Ucapan oleh Timbalan Gabenor di Pertandingan Pidato antara Institusi Kewangan Piala Gabenor Bank Negara Malaysia 2014
Bank Negara Malaysia | 26 Jun 2014
Alhamdulillah, saya bersyukur ke hadrat Ilahi kerana kita dapat berkumpul bersama-sama pada petang ini untuk menyempurnakan Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Akhir Pidato Piala Gabenor 2014. Buat julung kalinya, pertandingan tahun ini diadakan di Bank Negara Malaysia.
Saya ingin merakamkan setulus penghargaan kepada pihak Dewan Bahasa dan Pustaka dan Urus Setia Pertandingan atas usaha bersama menganjurkan pertandingan ini yang kini telah masuk tahun yang keenam.
Pertandingan ini merupakan inisiatif kebahasaan Bank Negara Malaysia di bawah Sekretariat Gerakan Bahasa Kebangsaan Sektor Kewangan. Pertandingan tahunan ini dianjurkan bertujuan untuk mencungkil bakat dan kemahiran warga kerja institusi kewangan dalam bidang pengucapan awam.
Kepentingan Bahasa dalam penguasaan ilmu dan perkembangan tamadun
Pada petang ini saya ingin berkongsi pandangan tentang kepentingan bahasa dalam penguasaan ilmu dan pembinaan masyarakat yang bertamadun. Sesungguhnya bahasa merupakan pengantar penting dalam pencarian dan penyebaran ilmu pengetahuan. Oleh itu, tidak dinafikan bahawa aktiviti kebahasaan seperti pengucapan awam, debat dan penterjemahan merupakan antara aktiviti penting yang menyokong usaha tersebut. Malah sejak zaman dahulu lagi, perkembangan dan kemajuan sesuatu tamadun banyak bergantung pada pendemokrasian ilmu yang diperoleh daripada sumber-sumber tamadun sebelumnya. Ilmu daripada pelbagai tamadun ini, pada lazimnya bahasa asing, kemudiannya diterjemahkan ke dalam bahasa yang difahami oleh masyarakat setempat. Sesungguhnya sesuatu bahasa itu akan menjadi ‘lingua franca’, bahasa pergaulan atau perhubungan jika ia adalah bahasa yang berupaya untuk mengembang dan memperluaskan ilmu. Bahasa hanya akan hidup dan menjadi penting jika ia adalah punca ilmu yang dapat mengembangkan dan mencabangkan keupayaan minda.
Sebagai contoh, di Baghdad pada era tamadun Islam, gerakan penterjemahan buku-buku daripada bahasa terdahulu, terutama Yunani, telah dilakukan secara besar-besaran pada kurun ke-9 dan 10. Hasil daripada usaha penterjemahan ini tamadun di Timur Tengah telah memperoleh ilmu yang seterusnya telah mencetus era kemajuan. Malah kemajuan dan kecanggihan teknologi dalam bidang perubatan, astronomi dan matematik masakini banyak disumbangkan oleh tamadun Islam1. Di Uzbekistan, Al Farghani telah membukukan risalat mengenai alat utama astronomikal, strolable, yang mendapat pembacaan yang meluas di Eropah pada zaman pertengahan.
Risalat ini adalah mengenai ilmu pengiraan darjah lilitan bumi. Antara pembaca risalat tersebut adalah Christopher Columbus, orang Eropah yang pertama dikatakan sampai ke benua Amerika. Banyak lagi contoh yang menarik. Umpamanya Omar Khayyam antaranya telah menemui teori geometri penyamaan Kubic, mengenal pasti dan membahagikan 14 jenis “third-degree equations” dan teori selari (parallel theory) yang menjadi popular selepas 700 tahun setelah diperkenalkan.
Semasa empayar Romawi menguasai Eropah, bahasa Latin telah berkembang di Eropah dan menjadi bahasa ilmu. Universiti-universiti di Eropah menggunakan bahasa Latin sebagai bahasa pengantar ilmu dan bukannya bahasa yang digunakan secara meluas. Akibatnya, ilmu pengetahuan dan kemajuan hanya berlegar dalam kalangan segelintir elit Eropah yang menguasai bahasa Latin manakala rakyat ramai masih kejahilan ilmu dan mundur. Hanya apabila ilmu disampaikan dalam bahasa peribumi rakyatnya, barulah ilmu itu dapat difahami, dimanfaatkan dan tersebar luas. Melalui pendemokrasian ilmu itulah tercetusnya revolusi perindustrian Eropah pada kurun ke-18 dan ke-192.
