Ucapan Pembukaan oleh Gabenor di International Conference on Financial Crime and Terrorism Financing (IFCTF) 2023

Kuala Lumpur Convention Center | 3 Oktober 2023

Bismillahirrahmanirrahim, assalamualaikum, dan selamat pagi.

YBhg. Tan Sri Azman, Pengerusi AICB, tetamu-tetamu kehormat, tuan-tuan dan puan-puan.

Saya sangat berbesar hati berada di sini pada hari ini untuk memberikan ucapan sulung saya di International Conference on Financial Crime and Terrorism Financing. Izinkan saya untuk memulakan ucapan saya ini dengan merakamkan ucapan tahniah kepada AICB, Compliance Officers’ Networking Group dan semua pihak yang terlibat dalam penganjuran Persidangan hari ini.

Persidangan ini terus menjadi platform yang sangat penting untuk para pakar membincangkan isu jenayah kewangan yang penting. Kehadiran anda melambangkan komitmen kita semua yang tidak berbelah bahagi iatu komitmen untuk membanteras jenayah kewangan, pembiayaan keganasan dan pembiayaan percambahan. Saya teringatkan satu petikan, izinkan saya mengungkapkannya dalam bahasa Inggeris. “Trust is the easiest thing in the world to lose, and the hardest thing in the world to get back.” Kata-kata yang sangat mendalam ini merupakan peringatan tentang kepentingan rasa percaya dalam sektor kewangan. Sehubungan dengan itu, memang sesuai tema Persidangan tahun ini ialah mencipta semula rasa percaya.

Dalam ucapan ini, saya akan menyentuh tentang cabaran dan peluang dalam landskap yang sentiasa berubah-ubah dan bagaimana prinsip “Integriti, Ketelusan dan Akauntibiliti” tidak boleh dipisahkan dalam peperangan kita menentang jenayah kewangan. Tetapi sebelum itu, saya ingin kongsikan beberapa pandangan tentang prospek ekonomi yang terkini.

 

Perkembangan ekonomi dan tadbir urus

Tuan-tuan dan puan-puan,

Kita sedang beroperasi dalam persekitaran ekonomi yang mencabar dengan berbilang rintangan pada peringkat global, iaitu kadar dasar yang tinggi, inflasi yang meningkat, perdagangan global yang semakin sederhana dan perpecahan geoekonomi. Meskipun berhadapan dengan cabaran-cabaran ini, ekonomi Malaysia terus berdaya tahan, diterajui oleh aktiviti berorientasikan dalam negeri. Keadaan pasaran pekerja, khususnya guna tenaga dan upah, terus bertambah baik. Hal ini merupakan faktor penting yang menyokong keupayaan isi rumah untuk berbelanja. Sementara itu, pelaburan oleh sektor swasta dan sektor awam masih menggalakkan.
Faktor-faktor ini akan terus menyokong ekonomi Malaysia pada tahun 2024. Selain itu, ekonomi Malaysia juga akan mendapat manfaat daripada pemulihan kitaran teknologi dan peningkatan semula permintaan luaran yang beransur-ansur.

Alhamdulillah, Malaysia tidak menghadapi cabaran inflasi yang sangat teruk seperti yang kita lihat di negara-negara lain. Selepas mencatatkan paras tertingginya pada separuh kedua tahun 2022, inflasi teras terus menurun kepada 2.5% pada bulan Ogos tahun ini. Keadaan ini sejajar dengan harga komoditi global yang lebih rendah serta keadaan penawaran dan bekalan yang bertambah baik. Kami menjangkakan bahawa inflasi akan terus menjadi lebih rendah selaras dengan momentum kenaikan harga yang semakin perlahan. Kami akan terus memantau kemungkinan risiko terhadap prosek inflasi, yang timbul terutamanya daripada perubahan dasar dalam negeri berhubung dengan subsidi bahan api.

Apabila ekonomi Malaysia semakin pulih daripada pandemik, Jawatankuasa Dasar Monetari (Monetary Policy Committee, MPC) Bank telah beransur-ansur membuat pelarasan pada dasar monetari sejak bulan Mei 2022, dengan mengambil kira inflasi dan prospek pertumbuhan dalam negeri. Pada hari ini, Kadar Dasar Semalaman berada pada paras sebelum pandemik iaitu 3%, dan dasar moneteri terus menyokong ekonomi. MPC terus berwaspada terhadap keadaan yang berubah-ubah serta kesannya terhadap prospek inflasi dan juga pertumbuhan dalam negeri.

