Ucapan Pembukaan oleh Gabenor Abdul Rasheed Ghaffour di SEACEN Policy Summit

Sasana Kijang | 5 Februari 2026

“Masa Depan Sistem Monetari Antarabangsa dan Peranan Asia”

 

Kita amat bertuah kerana bersama-sama kita pada hari ini adalah dua mantan Gabenor yang begitu disegani, Gabenor Zeti dan Gabenor Subbarao. Kedua‑dua tokoh ini telah memainkan peranan penting dalam membentuk dan memperkukuh Sistem Monetari Antarabangsa. Dalam banyak aspek, usaha yang kita teruskan hari ini dibina atas asas kukuh yang telah mereka mulakan.

Selamat datang ke Kuala Lumpur. Bank Negara Malaysia berbesar hati menjadi tuan rumah bersama penganjuran Sidang Kemuncak Dasar SEACEN (SEACEN Policy Summit) ini. Acara ini menandakan munculnya kembali Sidang Kemuncak yang berprestij ini; bukan sahaja dari segi kehadiran, malah dari segi tujuan. Persidangan ini menghimpunkan pembuat dasar dari seluruh Asia untuk berkongsi perspektif mengenai salah satu persoalan paling penting pada masa kini, iaitu masa hadapan sistem monetari antarabangsa dan peranan Asia dalam sistem tersebut.

Walaupun istilah ini kelihatan teknikal atau jauh, implikasinya tidak abstrak sama sekali. Sistem monetari mempengaruhi kos pembiayaan perdagangan, semudah mana mudah tunai mata wang asing dapat diperoleh tatkala pasaran bergejolak dan ruang dasar yang tersedia apabila keadaan global berubah, termasuk pada saat tekanan. Inilah realiti yang dirasakan oleh ekonomi kita secara keseluruhan.

Rantau kita telah melalui ujian besar sebelum ini. Sebagai contoh, Krisis Kewangan Asia telah mengubah institusi dan isi rumah, serta paling penting ialah cara kita memahami daya tahan. Tindak balas kita sepadan dengan cara sistem yang berdaya tahan bertindak; bukan dengan slogan, tetapi melalui  pembaharuan  yang tegas. Kita memperkukuh modal dan mudah tunai. Kita membina rizab pertukaran asing. Kita mempertingkatkan pengawasan. Kita juga membina rangkaian kerjasama serantau, kerana kita mengambil iktibar bahawa daya tahan bukan sahaja bersifat nasional, malah bersifat kolektif.

Sejak tempoh itu, Asia telah bangkit dengan penuh yakin. Ekonomi kita kini lebih bersepadu, lebih canggih dan menjadi tunjang dalam perdagangan serta pengeluaran global. Asia juga merupakan rantau yang menjadi penyumbang utama pertumbuhan global hari ini.

Namun, kita bertemu hari ini pada satu lagi titik peralihan. Peralihan kali ini pula bukan ditentukan oleh satu kejutan sahaja, tetapi oleh beberapa faktor yang berlaku serentak.

Maka persoalannya bukanlah sama ada sistem monetari antarabangsa akan berubah. Sistem ini pasti akan berubah. Persoalan sebenarnya, adakah Asia bakal mengambil tempat sebagai pembentuk masa depan tersebut atau sekadar menjadi penerima pasif apa-apa yang ditentukan oleh pihak lain.

Izinkan saya menghuraikan faktor-faktor yang sedang membentuk sistem monetari antarabangsa ini. Bagaimana mulanya, bagaimana perkembangannya dan apa makna perkembangan ini bagi dekad yang akan datang.

Selama beberapa dekad, sistem monetari antarabangsa sebahagian besarnya berpaksikan satu mata wang tunggal iaitu dolar AS. Pada peringkat antarabangsa, kita menetapkan harga barangan, membuat pinjaman, menjalankan lindung nilai dan menilai kecukupan rizab menggunakan dolar AS. Lama‑kelamaan, sistem ini mewujudkan kelaziman dan kesan rangkaian yang kukuh. Pemantauan terkini IMF mengenai sistem monetari antarabangsa menggambarkan cara “kesalinglengkapan” (complementarities) dan “eksternaliti rangkaian” (network externalities) ini mengukuhkan kedudukan mata wang utama tersebut, menjadikan sistem ini kekal stabil dan perlahan untuk berubah.[1]

Namun bagi kebanyakan ekonomi, termasuk di Asia, ketahanan dolar AS ini menimbulkan kesan yang negatif: ekonomi menjadi mudah terjejas berikutan keadaan mudah tunai mata wang asing serta menjadi sensitif terhadap episod penghindaran risiko oleh pelabur apabila pendanaan dolar menjadi ketat.

