Ucapan Pembukaan oleh Penolong Gabenor Suhaimi Ali di Pelancaran Laporan Bank Dunia tentang iTEKAD
Kuala Lumpur | 15 October 2025
"iTEKAD: Laluan Menembusi Kewangan Sosial"
Saya berbesar hati kerana dapat bersama-sama anda di majlis yang bermakna ini, yang menandakan satu pencapaian penting dalam usaha kita memperkukuh peranan kewangan sosial di Malaysia.
Bagi pihak Bank Negara Malaysia, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada World Bank atas kerjasama yang amat bernilai serta laporan yang diterbitkan tepat pada masanya, bertajuk “iTEKAD – Making Inroads into Social Finance.” Laporan ini bukan sahaja mencerminkan kemajuan iTEKAD, tetapi turut memberikan panduan berkenaan langkah seterusnya dalam usaha membentuk masa depan kewangan sosial di negara kita.
Pencapaian iTEKAD
Sejak dilancarkan pada tahun 2020, iTEKAD telah memberi manfaat kepada hampir 11,000 usahawan mikro. Namun, impak sebenar terserlah melalui kisah-kisah insan di sebaliknya. Izinkan saya kongsikan beberapa kisah mereka:
- Puan Hidayah dari Maran bermula dengan menjual kopi dan popia di hentian bas. Dengan sokongan iTEKAD, beliau kini mengusahakan sebuah kafe dengan pekerja dan kopinya yang dibotolkan kini turut dipasarkan hingga ke Kuala Lumpur.
- Puan Norzie di Kajang membina semula perniagaan buah jeruknya ketika pandemik. Kini, beliau menguruskan sebuah kedai, mempunyai dua pekerja dan turut menyumbang semula melalui program sosial.
- Encik Azmi, seorang tukang kasut, dahulunya menjahit kasut menggunakan tangan. Dengan iTEKAD, beliau berjaya meningkatkan pengeluarannya dengan bantuan mesin, dan telah mempamerkan hasil kerjanya di mesyuarat menteri-menteri kewangan serantau.
Setiap kisah ini membuktikan bahawa iTEKAD adalah lebih daripada sekadar program. iTEKAD mengembalikan maruah, membina kehidupan dan mencetuskan kesan yang berpanjangan dalam komuniti.
Semua ini tidak mungkin tercapai tanpa komitmen institusi kewangan dan rakan pelaksana. Seperti yang diketengahkan oleh World Bank, kerjasama merupakan tukang belakang kejayaan iTEKAD.
Memperluas Skala Melalui Inovasi
Tuan-tuan dan puan-puan,
Perjalanan kita tidak berhenti di sini. Jika kita serius ingin menjadikan kewangan sosial sebagai pemacu arus perdana untuk pertumbuhan inklusif, kita perlu mengembangkannya serta berinovasi.
Pada awal minggu ini, bersempena dengan Global Islamic Finance Forum 2025, kami telah melancarkan Perlindungan iTEKAD. Ciri baharu ini mengintegrasikan perlindungan mikroinsurans dan mikrotakaful ke dalam program, bagi menyediakan jaringan keselamatan kepada usahawan daripada ketidaktentuan hidup. Bagi kebanyakan individu, perlindungan ini boleh menjadi penentu antara kebangkitan semula atau kembali jatuh ke kancah kemiskinan.
Cabaran Impak yang berlangsung semasa Global Islamic Finance Forum minggu ini turut memberikan gambaran terhadap potensi yang boleh dicapai:
- Platform zakat dan wakaf digital yang meningkatkan kecekapan pengaliran dana;
- Alat AI yang membuka akses kepada pembiayaan untuk mereka yang tidak mempunyai rekod kredit formal;
- Model kewangan hijau yang menggalakkan pertumbuhan mampan; dan
- Pasaran digital yang menghubungkan usahawan terus kepada pembeli.
Sekarang bayangkan inovasi-inovasi ini digabungkan dalam iTEKAD, supaya setiap peserta bukan sahaja mendapat pembiayaan dan latihan, tetapi juga perlindungan, alat digital, serta akses kepada pasaran. Inilah cara untuk kita beralih daripada ribuan kepada puluhan ribu kisah kejayaan di seluruh negara.
Oleh itu, cabaran saya kepada pihak industri: jangan kekal dengan kebiasaan. Bekerjasama dengan para penginovasi, hayati penyelesaian baharu dan berikan komitmen untuk memperluas perkara yang terbukti berkesan. Kewangan sosial harus melangkah daripada projek rintis kepada platform, daripada kisah terpencil kepada impak sistemik.
Penutup
Para tetamu kehormat,
Kewangan sosial bukan sekadar tentang rangkuman. Kewangan sosial adalah tentang impak. Kewangan sosial adalah tentang memberi setiap rakyat Malaysia, khususnya golongan yang paling mudah terjejas, peluang yang saksama untuk berjaya.
Melangkah ke hadapan, aspirasi kita jelas: iaitu untuk menerapkan kewangan sosial secara mendalam ke dalam sistem kewangan Malaysia — bukan sebagai sesuatu yang terpencil, tetapi sebagai pemacu arus perdana untuk pertumbuhan yang inklusif, berdaya tahan dan saksama.
Untuk mencapai matlamat ini, kita perlukan keberanian, kreativiti dan kerjasama. Bersama-sama, kita boleh membina Malaysia tanpa meminggirkan sesiapa pun.
Akhir kata, terima kasih sekali lagi atas kehadiran anda, dan semoga sesi pada petang ini produktif dan memberi inspirasi kepada kita semua.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.