Melangkaui tempoh terdekat ini, matlamat kita seharusnya ke arah meneruskan pertumbuhan jangka panjang negara dan pada masa yang sama meningkatkan kualiti hidup rakyat Malaysia. Pembaharuan struktur memainkan peranan yang sangat penting dalam usaha mencapai matlamat ini dan kerajaan baru-baru ini telah memulakannya dengan Rangka Kerja Ekonomi MADANI, Pelan Induk Perindustrian Baru 2030 dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara. Selain menyampaikan matlamat ekonomi negara, Rangka Kerja Ekonomi MADANI turut menekankan tadbir urus sebagai elemen utama dalam melaksanakan pembaharuan yang diperlukan, termasuk integriti, ketelusan dan juga akauntabiliti.

 

Penipuan dalam landskap jenayah kewangan dan tindakan yang kami ambil untuk menangani cabaran ini

Tuan-tuan dan puan-puan,

Dengan berkembangnya ekonomi negara, kita perlu terus berwaspada dengan ancaman yang berubah-ubah. Kami terus memberikan tumpuan pada lima jenayah berisiko tinggi yang telah dikenal pasti dalam Penilaian Risiko Negara (National Risk Assessment, NRA) 2020, iaitu rasuah; fraud; pengedaran dadah; penyeludupan; dan jenayah terancang. Walau bagaimanapun, memandangkan landskap yang berubah-ubah ini, kami juga telah memulakan penilaian risiko yang diperbaharui dan akan berkongsi dapatan kami pada separuh pertama tahun 2024.

Satu jenayah yang mendominasi tajuk utama berita di Malaysia dan juga global ialah penipuan kewangan. Cabaran yang kami hadapi berpunca daripada beberapa faktor. Tidak dapat disangkal lagi, penjenayah kini semakin canggih dan memanfaatkan gelombang teknologi. Sementara dunia berjinak-jinak dengan aplikasi seperti ChatGPT, penjenayah siber telah membangunkan aplikasi mereka sendiri seperti FraudGPT. Aktiviti jenayah juga semakin kompleks apabila penjenayah mengeksploitasikan kelemahan merentas sempadan. Oleh itu, kita semua yang berada dalam industri kewangan, tidak kira sektor awam ataupun swasta, perlu bersiap siaga sepenuhnya dengan tipologi jenayah kewangan yang terkini dan baru muncul supaya kita dapat mengesan, menghalang dan menghentikan aktiviti haram dengan berkesan.

Memang sukar untuk berada satu langkah di hadapan penjenayah. Namun saya percaya bahawa cabaran juga membuka peluang. Izinkan saya untuk berkongsi beberapa langkah yang BNM telah laksanakan bagi menangani cabaran-cabaran ini.

Pertama, kami membuat penyesuaian pada rangka kerja pengawalseliaan kami secara berterusan dengan menyemak dasar-dasar kami termasuk dokumen dasar AML dan e-KYC. Langkah ini bagi memastikan institusi kewangan disediakan dengan panduan terkini yang sejajar dengan amalan terbaik global. Hal ini penting berikutan peranan institusi kewangan untuk terus peka dengan keadaan persekitaran.

Dasar-dasar seperti ini akan terus diselaraskan dengan falsafah pengawalseliaan BNM yang ‘berasaskan risiko’. Penyelarasan ini penting terutamanya berikutan pengoperasian bank-bank digital tidak lama lagi di Malaysia. Sambil kita mengalu-alukan peserta baharu ke dalam industri, sangat penting supaya keperluan antipengubahan wang haram terus didukung.

Pada tahun lepas, kami telah memperkenalkan lima langkah utama untuk institusi kewangan memperkukuh langkah balas terhadap fraud. Hari ini, saya berbesar hati untuk memaklumkan bahawa dengan sokongan persatuan-persatuan perbankan, semua bank utama telah melaksanakan langkah-langkah ini termasuk mengehadkan aplikasi pengesahan kepada hanya satu peranti dan memperkenalkan “kill switch” kepada pelanggan. Tahniah. Usaha-usaha ini telah membuahkan hasil apabila terdapat pengurangan sebanyak 58% dalam transaksi perbankan dalam talian tanpa kebenaran yang dilaporkan kepada Pusat Respons Scam Kebangsaan (National Scam Response Centre, NSRC) dalam tempoh lima bulan lalu. Tanda-tanda awal ini sangat menggalakkan dan saya yakin kita akan melihat lebih banyak pengurangan pada masa hadapan. Menjadi mangsa penipuan kewangan sememangnya sukar kepada mereka yang terkena dan sebilangan mereka telah kehilangan keseluruhan simpanan serta sedang bergelut untuk mendapatkan kembali kestabilan kewangan mereka.

