Ucapan Pembukaan oleh Gabenor di Persidangan Peringkat Tertinggi Bank Negara Malaysia

Kuala Lumpur | 10 Februari 2009

Saya amat berbangga kerana berpeluang mengalu-alukan kedatangan tuan-tuan dan puan-puan ke Persidangan Bank Negara Malaysia tentang "Perbankan Pusat pada Abad Ke-21: Implikasi Globalisasi Ekonomi dan Kewangan" yang dianjurkan sempena Ulang Tahun Bank Negara Malaysia yang Ke-50. Persidangan yang diadakan ini sememangnya bertepatan sekali memandangkan kita perlu meninjau semula pelbagai isu yang muncul daripada krisis kewangan dan ekonomi global semasa serta cabaran dan pengajaran baharu kepada bank-bank pusat.

Kami amat berbesar hati dengan kehadiran bank-bank pusat lebih daripada 50 buah negara yang turut serta meraikan ulang tahun Bank Negara Malaysia yang ke-50. Persidangan ini turut disertai oleh beberapa penceramah ternama bukan sahaja daripada kalangan bank pusat tetapi juga cendekiawan tersohor dan pengamal berpengalaman dalam industri perkhidmatan kewangan. Besarlah harapan kami agar persidangan ini dapat menyumbang kepada pemahaman yang lebih mendalam tentang isu-isu yang dihadapi oleh bank-bank pusat pada abad ke-21.

Kini, kita berada dalam dunia yang sangat berbeza. Kita harus lebih peka terhadap perubahan yang perlu dilakukan kepada sistem dan struktur, pengaturan dan mekanisme keinstitusian, dan cara kita beroperasi dalam persekitaran baharu ini. Dimensi antarabangsa perubahan ini mempunyai matlamat untuk mencapai sistem kewangan antarabangsa yang tidak mudah terjejas oleh gangguan dan kegagalan serta kemajuan ekonomi dikongsi antara negara.

Globalisasi telah memberikan kesan yang mendalam kepada cara ekonomi moden berfungsi. Manfaat globalisasi ini telah dinikmati oleh pelbagai masyarakat dan rantau, namun globalisasi turut membawa risiko yang ketara. Meskipun Krisis Asia menyerlahkan kesan daripada globalisasi, krisis ini turut menunjukkan bahawa Asia berupaya untuk pulih dengan cepat dan terus meraih manfaat daripada pertambahan aliran perdagangan dan kewangan antarabangsa. Kestabilan dan pertumbuhan yang kembali pulih dengan cepat ini telah menyebabkan krisis hanya tertumpu di rantau Asia.

Walau bagaimanapun, berikutan krisis kewangan semasa yang bertukar menjadi krisis ekonomi, kesannya kini dapat dirasai di seluruh dunia. Walaupun kemelut kewangan ini bermula dalam beberapa ekonomi maju, kesan krisis ini telah menular ke seluruh pelosok dunia apabila ia menjadi bertambah meruncing.

Oleh itu, globalisasi ekonomi dan kewangan bukan sahaja menuntut tindak balas dasar pada peringkat kebangsaan tetapi juga pada peringkat antarabangsa. Globalisasi juga menuntut supaya tindak balas dasar mempunyai implikasi yang menjangkaui sempadan dalam negeri. Selain itu, manfaat juga boleh diperoleh melalui kerjasama merentas sempadan dalam tindak balas dasar bagi meningkatkan prospek mencapai matlamat yang diingini.

Persidangan kita hari ini tertumpu pada kesan globalisasi ekonomi dan kewangan terhadap peranan bank-bank pusat, serta menilai bagaimana bank-bank pusat dapat menyumbang dengan efektif terhadap usaha menggalakkan kestabilan dalam persekitaran ini. Khususnya, persidangan ini akan memberikan perhatian pada implikasi dan cabaran globalisasi terhadap mandat bank-bank pusat dalam usaha memelihara kestabilan monetari dan kewangan. Tahap globalisasi serta ciri-cirinya turut memberikan tekanan yang ketara terhadap arkitektur kewangan antarabangsa. Krisis kewangan semasa telah menyerlahkan kelemahan yang terdapat dalam arkitektur kewangan antarabangsa, yang sekali gus telah mendorong pemikiran baharu tentang pembaharuan sistem kewangan global. Malam ini, Profesor Joseph Stiglitz akan menyampaikan ucapan tentang "Institusi yang Kukuh bagi Pertumbuhan dan Pengurusan Krisis".

Esok kita akan memberikan tumpuan pada beberapa cabaran pengurusan khusus yang dihadapi oleh bank-bank pusat dalam persekitaran global. Kita juga akan membincangkan beberapa perkembangan terkini dalam kerjasama antara bank pusat dan bidang yang memerlukan pembaharuan dalam arkitektur kewangan antarabangsa.

Krisis ini telah memberikan peluang kepada kita untuk menilai semula, menggalakkan dan menerima penyelesaian jangka panjang yang berterusan. Tumpuan kita adalah agar perbincangan ini dapat menghasilkan cara baharu yang dapat digunakan oleh bank-bank pusat untuk menyumbang dengan lebih berkesan dalam usaha menggalakkan kestabilan dan pertumbuhan ekonomi. Kami berharap persidangan ini akan memberi peluang kepada kita untuk menilai semula pandangan tradisional kita tentang pelbagai isu yang dihadapi. Saya benar-benar berharap persidangan ini dapat memberikan manfaat kepada semua.


Bank Negara Malaysia
10 Februari 2009

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?