Ucapan Pembukaan oleh Gabenor Dato’ Seri Abdul Rasheed Ghaffour di Forum Kewangan Islam Global (GIFF) 2025
Kuala Lumpur | 13 Oktober 2025
Saya berbesar hati dapat berada di sini hari ini di Forum Kewangan Islam Global tahun ini. Tema kita, “Bridging Tradition and Tomorrow: Advancing Business, Empowering Communities” , merupakan peringatan bahawa masa hadapan bukan sekadar destinasi untuk diterokai, tetapi hala tuju yang perlu dipilih. Untuk membuat pilihan yang bijak, kita perlu berhenti sejenak dan menelusuri kembali nilai dan sistem yang suatu ketika dahulu menjadikan perdagangan sebagai saluran kemakmuran bersama dan kewangan sebagai pemangkin kemajuan insan.
Sepanjang tiga dekad lalu, ekonomi dunia telah dibentuk oleh globalisasi. Antara tahun 1990 hingga 2020, perdagangan global barangan dan perkhidmatan telah berkembang lebih empat kali, yang telah membantu mengeluarkan lebih satu bilion orang daripada kemiskinan tegar.[1] Dana mengalir dengan lebih bebas, rantaian bekalan merentas benua dan kemajuan teknologi telah mengurangkan halangan yang dahulunya memisahkan antara negara. Faktor yang memungkinkan perdagangan global berkembang ketika itu bukan sekadar urusan niaga, tetapi keberhubungan iaitu satu visi bersama untuk integrasi yang melangkaui sempadan dan kepercayaan.
Namun, dekad kebelakangan ini telah menyaksikan satu perubahan arah atau satu lakaran semula peta tersebut. Ketegangan perdagangan telah meningkat, persaingan strategik memberikan tekanan kepada rantaian bekalan global dan perpecahan geopolitik menambahkan lagi tekanan terhadap pertumbuhan ekonomi dunia. Prospek masa hadapan masih tidak menentu, dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (International Monetary Fund, IMF) mengunjurkan pertumbuhan global sekitar 3%, dan ini adalah lebih rendah daripada purata sebelum pandemik. Tatkala kita merenung semula bentuk baharu perdagangan global abad ke-21, wajar kita menelusuri kembali detik-detik awal dalam sejarah ketika perdagangan mula berkembang pesat merentas tamadun dan menjadi tonggak kestabilan, kemakmuran dan keamanan.
Sebelum kewujudan sistem kewangan moden, para pedagang Islam telah mempelopori instrumen kewangan yang memungkinkan perdagangan jarak jauh dengan tahap kecekapan yang mengagumkan. Instrumen seperti sakk[2] iaitu cek zaman awal, serta sistem awal pemindahan wang dan kredit berasaskan amanah seperti hawala telah membolehkan pemindahan modal dan dana dilakukan secara selamat antara pasaran dan merentas negara. Prinsip perkongsian pula menawarkan mekanisme perkongsian risiko yang kini dicerminkan dalam modal usaha niaga dan kewangan Islam. Kekukuhan inovasi ini berpaksikan kepada tuntutan al-Quran tentang keadilan, amanah dan manfaat bersama.
Sejarah mengajar kita bahawa perdagangan dan kewangan saling berkait rapat. Nadi perdagangan, iaitu pergerakan barangan dan perkhidmatan, merupakan saluran yang sama digunakan untuk aliran modal dan laluan keyakinan. Apabila salah satu saluran terganggu, satu saluran lagi turut terjejas. Perpecahan dalam perdagangan global menimbulkan ketegangan, mengurangkan mudah tunai dan meningkatkan kos. Persekitaran hari ini menjadikan urusan perantaraan kewangan lebih sukar dan pengurusan risiko lebih kompleks. Inilah sebabnya matlamat dan kerangka kewangan begitu penting.
Sistem kewangan yang berteraskan penciptaan nilai jangka panjang memenuhi keperluan ekonomi dan masyarakat dengan lebih baik. Prinsip-prinsip ini bukan sekadar konsep yang abstrak, malah diterapkan sebagai asas instrumen kewangan Islam itu sendiri. Prinsip ini membimbing cara risiko dikongsi, cara kekayaan diagihkan, dan cara transaksi berpaksikan kegiatan ekonomi yang produktif. Beberapa kajian terkini[3] mendapati bahawa institusi kewangan Islam menunjukkan daya tahan yang lebih tinggi semasa kemelesetan ekonomi kerana sifatnya yang disandarkan kepada aset dan berasaskan perkongsian risiko. Dapatan ini merupakan peringatan yang tepat pada masanya bahawa sistem kewangan yang berpaksikan kegiatan ekonomi benar dan pengagihan risiko yang adil mampu menawarkan kestabilan ketika tempoh pergolakan.