Krisis Kewangan Asia merupakan salah satu episod tersebut. Apabila keadaan pendanaan luaran berubah, ketidakpadanan mata wang dan pemberhentian aliran masuk secara mendadak (sudden stops) mendedahkan kelemahan yang wujud. Hal ini menjadi satu peringatan jelas bahawa apabila saluran kewangan utama menjadi sempit, negara tanpa saluran keselamatan alternatif akan kekurangan ruang, masa dan pilihan.

Sehingga hari ini, banyak aspek operasi rizab dan fungsi perbendaharaan masih berasaskan dolar AS, kerana sistem itu dibina sedemikian rupa. Sistem ini cekap, namun gagal apabila berhadapan tekanan.

Walaupun kita masih mewarisi struktur legasi ini, kita juga perlu menyedari akan kuasa baharu yang kini sedang membentuk sistem tersebut.

Hari ini, terdapat tiga dinamik utama yang sedang membentuk semula sistem monetari antarabangsa.

Pertama, walaupun dolar AS masih dominan dalam sistem monetari antarabangsa, kedudukannya semakin diuji sedikit demi sedikit.

Dolar AS kekal sebagai mata wang utama dunia, tetapi titik‑titik tekanan telah mula kelihatan.

Ketika tempoh tekanan, mudah tunai dolar AS pantas menjadi ketat. Malah, kita telah menyaksikan episod tekanan pendanaan dolar AS berlaku serentak dengan tempoh kejutan global utama. Bagi ekonomi sedang pesat membangun dan terbuka, kesannya dirasai serta‑merta, terutamanya apabila akses kepada sumber mudah tunai dolar AS dihadkan kepada segelintir negara sahaja.

Pada masa yang sama, terdapat usaha yang perlahan namun berterusan ke arah kepelbagaian daripada penggunaan dolar AS. Data IMF masih menunjukkan dominasi dolar AS, tetapi dengan penurunan bahagian rizab pertukaran asing (foreign exchange, FX) global daripada 62% pada tahun 2012 kepada 57% pada tahun 2025, manakala mata wang Euro dan mata wang lain beransur-ansur menunjukkan peningkatan secara kolektif.[2]

Langkah ini bukanlah peralihan besar‑besaran daripada dolar AS, namun pengimbangan semula secara beransur‑ansur. Hal ini sebahagiannya didorong oleh pengurusan risiko, iaitu pengurus rizab tidak mahu terlalu bergantung pada satu mata wang sahaja. Langkah ini juga adalah untuk membina daya tahan melalui kepelbagaian, terutamanya dalam landskap risiko yang semakin dipengaruhi oleh geopolitik dan ketidakpastian dasar.

Dinamik kedua ialah pemecahan dan geoekonomi dan pembahagiannya mengikut rantau yang semakin ketara.

Rantaian bekalan, jalinan perdagangan dan saluran kewangan sedang distrukturkan semula menjadi blok serantau. Risiko pada hari ini bukan sahaja tentang harga dan kredit, malah merangkumi akses; kesinambungan; dan keupayaan untuk mengekalkan pembayaran serta mudah tunai ketika dalam tekanan.

Asia sedang bertindak balas menerusi pelbagai aspek: melalui perdagangan dan pelaburan; memperkukuh jaringan keselamatan serantau; membina rangkaian pembayaran; membangunkan rangka kerja mata wang tempatan; dan mempertingkatkan pemantauan. Arah tujunya jelas: apabila saluran keselamatan utama menjadi ketat, rantau yang memiliki saluran alternatif mampu terus menggerakkan kegiatan ekonomi.

Dinamik ketiga ialah pendigitalan dan kemajuan teknologi, yang membuka peluang dan menimbulkan gangguan pada masa yang sama.

Kecerdasan buatan (artificial intelligence, AI), tokenisasi, mata wang digital bank pusat (central bank digital currency, CBDC) dan stablecoin berasaskan USD bukan lagi isu-isu pinggiran. Kesemua isu ini mengubah pergerakan nilai mata wang dan aliran mudah tunai serta membentuk semula sempadan pengawalseliaan.

Kajian IMF mengenai sistem monetari antarabangsa jelas menyatakan bahawa walaupun penggunaan CBDC rentas sempadan masih pada peringkat percubaan, penggunaan aset kripto antarabangsa semakin meningkat, terutamanya stablecoin berasaskan USD. Kajian tersebut juga menyatakan bahawa penggunaan stablecoin secara meluas boleh menimbulkan risiko pengeluaran modal yang pantas atau  run risks, menyumbang kepada penggantian mata wang dan mewujudkan perpecahan dalam sistem pembayaran, kecuali jika tahap saling boleh kendali dan pengawasan dipertingkatkan secara seiring.

