Ucapan Pembukaan Gabenor di Hari Kewangan Iklim Malaysia pada COP28 UAE
Malaysia Pavilion, Expo City Dubai | 3 Disember 2023
Ucapan Pembukaan Gabenor Abdul Rasheed Ghaffour
di Hari Kewangan Iklim Malaysia pada COP28 UAE
Malaysia Pavilion, Expo City Dubai | 3 Disember 2023
Assalamualaikum, selamat pagi dan selamat datang ke Pavilion Malaysia.
Sejak beberapa hari kebelakangan ini, tekanan semakin meningkat untuk negara-negara maju menunaikan janji mereka untuk menyokong negara-negara membangun menangani kesan perubahan iklim. Satu sorotan ialah perjanjian oleh para pemimpin dunia mengenai penggunaan dana kerugian dan kerosakan secara rasmi. Dengan komitmen yang bertambah secara beransur-ansur, penyelesaian pragmatik bagi memenuhi komitmen ini adalah sangat penting.
Satu lagi isu utama yang menjadi tumpuan ialah perdebatan mengenai penamatan penggunaan bahan api fosil secara berperingkat. Langkah ini mempunyai kesan langsung kepada banyak negara membangun termasuk Malaysia. Dengan kos untuk mengurangkan pelepasan yang tidak dapat dinafikan tinggi, pendekatan yang seimbang adalah sangat penting bagi memastikan usaha membina daya tahan iklim serta pembangunan ekonomi dan sosial terus dilaksanakan. Kami memberikan perhatian sepenuhnya pada hasil perbincangan yang sedang berlangsung.
Izinkan saya beralih kepada Malaysia. Kami melihat agenda iklim bukan sahaja sebagai cabaran yang mendesak, tetapi peluang untuk pertumbuhan. Melalui Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (National Energy Transition Roadmap, NETR), Pelan Hala Tuju Ekonomi dan Teknologi Hidrogen (Hydrogen Economy and Technology Roadmap, HETR) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu (New Industrial Master Plan, NIMP), Malaysia sedang mengambil langkah positif yang membolehkan kami memajukan amalan mampan merentas ekonomi. Langkah ini konsisten dengan peralihan iklim yang adil dan teratur.
Pelaksanaan pelan peralihan negara dan peringkat sektor yang berkesan dan terselaras oleh Kerajaan adalah sangat penting. Pelan ini memenuhi syarat utama untuk Malaysia mendapat manfaat daripada peluang yang ditawarkan oleh peralihan hijau. Keadaan ini boleh dicapai dengan mengurangkan risiko strategik dan dasar bagi pelaburan dalam peralihan hijau dan mewujudkan perkongsian antara sektor awam dengan swasta. Hal ini bermakna lebih banyak pekerjaan berkemahiran tinggi, pendapatan yang lebih mampan dan lebih tinggi, serta kemakmuran bersama yang lebih menyeluruh.
Sektor kewangan Malaysia sedang bekerjasama rapat dengan Kerajaan sebagai sebahagian daripada pendekatan seluruh negara untuk menjadikan rancangan ini suatu kenyataan. Banyak usaha telah dilaksanakan bagi mengukuhkan kapasiti kolektif, rangka kerja institusi dan pengaturan penyelarasan kami yang seterusnya akan memacu aliran kewangan ke arah usaha peralihan iklim Malaysia.
Anda akan mendengar mengenai beberapa usaha ini pada hari ini di Pavilion Malaysia. Kami mempunyai program yang padat, dengan barisan penceramah yang menarik yang akan berkongsi perkara yang Malaysia sedang lakukan untuk menghubungkan mekanisme pembiayaan tradisional dengan kemampanan bagi membiayai inisiatif hijau secara inovatif.
Bagi memulakan program ini, izinkan saya berkongsi beberapa pandangan daripada perspektif Bank Negara Malaysia (BNM).
