Ucapan oleh Timbalan Gabenor Jessica Chew di Majlis Pelancaran Perkhidmatan Ombudsman Pasaran Kewangan
Sasana Kijang | 17 Januari 2025
Saya amat berbesar hati kerana diberi peluang bersama anda hari ini bagi meraikan satu pencapaian penting dalam evolusi sistem kewangan negara. Usaha untuk menubuhkan Perkhidmatan Ombudsman Pasaran Kewangan (Financial Market Ombudsman Service, FMOS) mungkin bermula sebagai langkah yang praktikal. Namun menerusi sesi rundingan yang meluas dan input berharga daripada pelbagai pihak, termasuk yang berada di sini pada hari ini, FMOS menggabungkan visi bersama yang lebih besar untuk sistem penyelesaian pertikaian yang lebih kukuh bagi pengguna kewangan di Malaysia.
Dalam hal ini, Bank Negara Malaysia (BNM) merakamkan ucapan terima kasih kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia atas kerjasama erat yang diberikan bagi menyokong usaha ini. Kami juga menghargai usaha, kerjasama dan komitmen yang utuh oleh Lembaga Pengarah Ombudsman Perkhidmatan Kewangan (Ombudsman for Financial Services, OFS) dan Pusat Penyelesaian Pertikaian Industri Sekuriti (Securities Industry Dispute Resolution Center, SIDREC), terutamanya ahli Jawatankuasa Pemandu Penggabungan, serta kakitangan OFS dan SIDREC, yang menggerakkan pelaksanaan inisiatif penting ini dengan lancar. Tidak dilupakan juga maklum balas daripada wakil industri kewangan berhubung dengan pelbagai isu dalam usaha memastikan FMOS memulakan langkah sebagai perkhidmatan bersepadu yang dipercayai, cekap dan berkesan kepada pengguna kewangan.
FMOS memainkan peranan penting dalam ekosistem kewangan kita. Pertikaian antara perniagaan dengan pengguna merupakan perkara biasa. Namun, tidak banyak industri lain yang mempunyai tahap ketidakseimbangan kuasa seperti yang wujud antara institusi kewangan dengan pelanggan individu atau perniagaan kecil. Urusan kewangan adalah rumit, dan kebanyakan individu tidak mempunyai keupayaan atau sumber yang diperlukan untuk melindungi diri daripada urusan yang tidak adil. FMOS membantu mengatasi ketidakseimbangan ini dengan menyediakan saluran yang bebas, adil dan telus untuk pengguna kewangan yang terjejas bagi menyelesaikan pertikaian mereka dengan penyedia perkhidmatan kewangan.
Penubuhan FMOS menjadi pelengkap kepada komitmen berterusan BNM untuk mempromosikan rangkuman kewangan dan memastikan layanan adil terhadap pengguna kewangan. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kira-kira satu perempat daripada piawaian pengawalseliaan yang diterbitkan oleh BNM telah memberikan tumpuan pada isu amalan. Tumpuan ini mencerminkan usaha kami untuk sentiasa meningkatkan piawaian mengenai kehendak kami supaya institusi kewangan memastikan mereka sentiasa berurusan secara adil dengan pelanggan. Satu contoh ketara baru-baru ini ialah versi semakan Dokumen Dasar mengenai Layanan Adil terhadap Pengguna Kewangan yang dikeluarkan pada tahun 2024. Dalam versi terbaharu ini, kami memperkenalkan prinsip baharu dan keperluan khusus terhadap penyedia perkhidmatan kewangan bagi memberikan pertimbangan dan respons terhadap kepentingan dan keperluan pengguna yang mudah terjejas (vulnerable consumers) dalam menjalankan perniagaan dan operasi mereka. Satu lagi dokumen ialah Dokumen Dasar mengenai Ketelusan dan Penzahiran Produk yang telah disemak untuk memperkenalkan keperluan penzahiran yang baharu dan yang dipertingkatkan. Keperluan ini menerapkan saranan tingkah laku untuk meningkatkan kejelasan dan kebolehcapaian maklumat produk yang disediakan melalui saluran digital. Kami juga sedang dalam proses mengkaji semula Garis Panduan Pengendalian Aduan untuk mencerminkan penambahbaikan yang pada hemat kami diperlukan dalam usaha memastikan bahawa mekanisme pengendalian aduan oleh penyedia perkhidmatan kewangan kekal berkesan dan responsif dalam menangani isu-isu yang dihadapi oleh pengguna.
Kami sentiasa menyarankan bahawa langkah pertama dalam menyelesaikan pertikaian perlu bermula dengan penyedia perkhidmatan kewangan. Kajian kami mendapati bahawa pengalaman pelanggan berhubung dengan cara aduan mereka dikendalikan boleh meninggalkan kesan yang besar dalam membina kepercayaan, meskipun sesebuah produk kewangan tidak berfungsi seperti yang diharapkan. Memandangkan kes salah laku sistemik yang disengajakan dalam sesebuah institusi kewangan jarang berlaku, pendekatan yang adil dan peka dalam mengendalikan aduan bukan sahaja dapat membantu institusi kewangan membina kesetiaan dan kepercayaan pelanggan yang berpanjangan, malah memberikan pemahaman berharga untuk memperbaiki produk dan amalan mereka. Dalam kes penipuan dan salah laku yang serius, kami akan mengambil tindakan tegas dengan kerjasama agensi penguatkuasaan undang-undang yang lain untuk mendakwa pelaku, termasuk menyekat individu daripada berkhidmat dalam sektor kewangan.
