Ucapan Pembukaan oleh Gabenor Abdul Rasheed Ghaffour di Pelancaran Pusat Kecemerlangan Tun Ismail Ali

Asia School of Business | 14 Ogos 2025

Saya berbesar hati untuk mengalu-alukan kehadiran anda ke pelancaran rasmi Pusat Kecemerlangan Tun Ismail Ali (Tun Ismail Ali Centre of Excellence, TIA CoE). Pusat Kecemerlangan Tun Ismail Ali ini ditubuhkan atas komitmen berterusan Bank Negara Malaysia terhadap penyelidikan berkaitan dasar dan pembangunan institusi. Sebelumnya dikenali sebagai Kursi Tun Ismail Ali yang ditempatkan di Universiti Malaya, Pusat Kecemerlangan Tun Ismail Ali kini telah bergabung dengan Asia School of Business (ASB) Central Banking Research Centre dan akan terus beroperasi di bawah ASB.

Hal ini mencerminkan evolusi daripada aspek cita-cita dan skop, memperluas warisan untuk meningkatkan kecemerlangan akademik dalam bidang monetari dan ekonomi kewangan. Sejak penstrukturan semula pada hujung tahun lepas, TIA CoE ini telah menghimpunkan para sarjana dan pengamal terkemuka untuk membincangkan dan menangani isu-isu dasar yang mendesak seperti perubahan dinamik sistem monetari antarabangsa, kaitan antara makroekonomi dengan kewangan serta cabaran dasar monetari. Kesemua usaha ini menunjukkan peranan TIA CoE dalam menghubungkan penyelidikan dengan isu-isu dunia nyata yang dihadapi oleh pembuat dasar, terutamanya ahli bank pusat.

Menelusuri perkembangan TIA CoE ini, saya bagi pihak Bank Negara Malaysia (BNM) ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Universiti Malaya (UM) atas kesudian mereka menjadi tuan rumah kepada Pusat ini selama lebih dua dekad sejak penubuhannya pada bulan Ogos 2000. Saya juga ingin menzahirkan penghormatan kepada Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz atas kepimpinan beliau yang penuh berwawasan semasa menerajui BNM dan peranan penting beliau dalam penubuhan awal Pusat ini di UM. Melangkah ke hadapan, kami yakin bahawa dengan mandat yang diperluas dan lokasi baharu di ASB, Pusat ini akan menggapai puncak baharu dalam usaha memajukan kepimpinan berwawasan dan penyelidikan berkaitan dasar.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Kita kini berada dalam satu era perubahan besar dalam sistem monetari dan kewangan global, iaitu situasi sempadan mandat bank pusat yang sekian lama wujud sedang diuji oleh perubahan struktur yang belum pernah berlaku sebelum ini. Perkembangan seperti pemecahan geoekonomi, perubahan iklim dan pendigitalan kewangan yang pesat semakin mempengaruhi landskap ekonomi yang lebih luas, dengan implikasi yang berpanjangan untuk sistem kewangan dan monetari global. Tanpa persediaan yang rapi, bank-bank pusat mungkin akan berdepan dengan risiko yang tidak dijangka, yang boleh mencabar sistem dan rangka kerja yang sedia ada.

Tun Ismail pernah berkata, “Bank Pusat beroperasi dalam persekitaran yang tidak sempurna, dengan instrumen yang tidak sepenuhnya difahami pengaruhnya, demi pencapaian objektif yang tidak difokuskan setepatnya dan dinyatakan secara umum sahaja. Oleh itu, profesion perbankan pusat tidak memiliki takrifan yang sempurna dan proses membuat keputusan sememangnya tidak bebas daripada ketidakpastian dan kerisauan. Maka, petua kejayaan seorang pegawai perbankan pusat ialah adanya ketenangan untuk menerima sesuatu yang tidak dapat diubah, keberanian untuk mengubah sesuatu yang tidak dapat diterima dan paling penting, kebijaksanaan dan pengalaman untuk membezakan antara keduanya.”[1] Petikan kata-kata ini kekal relevan sehingga hari ini, apabila mengemudi landskap ekonomi baharu menuntut pegawai bank untuk memiliki pertimbangan yang baik, daya tahan dan yang paling utama, kemampuan menyesuaikan diri.

Keperibadian ini semestinya masih berpaksikan ketelitian intelek dan penyelidikan yang mantap. Oleh itu, amat bernilai untuk kita mengambil manfaat daripada hasil karya para sarjana dan pakar bidang yang menerajui barisan pemikir. Sehubungan dengan ini, saya ingin mengetengahkan beberapa karya pemikiran teras oleh tetamu kehormat kita hari ini, Profesor Robert Merton, terutamanya tentang cara kita mentakrifkan dan memahami sistem kewangan itu sendiri.