Agenda iklim adalah sangat penting kepada bank pusat. Walaupun kejadian cuaca ekstrem jarang-jarang berlaku di Malaysia, kami mula melihat tanda jelas kesan perubahan iklim terhadap ekonomi negara. Sebagai contoh, hujan yang lebih kerap, lebat dan tidak dapat diramalkan, banjir, kemarau serta musim kering yang menjejaskan pertanian dan pengeluaran makanan. Selain memberikan risiko kepada tekanan inflasi, peristiwa sedemikian juga meningkatkan risiko fizikal dan liabiliti, yang seterusnya bertukar menjadi risiko kewangan seperti aset yang terjejas dan tuntutan yang meningkat.
Bagi BNM, usaha menjadikan ekonomi dan sistem kewangan lebih berdaya tahan iklim bukan sahaja konsisten dengan, tetapi juga penting bagi, memenuhi mandat kami untuk menggalakkan kestabilan monetari dan kewangan yang kondusif ke arah pertumbuhan ekonomi Malaysia yang berterusan.
Dalam surah al-A’raf, ayat 56, Allah berfirman, “Janganlah kamu rosakkan bumi sesudah ia diperbaiki”. Ayat ini menyeru manusia untuk memulihara, memelihara dan memulihkan alam sekitar bagi mencapai objektif Syariah dan melarang pencemaran, penggunaan sumber sehingga kehabisan dan gangguan terhadap keseimbangan alam. Berpandukan ayat ini, kemajuan Malaysia dalam kewangan Islam telah menyediakan batu loncatan penting untuk pertumbuhan dan pengembangan peralihan dan kewangan hijau. Melalui ekosistem kewangan Islam yang matang, peserta yang dinamik dan berdaya tahan, produk yang pelbagai serta infrastruktur yang diperlukan secara menyeluruh, Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk memainkan peranan penting dalam usaha menangani keperluan pembiayaan cabaran iklim.
Bagi memanfaatkan sepenuhnya saranan kewangan Islam, Pengantaraan Berasaskan Nilai (Value Based Intermediation) atau VBI telah diperkenalkan pada tahun 2018 untuk memperkukuh usaha menerapkan elemen kemampanan dalam kewangan. Sejak itu, industri dengan kerjasama BNM telah menerbitkan panduan sektoral yang terperinci untuk melaksanakan penilaian ESG secara rapi. Hari ini, VBI sangat bersepadu dengan serta melengkapkan usaha yang lebih luas untuk meningkatkan amalan perbankan dan kewangan semua institusi kewangan, sama ada kewangan Islam atau sebaliknya, untuk menangani cabaran semasa, termasuk kecemasan iklim, pada peringkat dunia.
Dalam ruang pasaran modal, Suruhanjaya Sekuriti (Securities Commission, SC) telah mengetuai banyak inisiatif termasuk menerapkan Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (Sustainable and Responsible Investment, SRI) dalam Pelan Induk Pasaran Modal Kedua (Second Capital Market Masterplan, CMP2) yang diterbitkan pada tahun 2011. Menerusi CMP3 dan Pelan Hala Tuju SRI, SC terus membangunkan ekosistem SRI yang komprehensif di Malaysia, termasuk menggalakkan produk pasaran modal yang inovatif bagi memenuhi pelbagai keperluan perniagaan dan pelabur. Seperti yang anda sedia maklum, Malaysia turut menerbitkan sukuk kemampanan berdaulat dalam denominasi USD yang pertama di dunia pada tahun 2021.
Sementara itu, Bursa Malaysia telah melancarkan "Bursa Carbon Exchange", iaitu pertukaran karbon sukarela patuh Syariah yang pertama di dunia. Melalui perdagangan kredit karbon berkualiti tinggi, inisiatif ini membantu perniagaan memenuhi sasaran iklim dalam jangka masa terdekat, sementara lebih banyak penyelesaian yang lebih praktikal diambil untuk menyahkarbonkan operasi mereka.
