentingan tabiat menyimpan agar dapat digunakan pada masa hadapan.
Sebentar tadi, kita telah menyaksikan bagaimana berbakat dan beraninya kanak-kanak dari Tunas Kijang dan Tadika Smart Reader dalam membuat persembahan di hadapan khalayak ramai. Ia merupakan satu pengalaman yang menyeronokkan apabila melihat kanak-kanak menonjolkan bakat serta menunjukkan kreativiti mereka. Kami menghargai kerjasama yang diberikan oleh kedua-dua institusi ini.
Setiap kanak-kanak memerlukan “Wira” mereka sendiri, kita sebagai orang dewasa tidak pernah putus asa untuk memahami dan membentuk kanak-kanak supaya menjadi yang terbaik. Di mata kanak-kanak yang kurang berkemampuan, Persatuan “Feeding the Needy” merupakan “Wira” mereka yang telah banyak memberikan pelbagai bantuan seperti keperluan asas untuk meneruskan kehidupan serta menyediakan akses kepada pendidikan yang berkualiti bagi membantu mengubah nasib mereka pada masa akan datang. Kanak-kanak ini mungkin tidak berpeluang untuk berada di sini, tetapi Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia akan mendekati mereka melalui inisiatif “Kempen Derma Beg Sekolah”. Ia merupakan anjuran bersama Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia bersama Persatuan “Feeding the Needy” dengan objektif untuk membantu kanak-kanak yang kurang berkemampuan dalam menyediakan alat tulis dan bahan pendidikan yang lain untuk sesi persekolahan pada tahun hadapan.
Terima kasih tidak terhingga diucapkan kepada pihak Touch ‘n Go Sdn Bhd, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta jabatan-jabatan lain yang terlibat di atas kerjasama dan sokongan yang diberikan. Semoga inisiatif ini akan berterusan dan diterapkan di setiap lapisan masyarakat terutamanya kepada kanak-kanak yang mengambil bahagian di dalam program dan aktiviti yang disediakan.
Terima kasih juga kepada para hadirin kerana dapat bersama-sama kami dalam pelancaran Hari Kanak-kanak di Muzium 2016. Saya percaya sambutan kali ini akan memberi pengalaman yang bermakna bagi kanak-kanak dan juga ibu bapa yang menyertai program yang disediakan, disamping dapat mempelajari pelbagai ilmu pengetahuan yang hanya terdapat di Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia.
Encik Abu Hassan Alshari, Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia bergambar bersama pelajar-pelajar dari Sekolah Indonesia Kuala Lumpur
Pelajar-pelajar dari Sekolah Indonesia Kuala Lumpur sedang menyelesaikan Cabaran Susun Mata Wang Gergasi
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.

