Ucapan Pembukaan oleh Gabenor Abdul Rasheed Ghaffour di MyFintech Week 2025
Sasana Kijang, Kuala Lumpur | 5 Ogos 2025
“Ideate, Innovate, Co-create: Shaping the Future of Finance”
Tahun ini menandakan satu pencapaian penting. Buat pertama kalinya bagi MyFintech Week (MyFW), BNM bersama-sama dengan gabungan rakan ekosistem iaitu Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (Securities Commission Malaysia, SC), Asian Institute of Chartered Bankers (AICB), Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) dan Fintech Association of Malaysia (FAOM). Kerjasama ini bukan sekadar simbolik. Kerjasama ini mencerminkan semangat tema pada tahun ini: “Ideate, Innovate, Co-Create – shaping the future of finance”. Cabaran yang kita hadapi memerlukan penyelesaian seluruh ekosistem. Kita sedang membina masa hadapan yang menghendaki pembuat dasar, pengawal selia, pakar teknologi, pelabur dan penginovasi bersama-sama merangka penyelesaian.
Idea untuk memperluas MyFW pertama kali dicetuskan tiga tahun lalu dalam perbincangan dua hala antara Bank Negara Malaysia dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia. Visi bersama tersebut telah membuahkan hasil sehingga menjadi inisiatif yang mencerminkan ekosistem menyeluruh serta memberikan impak serantau. Kepada semua rakan kerjasama kami, saya mengucapkan terima kasih atas kepimpinan dan komitmen anda. Acara ini milik kita bersama.
Saya ingin mulakan dengan landskap ekonomi negara. Ekonomi Malaysia kekal berada pada landasan yang kukuh meskipun menghadapi cabaran global. Bank Negara Malaysia telah menyemak semula unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara untuk tahun 2025 kepada julat antara 4% hingga 4.8%, mencerminkan ketidakpastian yang meningkat dalam perdagangan global. Prospek ini terus disokong oleh permintaan dalam negeri yang berdaya tahan serta pelaburan berterusan dalam infrastruktur untuk sektor strategik bawah pelan pembangunan negara.
Sementara itu, inflasi diunjurkan kekal sederhana, dengan inflasi keseluruhan dijangka berpurata antara 1.5% hingga 2.3% pada tahun 2025. Semakan unjuran ini mencerminkan penurunan kos yang berterusan dan prospek permintaan yang stabil. Dalam persekitaran ini, kesan langkah-langkah dasar dalam negeri dijangka kekal terkawal.
Beralih kepada ringgit, setakat semalam, ringgit ditutup dengan penambahan nilai sebanyak 5.55% berbanding dolar AS dan 1.8% berbanding rakan dagangan utama negara. Asas ekonomi Malaysia yang kukuh dan usaha terselaras untuk menggalakkan aliran mata wang yang seimbang dan teratur akan terus menyokong ringgit.
Pembaharuan struktur terus menyokong daya tahan Malaysia dengan memperkukuh disiplin fiskal, menarik pelaburan berkualiti tinggi dan memperluas peluang ekonomi. Kemajuan dalam bidang strategik seperti peralihan tenaga, infrastruktur digital dan perkilangan bernilai tinggi sedang membina asas untuk ekonomi yang lebih inklusif dan berdaya saing.
Semua pembaharuan ini memainkan peranan penting yang bukan sahaja untuk pertumbuhan tetapi juga kestabilan mata wang. Hal ini begitu mustahak dalam persekitaran hari ini, iaitu apabila kejutan berlaku lebih kerap dan ketidakpastian semakin menjadi sesuatu yang lazim. Sama seperti banyak mata wang pasaran sedang pesat membangun yang lain, ringgit turut merasai tekanan akibat ketidakpastian ini dari masa ke masa. Namun, pada tahun ini, kita telah melihat beberapa tanda yang menggalakkan iaitu dorongan daripada pembaharuan sebahagiannya telah menyebabkan minat pelabur yang meningkat semula, lantas memberikan sokongan kepada ringgit.
Semua ini membawa kita kepada asas MyFW pada tahun ini. Sektor kewangan sedang dibentuk semula oleh tiga kuasa utama iaitu pendigitalan, kelestarian dan perubahan demografi. Teknologi seperti kecerdasan buatan (artificial intelligence, AI) generatif dan rantaian blok (blockchain) sedang mengubah model perniagaan dan mentakrifkan semula jangkaan pengguna. Sasaran sifar bersih Malaysia memerlukan penyelesaian kewangan yang inovatif, manakala jumlah penduduk yang semakin berusia memerlukan dasar kewangan yang inklusif dan berpandangan jauh dalam kesejahteraan, penjagaan kesihatan dan perlindungan sosial jangka panjang.
Realiti ini tercermin dalam tiga trek program pada tahun ini: "Finance for the Future", "Finance for Change" dan "Finance for a Resilient Ecosystem".