Karya Profesor Merton[2] mengenai perspektif fungsi pengantaraan kewangan mengingatkan kita bahawa bahagian yang paling penting dalam sesuatu inovasi ialah fungsi, bukan bentuk. Sama ada sebuah bank atau protokol rantaian blok (blockchain) yang melaksanakan transformasi tempoh matang atau pengantaraan kredit, penting untuk kita memahami risiko yang mendasarinya, bukan sekadar institusi yang melaksanakannya. Menerusi pemikiran sebegini, pandangan Profesor Merton membantu pembuat dasar untuk bukan sahaja mentafsir perubahan malah menilai kesan perubahan tersebut secara keseluruhan, seterusnya membolehkan pemahaman yang lebih jelas untuk merangka dasar.

Bagi bank pusat, tumpuan pada fungsi berbanding dengan bentuk inovasi kewangan adalah penting, khususnya berikutan perkembangan yang sedang mengubah landskap operasi kita. Sebagai gambaran, kita hanya perlu meneliti beberapa contoh kadar inovasi dalam sektor kewangan yang semakin pantas, termasuk peningkatan bilangan platform tokenisasi dan pengantara kewangan bukan bank.[3]

Pengamatan terhadap fungsi membantu bank pusat mengekalkan fokus dalam menilai risiko utama terhadap mandatnya yang timbul daripada pendigitalan dan inovasi, termasuk kemungkinan implikasi terhadap transmisi dasar monetari serta kestabilan ekonomi dan kewangan secara keseluruhan.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Bank Negara Malaysia telah lama mendukung perumusan dasar berasaskan bukti. Selama bertahun-tahun, penerbitan utama BNM telah menghuraikan dasar ekonomi dan kewangan yang berasaskan analisis yang menyeluruh dan kukuh. Kami percaya, TIA CoE berkongsi misi ini dan menjadi suara peneraju dalam bidang ekonomi monetari dan kewangan, baik di rantau ini mahupun pada peringkat global, terutamanya dalam pelbagai bidang yang telah lama kami pelopori dan perjuangkan. Bagi tujuan ini, BNM komited untuk memajukan wacana dasar global dalam bidang-bidang yang sesuai untuk diterokai seperti pemecahan geoekonomi, perubahan iklim, kecerdasan buatan dan kewangan Islam.

Seperti yang sewajarnya, TIA CoE diinspirasikan oleh seorang tokoh yang intelek, kebijaksanaan, integriti, etika kerja, dan dedikasi beliau terhadap pembangunan negara menjadi amalan, dan masih kekal sebagai tanda aras kecemerlangan dalam perkhidmatan awam. Setelah sekian lama, amalan beliau terus mengilhamkan kita untuk meneroka sempadan baharu dalam usaha mencapai kemajuan untuk rakyat dan negara. Saya bertuah kerana dapat mengikut jejak yang diterokai oleh Tun Ismail Ali dan pendahulu jawatan saya yang dihormati seperti Gabenor Zeti. Amanah yang digalas ini sentiasa mengingatkan saya bahawa kejayaan kita hari ini terhasil daripada warisan ilmu dan usaha para tokoh terdahulu.

Sambil kita mengimbau penubuhan Pusat Kecemerlangan Tun Ismail Ali sehingga ke hari ini, kita juga mengiktiraf legasi Tun Ismail, yang sosok kepimpinan beliau ditakrifkan dengan sentiasa mengutamakan kepentingan negara melebihi kepentingan sendiri. Tun Ismail adalah seorang pegawai perbankan pusat yang luar biasa dan seorang negarawan sejati yang jauh mendepani zaman. Semoga TIA CoE ini akan melambangkan semangat kepimpinan berprinsip dan kecemerlangan dasar beliau, dalam kita menghadapi cabaran dunia yang semakin kompleks.

Terima kasih.


[1] Gunasegaram, P. (2021). Tun Ismail Ali: Peneraju Amanah dan Integriti. Bank Negara Malaysia. hlm.204.

[2] Merton, R. C. (1995). Financial innovation and the management and regulation of financial institutions. Journal of Banking & Finance, 19(3–4), hlm. 461–481. https://doi.org/10.1016/0378-4266(95)00002-P

[3] Bank for International Settlements. (2025). Laporan ekonomi tahunan 2025. https://www.bis.org/publ/arpdf/ar2025e.htm


Bank Negara Malaysia
14 Ogos 2025

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?