Ucapan Pembukaan oleh Gabenor pada Sesi Kajian Rangka Kerja Kompetensi Industri Wacana Kumpulan Fokus
Renaissance Hotel, Kuala Lumpur | 6 Disember 2005
Saya berasa amat bangga kerana diberi peluang untuk menyampaikan sepatah dua kata dan seterusnya merasmikan Sesi Wacana Institut Bank-Bank Malaysia. Saya ingin mengucapkan terima kasih atas penyertaan anda dalam temu ramah eksekutif yang merupakan input yang amat bernilai dalam pembentukan rangka kerja kompetensi industri yang akan dibincangkan hari ini.
Sektor perbankan akan kekal sebagai teras sistem kewangan kita, memandangkan ia berkembang dengan menawarkan penyelesaian kewangan yang lebih inovatif bagi memenuhi keperluan ekonomi yang berubah-ubah. Walau bagaimanapun, industri tersebut perlu berada pada kedudukan yang baik dalam landskap kewangan yang senantiasa berubah. Sementara peluang-peluang baru telah muncul, cabaran-cabaran baru juga sedang menunggu. Antaranya, yang paling ketara ialah tekanan persaingan yang semakin hebat, yang didorong oleh liberalisasi kewangan dan revolusi teknologi. Cabaran-cabaran lain termasuk tuntutan pelanggan yang semakin meningkat untuk produk yang berlainan dan perkhidmatan nilai ditambah pada harga yang lebih kompetitif, kualiti perkhidmatan yang terbaik, dan tahap kecekapan yang tinggi. Peluang-peluang yang strategik juga timbul daripada sektor pertumbuhan baru dan daripada pasaran yang lebih luas berikutan integrasi ekonomi di peringkat serantau dan antarabangsa yang bertambah pantas, yang didorong oleh aliran perdagangan dan pelaburan serantau dan global yang semakin berkembang. Institusi perbankan perlu bersiap sedia untuk menghadapi cabaran dan perlu dilengkapi dengan kemampuan yang lain daripada yang lain untuk mengambil faedah daripada peluang yang wujud dalam persekitaran baru.
Perbankan merupakan satu industri yang intensif pengetahuan, berasaskan kemahiran dan kaya dengan rantaian hubungan. Dalam persekitaran yang semakin kompleks dan lebih bebas, daya saing institusi perbankan akan bergantung khususnya pada kualiti modal intelek insan dan sejauh mana industri itu mampu menggunakan bakat itu. Untuk bersaing dengan berkesan, institusi perbankan memerlukan ahli profesional dengan kemahiran dan kepakaran asas, bukan sahaja di peringkat strategik dan pengurusan, bahkan di peringkat teknikal dan operasi. Institusi yang berjaya ialah institusi yang memberi keutamaan yang tinggi bagi penempatan kakitangan yang efektif, ganjaran, pengekalan dan paling penting, pembelajaran sepanjang hayat dan memajukan modal insan secara berterusan. Pembelajaran sepanjang hayat menjadi semakin penting dalam ekonomi yang berasaskan pengetahuan, yang menghendaki pengetahuan dan kemahiran dikemas kini dan dinaikkan taraf secara berterusan. Di peringkat makro, kemahiran yang menyeluruh bagi tenaga kerja perkhidmatan kewangan keseluruhannya menjadi faktor penentu yang semakin ketara dalam menentukan kejayaan membangunkan sektor kewangan yang lebih efisien, efektif dan dinamik. Kewujudan sember manusia yang mendapat latihan yang mencukupi dan kompeten merupakan faktor utama yang kritikal bagi menyokong prestasi industri. Pada dasarnya, pengukuhan sumber dan keupayaan intelek secara berterusan perlu dilaksanakan bagi mewujudkan sekumpulan bakat yang lebih ramai dan ahli profesional yang berkaliber tinggi dalam industri perbankan dan kewangan.
Pembangunan kompetensi dan kemahiran ialah satu bidang yang sering kali diberi fokus, tetapi akan menjadi lebih penting lagi apabila kita menyediakan tenaga kerja kita untuk menghadapi persekitaran yang lebih mencabar, iaitu persekitaran yang lebih kompetitif dan lebih kompleks. Langkah pertama ialah untuk membangunkan kemahiran yang diperlukan di peringkat pendidikan tinggi bagi memastikan universiti dan kolej mempunyai kurikulum yang dapat melengkapkan siswazah dengan pengetahuan dan kemahiran yang relevan, yang memenuhi keperluan industri. Dalam hal ini, kerjasama yang lebih erat antara institut latihan industri dengan akademia akan membantu membangunkan golongan siswazah baru yang akan lebih bersedia untuk memasuki tempat kerja. Pada peringkat selepas pengambilan pekerja, kita memerlukan insentif untuk pembelajaran yang berterusan dan penaikan taraf kemahiran di samping infrastruktur yang dapat menyampaikan latihan yang sesuai. Untuk pembangunan tenaga kerja sektor perbankan, Pusat Kepimpinan Kewangan Antarabangsa (ICLIF) telah ditubuhkan sebagai wadah ke arah pembangunan pimpinan masa depan dalam industri, manakala Institut Bank-Bank Malaysia (IBBM) menyediakan saluran untuk membina kompetensi di kalangan staf di pelbagai peringkat.