Trek pertama, "Finance for the Future" memberikan tumpuan pada membina sistem kewangan yang digerakkan secara digital dan berpandangan ke hadapan. Malaysia telah mencapai kemajuan yang kukuh dalam memodenkan sistem pembayaran negara. Kini, kita menduduki tempat kedua pada peringkat global dalam penggunaan pembayaran QR. DuitNow telah menjadi ciri biasa dalam kehidupan seharian kita, manakala hubungan serantau semakin berkembang. Hal ini membolehkan transaksi masa nyata dengan kos yang rendah merentas sempadan.
Kami juga sedang mempertingkatkan sistem pembayaran borong untuk menyokong daya tahan pasaran dan aliran rentas sempadan. Usaha ini termasuk meneroka masa hadapan wang melalui Projek Mawar iaitu projek rintis mata wang digital bank pusat (central bank digital currency, CBDC) borong kami, serta kerjasama dengan BIS Innovation Hub. Pendigitalan juga mengubah insurans dan takaful, dengan inovasi seperti bantuan tepi jalan digital. Bank-bank digital, serta penanggung insurans dan pengendali takaful digital yang akan dilesenkan tidak lama lagi, dijangka membawa pendekatan baharu, model berasaskan digital dan fokus yang lebih tertumpu pada segmen yang kurang mendapat perkhidmatan kewangan, lantas meningkatkan pengalaman pelanggan dan memacu transformasi yang lebih meluas merentas industri.
Walau bagaimanapun, sistem yang bersedia untuk menghadapi masa hadapan memerlukan lebih daripada teknologi baharu dan model perniagaan. Sistem ini memerlukan identiti digital yang selamat dan rangka kerja perkongsian data, tadbir urus data yang mantap, keselamatan siber yang berkesan serta asas pengawalseliaan yang membolehkan inovasi yang inklusif, bertanggungjawab dan dipercayai.
Bagi tujuan ini, kami sedang melaksanakan beberapa inisiatif penting. Digital Asset Innovation Hub yang dilancarkan secara kolektif bersama pihak industri, membolehkan eksperimen dengan kes penggunaan dunia nyata seperti pembayaran yang boleh diprogramkan dan pembiayaan rantaian bekalan. Kesemua usaha ini menjadi pelengkap kepada Sandbox Pengawalseliaan kami dan usaha oleh SC yang telah menyediakan rangka kerja peraturan untuk pelaburan aset digital sejak tahun 2019.
Aset digital semakin membentuk perkhidmatan kewangan, menawarkan kecekapan dan model pelaksanaan baharu. Aset digital mempunyai potensi yang besar dan tidak boleh diabaikan.
Pada masa yang sama, pendekatan kami terus berpandukan matlamat yang jelas. BNM terbuka untuk mempertimbangkan inovasi yang benar-benar mampu menghasilkan nilai kepada ekonomi dan menyokong kes penggunaan yang produktif. Namun, kami juga tetap memantau teliti perkembangan yang menimbulkan risiko yang tidak wajar atau beroperasi di luar ruang lingkup perlindungan yang diperlukan untuk memelihara kestabilan kewangan dan keyakinan awam.
Dengan itu, saya berbesar hati untuk berkongsi tiga perkembangan pengawalseliaan yang akan dilaksanakan.
- Pertama, hari ini kami telah menerbitkan Discussion Paper on Artificial Intelligence, yang menggariskan pendekatan pengawalseliaan dan pembangunan BNM, termasuk bidang keutamaan untuk kerjasama yang diterajui industri dan penerapan AI secara bertanggungjawab dalam perkhidmatan kewangan.
- Kedua, menjelang akhir tahun ini, kami akan menerbitkan Exposure Draft on Open Finance, yang menetapkan visi kami untuk ekosistem perkongsian data yang didorong oleh data serta dengan kebenaran pelanggan.
- Ketiga, kami akan menerbitkan Discussion Paper on Asset Tokenisation, yang menggariskan kes penggunaan yang berpotensi dan langkah-langkah perlindungan untuk penggunaan tokenisasi yang selamat.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Trek kedua, "Finance for Change", meneroka cara kewangan boleh menjadi pencetus kebaikan yang merangkumi literasi kewangan, tindakan iklim, insurans inklusif dan perlindungan sosial. Pada terasnya, trek ini mengiktiraf bahawa kewangan bukan sahaja perlu menyokong ekonomi, malah juga memperkasakan komuniti.
Tonggak utama agenda ini ialah Pengantaraan Berasaskan Nilai (Value-Based Intermediation, VBI). Di Malaysia, VBI semakin mendapat perhatian sebagai ciri utama kewangan Islam. VBI menekankan kewangan secara beretika; matlamat sosial dan impak jangka panjang. Menerusi prinsip yang berteraskan keadilan, tanggungjawab bersama dan kebaikan orang ramai, kewangan Islam memberikan banyak peluang untuk menangani isu seperti cabaran iklim, keadilan antara generasi dan pengecualian kewangan. Pada hari ini, perbankan Islam mencakupi lebih 47% daripada jumlah pembiayaan, manakala takaful mencatatkan 26% daripada jumlah sumbangan bersih, mencerminkan kepentingan kewangan Islam dan VBI yang semakin berkembang dalam arus kewangan perdana.