Sehubungan dengan itu, Bank juga sedang menilai beberapa penambahbaikan dasar tambahan dalam usaha menangani penipuan kewangan. Penambahbaikan ini termasuk memperkukuh keperluan untuk institusi kewangan menjalankan siasatan dengan lebih mantap, menerapkan kawalan pencegahan yang lebih kukuh dan menilai semula keberkesanan mekanisme-mekanisme ini. Kami juga merancang untuk memperjelas tanggungjawab pelanggan dalam usaha melindungi diri dan hak mereka sekiranya menjadi mangsa fraud. Bank Negara Malaysia akan terus membuat libat urus dengan industri dalam beberapa bulan ini sebelum memuktamadkan dasar-dasar tersebut.

Semua usaha ini tidak terhenti di sini sahaja. Seperti yang anda semua tahu, NSRC Malaysia telah ditubuhkan pada bulan Oktober 2022. Sejak operasi bermula, NSRC telah menerima lebih 19,000 aduan berkaitan kes penipuan yang telah menyebabkan pembekuan lebih RM60 juta dan pengenalpastian lebih 43,000 pemegang akaun keldai. Sehubungan dengan itu, saya ingin memaklumkan bahawa usaha-usaha sedang dilaksanakan untuk mempertingkatkan NSRC. Bank Negara Malaysia sedang bekerjasama secara aktif dengan PayNet dan industri perbankan untuk melancarkan National Fraud Portal (NFP) menjelang pertengahan tahun 2024.

Berdasarkan rangka kerja dan asas NSRC, NFP akan menyelaraskan tindak balas penipuan Kewangan oleh industri secara keseluruhan, bermula daripada mengenal pasti dan membuat laporan awal sehingga mendapatkan wang semula. Platform ini akan meningkatkan kecekapan dengan mengautomasikan proses lantas membolehkan tindak balas yang lebih pantas untuk membantu mangsa. Hasrat kami adalah untuk NFP berkembang dengan menyertakan penilaian ramalan bagi akaun keldai, analisis dipertingkatkan serta algoritma pengesanan wang.

Walaupun langkah-langkah keselamatan dan teknologi adalah penting, kesedaran orang ramai terus menjadi pertahanan yang paling kukuh. Yang pasti, mendidik orang ramai tentang penipuan merupakan usaha yang berterusan dan usaha ini perlu diteruskan. Masih wujud ruang bagi industri untuk membina dan meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap penipuan secara lebih meluas, menonjol dan berterusan. Oleh itu, saya gembira melihat kempen kesedaran penipuan yang diterajui oleh industri yang akan dilancarkan pada pagi ini. Bank Negara Malaysia juga telah melaksanakan sesi untuk melatih hampir 500 pegawai daripada industri kewangan untuk menjalankan pendidikan awam, yang mengandungi tip-tip untuk mengenal pasti penipuan dan keselamatan asas. Sejak awal tahun 2023, peserta program Train-the-Trainer (TTT) utama kami telah mengadakan ceramah dan acara mengenai kesedaran penipuan di seluruh negara. Usaha ini telah mendidik lebih 20,000 individu.

 

Membanteras jenayah kewangan dengan integriti, ketelusan dan akauntabiliti

Tuan-tuan dan puan-puan,

Saya pasti anda akan bersetuju bahawa apa yang kita lakukan adalah penting, namun cara kita melakukannya juga sama penting. Dunia kini sedang mengalami defisit rasa percaya, termasuklah Malaysia. Menurut Edelman Trust Barometer[1], meskipun Malaysia termasuk dalam 10 negara teratas dengan rasa percaya yang tertinggi, rasa percaya terhadap institusi Malaysia[2] telah menurun sebanyak 4 mata pada tahun ini berbanding dengan tahun 2022. Untuk konteks, keputusan ini meletakkan Malaysia pada tempat ketiga sebagai negara yang mengalami penurunan tahap rasa percaya yang terbanyak. Kita perlu mengembalikan rasa percaya itu, malah mewujudkannya semula. Walau bagaimanapun, usaha ini tidak mampu kita laksanakan secara bersendirian. Kita semua perlu memainkan peranan dengan mendukung prinsip integriti, ketelusan dan akauntabiliti, yang akan memberikan impak yang besar dan berpanjangan dalam usaha mengembalikan rasa percaya itu.

Pertama, integriti. Integriti dituntut apabila berhadapan dengan jenayah kewangan. Integriti merupakan faktor penting untuk memelihara keyakinan dan kepercayaan orang ramai terhadap sistem kewangan. Sama ada peranan kita adalah pencegahan, penyeliaan atau penguatkuasaan, kita semua iaitu institusi pelaporan, pengawal selia, penyelia dan agensi penguatkuasaan undang-undang perlu melaksanakan mandat kita dengan sepenuh integriti.