Dalam tempoh lima tahun yang lepas, industri kewangan menerima sekitar 2.3juta aduan, dan sebanyak 98% merupakan aduan daripada sektor perbankan manakala selebihnya daripada sektor insurans dan takaful. Jumlah aduan sejak beberapa tahun kebelakangan ini secara puratanya 65% lebih tinggi berbanding aduan pada tahun 2020. Angka ini mencerminkan bukan sahaja kerumitan perkhidmatan kewangan yang semakin meningkat, tetapi juga peningkatan kesedaran dan jangkaan pengguna. Sebaliknya, aduan yang dikemukakan kepada BNMLINK menunjukkan pengurangan sebanyak 37% dalam tempoh yang sama. Hal ini menandakan penambahbaikan yang berterusan pada saluran aduan yang disediakan oleh penyedia perkhidmatan kewangan sendiri, lantas memberikan kesan positif dalam memastikan pengguna mendapat bantuan yang mereka perlukan dan menyebabkan semakin sedikit aduan yang dikemukakan kepada BNMLINK. Kami menjangkakan angka ini akan terus menurun selaras dengan piawaian lebih tinggi mengenai layanan adil yang ditetapkan untuk penyedia perkhidmatan kewangan, termasuk dalam pengurusan aduan pelanggan. Bukti yang menyokong keadaan ini juga dapat dilihat dari segi peningkatan ketara yang dicatatkan berhubung dengan kesetiaan pelanggan dan kepuasan pelanggan secara keseluruhan seperti yang dicatatkan dalam Tinjauan Kepuasan Pelanggan (Customer Satisfaction Survey) terkini yang dilaksanakan oleh industri perbankan dan insurans di seluruh negara.
Pada masa hadapan, FMOS akan berada dalam kedudukan yang unik untuk mengembangkan dan memanfaatkan penambahbaikan ini. Melalui penubuhan FMOS, had kewangan bagi pertikaian yang layak telah dinaikkan dan diselaraskan kepada maksimum RM250,000 daripada RM10,000 bagi pertikaian mengenai kerosakan harta benda pihak ketiga bagi motor bagi motor dan RM25,000 bagi pertikaian berkaitan transaksi tanpa kebenaran. Had kewangan sebanyak RM250,000 yang diselaraskan untuk semua pertikaian juga konsisten dengan had kewangan sedia ada untuk pertikaian dalam pasaran modal, sekali gus membolehkan lebih banyak pengguna kewangan menggunakan perkhidmatan penyelesaian pertikaian alternatif yang ditawarkan oleh FMOS.
Seiring dengan produk dan perkhidmatan kewangan yang berkembang dan menjadi semakin kompleks, sangat penting bagi pasukan FMOS dilengkapi dengan kemahiran, pengetahuan, dan kepakaran yang diperlukan untuk melaksanakan peranannya dengan tahap kecekapan profesional dan integriti yang tinggi. Adakalanya, kes akan memerlukan penyelesaian yang kreatif untuk mencapai hasil yang adil kepada pihak-pihak yang terlibat dalam pertikaian. Oleh itu, BNM menghendaki penyedia perkhidmatan kewangan untuk bekerjasama sepenuhnya dengan FMOS ke arah mencapai penyelesaian yang pantas dan adil. Kerjasama ini termasuk memberikan semua maklumat dan dokumen yang diperlukan kepada FMOS dengan segera untuk memudahkan semakan menyeluruh terhadap kes-kes tersebut dan berinteraksi secara aktif dengan FMOS untuk mencari penyelesaian yang lebih adil untuk pengguna.
Dalam usaha memenuhi skop yang lebih luas dan jangkaan yang lebih tinggi, FMOS perlu berhadapan dengan persekitaran yang pantas berubah serta mampu mengambil kira pertimbangan undang-undang dan keadilan dalam kes-kes tertentu. Selain itu, salah satu peranan FMOS yang paling penting ialah keupayaan untuk memberikan maklum balas mustahak dan pantas kepada pengawal selia mengenai isu-isu sistemik dan amalan tidak baik supaya tindak balas pengawalseliaan dapat dilakukan awal serta dapat mencegah kemudaratan kepada pengguna pada masa hadapan. BNM juga kekal komited untuk bekerjasama rapat dengan FMOS bagi terus mempertingkatkan sistem pemantauan dan maklum balas pengawalseliaan untuk memaklumkan tentang intervensi BNM. Intervensi ini termasuk menggunakan dapatan daripada kes-kes yang dikendalikan oleh FMOS untuk mengenal pasti bidang pendidikan pengguna yang perlu dimantapkan lagi dalam usaha memperkasakan pengguna untuk melindungi diri mereka daripada risiko kewangan dan risiko salah laku.
Membina kepercayaan pada institusi kewangan merupakan sesuatu usaha yang semakin lama semakin mencabar, namun usaha ini semakin penting demi membina komuniti yang berdaya tahan. Meskipun kepercayaan terhadap sesebuah institusi kewangan boleh terjejas apabila pengguna mengalami pengalaman tidak menyenangkan dengan institusi tersebut, FMOS memainkan peranan yang sangat penting untuk memastikan orang ramai terus yakin terhadap sistem kewangan yang akan melindungi pengguna individu dan perniagaan kecil dengan adil.
BNM yakin bahawa FMOS berada pada kedudukan yang baik untuk memenuhi jangkaan ini. Dengan itu, izinkan saya mengakhiri ucapan dengan mengucapkan tahniah kepada lembaga pengarah dan kakitangan FMOS atas pelancaran FMOS pada hari ini.
Bank Negara Malaysia
17 Januari 2025
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.