Malaysia mengakui perlunya pendekatan yang kohesif dan terselaras untuk menyahut cabaran iklim. Sehubungan dengan itu, kami melancarkan Jawatankuasa Bersama Mengenai Perubahan Iklim atau JC3 pada tahun 2019 yang berfungsi sebagai pusat tumpuan utama untuk menerajui tindak balas sektor kewangan kepada agenda iklim.
JC3 dipengerusikan secara bersama oleh BNM dan SC. Ahlinya termasuk bursa saham, peserta industri dan pakar yang berkaitan. Melalui perkongsian kolaboratif, JC3 memacu perubahan merentas aspek penting ekonomi, menyediakan alat, sumber, dan khidmat nasihat untuk tindakan iklim. Langkah ini termasuk usaha untuk merapatkan jurang data iklim, program rintis yang inovatif untuk meningkatkan peralihan dan penyesuaian kewangan serta pembinaan keupayaan untuk menyokong PKS yang dalam peralihan. Butiran lanjut mengenai hal ini dan inisiatif lain yang dilaksanakan oleh JC3 boleh didapati menerusi www.JC3malaysia.com.
Saya juga berbesar hati dengan tumpuan yang semakin meningkat serta tindakan iklim yang jelas yang diambil oleh institusi kewangan di Malaysia. Setakat ini, komitmen kewangan industri berjumlah lebih USD43 bilion untuk tujuan ESG. Menjelang tahun 2026, kami menjangkakan sekurang-kurangnya separuh daripada pembiayaan baharu oleh bank kami adalah sejajar dengan aktiviti yang menyokong iklim atau aktiviti peralihan.
Walau bagaimanapun, Malaysia tidak boleh melakukannya sendiri. Seperti yang dinyatakan dalam NETR, Kerajaan menjangka bahawa Malaysia akan memerlukan pelaburan sekitar USD280 bilion menjelang tahun 2050 untuk memenuhi keperluan peralihan tenaga kami.
Sesi di Pavilion ini hari ini bukan hanya tentang inisiatif yang sektor kewangan Malaysia laksanakan untuk membiayai peralihan iklim kami. Sesi ini juga mengetengahkan banyak peluang yang ditawarkan kepada institusi kewangan, pelabur, perniagaan dan entiti lain dari seluruh dunia untuk menyertai atau bekerjasama dengan kami dalam peralihan kami, sama ada untuk menyumbang atau menggembleng modal dan teknologi; untuk berkongsi kepakaran; ataupun untuk turut serta dalam perbincangan dan berkongsi idea.
Aspirasi kami adalah untuk sektor kewangan Malaysia untuk memainkan peranan penting dalam menggembleng modal untuk memenuhi keperluan pembiayaan iklim dunia pada umumnya yang dianggarkan berjumlah USD275 trilion menjelang tahun 2050[1]. Visi kami untuk Malaysia memudahkan dan menjadi pemangkin kepada aliran kewangan hijau bagi kebaikan bumi adalah sangat sejajar dengan aspirasi kami untuk menjadi hab tenaga boleh diperbaharui untuk ASEAN, serta berperanan sebagai gerbang antarabangsa bagi kewangan Islam.
Kami melihat wujudnya peluang untuk penyelesaian yang lebih inovatif seperti kewangan campuran bagi menyokong peralihan yang adil dan teratur. Sebagai ilustrasi, gabungan pembiayaan konsesi dan pembiayaan komersial iaitu kewangan campuran, boleh membantu meningkatkan kebolehan untuk mengakses perkhidmatan perbankan bagi projek hijau dan peralihan yang berisiko tinggi. Kewangan campuran juga boleh mengurangkan kos peralihan terutamanya untuk perusahaan kecil dan sederhana.