Dalam usaha masa kini untuk mencapai kestabilan ekonomi dan pertumbuhan inklusif, kewangan Islam menawarkan alat yang praktikal. Instrumen berdaya tahan seperti zakat dan wakaf telah lama menyokong komuniti serta memperkukuh jalinan sosial dalam masyarakat. Instrumen sebegini turut berperanan sebagai sokongan kitaran balas (counter-cyclical) kepada ekonomi dan sistem kewangan. Apabila keadaan ekonomi menjadi ketat, zakat juga bertindak sebagai daya penstabil. Zakat menyalurkan sokongan kewangan kepada golongan yang memerlukan, menyokong asas permintaan dalam ekonomi dan menyediakan jaringan keselamatan kepada golongan berisiko. Keindahan wakaf pula terletak pada kesinambungan dan impaknya yang berpanjangan. Dana wakaf boleh digunakan untuk menjana aliran pendapatan yang berterusan dan sering dimanfaatkan bagi membiayai pendidikan, kesihatan, infrastruktur dan kebajikan sosial.
Dalam membentuk visi fasa pertumbuhan seterusnya, izinkan saya berkongsi lima perkembangan yang sedang diusahakan oleh Malaysia dalam memajukan ekosistem kewangan Islam:
- Pertama, kami sedang menggalakkan penstrukturan semula kewangan yang berimpak tinggi. Dengan memperluas penggunaan struktur perkongsian risiko seperti Musharakah dan Mudarabah, penyelesaian kewangan Islam boleh menjadi lebih pelbagai daripada sekadar pembiayaan berasaskan hutang serta menawarkan cadangan nilai pulangan dan risiko yang tersendiri. Pelancaran i-CITA bulan lalu, disokong oleh dana berjumlah RM100 juta daripada Kerajaan untuk menggalakkan inovasi dalam perkongsian risiko, bertujuan menyokong aplikasi kontrak Syariah yang lebih meluas dalam projek-projek berdaya maju yang menghasilkan manfaat nyata kepada Malaysia. Bagi melengkapi inisiatif ini, kami juga sedang giat menyemak dasar berkaitan Kontrak Syariah dan Akaun Pelaburan untuk menyediakan persekitaran kawal selia yang lebih kondusif bagi pengantaraan pelaburan. Kami berharap industri akan mengoptimumkan sepenuhnya inisiatif ini untuk menguji penyelesaian inovatif.
- Kedua, kami sedang mentakrif semula makna sebenar pembangunan inklusif. Melalui integrasi inovatif antara kewangan sosial Islam dengan sistem kewangan arus perdana, kami sedang berusaha untuk meneroka sempadan baharu dalam dunia kewangan yang menggabungkan tujuan sosial dengan daya maju komersial. Program iTEKAD, yang digerakkan melalui kewangan campuran (blended finance), bukan sekadar projek perintis, malah menjadi bukti konsep. Program ini menunjukkan bagaimana kewangan Islam boleh digerakkan untuk memperkasakan komuniti.