BIS menegaskan kepentingan bank pusat mengekalkan penilaian yang jelas dan berpandangan jauh dalam perkara ini. Dalam mana‑mana sistem generasi baharu, keyakinan terhadap wang dan penyelesaian pada nilai tara (settlement at par) kekal sebagai asas yang tidak boleh dirunding. Teknologi tidak menghapuskan keperluan integriti, sebaliknya meningkatkan kepentingannya.[3]

Jika semua faktor yang disebutkan menjadi daya yang membentuk sistem pada hari ini, apakah daya penentu keadaan pada lima hingga sepuluh tahun akan datang? Saya mencadangkan tiga keutamaan:

Pertama: kepelbagaian yang teratur, bukan pemisahan yang tidak teratur. Kewibawaan bank pusat dibina atas asas kestabilan. Begitu juga kewibawaan sistem monetari antarabangsa. Matlamatnya bukan untuk mengalihkan tumpuan atau mewujudkan blok pembayaran yang bersaing. Matlamatnya adalah untuk mengurangkan risiko penumpuan secara beransur‑ansur, terurus dan berpaksikan pembangunan pasaran serta rangka kerja makroekonomi yang kukuh. Bagi Malaysia, kepelbagaian pelaksanaannya dapat dilihat antaranya melalui peningkatan penyelesaian mata wang tempatan dengan Thailand, daripada RM1.9 bilion atau 6.4% perdagangan dua hala pada tahun 2009 kepada RM11.7 bilion (18.7%) pada tahun 2024; dengan Indonesia daripada RM1.2 bilion (4.5%) pada tahun 2009 kepada RM8.8 bilion (11.9%) pada tahun 2024; dan dengan China daripada RM1 bilion (1.7%) pada tahun 2011 kepada RM73.9 bilion (28.4%) pada tahun 2024.

Kedua: mempunyai struktur kewangan serantau yang lebih kukuh. Seruan ke arah daya tahan serantau telah dipergiat, bukan sebagai ideologi tetapi sebagai pengurusan risiko. Pada tahun 2025, pemimpin kewangan ASEAN+3 bukan sahaja bersetuju untuk mempertingkatkan CMIM melalui penubuhan kemudahan pembiayaan pantas bagi kejutan seperti pandemik dan bencana alam, malah turut sepakat memulakan usaha mengubah CMIM kepada model modal berbayar (paid-in capital). Malaysia juga telah memajukan rangkaian pembayaran merentasi negara anggota ASEAN daripada 18 kepada 28 jalinan pembayaran rentas sempadan pada tahun 2025, dengan jumlah transaksi QR dan P2P rentas sempadan masing-masing mencatatkan peningkatan sebanyak 190% dan 41% berbanding separuh pertama tahun 2024.

Ketiga: Sistem monetari antarabangsa yang saling boleh kendali dan berasaskan data. Kepelbagaian mengukuhkan daya tahan hanya jika sistem kita kekal saling berhubung. Tanpa kemampuan untuk saling kendali, kepelbagaian berisiko memburukkan keadaan dan meluaskan lagi pemecahan berbanding mengurangkannya. Maka, keutamaan kita adalah untuk memastikan sistem pembayaran, piawaian data, rangka kerja pelaporan dan alatan dasar terus “berinteraksi” antara satu sama lain merentas sempadan. Dengan penyelarasan antara negara yang lebih cekap serta memberi pembuat dasar pandangan yang tepat pada masanya dan boleh dipercayai bagi membuat keputusan berdasarkan maklumat yang mencukupi, kita mampu bertindak secara proaktif dengan berpandangan jauh, bukannya hanya bertindak selepas sesuatu berlaku.

Peralihan ini sudah bermula. Persoalannya, adakah kita yang membentuk peralihan ini ataupun sekadar bertindak balas pada peralihan yang terjadi? Inilah masanya untuk kita meneliti dan mencari jawapannya yang ada dalam kalangan kita semua di sini.

Tuan‑tuan dan puan‑puan,

Saya ingin menyentuh tentang kepentingan faktor-faktor ini, terutamanya bagi Asia.

Pertama, Asia kekal terdedah pada “situasi yang berlaku di tempat lain”.

Dalam dunia yang dipengaruhi oleh kitaran kewangan global yang besar, limpahan daripada dasar dan keadaan kewangan negara-negara maju boleh memberikan kesan yang segera kepada kadar pertukaran negara; keadaan aliran modal dan kewangan domestik akan membuat penyesuaian. Kesemua keadaan ini mengehadkan ruang dasar dan mengekang ruang untuk kita memenuhi keperluan di dalam negeri.