Sebagai sebuah negara yang dikurniakan dengan kepelbagaian biologi yang tiada tandingannya, pemuliharaan alam semula jadi amat penting bagi Malaysia. Ekosistem kami yang kaya bukan sahaja menyumbang kepada warna-warni kehidupan global tetapi juga membentuk tulang belakang ekonomi kita dan mata pencarian banyak rakyat Malaysia. Melalui pemeliharaan khazanah alam Malaysia, kami memastikan kemampanan sumber penting, lantas menyokong pertanian, perhutanan, dan perikanan. Sebagai penjaga kepada tanah yang pelbagai dan berharga ini, menghayati pemuliharaan alam semula jadi bukan sekadar tanggungjawab tetapi laluan ke arah masa depan yang mampan dan berdaya tahan untuk Malaysia dan seterusnya.
Risiko berkaitan iklim dan alam semula jadi saling berkait rapat. Perubahan iklim, yang didorong oleh faktor seperti pelepasan gas dan penebangan hutan, memburukkan lagi kejadian cuaca yang melampau dan kehilangan biodiversiti. Perubahan ini pula, seterusnya meningkatkan risiko berlakunya bencana yang lebih kerap, anjakan pola penyakit serta cabaran terhadap keselamatan makanan dan air. Menyedari kesalinghubungan ini, BNM telah dan akan terus bertindak meningkatkan pengetahuan dan pemahaman tentang alam semula jadi serta peranan sektor kewangan dalam pemuliharaan alam semula jadi.
Sebelum saya mengakhiri ucapan saya ini, izinkan saya untuk mengulangi sekali lagi bahawa Malaysia mengalu-alukan peluang untuk bekerjasama dengan pihak lain bagi memenuhi komitmen untuk memerangi perubahan iklim. Dari pihak BNM, kami komited sepenuhnya untuk menyediakan persekitaran dasar yang kukuh dan mudah bagi membolehkan inovasi memenuhi keperluan pembiayaan yang besar untuk pengurangan dan penyesuaian risiko iklim, dan pada masa yang sama meneguhkan amalan pengurusan risiko iklim dalam sektor kewangan.
Malaysia juga mengakui bahawa meskipun cabaran iklim memerlukan tindakan segera oleh semua pihak, adalah sama penting untuk dunia menentukan hala tuju dengan cara yang adil dan teratur. Hal ini bermakna berusaha untuk menambah baik kesejahteraan masyarakat di seluruh dunia, terutamanya bagi mereka yang paling terjejas akibat perubahan iklim dan peralihan. Hanya dengan menggalakkan hasil positif yang memberikan manfaat kepada semua orang serta meminimumkan kesan negatif dan akibat yang tidak diingini, seperti pengecualian kewangan, boleh kita mendapat komitmen yang berterusan dan bermakna daripada semua. Oleh itu, kami memberikan perhatian sepenuhnya kepada keputusan COP28.
Kami akan terus mengambil bahagian secara aktif dalam perbincangan global dan mewakili perspektif negara sedang pesat membangun berhubung dengan pembangunan dan cabaran kewangan mampan bagi menyokong pendekatan global untuk memerangi perubahan iklim.
Saya percaya bahawa di tengah-tengah semua kesibukan di Dubai pada minggu ini, kita harus diingatkan bahawa dalam apa jua yang kita lakukan, usaha kita perlu berteraskan pada kewajipan dan tanggungjawab bersama untuk memulihara, melindungi dan menjaga Planet Bumi yang merupakan rumah kita. Bukan hanya untuk lapan bilion daripada kita pada hari ini, tetapi juga untuk generasi yang akan datang.
Akhir kata, saya berharap sesi seterusnya dapat memberikan manfaat kepada semua. Terima kasih.
[1] Pada tahun 2022, McKinsey menganggarkan bahawa perbelanjaan modal untuk aset fizikal bagi sistem tenaga dan penggunaan tanah dalam peralihan sifar bersih antara tahun 2021 hingga 2050 berjumlah sekitar USD275 trilion atau USD9.2 trilion setahun secara purata. “The net-zero transition: What it would cost, what it could bring”, McKinsey & Company, Januari 2022.
Bank Negara Malaysia
3 DIsember 2023
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.