Bank-bank Islam, dengan kerjasama erat pihak berkuasa agama negeri dan rakan pembangunan, kini menghasilkan impak nyata seperti peningkatan peluang pekerjaan dan kemahiran. Saya berasa terdorong melihat peluasan program iTEKAD untuk perlindungan kewangan hari ini, yang disokong oleh geran padanan Kerajaan sebanyak RM5 juta bagi sumbangan takaful. Kerjasama antara bank-bank dengan para pengendali takaful turut memperkaya ekosistem ini. Cabaran kini adalah untuk meluaskannya. Kita perlu bergerak daripada kejayaan terpilih kepada transformasi menyeluruh. Alatnya sudah tersedia. Rakan kongsi sedang terbentuk. Masa untuk mempercepat transformasi sudah pun tiba. - Ketiga, Malaysia sedang meletakkan kewangan Islam sebagai barisan hadapan dua sempadan pertumbuhan global: pertama ialah ekonomi halal dan kedua ialah kewangan mampan. Kedua-duanya bukan pasaran khusus, justeru peluang bernilai trilion dolar yang menanti untuk diterokai. Melalui Majlis Kepimpinan MIFC (MLC), kami telah meletakkan asas strategik untuk jalinan global. Pelaksanaan yang lebih menyeluruh oleh industri kini menjadi keutamaan. Oleh sebab itulah kami menyokong penubuhan Rangkaian Perniagaan MIFC atau MIFC Business Network (MBN) sebagai fasa seterusnya dalam peralihan MLC. Sebagai gabungan kerjasama peneraju industri, MBN akan menjadi tonggak dalam merancang hala tuju kami pada masa hadapan. MBN akan ditugaskan untuk memperdalam kerjasama sektoral dengan memastikan hasil perniagaan yang nyata serta memperluas impak di Malaysia dan di seluruh dunia. Saya berbesar hati untuk mengumumkan sebanyak sembilan peserta industri yang terdiri daripada entiti perbankan, takaful, pasaran modal dan perkhidmatan bantuan (ancillary services) telah menyatakan komitmen untuk menjadi ahli pengasas MBN. Undangan kepada lebih banyak peserta industri untuk menyertai MBN akan diumumkan tidak lama lagi. BNM bersama-sama dengan pengawal selia lain dan pihak berkepentingan utama, akan kekal komited dalam menyokong industri untuk memajukan agenda MIFC.
- Keempat, BNM merancang untuk bergerak ke hadapan dengan penanda aras baharu. Bermula 1 Julai 2027, Kadar Islam Semalaman Malaysia, ataupun MYOR-i, akan menjadi kadar rujukan mandatori bagi produk kewangan Islam. Perubahan ini bukan sekadar pelarasan teknikal, namun merupakan transformasi struktur. Sebagai kadar penanda aras Islam berasaskan transaksi pertama di dunia, membawa ketelusan, konsistensi dan penjajaran Syariah ke dalam teras kewangan Islam.
- Cabaran kelima dan terakhir dalam memajukan kewangan Islam ialah tenaga mahir — berserta idea dan inovasi yang boleh dicetuskan oleh tenaga mahir tersebut. Institusi seperti sedang berkembang melangkaui bidang pendidikan ke arah menjadi pemacu inovasi dengan mengintegrasikan Maqasid Syariah ke dalam rangka kerja ekonomi dan dasar. Pada peringkat serantau, IBFIM sedang memperluas keupayaan melalui penambahbaikan dalam program Associate Qualification in Islamic Finance (AQIF) yang kini disesuaikan khusus untuk pasaran ASEAN. Dengan modul khusus negara bagi Brunei, Indonesia, Filipina dan Singapura, program ini sedang membina tenaga kerja yang bukan sahaja mahir secara teknikal, tetapi juga peka terhadap keperluan serantau dan bersedia untuk berinovasi. Keperluannya jelas; jika kita mahu kewangan Islam menjadi peneraju, kita perlu melabur untuk membina dan memupuk tenaga mahir yang mampu berfikiran jauh, serta dapat membentuk dan melaksanakan masa depannya.
Yang Amat Berhormat, tuan-tuan dan puan-puan,
Akhir kata, industri kewangan Islam global berada pada landasan yang tepat untuk melepasi USD9.7 trilion menjelang tahun 2029.[4] Akan tetapi, perjalanan ini tidak boleh ditentukan oleh skala semata-mata dan perlu disokong dengan asas yang teguh. Pertumbuhan yang memberangsangkan ini memerlukan kepimpinan yang mantap dan inovasi berteraskan tujuan. Saya berharap forum ini akan menjadi platform yang menyatukan, menghargai kebijaksanaan nilai-nilai kita sambil meneguhkan iltizam untuk membentuk semula masa depan kewangan Islam.
Terima kasih.
[1] Statistik World Trade Organization https://www.wto.org/english/res_e/statis_e/trade_evolution_e/evolution_trade_wto_e.htm
[2] Islam, Z. (1984). Banking In The Abbasid Period A Special Study Of The Tenth Century A. D., 45, 780–789. http://www.jstor.org/stable/44140275
[3] IFSB, Islamic Financial Services Industry Stability Report 2024; Butt, U.; Chamberlain, T. “Performance of Islamic Banks During the COVID-19 Pandemic: An Empirical Analysis and Comparison with Conventional Banking” J. Risk Financial Manag. 2025, 18(6), 308. https://www.mdpi.com/1911-8074/18/6/308
[4] ICD – LSEG Islamic Finance Development Report 2025.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.