Krisis Kewangan Asia memberikan iktibar tentang akibat ketidakpadanan kewangan terhadap negara, manakala Krisis Kewangan Global dan pandemik mengingatkan kita tentang “kemarau dolar AS” (dollar droughts). Asia telah belajar menangani realiti ini dengan rangka kerja yang lebih kukuh, instrumen kehematan makro dan penampan kewangan. Namun arah tujunya jelas; kejutan luaran tersebar lebih cepat dan pengimbangan kepentingan dasar (policy trade-offs) menjadi lebih teliti.

Kedua, pemecahan meningkatkan keperluan terhadap penampan serantau dan sistem sokongan serantau.

Apabila rantaian bekalan distrukturkan semula dan ketidaktentuan geopolitik meningkat, daya tahan bergantung pada keupayaan perdagangan dan kewangan untuk terus berfungsi meskipun dalam keadaan tekanan.

Inilah sebabnya jaringan keselamatan serantau yang lebih kukuh, keupayaan pengawasan yang lebih mendalam, sistem pembayaran yang saling boleh kendali dan ekosistem mata wang tempatan bukan sekadar pilihan (nice-to-haves). Semua faktor ini membantu mengurangkan kejutan secara kolektif dan memastikan kegiatan ekonomi dapat diteruskan walaupun ketika persekitaran luaran menjadi lebih mencabar.

Inilah rasional kewujudan CMIM dan AMRO; punca pertumbuhan pasaran bon mata wang tempatan dari Kuala Lumpur ke Bangkok dan Jakarta; serta matlamat rangkaian pembayaran pantas dan jalinan QR ASEAN. Tugas kita sekarang adalah untuk memastikan semua saluran ini berfungsi dengan cekap dan memberikan manfaat kepada seluruh rantau.

Ketiga, teknologi menuntut kewaspadaan baharu.

Risiko tidak hilang apabila teknologi baharu muncul, malah risiko itu berpindah. Stablecoin dan aset token boleh mempercepat aliran pengeluaran, merumitkan langkah kawalan aliran modal dan memecahbelahkan pembayaran, kecuali tahap saling kendali antara sistem dibina sejak awal.[4]

Kita tidak boleh menghadapi cabaran ini bersendirian kerana ekonomi kita semakin saling berkait. Maka tugas kita jelas: meraih kecekapan sambil mengawal kelemahan; disertai dengan kerjasama data rentas sempadan yang lebih kukuh, perimeter kawal selia yang lebih jelas dan tahap saling kendali antara sistem yang praktikal. Ringkasnya, untuk membuat penyesuaian dengan sistem monetari antarabangsa masa hadapan, Asia mesti bergerak lebih pantas, lebih terselaras dan lebih bersedia daripada aspek teknologi berbanding sebelumnya.

Saya berharap agar semua hal yang dinyatakan di atas dapat disimpulkan dalam beberapa perkara untuk diteliti secara terbuka pada hari ini. Saya cadangkan tiga persoalan untuk dibahaskan:

Pertama, bagaimanakah kita boleh menyusun pelarasan yang teratur berhubung dengan kebergantungan Asia pada dolar AS? Sejauh manakah tahap kepelbagaian yang boleh dicapai, berapa lamakah tempoh yang sesuai dan apakah langkah kawal selia yang diperlukan untuk mengelakkan ketidakstabilan?

Kedua, apakah pilihan dan kekangan yang perlu diambil kira untuk memandu pembaharuan sistem monetari antarabangsa yang lebih luas? Bagaimanakah kita boleh menjadi lebih inklusif dan mencerminkan kepentingan ekonomi Asia tanpa menjejaskan kestabilan global?

Akhir sekali, bagaimanakah sistem monetari antarabangsa harus berkembang dalam dunia yang dipacu teknologi? Apakah langkah kawal selia yang diperlukan bagi AI, aset token, stablecoin dan CBDC supaya inovasi mengukuhkan dan bukan menghakis keyakinan?

Kesemua persoalan ini bukanlah bersifat akademik. Persoalan ini menandakan pilihan yang akan menentukan struktur dan daya tahan sistem monetari antarabangsa.

Tuan‑tuan dan puan‑puan,

Tujuan kita hari ini jelas: kita perlu membahaskan persoalan yang penting agar kita dapat sama-sama membentuk sistem monetari antarabangsa yang lebih inklusif dan berdaya tahan untuk tahun‑tahun mendatang.

Semoga kita akan dapat menghasilkan perbincangan yang produktif dalam Sidang Kemuncak ini. Terima kasih.

 


[1] https://www.imf.org/-/media/files/publications/esr/2025/english/ch2.pdf

[2] Sumber: IMF Currency Composition of Official Foreign Exchange Reserves (COFER)

[3] https://www.bis.org/publ/arpdf/ar2025e3.pdf

[4] https://www.imf.org/-/media/files/publications/dp/2025/english/usea.pdf

 


Bank Negara Malaysia
05 Februari 2026

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?