Seterusnya, ketelusan. Memandangkan mandat Bank adalah untuk memelihara integriti sektor kewangan, wujud tumpuan yang lebih tinggi terhadap ketelusan dalam tindakan penguatkuasaan. Hal ini akan dimaklumkan dalam "Pendekatan Penguatkuasaan" Bank, yang dijangka diterbitkan pada akhir tahun ini. Dokumen ini akan memberikan pemahaman mengenai tadbir urus Bank dan menyatakan proses membuat keputusan yang memastikan tindakan penguatkuasaan yang konsisten dan seimbang. Dokumen ini akan berdasarkan tindakan penguatkuasaan yang diambil terhadap institusi kewangan dan entiti lain kerana tidak mematuhi undang-undang dan peraturan, yang disiarkan oleh Bank sejak tahun 2019. Pada masa hadapan, Bank akan menerbitkan butiran yang lebih terperinci mengenai ketidakpatuhan dan kehendak berhubung dengan tindakan pembetulan. Ketelusan yang dipertingkatkan akan membantu mencegah salah laku, mempertingkatkan pemahaman dan akhirnya, menghasilkan budaya pematuhan.

Akhir sekali, akauntabiliti. Prinsip ketelusan sememangnya berhubung kait dengan akauntabiliti. Ketelusan membolehkan penelitian dan berfungsi sebagai pencegah salah laku. Dari perspektif Bank, hal ini bermakna Bank bertanggungjawab terhadap mereka yang mendapatkan perkhidmatan kewangan, iaitu rakyat Malaysia.

Sehubungan dengan itu, saya ingin memberikan pujian kepada industri Kewangan atas komitmen untuk memupuk budaya akauntabiliti bersama. Inisiatif seperti Compliance Officers’ Network Group untuk bank-bank dan pengendali e-duit, serta baru-baru ini untuk industri insurans dan takaful adalah sangat menggalakkan. Tidak ketinggalan juga pujian kepada sektor swasta atas usaha menyelaraskan strategi antipenipuan seluruh industri melalui pasukan petugas industrinya. Inisiatif yang diterajui oleh industri tersebut adalah bukti komitmen tinggi sektor swasta. 

 

Penutup

Tuan-tuan dan puan-puan, sebelum saya mengakhiri ucapan ini, izinkan saya mengutarakan semula tema persidangan, iaitu “Trust Reinvented: Building a Sustainable Culture of Integrity, Transparency and Accountability”. Marilah kita menzahirkan pujian dan rasa bangga terhadap usaha-usaha berdedikasi yang ditunjukkan oleh semua yang hadir pada hari ini, daripada individu barisan hadapan hinggalah pegawai pematuhan.

Semua usaha anda mempunyai satu tujuan, iaitu untuk memupuk dan memperkukuh asas rasa percaya. Saya ingin memetik kata-kata ahli ekonomi Joseph Stiglitz, “It is trust, more than money, that makes the world go round”.

Usaha-usaha yang sedang kita laksanakan pada hari ini akan membantu kita bersedia untuk masa hadapan supaya kita boleh menjadi yang terbaik. Hal ini menjadi sangat penting apabila Financial Action Task Force (FATF), iaitu badan penetapan standard global untuk membanteras jenayah Kewangan, memulakan proses Penilaian Bersama (Mutual Evaluation, ME) bagi Malaysia pada tahun hadapan. Penilaian ini bukan sahaja merangkumi pihak berkuasa awam tetapi juga sektor swasta. Oleh itu, pendekatan seluruh negara diperlukan bagi memastikan penilaian yang baik untuk Malaysia. Penilaian ini akan menjadi ujian untuk sektor kewangan negara, iaitu penilaian sebenar akauntabiliti secara kolektif.

Walaupun negara telah menghadapi pelbagai situasi, masih banyak perkara yang perlu kita lakukan. Ingatlah, semua usaha ini adalah sebahagian daripada marathon dan bukannya larian pecut. Semua yang kita laksanakan ini bukan hanya untuk hari ini, tetapi juga untuk masa hadapan Malaysia, iaitu Malaysia yang terkenal dengan sikap integriti, ketelusan dan komitmen terhadap akauntabiliti.

Dengan itu, saya ucapkan selamat maju jaya kepada semua untuk persidangan ini. Terima kasih.

 


[1] Edelman Trust Barometer 2023 adalah kaji selidik rasa percaya dan kredibiliti tahunan yang ke-23 oleh Edelman Trust Institute. Edelman Trust Barometer telah diumumkan di World Economic Forum, Davos pada bulan Januari 2023. Kaji selidik dalam talian tersebut mengambil sampel daripada lebih 32,000 responden merentas 28 negara.

[2] Indeks rasa percaya mengukur purata peratus rasa percaya dalam 4 institusi: rasa percaya terhadap perniagaan, badan bukan Kerajaan (non-government organisations, NGO), kerajaan dan media.

 

Bank Negara Malaysia
3 Oktober 2023


Bank Negara Malaysia
03 Oktober 2023

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?