Kewangan sosial merupakan komponen penting dalam VBI. Dengan tadbir urus dan integrasi yang bersesuaian, kewangan sosial mampu menjadi sumber modal untuk komuniti yang kurang mendapat perkhidmatan kewangan, perusahaan mikro serta perkhidmatan penting seperti pendidikan dan penjagaan kesihatan.
Kami juga memupuk inovasi melalui Makmal Inovasi Kewangan Iklim (Climate Finance Innovation Lab, CFIL), bawah Inisiatif ini menggabungkan peserta awam, swasta dan filantropi untuk menguji instrumen kewangan baharu, termasuk yang berasaskan kewangan Islam, yang dapat menangani risiko alam sekitar dan sosioekonomi secara menyeluruh.
Bagi memperkasakan penggerak perubahan global, saya dengan sukacitanya berkongsi bahawa BNM bersama-sama dengan Majlis Kepimpinan MIFC serta enam rakan strategik telah melancarkan MIFC Global Impact Challenge 2025. Cabaran pada tahun ini menumpukan usaha terhadap memperkasakan syarikat pemula niaga fintech serta syarikat pemula niaga berorientasikan impak untuk membangunkan penyelesaian yang memperkukuh daya tahan sosial dan menangani cabaran iklim. Penyertaan dibuka hingga 18 Ogos 2025 dan saya berbesar hati mengundang hadirin untuk menjadi sebahagian daripada usaha ini.
Trek ketiga dan terakhir, "Finance for a Resilient Ecosystem" memberikan tumpuan pada pengukuhan asas negara dengan memastikannya kekal kukuh, boleh dipercayai dan mudah disesuaikan. Daya tahan bukan sekadar mempunyai penampan modal, malah berkaitan dengan membina sistem yang mampu menghadapi tekanan, institusi yang dapat berkembang seiring peredaran zaman serta individu yang lengkap dengan kemahiran untuk memimpin perubahan.
Berteraskan matlamat ini, kami telah mengatur semua sesi MyFW pada tahun ini untuk merangkumi landskap pembiayaan fintech, strategi antipenipuan, daya tahan siber dan pembangunan tenaga mahir yang bersedia menghadapi masa hadapan lengkap dengan kemahiran, daya suai dan kepimpinan yang diperlukan untuk masa yang akan datang.
Kini, daya tahan perlu dipupuk dalam setiap lapisan iaitu daripada kesinambungan operasi dan keselamatan data sehinggalah tadbir urus teknologi dan keyakinan awam. Perkembangan penggunaan digital bermakna potensi untuk penipuan, ancaman siber dan risiko pihak ketiga juga meningkat. Tindak balas kita perlu terselaras dan berpandangan ke hadapan.
Contoh terkini ialah National Fraud Portal, sebuah inisiatif penting yang diterajui oleh PayNet bersama para pengawal selia, pihak penguat kuasa dan industri kewangan. National Fraud Portal membolehkan pengesanan pantas bagi dana yang dicuri merentas institusi kewangan, lantas meningkatkan kebarangkalian dana dicuri dapat dikembalikan.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Dalam kita menghampiri fasa akhir Pelan Sektor Kewangan 2022–2026, kini adalah masa yang sesuai untuk merenung kembali pencapaian serta meneliti usaha yang masih perlu dilaksanakan. Pelan Sektor Kewangan ini telah membentuk sektor kewangan yang lebih inklusif, berdaya tahan dan bersedia untuk inovasi. Walau bagaimanapun, masa hadapan memerlukan ketangkasan yang lebih tinggi, kerjasama yang lebih mendalam dan pemikiran yang lebih kreatif.
BNM telah menggerakkan usaha untuk fasa seterusnya, satu keutamaan dan strategi baharu selepas tahun 2026. Fasa seterusnya ini akan memastikan sistem kewangan negara terus berkembang dengan jelas dan berpandukan matlamat. Kami sedang bekerjasama rapat dengan SC untuk menyelaraskan visi kami dengan mengambil kira masa hadapan kewangan Malaysia yang perlu dibangunkan mengikut kesepaduan dan tujuan bersama.
Izinkan saya kongsikan bersama anda tiga persoalan yang anda boleh fikirkan sepanjang minggu ini:
- Pertama, bagaimanakah kita boleh menerapkan kewangan berasaskan nilai sebagai asas untuk menyokong ekonomi dan masyarakat?
- Kedua, apakah struktur insentif yang diperlukan bagi menyelaraskan perilaku dengan penciptaan nilai jangka panjang yang meliputi institusi, pelabur dan pengguna?
- Ketiga, apakah model penciptaan bersama dan kerjasama yang diperlukan merentas sektor dan sempadan untuk menghasilkan impak sistemik secara lebih meluas?
Marilah kita memanfaatkan minggu ini untuk mencetuskan idea yang kreatif serta saling mencabar untuk berfikir secara berbeza. Bagi pihak BNM dan rakan kerjasama kami, saya ucapkan terima kasih kerana menyertai kami. Saya harap para hadirin akan meraih pengalaman yang produktif, menarik dan penuh inspirasi di MyFW 2025.
Terima kasih.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.