Begitu jugalah proses yang berlaku di Malaysia, jika bahasa Melayu hendak diterima dan diguna pakai serta disebarkan secara cepat dan berkesan, ia mestilah merupakan bahasa ilmu dan mempunyai nilai ekonomi. Bahasa yang mendorong rakyat yang berilmu inilah yang akan membina kemakmuran ekonomi negara dan seterusnya merumpun dan membina bangsa Malaysia. Dari perspekstif ini, usaha usaha penterjemahan buku-buku daripada bahasa asing perlu dipergiatkan lagi dengan objektif untuk menguasai dan memperluaskan punca ilmu dan seterusnya melahirkan masyarakat yang yakin, berwawasan dan berwibawa.
Mengimbas kembali zaman ketamadunan Melayu Melaka, bahasa Melayu berada pada kedudukan tertinggi di rantau ini kerana ianya digunakan dalam urusan dagang dan aktiviti ekonomi dengan Negara-negara serantau3. Di zaman tersebut, bahasa Melayu mempunyai nilai ekonomi kerana ia digunakan sebagai ‘lingua franca’ untuk dagangan. Seperti yang tercatat dalam lipatan sejarah, kejayaan dan kemajuan tamadun tidak mungkin dapat dicapai sekiranya rakyat pada masa itu tidak boleh menyampaikan dan membangunkan sistem ilmu mereka melalui penggunaan bahasa Melayu4.
Dalam konteks ini, saya percaya penggunaan bahasa Malaysia yang lebih meluas oleh institusi kewangan boleh membantu segmen pelanggan institusi kewangan yang lebih selesa berkomunikasi dalam bahasa ini. Ia juga akan meningkatkan serta memperluaskan kefahaman pelangan-pelangan terhadap produk dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh institusi kewangan. Saya percaya penganjuran pertandingan ini sebagai salah satu usaha murni untuk penyebaran ilmu berkaitan dengan kewangan dan perbankan.
Bank Negara Malaysia juga telah memberikan komitmen yang tinggi dalam usaha penterjemahan bagi menyebarkan maklumat dan ilmu serta berkerjasama dalam penganjuran seminar berkaitan kewangan Islam khasnya. Beberapa inisiatif penterjemahan dan penganjuran seminar telah dilakukan,
- Penterjemahan buku-buku Bahasa Arab untuk memperkayakan koleksi bahan-bahan rujukan untuk bidang perbankan dan kewangan Islam: Atas kesedaran betapa pentingnya pengkayaan khazanah ilmu menerusi usaha-usaha penterjemahan, Bank Negara Malaysia bersama-sama dengan Institut Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia telah mengambil inisiatif untuk menterjemahkan kitab-kitab muktabar dari bahasa Arab.
Antara kitab-kitab yang telah diterjemahkan dan telah diterbitkan termasuklah Kitab Qawaid al-ahkam karya Imam Izzaldin Abdul Salam, Kitab Radd al-Mukhtar tulisan Ibnu Abidin dan Kitab Madkhal fiqh al-am tulisan Sheikh Mustafa Ahmad Zarqa.
- Penerbitan Resolusi Syariah Dalam Kewangan Islam: Penerbitan ini merupakan kompilasi semua resolusi Syariah yang dihasilkan oleh Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia bagi memperdalam pemahaman berhubung dengan tafsiran Syariah dan pertimbangan perundangan fiqah bagi keputusan-keputusan Syariah tersebut.
Ternyata sambutan terhadap pertandingan ini semakin menggalakkan. Bermula dengan 17 peserta sahaja pada tahun 2009, bilangan peserta bertambah saban tahun. Malah tahun ini sahaja jumlahnya meningkat kepada lebih 80 orang peserta (2013: 51 orang). Apa yang lebih menarik ialah para peserta pertandingan ini mencerminkan bangsa Malaysia yang majmuk.
Syabas dan tahniah kepada semua peserta yang akan bertanding dan menunjukkan bakat berpidato dengan penuh semangat serta menyampaikan hujah-hujah yang bernas dan tuntas (menyeluruh).
Saya berharap usaha untuk meningkatkan penggunaan bahasa Malaysia di institusi kewangan akan berterusan dan semua institusi kewangan akan menyokong aktiviti kebahasaan pada peringkat nasional. Dan sekali lagi berterima kasih kepada pihak DBP yang berkerjasama untuk menjayakan acara pada hari ini.
Sebagai penutup, saya ucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang telah terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam penganjuran pertandingan pidato ini. Sekian, terima kasih.
1 Al-Hassani (2012). 1001 Inventions: The Enduring Legacy of Muslim Civilisation. Washington D.C: National Geographic.
2 Brown (1986). The Wisdom of Science. United Kingdom: Cambridge University Press.
3 Barnard. (2004). Contesting Malayness: Malay identity across boundaries, Singapore: Singapore University press.
4Andaya & Andaya. (1984), A History of Malaysia, London: Palgrave Macmillan.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.