Dengan bermulanya liberalisasi kewangan, sempadan tradisional perniagaan dijangka berkembang ke bidang dan model perniagaan yang baru. Hasilnya, keperluan kemahiran juga berubah sejajar dengan peningkatan kepelbagaian dan kekompleksan perniagaan yang bank terlibat, keperluan pengguna yang semakin sofistikated, inovasi teknologi, dan pengharapan terhadap pengurusan risiko yang baik. Dalam konteks ini, terdapat keperluan untuk menganalisis kompetensi utama untuk fungsi kerja semasa dan menjangka keperluan kemahiran pada masa hadapan. Ini bertujuan untuk membangunkan satu rangka kerja kompetensi bagi perbankan dan kewangan yang relevan kepada landskap kewangan yang berubah-ubah.
Pembangunan rangka kerja kompetensi industri adalah untuk meningkatkan tahap profesionalisme dan kompetensi dalam industri perbankan melalui program latihan dan pensijilan yang sesuai. Bagi institusi perbankan, rangka kerja kompetensi akan menjadi sumber rujukan dan rangsangan dalam meningkatkan kompetensi kakitangan dan kemampuan organisasi untuk menangani cabaran masa hadapan. Rangka kerja itu juga boleh menyediakan satu tanda aras untuk penilaian prestasi dan pengiktirafan bagi peningkatan kemahiran. Rangka kerja kompetensi itu akan menyediakan asas bagi membantu IBBM dalam merangka dan menawarkan program pengurusan dan teknikal yang relevan untuk memenuhi keperluan semasa dan masa hadapan industri perbankan. Di samping itu, rangka kerja itu akan membantu institusi akademik menjajarkan kurikulum mereka untuk memenuhi keperluan industri dan memastikan penawaran graduan yang berterusan dalam sektor pertumbuhan baru. Piawaian kompetensi yang dibentuk untuk program pensijilan juga boleh dijadikan sebagai asas bagi menilai dan mentauliah pegawai yang memberi latihan bagi memastikan penyediaan latihan yang berkualiti tinggi. Bagi tenaga kerja sektor perbankan, rangka kerja itu menyediakan platform bagi penilaian diri untuk lebih sedar terhadap lompang dalam kompetensi mereka dan untuk melibatkan diri dalam pembelajaran yang berterusan bagi memajukan kerjaya mereka dan supaya seiring dengan tuntutan yang baru.
Kualiti modal insan akan semakin menjadi penentu utama daya saing. Memiliki kakitangan yang kompeten untuk memberikan produk dan perkhidmatan berkualiti tinggi adalah kritikal untuk membina keyakinan dan hubugan baik pengguna, memacu kepuasan pengguna, meningkatkan reputasi dan seterusnya merealisasikan wawasan korporat dan matlamat strategik anda. Oleh itu, adalah menjadi kepentingan institusi kewangan untuk memastikan bahawa kompetensi dan profesionalisme kakitangan dalam industri mereka terus diperkukuh.
Kejayaan membangunkan satu rangka kerja kopetensi industri yang mantap memerlukan usaha sama semua pihak yang terlibat, berdasarkan satu wawasan yang sama sebuah industri yang mendokong nilai-nilai pembelajaran dan pembangunan yang berterusan. Rangka kerja kompetensi industri kini dibangunkan menerusi satu proses penyertaan yang melibatkan wawasan strategik dan maklum balas daripada pemimpin industri dalam negara dan di rantau ini. Kerja-kerja terperinci sedang dilaksanakan, selepas temu ramah eksekutif yang telah anda sertai. Sokongan kuat, komitmen dan sumbangan anda adalah penting untuk memastikan kejayaan rangka kerja kompetensi industri.
Dengan perubahan pesat yang berlaku dalam landskap kewangan, kita memerlukan satu generasi baru pegawai bank yang profesional yang lebih bertumpu kepada pengguna, mempunyai pengetahuan teknologi, berkelayakan lebih tinggi, fleksibel dan tangkas, yang memiliki bidang kemahiran yang kini lebih komprehensif daripada sebelumnya. Dalam menyediakan diri kita untuk menghadapi persekitaran yang lebih mencabar, keperluan untuk membina asas modal insan yang kompeten dengan integriti yang tinggi, sikap dan etika kerja yang betul, di samping mengekalkan suasana pembelajaran harus dititikberatkan. Dalam merealisasikan matlamat sektor kewangan yang progresif dan dinamik, usaha yang lebih harus disasarkan untuk membina modal intelek insan dalam satu kitaran pembangunan dan penambahbaikan kompetensi yang berterusan.
Izikan saya mengakhiri ucapan ini dan saya berharap sesi wacana ini menjadi sesi yang produktif.
Terima kasih.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.